BELASUNGKAWA Pendeta Dr. Muhammad Ariff Ahmad Hadijah Rahmat
[email protected] Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.
PERMATA NILAM MELAYU Tokoh persuratan tersohor Nusantara, Pendeta Dr. Haji Muhammad Ariff Ahmad atau nama penanya MAS telah meninggal dunia di Singapura pada usia 91 tahun pada 23 Mac 2016. Pemergian tokoh yang disayangi masyarakat ini amat mendukacitakan bangsa dan Alam Melayu, umumnya dan negara Singapura, khususnya. Almarhum Pendeta Dr. Muhammad Ariff Ahmad atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ariff adalah sebagai nara sumber atau tokoh yang sering dirujuk untuk mendapatkan penjelasan tentang pelbagai perkara, khususnya dalam hal yang berkaitan dengan bahasa dan budaya. Malah, almarhum dianggap sebagai “kamus bergerak” kerana keahlian almarhum memberikan maklumat dan penjelasan, serta menjawab masalah yang dikemukakan kepadanya secara spontan dan tuntas. Almarhum merupakan tokoh bahasa, sastera dan budaya Melayu yang tidak asing lagi di Nusantara, umumnya dan di Singapura, khususnya. Ramai yang sudah membaca hasil penanya yang tidak pernah kering sejak almarhum mula menulis dari tahun 1936 ketika berusia 12 tahun. Sejak awal penulisannya hingga akhir hayatnya, selama lebih kurang 80 tahun usia kepengarangannya, almarhum tidak henti-henti menulis. Almarhum amat gigih menulis dalam bidang bahasa, sastera, budaya, agama dan sosial. Karya almarhum tersiar dalam pelbagai media cetak, serta radio dan televisyen. Tinta pena MAS sentiasa aktif menitis seperti air sungai mengalir yang tiada hentinya, mengairi bumi tanah air dan Nusantara yang kekeringan, serta dahaga akan siraman sejuk budaya dan sentuhan ilmu, khususnya dari zaman selepas Perang Dunia Kedua, zaman 1950-an hinggalah zaman kemerdekaan daripada penjajahan British dan zaman awal pembangunan Singapura setelah berpisah dari 300
ulasan buku
Malaysia. Karya almarhum amat penting dikumpulkan dan dikaji kerana tulisannya merakamkan perkembangan jiwa Melayu baharu dan semangat zaman pascapenjajah yang penting untuk pembangunan orang Melayu di Nusantara, umumnya dan Singapura, khususnya. Lembaga Perpustakaan Negara Singapura telah menerbitkan Bibliografi Muhammad Ariff Ahmad (Juffri, 2012) yang menghimpunkan hasil karya almarhum dan penerbitan tentang almarhum, termasuklah buku, majalah dan juga artikel yang ditulis dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Dalam pengenalan buku bibliografi itu, sumbangan almarhum diibaratkan sebagai “Sungai budaya yang terus-menerus mengalir jernih” (Juffri, 2012:6). Pendidikan dan Kerjaya Almarhum dilahirkan pada 6 Disember 1924 di Singapura. Almarhum pernah belajar di Sekolah Melayu Tanglin Besar (1933‒1937), Sekolah Melayu Tanglin Tinggi (1938‒1940), Syonan Nippon Gakuen + Sihan Gakko (1943) dan Maktab Perguruan Sultan Idris, Malaya (1946‒1949). Almarhum memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (calon persendirian) (1965), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (calon persendirian) (1966), dan Sijil Perguruan SITC, Tanjung Malim, Malaya (1949). Selepas mengajar beberapa tahun, almarhum dilantik sebagai pensyarah di Maktab Latihan Perguruan (TTC) di Paterson Road, Singapura pada tahun 1959 sehinggalah bersara pada tahun 1979. Namun, khidmat kepakarannya diteruskan sebagai editor majalah MEKAR, Kementerian Pendidikan Singapura (1979‒1981); editor majalah WARITA, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) (1977‒1988); penulis khas Pelajaran Agama Islam (IRK), CDIS, Kementerian Pendidikan Singapura (1983‒1987); dan penulis khas ruangan “Bahasa dan Budaya Melayu”, “Nilai Melayu” dan “Serambi Warisan” dalam akhbar Berita Harian Singapura hingga akhir hayatnya. Sumbangan dalam Gerakan Persuratan Melayu Almarhum Pendeta Dr. Muhammad Ariff berperanan sebagai pencetus gagasan penubuhan persatuan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS’ 50). Pertemuan pertama 19 orang penulis yang menjadi pengasas ASAS’ 50 merupakan hasil usaha almarhum yang berlangsung di rumahnya di 24H Herdersen Road, Singapura pada 6 Ogos 1950. Almarhum menerajui ASAS’ 50 sebagai Setiausaha 1 (1950‒1981), Penasihat (1982‒1993) dan Ketua 1 (1994‒2001), serta menjadi anggota seumur hidup.
301
MELAYU: JURNAL ANTARABANGSA DUNIA MELAYU JILID 9 BIL.2 2016
Bahasa Jiwa Bangsa Almarhum Pendeta Dr. Muhammad Ariff merupakan salah seorang penggerak utama Kongres Persuratan Melayu se-Malaya pertama di Singapura pada tahun 1952, yang kedua di Seremban pada tahun 1954 dan ketiga di Johor Bahru dan Singapura pada tahun 1956. Almarhum ialah Setiausaha Panitia Kongres Persuratan Melayu se-Malaya (1951‒1953) dan Penolong Setiausaha Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Malaya (1956‒1957). Malah moto “Bahasa Jiwa Bangsa” yang popular hingga hari ini merupakan hasil saranan almarhum yang dicetuskan dan dipilih dalam Kongres Persuratan Melayu Ketiga. Karya MAS Almarhum menulis dalam genre bahasa, sastera, budaya dan agama. Selain nama pena MAS, almarhum juga dikenali dengan nama pena M. Arba (1940), P. L. Rajaudang (1940), M. Foerida (1943), Mas (1946), Mas Malaya (1947), Mas Tanjung Malim (1947), Mas Tomo (1947), S. P. 10 (1949) dan Minamoria (1984). Senarai karya almarhum amat panjang yang boleh dirujuk dalam bibliografi terbitan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) Singapura. Yang berikut adalah antara karya almarhum yang penting: Novel Sarah Pengarang Kecil (1957), Siapa Sangka (1958), Menangkap Perompak Minigang (1972), Pipi Kirinya Bercalar (1973), Mail Mau Kawin (1975) dan Syarifah (1998). Bahasa dan Kebudayaan Bahasa Negaraku (Buku Panduan Bahasa Kebangsaan 6 Siri, khas untuk pelajar bukan aliran Melayu) (1963), Bahasa Jiwa Bangsa (1990), Bicara tentang Adat dan Tradisi (1993), Memoir Muhammad Ariff Ahmad – Perjalanan MAS (2003), Mari Kita Berpantun (2004), Nilam – Nilai Melayu Menurut Adat (2007) dan Mutiara Bijaksana (2012). Puisi Jangan Tak Ada (1988), Sumbangsih – Puisi-puisi Pilihan (2013) dan Pantun M.A.S (2016). 302
ulasan buku
Setiap karya MAS sama ada untuk bacaan umum atau kanak-kanak mempunyai nilai keunikan yang tersendiri. Misalnya buku Sarah Pengarang Kecil dijadikan teks untuk subjek Bahasa Melayu untuk semua bangsa yang ingin belajar bahasa Melayu di Singapura. Buku ini amat terkenal dalam kalangan pelajar bukan Melayu. Almarhum bersama-sama Ustaz Syed Abdillah al-Jufri telah menghasilkan buku teks subjek Pengetahuan Islam untuk sekolah menengah di Singapura yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Singapura pada tahun 1984 dan 1985. Buku almarhum yang berjudul NILAM – Nilai Melayu Menurut Adat (2007) dianggap sebagai “adikarya” oleh Profesor Emeritus Dr. Hashim Musa (2013) dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Menurut almarhum, “Buku ini merupakan satu khazanah korpus ilmu yang boleh dikaji dari pelbagai sudut dan bidang, misalnya kesusasteraan, kebudayaan, falsafah, linguistik, sosiologi, antropologi, dan sebagainya. Almarhum tidak syak lagi merupakan permata nilam kesinambungan daripada tokoh besar bijak pandai Melayu, antaranya Pendeta Za‘ba (1896–1973) yang juga merupakan permata nilam kesinambungan daripada tokoh-tokoh besar Melayu silam sepanjang zaman, misalnya Tok Kenali (1869– 1933), Hamka (1908–1981), Syeikh Tahir Jalaluddin (1869–1957), Syed Syeikh al-Hadi (1867–1934), Raja Ali Haji (1809–1872), Abdullah Munsyi (1796–1854), Syeikh Daud al-Fatani (1740–1847), Syeikh Arshad al-Banjari (1710–1812), Syeikh Abdul Samad al-Falimbani (1704–1789), Syeikh Yusuf al-Makassari (1627–1699), Abdul Rauf al-Sinkili (1615–1673), Syeikh Nuruddin al-Raniri (meninggal dunia sekitar tahun 1658) dan Hamzah al-Fansuri (meninggal dunia sekitar tahun 1600). Tinta MAS Terus Mengalir Buku terakhir yang dihasilkan oleh almarhum ialah Pantun M.A.S – Dari Talibun Sehingga Bercorak Dialog yang ditulis pada usia langka 91 tahun pada tahun 2016. Sejumlah 70 buah pantun yang semuanya diketik dengan telefon bimbitnya kerana keadaan tubuhnya yang uzur menyukarkannya untuk duduk menaip pada komputer peribadi. Kumpulan pantun ini membuktikan bahawa sungai tinta almarhum terus mengalir murni tanpa henti, serta mengairi lembah seni dan budaya tanah air. Semangat dan cinta almarhum kepada bangsa dan negara terus utuh, perkasa dan tidak sedikit pun diluntur usia.
303
MELAYU: JURNAL ANTARABANGSA DUNIA MELAYU JILID 9 BIL.2 2016
Pengiktirafan Usaha rintis dan sumbangan besar memartabatkan bahasa dan sastera Melayu sejak sebelum kemerdekaan telah dihargai masyarakat bukan hanya di Singapura tetapi juga di Nusantara. Ketokohan almarhum telah diiktiraf oleh masyarakat dan negara Singapura melalui pelbagai anugerah seperti Jasawan Budaya daripada Majlis Pusat Pertubuhan Melayu Singapura (1984); Jasawan Guru daripada Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (1987); Pingat Budaya Kesusasteraan daripada Kementerian Kebudayaan dan Pembangunan Singapura 1987; Anugerah Jasa Cemerlang daripada Majlis Ugama Islam Singapura (1991); Anugerah Tun Sri Lanang daripada Majlis Bahasa Melayu Singapura (1993); Anugerah Pendeta daripada Majlis Pusat (1999); dan Bintang Bakti Masyarakat pada Hari Kebangsaan Singapura 2000. Almarhum juga dianugerahi SEA Write Award, Thailand (1993); Anugerah Suluh Budiman UPSI (2002); dan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan Melayu oleh UPSI (2006). Dana Endowmen Pengajian Melayu Dr. Muhammad Ariff Ahmad Universiti Teknologi Nanyang Singapura (NTU) telah mewujudkan Dana Endowmen Pengajian Melayu Dr. Muhammad Ariff (Dr. Muhammad Ariff Malay Studies Endowment) pada tahun 2012 sebagai penghormatan abadi kepada Almarhum yang telah berkhidmat dengan cemerlang sebagai pensyarah di Maktab Latihan Perguruan Singapura (TTC) (yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Nasional dan menjadi sebahagian daripada institusi NTU) selama 20 tahun dari 1 Jun 1959 hingga 9 September 1979. Pembentukan dana almarhum di NTU ini bertujuan membina sarjana dalam pengajian Melayu di Alam Melayu, umumnya dan di Singapura, khususnya. Tumpuan utama dana ini adalah untuk kegiatan yang membina kesarjanaan, serta melahirkan generasi baharu sebagai penggerak dan pejuang bahasa dan kebudayaan Melayu. Usaha ini juga diharap dapat meneruskan perjuangan yang diterokai oleh almarhum, serta menghidupkan semangat, jiwa dan cita-cita almarhum yang memajukan bahasa, budaya, agama dan masyarakat Melayu. Pengalaman dan Pelajaran daripada Almarhum Pendeta Saya mempunyai pengalaman peribadi dengan almarhum. Pengalaman ini istimewa dan penting kepada diri saya. Saya mengenali almarhum sejak lebih kurang 30 tahun lalu, iaitu pada tahun 1977 apabila saya menganggotai ASAS’ 50 yang diterajui 304
ulasan buku
oleh almarhum. Semasa bertugas di National Institute Education, Singapura (NIE), almarhum diundang mengendalikan kursus sambilan tentang kebudayaan dan memberikan beberapa ceramah tentang ASAS’ 50 pada awal tahun 1990-an melalui kegiatan Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Kementerian Pendidikan Singapura. Saya dapat menimba banyak pengalaman daripada almarhum. Satu perkara yang tidak pernah dan tidak akan saya lupa ialah pesanan almarhum semasa saya akan berangkat ke London bagi menyambung pengajian PhD pada tahun 1992. Selain mendoakan kejayaan saya, salah satu pesanan almarhum ialah “pengajian ukhrawi jangan diabaikan dan duniawi perlu diimbangi dengan ilmu agama”. Nasihat tersebut terkesan dijiwa sehingga saya berazam untuk mendalami al-Quran semasa pengajian PhD di London pada tahun 1992–1995. Oleh sebab itu, saya membawa sebuah tafsir al-Quran untuk diteliti bersama-sama pengajian PhD di London. Matlamat awal dwipengajian ini tidak dapat dilakukan kerana tekanan pengajian akademik, dan sebagainya. Namun, saya sentiasa ingat dan terus berusaha untuk mencapai keseimbangan ilmu hingga kini. Sebenarnya ada tiga perkara yang saya pelajari daripada almarhum selama ini. Pertama, dalam hidup, perlu ada keseimbangan ilmu dunia dan akhirat. Ilmu itu tidak semestinya digali di menara gading. Biarpun pendidikan universiti merupakan suatu yang asas dan penting tetapi belum menjamin seseorang itu menjadi seorang yang arif dan budiman, seorang pendidik, seorang pejuang bangsa dan obor aspirasi kepada masyarakat. Kedua, khidmat dan bakti kepada bangsa dan negara tidak terhenti apabila bersara. Perjuangan bahasa dan budaya merupakan perjuangan sepanjang hayat dan bukannya keperluan menyara hidup atau mengisi tuntutan perjawatan semata-mata. Berjuanglah untuk bahasa, budaya, agama dan negara yang dicintai selagi hidup. Ketiga, semangat perjuangan luar biasa almarhum kerana masih terus berbakti dalam keterbatasan fizikal hinggalah nafasnya yang terakhir. Pesanan Terakhir Almarhum Pendeta Saya mengatur dua orang guru muda untuk mewawancara almarhum untuk projek buku sambutan 50 tahun kemerdekaan Singapura, Yang Terukir. Hasilnya wawancara tersebut menghasilkan sebuah tulisan berjudul “Kata Pendeta: Dr. Muhammad Ariff Ahmad tentang Bahasa dan Persuratan Melayu” yang terkandung dalam buku Yang Terukir (2015:164–67). Renungilah pesanan akhir almarhum dalam wawancara tersebut:
305
MELAYU: JURNAL ANTARABANGSA DUNIA MELAYU JILID 9 BIL.2 2016
Kalau dalam soal bahasa, saya hendak supaya semua orang dapat menikmati bahasa. Kalau dia gunakan bahasa itu, dia tahu apa yang dia cakapkan. Bukan hanya macam burung Nuri - dia bertenggek, pandai bercerita sahaja. (Yang Terukir, 2015:167)
Sesungguhnya, amat “dalam” maksud pesanan almarhum untuk masyarakat Melayu yang kini sedang menghadapi cabaran melestarikan bahasa Melayu. Ternyata amat besar jasa almarhum dalam perkembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu. Benarlah, Almarhum Pendeta Dr. Muhammad Ariff Ahmad merupakan “Permata Nilam” yang bernilai bagi dunia Melayu. Kami akan mengingati pesananmu dan meneruskan perjuangan murnimu. Insya-Allah, semoga Allah menempatkanmu dalam kalangan mereka yang bertakwa, para syuhada, serta pejuang ilmu dan kebesaran-Mu. Amin. RUJUKAN Hadijah Rahmat et al., 2015. Yang Terukir – Bahasa dan Persuratan Melayu. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura. Hashim Musa, 2013. “NILAM – Penerapan Nilai Melayu dalam Pengajaran dan Pembelajaran: Retrospek dan Prospek”. Kertas kerja dalam Ceramah Temasik anjuran Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura. Bangunan Kelab Masyarakat Marine Parade, Singapura, 29 Jun 2013. https://www.facebook.com/Cikgu-Muhammad-Ariff-Ahmad-319712211390724/ Juffri Supa’at et al., 2012. Bibliografi Muhammad Ariff Ahmad. Singapura: Lembaga Perpustakaan Negara Singapura. Muhd. Ariff Ahmad, 2003. Perjalanan MAS – Memoir Muhd Ariff Ahmad. Singapura: ASAS’ 50. Muhd. Ariff Ahmad, 2007. NILAM – Nilai Melayu Menurut Adat. Singapura: Majlis Pusat Pertubuhan Budaya Melayu Singapura. Muhammad Ariff Ahmad, 2016. Pantun MAS – Dari Talibun Sehingga Bercorak Dialog. Singapura: Darul Andalus Pte. Ltd. Pusat Bahasa Melayu Singapura, 2014. Bicara Budiman – Dr. Muhammad Ariff Ahmad. Singapura: Pusat Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan Singapura.
306