HAK DAN TANGGUNGJAWAB MASYARAKAT DALAM KONTEKS SIASAH SYAR‘IYYAH Oleh Dr Bharuddin bin Che Pa Pendahuluan
Siasah syar‘iyyah adalah suatu istilah yang digunakan membabitkan hubungan rakyat dan pemimpin dengan berpandukan sumber hukum dan kaedah ijtihad bagi membentuk sistem politik Islam. Hasil rumusan ijtihad para ulama dalam pelbagai bidang dan sektor maka terbentuklah polisi–polisi kerajaan bagi memandu bidang-bidang yang berkaitan. Aspek utama yang menjadi teras kepada konsep siasah syar‘iyyah ialah menentukan kaedah mengendalikan urusan pemerintahan negara mengikut landasan syara‘ berpandukan al-Qur’an, al-Sunnah dan Ijtihad yang boleh menjamin kepentingan dan kemaslahatan rakyat. Menurut perspektif Siasah Syar‘iyyah rakyat atau masyarakat mempunyai pelbagai hak dan tanggungjawab terhadap kerajaan. Bagi sebuah negara Islam, masyarakat mempunyai hak-hak tertentu dalam pelbagai aspek seperti hak-hak politik, hak sivil dan hak-hak kemanusiaan. Masyarakat berhak untuk mendapat kebebasan dan keadilan dari pihak pemerintah. Selain itu masyarakat juga mempunyai tanggungjawab terhadap pemerintah. Di antara tanggungjawab masyarakat ialah menyokong, mentaati dan membantu pemerintah dalam perkara-perkara yang selaras dengan hukum syariah. Pengertian Siasah Dari Segi Bahasa Perkataan siasah syar‘iyyah berasal dari dua perkataan bahasa Arab iaitu al-Siasah dan alSyar‘iyyah. Kedua-dua perkataan tersebut perlu diperjelaskan sebagai kunci bagi memahami konsep siasah syar‘iyyah yang sebenar. Perbincangan akan dimulakan dengan pengertiannya dari segi bahasa. Kemudian pengertian kedua-dua perkataan tersebut secara gandingan akan diperjelaskan pula dari segi istilah. Mengikut Kamus Arab, perkataan siasah adalah kata terbitan (masdar) daripada kata dasar sasa – yasusu - siasatan. Apabila disebut sasa al-amr, siyasatan ia bermaksud mentadbir dan mengendalikan sesuatu urusan, pekerjaan dan sebagainya dengan baik.1 Menurut Ibn Manzur kata dasarnya sasa atau sawasa adalah jelas menunjukkan perkataan siasah adalah istilah yang berasal dari perkataan arab. Sebab itu beliau menolak pandangan yang mengatakan perkataan siasah berasal dari bahasa Farsi atau Monghul.2 Dalam penggunaan istilah bahasa Arab perkataan siasah memberi maksud yang 1
sangat umum termasuklah mengendalikan urusan yang berkaitan dengan manusia, haiwan dan pelbagai urusan yang lain.3 Jika disebut sasa al-dabbah misalnya, ia memberi maksud seseorang itu menjaga atau memelihara binatang. Selain itu siasah juga diertikan sebagai arahan dan larangan serta tugas mendidik yang menjadi sebahagian dari usaha mentadbir.4 Perkataan siasah boleh digunakan dalam pelbagai aspek, namun demikian semua maksudnya tidak terkeluar dari maksud asalnya iaitu melakukan sesuatu tindakan yang menguntungkan atau mendatangkan kebaikan.5 Keuntungan dan kebaikan tersebut diperolehi dengan pelbagai cara seperti dengan cara memimpin, merancang, mengurus, mentadbir, mengendalikan urusan, mejaga keperluan, membantu dan sebagainya.6 Oleh itu siasah adalah satu istilah yang sangat berkaitan dengan urusan kerajaan dan rakyat, skopnya ialah bagaimana pihak kerajaan mengendalikan hal-ehwal kenegaraan yang memberi kebaikan dan keuntungan kepada rakyat dan masyarakat. Pengertian Syar‘iyyah Dari Segi Bahasa Perkataan Syar‘iyyah diambil dari lafaz syara‘( ) شرع. Ia sebagai menjelaskan atau membuktikan mengenai sesuatu yang disandarkan kepada syara‘ dan menerimanya sebagai sesuatu yang sah. Secara literalnya, perkataan syar‘iyyah memberi maksud tentang sesuatu yang sah di sisi syarak.7 Namun dari segi bahasanya ia bermaksud jalan yang lurus dan tempat laluan air. Tempat laluan air itulah yang disebut al-Syar’. Selain itu ia juga disamakan dengan perkataan al-Din dan al-Millah8. Di dalam pengajian Ilmu Fiqh para Fuqaha mentakrifkan al-Syariah sebagai hukum-hakam yang diwahyukan oleh Allah kepada para Nabi untuk dibawakan kepada sekalian hambaNya. Dinamakan hukum-hukum tersebut syariah kerana ia suatu ajaran yang lurus dan disamakan kedudukannya seperti tempat aliran air kerana Syariah Islam menghidupkan jiwa dan akal manusia sebagimana air menghidupkan tubuh badan.9 Dari segi kaedah Bahasa Arab perkataan syar‘iyyah menunjukkan sesuatu yang disandarkan (dinisbahkan) kepada syarak dan syarak menerimanya sebagai sesuatu yang sah, atau secara literalnya perkataan syar‘iyyah memberi maksud tentang sesuatu yang sah di sisi hukum syarak.10 Apabila Syariah dinisbahkan kepada agama, maka ia adalah suatu perkara yang disyarakkan oleh Allah. Atau dengan kata lain perkataan syariah bermaksud sesuatu hukum yang dinisbahkan kepada hukum syarak sebagai syariah yang wajib dilaksanakan dalam pentadbiran negara, di mana pemimpin-pemimpin dan pentadbir yang tidak melaksanakan hukum-hukum Allah sebagai syariah akan menerima balasan buruk di akhirat kelak.11 2
Definisi Siasah Syar‘iyyah Menurut Istilah Penggunaan istilah siasah syar‘iyyah dikesan telah berlaku semenjak dahulu lagi melalui penulisan para ulamak Silam. Para ulamak telah mengemukakan pelbagai definisi terhadap istilah siasah syar‘iyyah mengikut kefahaman dan persepsi masing-masing. Daripada pelbagai definisi yang dikemukakan oleh mereka ianya boleh diklasifikasikan kepada dua aspek utama iaitu: Pertama: Siasah syar‘iyyah merupakan kaedah pentadbiran dan pemerintahan negara menurut perspektif Islam. Kedua: Siasah Syar‘iyyah sebagai kaedah penentuan hukum di bawah bidangkuasa kerajaan Islam. Dalam kertas artikel ini penulis akan membincangkan siasah syar‘iyyah mengikut pengertian pertama iaitu; Siasah syar‘iyyah merupakan kaedah pentadbiran dan pemerintahan negara menurut perspektif Islam. Siasah dalam konteks ini menekankan kepada maksud pengendalian urusan pemerintahan negara mengikut landasan syarak samada berpandukan kepada al-Qur’an, al-Sunnah atau Ijtihad bagi menjamin kepentingan dan kemaslahatan rakyat. Ianya merangkumi seluruh aspek pentadbiran dan pemerintahan negara seperti politik, pentadbiran, kewangan, ekonomi, sosial, kemasyarakatan dan sebagainya. Siasah Syar‘iyyah Mengikut Pandangan Ulama silam Para Ulama silam telah memberikan pelbagai definisi terhadap siasah syar‘iyyah mengikut pandangan masing-masing, yang sesuai dengan realiti pada zaman mereka. Di antara ulama yang memberikan definisi tersebut ialah: i.
Ibn Aqil menyatakan siasah syar`iyyah ialah : Suatu tindakan
oleh pemimpin yang boleh menyelamatkan orang ramai dan
menghindarkan mereka dari kehancuran, walaupun tindakan tersebut tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. atau pun tidak ada wahyu berkenaan perkara tersebut.12 ii.
Ibn Nujaim berpendapat: Siasah syar‘iyyah ialah satu tindakan sesuatu dari pihak pemerintah berdasarkan kemaslahatan yang dilihatnya sekalipun tidak ada dalil secara langsung dan terperinci ke atas perbuatan itu.13
iii.
Ibn Abidin menegaskan: 3
Siasah ialah mengelokkan keadaan orang ramai dengan membimbing dan memimpin mereka ke jalan yang selamat di dunia dan akhirat.14 iv.
Al-Bujairimi menyatakan: Siasah ialah mengelokkan urusan rakyat dan mentadbir urusan mereka.15
v.
Al-Nasafi pula berpendapat: Siasah ialah mengendalikan urusan rakyat kepada kebaikan secara lemah lembut atau kekerasan.16
Siasah Syar‘iyyah Mengikut Pandangan Ulama Kini Para sarjana Islam masa kini bersetuju dengan pentakrifan yang telah dibuat oleh ulama terdahulu. Di antara ulama yang bersetuju dengan pentakrifan di atas ialah: i. Riqz Muhammad al-Zalbani di mana beliau menjelaskan: Siasah Syar‘iyyah ialah mengendalikan urusan awam atau bersama berdasarkan hikmat yang tidak bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah walaupun tindakan tersebut tidak disokong oleh dalil-dalil juz`i.17 ii. Fathi Ahmad al-Durayni pula berpendapat: Siasah ialah menjalankan pentadbiran negara (umat) sama ada hal ehwal dalam negara atau luar negara berpandukan maslahah.18 iii. Dr. Muhammad Na‘im Yasin menjelaskan: Siasah ialah pentadbiran hal ehwal rakyat yang dijalankan oleh pemimpin Islam atau pembantunya berdasarkan maqasid al-Ammah.19walaupun perkara itu tidak menepati pendapat para imam mazhab.20 iv. Syeikh Abd al-Rahman Taj mendefinisikan siasah syar‘iyyah sebagai: Hukum-hukum atau peraturan yang mengatur perjalanan pentadbiran negara dan rakyat, di mana ianya hendaklah bertepatan dengan ruh syariah, selaras dengan usulusul kulliyah, seterusnya dapat mencapai objektif kemasyarakatan, walaupun hukumhukum itu tidak disebut secara langsung oleh nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah.21 v. Syeikh Abd al-Wahab Khallaf pula menjelaskan: Siasah Syar‘iyyah ialah menjalankan pentadbiran awam sebuah negara Islam berdasarkan sesuatu yang menjamin kebaikan dan mengelakkan keburukan dimana ia tidak terkeluar dari batas-batas syariat dan dasar-dasar umumnya walaupun perkara itu tidak menepati pendapat para imam mazhab.22 4
Berdasarkan beberapa pandangan di atas bolehlah dirumuskan bahawa siasah syar‘iyyah merupakan sistem politik yang mentadbir kerajaan Islam, yang mengurus urusan kerajaan dan rakyat dalam setiap aspek. Kaedah pentadbiran ini dipetik dari nas-nas syariah yang terdiri dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang ditafsirkan oleh para ulama. Jika sekiranya kaedah pengurusan itu tidak disebut oleh nas al-Qur’an dan al-Sunnah maka ia hendaklah diambil daripada pendapat imam mujtahid. Dengan syarat ianya tidak bertentangan dengan ketetapan-ketetapan umum dan kaedah-kaedah asas yang ditetapkan oleh syariah Islam. Begitu juga secara dasarnya ia tidak boleh bercanggah dengan dalil-dalil yang nyata serta semangat perundangan Islam. Oleh itu siasah syar`iyyah adalah suatu istilah yang digunakan membabitkan hubungan rakyat dan pemimpin dengan berpandukan sumber hukum dan kaedah ijtihad bagi membentuk sistem politik Islam.23 Hasil rumusan ijtihad mereka dalam pelbagai bidang dan sektor inilah membentuk polisi–polisi kerajaan bagi memandu bidang-bidang yang berkaitan. Secara
umumnya bolehlah dinyatakan bahawa siasah syar‘iyyah adalah ilmu yang membincangkan tentang: i
Kaedah pemerintahan Islam yang merangkumi segala tindakan kerajaan dalam
membentuk dasar, peraturan dan polisi Negara. Ia meliputi seluruh institusi kerajaan seperti kementerian, agensi-agensi kerajaan, jabatan dan jentera kerajaan. Justeru cakupannya adalah lebih luas lagi yang membabitkan tentang perjalanan dan pentadbiran di bawah bidang kuasa kerajaan. ii
Maslahah al-Ammah adalah suatu neraca bagi menimbangkan polisi atau dasar
pemerintah terhadap rakyat. iii
Penggubalan polisi dan dasar kerajaan diperluaskan kepada keperluan semasa selagi tidak
bertentangan secara hakiki dengan syariat Islam.
Hak-hak Masyarakat Menurut Siasah Syar’iyyah
Dalam sebuah negara Islam masyarakat mempunyai hak-hak tertentu dalam pelbagai aspek seperti hak-hak untuk mendapatkan keadilan, hak persamaan, hak kebebasan dan lain-lain.
1. Hak Untuk Mendapat Keadilan Para ulama’ meletakkan prinsip utama yang perlu ada bagi sesebuah kerajaan Islam ialah bersifat adil ataupun al-Adalah. Makna adil itu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Dalam menegaskan kewajipan menegakkan keadilan dan menolak al-Quran menjelaskan perkara tersebut di dalam banyak ayat misalnya dalam ayat 58 surah al-Nisa’ Allah berfirman:
5
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Surah al-Nisa’(4): 58 Islam tidak hanya menjadikan keadilan sebagai salah satu prinsip pemerintahan yang bersifat teori bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang hidup aman dan damai. Sebaliknya ia menekankan ketua masyarakat itu mestilah terdiri di kalangan mereka yang paling adil bagi memastikan keadilan itu benar-benar tercapai. Yang dikatakan adil itu ialah antaranya kerajaan Islam mestilah menyamakan taraf kedudukan sesama manusia dalam bermuamalah, menyerahkan tugas dan jawatan kepada seseorang menurut kelayakan mereka, serta tidak melebihkan golongan masyarakat tanpa pertimbangan yang adil atau sepatutnya.
Sebenarnya ruanglingkup keadilan sangat luas. Ia meliputi segenap aspek kehidupan manusia. Para pemerintah terutamanya, mesti bertindak dengan adil di dalam menyelesaikan perselisihan di kalangan rakyatnya. Mereka juga mesti bersifat adil walaupun dengan musuh. Walaupun adanya sikap permusuhan, ia hendaklah tidak mendorong mereka untuk berlaku tidak adil. Kerajaan mestilah menjamin keadilan terlaksana di dalam negara. Sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan tidak boleh diterima dan ia mesti dihapuskan.
2. Hak Untuk Mendapat Kebebasan
Sistem politik Islam memberikan kebebasan kepada individu dan menganggapnya sebagai kehormatan manusia. Kebebasan hakiki yang ditegaskan oleh Islam ialah kemerdekaan jiwa dari dikuasai hawa nafsu dan syahwat dengan menundukkannya kepada kuasa akal dan iman. Perkara inilah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w:
ال يؤمن أحدكم حتي يكون هواه تبعا لما جئت به "Tidak beriman seorang kamu sehingga adalah hawanya (kemahuannya dan kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.24
Kebebasan Peribadi Kebebasan peribadi bermaksud hak individu untuk bergerak bebas dan hak mendapatkan perlindungan daripada sebarang pencerobohan. Individu tidak boleh ditangkap, dihukum atau 6
dipenjara kecuali mengikut undang-undang. Kebebasan peribadi juga bermaksud kebebasan individu untuk keluar masuk negara.25 Kebebasan individu dalam pengertian di atas telah dijamin di dalam syariat Islam. Islam menganggap pencabulan terhadapnya sebagai satu kezaliman. Perbuatan zalim itu pula dianggap haram. Untuk memelihara kebebasan individu daripada semua bentuk pencabulan, Islam telah memperuntukkan undang-undang yang melarang pencabulan terhadap nyawa, anggota dan kehormatan individu.26 Kebebasan individu di dalam Islam adalah tidak mutlak. Ia dibatasi oleh peraturanperaturan sejajar dengan sifat semula jadi, keadaan dan peranan manusia di dunia. Terdapat dua perkara yang mengikat kebebasan manusia : i. Ikatan yang bertujuan untuk mengawal tatacara hidup sehingga dengan sekatan itu manusia tidak akan terjerumus ke dalam jurang yang tidak layak bagi seorang manusia dan sebaliknya hanya akan menjatuhkan maruah serta kehormatannya. ii. Ikatan yang bertujuan mengawal hubungan manusia dengan manusia lain di dalam masyarakat. Sama ada hubungan individu dengan individu, individu dengan masyarakat, masyarakat dengan individu atau masyarakat dengan masyarakat. Tanpa pengawalan terhadap hubungan-hubungan ini, hak manusia akan diabaikan, kezaliman akan berleluasa dan sistem akan kucar kacir. Kesemua ini akan membawa kehancuran kepada manusia.
Kebebasan Bersuara Di dalam kerajaan Islam, kebebasan individu untuk memberikan pendapat merupakan hak individu yang amat penting. Kerajaan tidak boleh menyekatnya dan individu juga tidak boleh bertolak ansur di dalam mendapatkan hak tersebut. Kebebasan mengeluarkan pendapat ini amat penting kerana ia merupakan pengiktirafan kepada manusia dan pendapatnya. Ia juga amat penting kerana mendorong manusia menunaikan tanggungjawabnya kepada Islam. Amr bil Makruf dan Nahyu An al-Munkar merupakan suatu kewajipan yang penting di dalam Islam. Ia tidak dapat dilaksanakan tanpa kebebasan memberikan pendapat. Oleh sebab itulah pemerintah di dalam negara Islam hendaklah memberikan penumpuan untuk mendidik rakyatnya supaya bebas berfikir dan memberikan pendapat. Bagaimanapun kebebasan berfikir dan bersuara ini terikat kepada beberapa pembatasan iaitu: i. Tujuan yang baik dan niat yang ikhlas. Hak kebebasan ini digunakan untuk mendapat keredhaan Allah. Ini hanya akan berlaku dengan menjadikan kebebasan berfikir dan bersuara ini sebagai alat untuk mendapatkan hak, membela masyarakat serta memberi nasihat kepada umat Islam secara umum dan kepada para pemimpin secara khusus sejajar dengan perintah Allah. 7
ii. Tidak menggunakan idea dan pemikiran tersebut ke arah kemaksiatan, fitnah, dusta ataupun mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan aqidah dan syariat. Sebaliknya ia mestilah digunakan untuk membawa masyarakat kepada peningkatan iman, ilmu, motivasi, daya juang, pembangunan tamadun kemanusiaan yang unggul.
Kebebasan Beragama Islam sangat menghormati kebebasan berakidah oleh manusia sejagat. Umat Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk Islam sebaliknya digesa menggunakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan mencari pula di antara pendekatan dakwah, mana yang terbaik untuk digunakan. Firman Allah:
Maksudnya: Tidak ada paksaan Dalam ugama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Surah al-Baqarah (2): 256. Manakala di dalam ayat yang lain pula Allah menyebut : Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surah al-Nahl 16: 125 Kebebasan beragama hanya akan terbentuk di dalam jiwa manusia dengan tiadanya unsur tekanan ke atasnya. Asas aqidah yang tulen mestilah didasarkan kepada pemikiran yang sempurna iaitu rasional akal memberikan penjelasan tanpa berlaku taqlid. Aqidah yang bebas mestilah terbentuk daripada tiga asas utama.27 a) Pemikiran yang merdeka daripada ketaksuban, taqlid, hawa nafsu. b) Tidak boleh adanya penipuan dan pemaksaan dalam berdakwah. Seseorang itu tidak dikatakan merdeka jika masih dipengaruhi oleh tipudaya yang berbentuk kewangan, jawatan atau pangkat. 8
c) Tindakan yang berasaskan kehendak aqidah yang menjadi asas kepercayaan seseorang.
Kebebasan Hak Milik
Islam mengiktiraf kebebasan milik dan hak memiliki sesuatu. Islam menghormati dan mengharamkan pencabulan terhadapnya. Islam menganggap pencabulan ke atas milik individu sebagai satu kesalahan yang perlu dijatuhkan hukuman berat. Kebebasan milik individu merupakan satu kaedah hidup dan kaedah ekonomi di dalam Islam. Kaedah ini tidak akan dicanggahi kecuali di dalam keadaan darurat. Pengiktirafan ke atas kebebasan milik individu ini sejajar dengan fitrah dan sifat kemanusiaan, dan secocok dengan kecenderungan semula jadi. Kecenderungan ini mendapat perhatian dan penilaian Islam di dalam usaha membentuk masyarakat.
Kebebasan Berpolitik
Kebebasan berpolitk adalah asas kepada kejayaan sesebuah kerajaan. Ia juga merupakan sumber kekuatan dan kemajuan umat. Dengan kebebasan berpolitik, kemuliaan dan kehormatan manusia dapat dipelihara, nilai-nilai dan akhlak mulia dapat berkembang, pemikiran dan kebijaksanaan manusia bebas terbuka, keadilan terpelihara, kebahagiaan dan kemakmuran akan menguasai negara. Dengan itu manusia akan hidup bahagia dan kehidupan itu akan terasa kemanisannya. Islam telah memberikan kebebasan berpolitik kepada individu. Sirah Rasulullah s.a.w. telah membuktikannya. Islam mengajar bahawa negara yang lahir ke dunia bukanlah kerana keistimewaan orang tertentu. Sebaliknya, ia lahir bersama kelahiran agama Islam di dalam masyarakat jahiliyyah yang jahil erti negara, dasar pemerintahan dan prinsip siasah. Seorang ketua negara tidak akan memegang kuasa pemerintahan kecuali dengan pemilihan daripada umat. Perlantikannya bertujuan untuk memelihara agama dan kepentingan ummah.28 Secara ringkasnya kebebasan berpolitik ialah masyarakat berhak untuk memilih pemimpin dan berhak untuk dipilih menjadi pemimpin. Ia termasuk juga hak untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam dalam negara. Islam memberikan hak ini kepada semua rakyat yang berkelayakan dalam negara Islam. Orang-orang kafir dhimmi pun dibenarkan untuk menjawat jawatan awam dan menjadi seorang menteri dalam negara Islam.
Hak-hak Persamaan
9
Persamaan merupakan prinsip utama di dalam sistem politik Islam bagi menjamin wujudnya keadilan. Ia menjadi prasyarat bagi keadilan, yang tidak akan sempurna di dalam negara Islam jika sekiranya kerajaan tidak mengamalkan konsep persamaan di kalangan rakyatnya. Justeru itu kerajaan Islam mestilah melaksanakan dasar yang samarata terhadap rakyatnya dari segenap aspek undang-undang, sosial, pendidikan, politik dan terutamanya di dalam mengecapi hak-hak asasi, tidak kira sama ada lelaki atau wanita, Islam atau bukan Islam. Hakikat ini merujuk kepada Islam telah menegaskan bahawa manusia berasal daripada asal usul yang sama iaitu Adam manakala Adam pula dicipta dari tanah. Sementara perbezaan susur galur keturunan, budaya, bahasa dan sebagainya merupakan keistimewaan kejadian manusia dan tanda kebesaran Allah s.w.t. Manusia mestilah menjadikannya sebagai suatu kebaikan dan sebab untuk mereka saling mengenali dan berkasih sayang ataupun mengatur kehidupan mereka menurut pengertian yang lebih luas. Firman Allah: Maksudnya:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya. Surah al-Hujurat (49): 13. Jika diperhatikan, al-Quran apabila menyeru misi persamaan di kalangan manusia, ia menggunakan "wahai manusia" bukannya "wahai orang-orang beriman" sahaja. Ini memberi beberapa pengertian iaitu 1) nilai persamaan ini merupakan suatu fitrah yang dikongsi bersama oleh semua manusia, 2) kerajaan Islam mestilah mengamalkan persamaan di kalangan rakyatnya, Islam dan bukan Islam. Tanggungjawab Masyarakat Menurut Siasah Syar iyyah Antara tanggungjawab masyarakat terhadap pemerintah berlandaskan Islam ialah sebagaimana berikut: a) Memberikan Taat setia kepada pemerintah. Menurut panduan Islam setelah memilih Ketua Negara maka masyarakat bertanggungjawab memberikan ketaatan kepada pemimpin yang dipilih itu. Ketaatan masyarakat kepada pemimpin adalah wajib selama mana ia tidak bercanggah dengan syariah Islam. Ketaatan rakyat kepada pemimpin adalah berasaskan firman Allah:
10
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulu al-Amr" dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. Surah al-Nisa’ (4): 59
Abu A’la al-Maududi merumuskan tentang pengertian ayat ini dengan menyatakan bahawa, ayat ini menjelaskan tentang enam perkara yang berkaitan dengan prinsip asas: i.
Ketaatan kepada Allah dan RasulNya didahulukan daripada segala ketaatan kepada yang lain.
ii.
Ketaatan kepada Ulu al-amr datang setelah ketaatan kepada Allah dan RasulNya.
iii.
Ulu al-amr haruslah terdiri daripada orang mukmin.
iv.
Rakyat mempunyai hak menggugat para penguasa dan pemerintah.
v.
Kekuatan penentu dalam setiap perselisihan adalah ketentuan-ketentuan Allah dan RasulNya.
vi.
Diperlukan adanya suatu ketentuan yang bebas dan merdeka dari tekanan rakyat mahupun pengaruh para penguasa, agar dapat memberi keputusan dalam perselisihan sesuai dengan ketentuan tertinggi, yaitu hukum Allah dan sunnah rasulNya”29.
b) Bekerjasama dengan para pemimpin untuk melaksanakan tanggungjawab keagamaan dan mempertahankan negara dari ancaman musuh. Maksud tanggungjawab keagamaan ialah menjaga agama dengan melaksanakan hukum hakamnya serta menegakkan hukum ke atas semua yang menyeleweng dan melanggar ajarannya. Ini termasuklah menjelaskan aqidah yang benar, hakikat keimanan, akhlak dan hukum hakam. Selain itu masyarakat juga bertanggungjawab mencegah penyebaran ajaran sesat dan amalan khurafat di kalangan umat Islam, serta menghalang sebarang penyelewengan dan menghukum para penjenayah.30 Memerangi musuh yang mengancam keselamatan negara Islam adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dan para pemimpin. Ini termasuklah menjaga keamanan negara 11
supaya
rakyat
dapat
hidup
dengan
aman
dan
bebas.
Rakyat
dan
pemerintah
bertanggungjawab menyediakan segala kelengkapan dan kekuatan untuk menghadapi musuhmusuh Islam. Masyarakat Islam berkewajipan memerangi orang yang menentang ajaran Islam setelah diberikan penerangan mengenainya.
c) Bertanggungjawab melaksanakan dasar dan menyokong program-program pemerintah yang tidak bercanggah dengan Islam.
Allah berfirman di dalam al-Quran:
Maksudnya: “dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksaNya.” Masyarakat berkewajipan membantu menghidupkan syiar agama dalam negara seperti membenarkan azan dilaungkan, mendirikan solat Jumaat, solat hari raya, menentukan permulaan Ramadhan, menguruskan jemaah Haji dan syiar-syiar Islam yang lain.
d) Menunaikan Hak-Hak Kewangan Kepada Negara
Hak-hak kewangan ini contohnya adalah zakat bagi orang Islam dan kharaj bagi ahl a-dzimmah.
Maksudnya: “Dan Dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah beserta orangorang yang ruku'”. Surah al-Baqarah 2: 43 Masyarakat juga berkewajipan membantu pemerintah memungut,
mengurus dan
mengagihkan kutipan zakat dikalangan umat Islam. Termasuk juga pentadbiran harta iaitu merangka pemberian dari harta Baitulmal dengan adil dan saksama tanpa pembaziran dan membuat pembayaran yang tepat pada waktunya.
12
e) Melaksanakan al-Amr bi al-Ma‘ruf dan al-Nahy ‘An al-Munkar Al-amr bi al-ma‘ruf bermaksud menyuruh kepada kebaikan iaitu perkara-perkara yang diredhai Allah manakala al-nahy ‘an al-munkar bermaksud melarang kemungkaran iaitu perkara-perkara maksiat. Kedua-dua tugas ini sebenarnya adalah merupakan tanggungjawab ke atas seorang muslim yang beriman sebagai syarat untuk mengelakkan kehidupan yang sia-sia selain melakukan amalan kebaikan. Di dalam al-Quran dan hadith, banyak ayat yang menuntut umat Islam supaya menyeru kebaikan dan melarang kejahatan. Antaranya ialah:
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” Surah Ali ‘Imran 3: 104
Dr. Yusuf al-Qardawi di dalam menghuraikan ayat ini menyatakan bahawa kalimah “minkum” di dalam ayat ini memberi maksud “dari” iaitu perlu ada sekumpulan dari kalangan umat ini orang yang menyeru kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Ini menunjukkan kepada hukum fardhu kifayah di mana jika tiada orang yang menyeru kebaikan dan melarang kemungkaran maka seluruh umat ini akan berdosa. Maka ayat tersebut menuntut supaya diwujudkan sekumpulan orang yang menyeru kebaikan dan melarang kemungkaran, kerana usaha ini tidak memadai sekadar individu yang melakukannya. Allah berfirman lagi:
Maksudnya: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orangorang yang fasik. Surah Ali ‘Imran 3: 110
13
Ayat ini menggambarkan kepada kita tentang keutamaan tanggungjawab menyeru kebaikan dan melarang kemungkaran sebagai suatu keistimewaan umat ini, di mana ia disebut terlebih dahulu berbanding dengan keimanan kepada Allah sedangkan keimanan adalah perkara pokok31. Begitu juga dengan ayat berikut:
Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” Surah al-Taubah 9: 71 Di dalam ayat ini sekali lagi dapat dilihat tanggungjawab menyuruh kebaikan dan melarang kemungkaran didahulukan sebelum kewajipan solat dan zakat yang merupakan sebahagian rukun Islam. Ini kerana, umat Islam tidak cukup sekadar memperbaiki diri sendiri, tetapi perlu juga memperbaiki orang lain32. Umat Islam ibarat berada di dalam sebuah kapal yang sama di mana semua orang perlu bekerjasama, berusaha dan saling ingatmengingati agar dapat sampai ke destinasi. Untuk itu, Allah mengingatkan di dalam alQuran:
Maksudnya: “Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. dan Ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.” Surah al-Anfal 8: 25 Dalil-dalil tersebut menggambarkan kepada kita tentang pentingnya menyuruh kebaikan dan melarang kemungkaran sebagai suatu tanggungjawab agama bagi masyarakat Islam. Nasihat yang paling utama sekali disampaikan adalah kepada pemerintah kerana mereka memainkan peranan yang paling besar dalam menegakkan agama di kalangan manusia. Ini kerana, sebahagian besar tanggungjawab agama tidak dapat dilaksanakan 14
melainkan melalui pemerintahan. Dalam sebuah hadith33, menyeru kepada pemerintah yang zalim disifatkan sebagai jihad yang paling besar bagi seorang mu’min.
Maksudnya: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.” Oleh kerana itu, perlu ditegaskan di sini bahawa menegur pemerintah supaya menegakkan Islam, mengingatkan pemerintah supaya melaksanakan tanggungjawabtanggungjawab mereka yang masih belum dilaksanakan, menyuarakan kata-kata yang benar dan sebagainya, bukanlah suatu bentuk penderhakaan. Bahkan ia merupakan suatu tanggungjawab seorang muslim terhadap Allah dan tanggungjawab seorang rakyat terhadap pemerintah34. Ia wajib dilaksanakan oleh rakyat dan pemerintah wajib membenarkan rakyat menunaikan tanggungjawab mereka di samping berusaha menunaikan tanggungjawab sendiri. Walau bagaimanapun, tanggungjawab ini perlu dilaksanakan mengikut kaedah tertentu35 iaitu secara berhikmah supaya tidak berlaku fitnah yang lebih besar. Kepentingan dakwah secara berhikmah ini jelas dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran:
Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surah al-Nahl 16: 125 Di dalam ayat in Allah menyuruh supaya mengajak orang ke jalan Allah dengan menggunakan ilmu iaitu apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalam al-Quran dan sunnah, dan menggunakan nasihat yang baik iaitu berdasarkan keadaan dan situasi manusia. Jika seruan tersebut memerlukan perdebatan pula hendaklah dilaksanakan secara baik iaitu dengan lemah lembut dan kata-kata yang baik36. Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din membahagikan kaedah melakukan peringatan kepada lima kaedah iaitu37: a) Al-Ta‘rif (Memberitahu) b) Al-wa‘z bi al-kalam al-latif (Nasihat dengan kata-kata yang lembut) 15
c) Al-Sabb wa al-ta‘nif (Menggunakan kata-kata yang keras) d) Al-Man‘u bi al-qahr bi tariq al-mubasyarah (Mencegah dengan kekuatan secara langsung) e) Al-takhwif wa al-tahdid bi al-darb (Mengugut dan mengancam)
Dr. Yusuf al-Qardawi pula telah menggariskan empat syarat yang mesti ada untuk mengubah sesuatu kemungkaran iaitu38: a) Perkara yang diharamkan adalah perkara yang disepakati pengharamannya. b) Munculnya kemungkaran itu. c) Untuk mengubah kemungkaran dengan kekuatan hendaklah benar-benar mampu untuk melakukannya. d) Tidak bimbang berlakunya kemungkaran yang lebih besar.
Kesimpulan
Siasah syar‘iyyah merupakan sistem politik Islam yang membabitkan hubungan rakyat dan pemimpin berpandukan sumber hukum dan kaedah ijtihad. Teras utama siasah syar‘iyyah ialah menentukan kaedah mengendalikan urusan pemerintahan negara mengikut landasan syara‘ berpandukan al-Qur’an, al-Sunnah dan Ijtihad yang boleh menjamin kepentingan dan kemaslahatan rakyat. Dalam sebuah negara Islam masyarakat mempunyai hak-hak tertentu dalam pelbagai aspek seperti hak-hak politik, hak sivil dan hak-hak kemanusiaan. Masyarakat juga berhak untuk mendapat kebebasan dan keadilan dari pihak pemerintah. Selain hak masyarakat juga mempunyai tanggungjawab terhadap pemerintah. Di antara tanggungjawab masyarakat ialah menyokong, mentaati dan membantu pemerintah dalam perkara-perkara yang selaras dengan hukum syariah. Apabila pemerintah melakukan kesilapan masyarakat dibenarkan untuk tidak memberikan kerjasama, sebaliknya memberi teguran, nasihat, bahkan pada tahap tertentu masyarakat dibenarkan untuk menghalang pemerintah dari melakukan kezaliman.
16
Nota Hujung
Dr Bharuddin Che Pa adalah Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan Siasah Syar`iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 1
Al-Muqri (1994), al-Misbah al-Munir, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, j. 2, h. 295.
2
Ibn Manzur (1990), Lisan al-‘Arab, Beirut, j. 6, h. 108. Lihat juga al-Razi, Fakhr al-Din Muhammad Ibn ‘Umar Ibn Hussin (1992), Mukhtar al-Sihhah, Beirut: t. pt., h. 135. 3
Al-Zubaydi (t.t.), Taj al-‘Arus Min Jawahir al-Qamus, Beirut: Dar al-Maktabah al-Hayah, j. 4, h. 169; Lihat juga Ibrahim Anis (t.t.), al-Mu‘jam al-Wasit, t.tp., h. 462. 4
Al-Tahir, Ahmad al-Zawawi (t.t.), Tartib al-Qamus al-Muhit, Beirut, j. 2, h. 646.
5
Ibn Manzur (1990), op.cit., j. 7 h. 413.
6
Shukeri Mohammad (1999), Siasah Syar`iyyah dan kedudukannya Sebagai Metod Penentuan hukum. Dalam Abdul Karim Ali dan Raihanah Hj. Azhari (ed.) (1999), Hukum Islam Semasa bagi Masyarakat Malaysia yang Membangun, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, h. 99. 7
Ibrahim Anis dan lain-lain (t.t.), t.tp., Al-Mu‘jam al-Wasit, c. 2, j. 1, h. 681.
8
Badran Abu al-‘Ayn (t.t) al-Syari‘ah al-Islamiyyah. Iskandariyyah: Mu’assasah Syabab al-Jami‘ah, h. 27.
Yusuf Hamid al-‘Alim (Dr.), (t.t.), al-Maqasid al-‘Ammah Li al-Syari‘ah al-Islamiyyah, Khartoum: Dar alSudaniyyah Li al-Kutub, h. 19-21. 9
Ahmad al-‘Ayid (t.t.), Mu‘jam al-Asasi, t.tp., al-Munazzamah al-Arabiyyah Li al-Tarbiyyah Wa al-Thaqafah wa al-‘Ulum: Jami‘ah al-Duwal al-‘Arabiyyah, Larus, h. 681. 10
11
Haji Said Haji Ibrahim (1997), Manhaj Ilmu Fiqh, Kuala Lumpur: Dar al-Ma‘rifah, h. 3833.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah (t.t.), al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar‘iyyah, Beirut: Dar al-Kutub al‘Ilmiyyah, h. 11. 12
Zainuddin Ibn Nujaim (t.t.), al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanzu al-Daqa’iq, c. ke 3, Dar al-Kitab al-Islami, j. 5. h. 11. 13
Muhammad Amin Ibn ‘Abidin (1966), Hasyiyah Radd al-Mukhtar ‘Ala al-Durr al-Mukhtar, c. 3, Beirut: Dar al-Fikr, j. 4, h. 15. 14
Sulayman Ibn ‘Umar Ibn Muhammad al-Bujayrimi (1965), Hasyiyah al-Bujayrimi ‘Ala al-Manhaj, Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi Wa Awladuh, j. 2, h.178. 15
Najm al-Din Ibn Hafs al-Nasafi (1311 H.), Talabah al-Talabah Fi al-Istilah al-Fiqhiyyah, Baghdad: Maktabah al-Muthna, h.167. 16
Rizq Muhammad al-Zalbani (t.t.), Mudhakkirah Fi Maddah al-Siyasah al-Syar‘iyyah, Kaherah: Matba‘ah alSyarq, h. 19. 17
18
Fath al-Durayni (1987), Khasa’is al-Tasyri‘ al-Islami Fi al-Siyasah Wa al-Hukm, Beirut, h. 189.
Muhammad Na‘im Yasin, Dr. (1992), Muzakkirah Fi al-Siyasah al-Syar‘iyyah, Amman: Jami‘ah Urduniyyah. 19
al-
20
Abd al-Wahab Khallaf (1988) al-Siyasah al-Syar‘iyyah fi al-Syu’un al-Dusturiyyah wa al-Kharijiyyah wa alMaliyyah. Kuwait: Dar al-Qalam Li Nasr wa al-Tawzi‘, h. 17. 21
‘Abd al-Rahman Taj (1415 H), al-Siyasah al-Syar‘iyyah Wa al-Fiqh al-Islami, Kaherah: al-Azhar, h. 12.
22
‘Abd al-Wahab Khallaf (1988), op. cit., h. 17.
17
23
Sistem politik Islam bermaksud peraturan–peraturan dasar dan kaedah-kaedah pelaksanaan yang menjadi garis panduan serta landasan para pemimpin dan kerajaan dalam menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negara yang melibatkan pelbagai sektor dan kementerian. 24
Untuk penjelasan sila lihat, Mustafa ‘Abdul Rahman (2005), Hadith 40, Terjemahan dan Syarahnya, Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, h. 427. 25
Dr. ‘Ayz al-Din Abdullah, al-Qanun al-Dawl al-Khas al-Misr, j. 1, h. 282.
26
Abd. Al-Karim Zaydan (1970), al-Madkhal Li Dirasat al-Shariah al-Islamiyyah, al-Ijtihad al-Islami alAlami li Munazzamat al-Tullabiyyah, t.tp., c. 2, h. 76.
27
Muhammad Abu Zahrah (t.t.), al-‘Alaqat al-Dawliyyah Fi al-Islam, Dar al-Fikr al-Arabi, t.tp., h. 30.
28
Dr. Abd. Al-Karim Zaydan (1976), Usul al-Dakwah, Jam'iyyat al-Amani, c. 3, h. 194.
29
Abu al-A’la al-Maududi (1984), Khilafah Dan Kerajaan. Bandung: Mizan, h. 73.
30
Mustafa al-Bugha (1990), Buhuth Fi Nizam al-Islam, Damsyik: Jaamiah Dimasq, c. 3, h. 271.
31
Yusuf al-Qardawi (2000), Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan (terj.). Selangor: Penerbitan Seribu Dinar, h. 84. 32
Ibid., h. 86.
Hadith Abu Sa‘id al-Khudri dikeluarkan oleh Abu Dawud dan al-Tirmidzi dan dinyatakan hasan oleh Ibn Majah. Sila rujuk takhrij hadith oleh Al-‘Iraqi dalam Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali (2001), Ihya’ ‘Ulum al-Din, j. 2. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, h. 282. 33
34
Dr. Wan Zahidi Wan Teh (2005), “Ciri-Ciri Sebuah Negara Islam” dalam Malaysia Sebagai sebuah Negara Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia, h. 111. 35
Ibid.
36
Isma‘il bin Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, j. 2. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabi, h. 588.
Al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad (2001), Ihya’ ‘Ulum al-Din. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, j. 2, h. 282. 37
38
Yusuf al-Qardawi, (1995), Fatwa Masa Kini, Zaidi Jalil et. al. (terj.). Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd., j. 8, h. 647.
18