Bab 2: Sekolah dan Proses Sosialisasi Hasil Pembelajaran Pada akhir bab ini, anda akan dapat: 1. Menerangkan maksud proses sosialisasi dan dimensi proses sosialisasi; 2. Memberi contoh proses sosialisasi di dalam dan di luar bilik darjah; 3. Menerangkan ciri-ciri proses sosialisasi di dalam dan di luar bilik darjah; 4. Mencadangkan aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk proses sosialisasi di dalam dan di luar bilik darjah; 5. Membezakan antara guru yang bersifat dominan dan guru yang bersifat integratif (bersepadu). Kata kunci: Proses sosialisasi, pematuhan tingkah laku, pematuhan moral, pematuhan budaya, sekolah elit, budaya bilik darjah, kurikulum tersirat, persahabatan, gender, saiz bilik darjah, luar bilik darjah, taman permainan, tingkah laku dominan, tingkah laku bersepadu Pengenalan Bab pertama telah memperkenalkan unsur-unsur sosiologi pendidikan, kepentingannya kepada masyarakat dan proses-proses pendidikan di sekolah. Bab ini pula akan mengkaji proses-proses pendidikan dari segi unsur-unsur sosialisasinya. 2.1 Proses sosialisasi dari sudut pandangan perbandingan dan sejarah Apakah yang dimaksudkan dengan proses sosialisasi? Proses sosialisasi merujuk kepada pemupukan bahasa, nilai-nilai, peraturan dan ilmu mengenai budaya asal seseorang. Melalui proses ini, kita akan mempelajari mengenai asalusul kita dan akan dapat membentuk identiti sosial. Oleh sebab kepentingannya ditentukan oleh masyarakat, proses sosialisasi telah menjadi salah satu daripada bahagian utam sistem persekolahan dan juga merupakan unsur yang penting dalam proses kehidupan kita. Kita diajar untuk mengsosialisasikan diri pada setiap peringkat kehidupan di mana kita akan mempelajari ilmu dan kemahiran sosial baru yang bersesuaian dengan peringkat umur kita. Setiap perkara yang dipelajari di setiap peringkat akan menjadi asas kepada proses sosialisasi pada peringkat seterusnya. Contohnya, pada peringkat sekolah rendah, kita akan belajar membaca, menulis dan mengira dan ini seterusnya akan menjadi asas kepada pembelajaran yang lebih rumit. Pada masa yang sama, si anak akan mempelajari proses sosialisasi primer, iaitu maklumat dan nilai-nilai asas masyarakatnya. Dalam erti kata lain, proses sosialisasinya tertumpu kepada keluarganya. Ketika ia membesar, ia akan mendalami proses sosialisasi sekunder, iaitu sintesis, kreativiti, logik, kawalan emosi dan maklumat lanjut. Dengan itu, proses sosialisasi kini diperluaskan merangkumi institusi, kelompok luar, organisasi dan seterusnya menyediakannya untuk menghadapi dunia luar.
Aktiviti 2.1 Apakah yang dimaksudkan dengan proses sosialisasi?
Dimensi Sosialisasi Untuk memahami proses sosialisasi dengan lebih lanjut, kita perlu memahami berbagai aspek yang dimaksudkan dengan istilah ini terlebih dahulu. Aspek pertama atau dimensi sosialisasi pertama ialah pematuhan tingkah laku. Sekiranya seorang pelajar mematuhi peraturan dan prosedur di sekolah, pelajar tersebut akan dianggap sebagai “baik”. Contohnya, sekolahsekolah menegakkan peraturan yang akan mengawal tingkah laku pelajar dalam bilik darjah. Para pelajar sedar bahawa mereka perlu mengangkat tangan sekiranya mereka ingin bertanya soalan atau menjawab soalan. Sekiranya tingkah laku pelajar tidak akur kepada peraturan ini, guru bertanggung jawab menggunakan pengaruhnya untuk mensosialisasikan pelajar supaya mereka belajar mematuhinya. Sehubungan dengan itu, sosialisasi melatih para pelajar supaya mematuhi kepada perlakuan moral yang diterima (pematuhan moral), iaitu perlakuan yang disifatkan sebagai “tindakan yang betul”. Para pelajar telah diterapkan dengan nilai-nilai moral seperti bercakap benar, keadilan, berusaha gigih dan sebagainya. Kurikulum persekolahan Malaysia menawarkan mata pelajaran seperti Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam dengan tujian memupuk nilainilai murni. Kesimpulannya, proses sosialisasi bertujuan untuk melatih para pelajar supaya mematuhi budaya iaitu proses pembudayaan. Apakah yang dimaksudkan dengan pematuhan budaya? Pematuhan budaya berlaku apabila anggota masyarakat menggabungkan norma-norma dan nilai-nilai daripada budaya lain ke dalam budaya mereka sendiri. Proses ini berlaku melalui perhubungan antara budaya dan peminjaman atau pengajukan norma budaya lain. Contohnya, bahasa Inggeris telah menjadi bahasa kedua Malaysia kerana zaman penjajahan British. Pematuhan budaya juga merujuk kepada pemerolehan kepercayaan atau perspektif tertentu. Contohnya, kita cenderung mengagungkan para pelajar yang berpencapaian tinggi berbanding dengan golongan yang berpencapaian rendah. Perkara ini mungkin berlaku kerana masyarakat kita lebih menekankan golongan yang berjaya cemerlang dalam peperiksaan kebangsaan. Dengan itu, kanak-kanak ini akan dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat awam apabila dewasa kelak. Ketiga-tiga pematuhan ini ditekankan di sekolah tetapi besar kemungkinan bahawa sekolahsekolah ini akan dapat memupuk ketiga-tiganya sekali. Contohnya, di akademi atau kolej pertahanan, para pelajar diwajibkan mematuhi peraturan ketenteraan. Sehubungan dengan itu, didapati bahawa sekolah-sekolah agama lebih menekankan pematuhan moral. Oleh hal yang demikian, sekolah-sekolah ini perlu memastikan bahawa pelajar-pelajar mereka dapat mencapai tahap minima ketiga jenis pematuhan ini. Di samping itu, sekolah-sekolah perlu menyedari bahawa proses sosialisasi berubah sentiasa mengikut aliran masa, terutamnya dari segi mesej yang disampaikan dan kaedah penyampaian. Perkara ini begitu nyata sekali jika gaya hidup kanak-kanak pada abad 1940an dan1950an dibandingkan dengan kanak-kanak sekarang.
Sekarang kita akan membandingkan perubahan proses sosialisasi yang berlaku sistem persekolahan apabila budaya persekitarannya berubah. Pada permulaannya, aktiviti-aktiviti perkampungan atau komuniti tersebut bersifat lembab dan santai; kurang penekanan terhadap ketiga-tiga dimensi sosialisasi. Kaedah persekolahan ini masih wujud di negara-negara yang kian membangun dengan lebih penekanan kepada budaya kekeluargaan dan perkampungan. Persekitaran bilik darjah dijalankan secara informal dan sekolah-sekolah tidak menekankan kedatangan para pelajar pencapaian para pelajar, dan sebagainya. Para guru juga tidak terlalu komited dalam pengajaran seharian. Senario ini jelas kelihatan dalam laporan yang ditulis oleh Nancy Hornberger pada 1987 apabila beliau melawat sekolah-sekolah di pedalaman negara Peru. Sepanjang jangka masa tujuh hari ini, kanak-kanak tersebut telah menghabiskan lebih kurang 50.5 jam di sekolah...30.5 jam telah dihabiskan [di luar bilik darjah] seperti berikut: 16.5 jam dihabiskan dengan waktu riadah, 4.5 jam dihabiskan dengan kesukanan, 3.5 jam dihabiskan menunggu ketika para dewasa sedang bermesyuarat, 3.5 jam di mana para guru tidak hadir ke sekolah dan 2.5 jam dihabiskan dengan beratur” (p. 211). Sebahagian daripada waktu di bilik darjah telah diperuntukkan untuk bergotong-royong membersihkan bilik darjah. Kemudiannya, apabila negara-negara ini menjadi lebih berindustri, corak sosialisasi berubah ke arah latihan tingkah laku dan pematuhan moral. Oleh sebab industriindustri bergantung kepada eksport, import dan perdagangan antarabangsa, pematuhan kebudayaan menjadi lebih penting selaras dengan keperluan untuk bersosialisasi dengan dunia luar. Ini merupakan persekitaran pada kurun ke-19 di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Britain di mana kanak-kanak diajar nilai-nilai yang mencerminkan budaya bermoral, iaitu bercakap benar, bersopan santun, berbudi bahasa, kasih sayang, berkerja keras, berusaha, berjimat cermat. Mereka juga diajar nilai-nilai yang berunsurkan patriotisme seperti keberanian ketika berperang, kepentingan mematuhi undang-undang dan penyertaan secara bertanggungj jawab dalam masyarakat berpolitik. Gelombang perubahan sosial ini telah meninggalkan dampak yang besar ke atas matlamat sosial dan amalan di sekolah-sekolah di seluruh dunia.
Apabila industri-industri ini telah berkembang, organisasi tersebut berubah ke arah birokrasi dan wujud peraturan dan rutin yang berfungsi untuk mengawal kegiatan seharian. Pada zaman ini, sekolah-sekolah telah berusaha untuk mendedahkan para pelajar kepada organisasi birokratik dan penggunaan massa dunia perindustrian.
Apabila negara-negara ini berkembang menjadi negara-negara perindustrian dan semakin berunsur kapitalis, sistem birokrasi mula mengambil alih. Perubahan ini bermaksud bahawa sekolah-sekolah di Amerika Syarikat dan kemudiannya Eropah dan dunia perindustrian secara keseluruhannya mula menyediakan para pelajar untuk dunia pekerjaan yang berunsurkan birokrasi dan kepenggunaan. Menurut sistem persekolahan baru ini, kaedahkaedah yang bersifat autoritarianisme tidak lagi menjadi pilihan utama dari segi kawalan. Sebaliknya, sekolah-sekolah kini merupakan tempat untuk pembelajaran dan penerokaan minda secara aktif. Guru-guru kini dipertanggungajawabkan untuk melengkapkan para pelajar mereka dengan kemahiran mental dan bukan sahaja membina karakter sepertimana
yang dilakukan sebelum ini. Perkembangan kognitif telah diperkenalkan ke dalam kurikulum kebanyakan sekolah-sekolah. Di samping itu, kesedaran kepelbagaian etnik juga telah membawa kepada peningkatan kepekaan terhadap isu-isu berunsurkan moral. Bidang-bidang tertentu seperti kejuruteraan dan teknikal mula diterima untuk menyediakan para pelajar untuk bidang-bidang perindustrian yang kian berkembang pada ketika itu.
Dengan perkembangan perindustrian, golongan elit telah muncul dan membentuk corak sosialisasi tersendiri dengan pandangan yang berbeza daripada golongan lain. Antara sekolah-sekolah elit di Malaysia ialah Sekolah Sri Inai, Sekolah Sri Cempaka dan antara sekolah elit yang paling terkenal di dunia ialah sekolah Eton di England.
Aktiviti 2.2 Terangkan pematuhan perlakuan, pematuhan moral dan pematuhan kebudayaan.
Ciri-ciri sekolah elit
Eton College di England, salah satu daripada sekolah paling elit di dunia
Oleh sebab yuran sekolah-sekolah ini seringkali lebih tinggi berbanding dengan sekolah lain, hanya keluarga-keluarga yang berpendapatan tinggi akan mampu mendaftar anak-anak mereka di sekolah-sekolah sebegini. Kanak-kanak ini akan membawa peradaban mereka tersendiri dapat dijadikan teladan oleh rakan-rakan sekelas mereka. Namun demikian, berkemungkinan besar yang kanak-kanak ini bersifat sombong kerana memandang rendah terhadap rakan sekelasnya. Ia mungkin hanya ingin berkawan dengan kanak-kanak yang dipercayai setaraf dengannya.
Proses sosialisasi di sekolah-sekolah elit turut mencerminkan aktiviti-aktiviti yang diamalkan oleh komuniti sebegini. Kebanyakan sekolah-sekolah swasta sebegini telah ditubuhkan oleh golongan atasan khususnya untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka. Contohnya, di negara ini, Kolej Melayu Kuala Kangsar telah ditubuhkan untuk anak-anak golongan DiRaja dan juga anak-anak dari keluarga ternama. Sehubungan dengan itu, sekolah-sekolah swasta tertentu di Amerika Syarikat dan England telah ditubuhkan khususnya bagi keluarga-keluarga berada di negara-negara tersebut, supaya anak-anak mereka akan dipisahkan daripada kanakkanak dari keluarga biasa. Sekolah-sekolah ini menerapkan nilai-nilai dan harapan komuniti mereka ke dalam kurikulum untuk menyediakan kanak-kanak ini untuk masa depan mereka sebagai bakal pentadbir negara. Contohnya, di Amerika Syarikat, sekolah-sekolah sebegini telah ditubuhkan di kawasan pedalaman negeri New England dan kurikulumnya menekankan kawalan kendiri yang tinggi, membuat berbagai tugas pada masa yang sama dan memberikan mereka ilmu dan kemahiran yang dapat digunakan pada masa depan serta menyediakan dan membiasakan mereka kepada kehidupan berstatus sosial tinggi (Brint, 1998). Di England pula, sekolah-sekolah swasta ditubuhkan di luar kawasan bandar London dan kurikulumnya direka untuk memenuhi permintaan pentadbiran kolonial pada era Empayar British. Penekanan khas telah diberikan kepada kecergasan fizikal untuk menyediakan mereka untuk medan peperangan. Sekolah paling ternama di England pula, Eton College, telah mencipta kurikulum khusus untuk aristokrasi British (McConnell, 1985), sementara Choate, Phillips-Andover, Groton dan Lawrenceville pula bermatlamat untuk memberikan persediaan rapi kepada para pelajar untuk memasuki universiti-universiti unggul. Di samping itu, Empayar British berhajat untuk menyebarkan agama Kristian ke semua negara di bawah naungannya. Dengan itu, unsur-unsur keagamaan turut disertakan di dalam kurikulum persekolahan. Sehubungan dengan itu, negara-negara Eropah lain telah melaksanakan kurikulum persekolahan yang hampir serupa. Di Jerman, sekolah-sekolahnya menekankan nilai-nilai bildungsbürgertum untuk memenuhi keperluan golongan pertengahan atasan. Di Perancis pula, grandes ecoles telah menjadi sebahagian daripada sistem persekolahan kebangsaan dengan tujuan mentransformasi golongan belianya menjadi tentera, ahli industri dan pentadbir yang ternama. Setiap perubahan dari segi sosialisasi akan turut memperlihatkan perubahan dari segi kurikulum persekolahan. Namun demikian, tidak semua perubahan ini dapat diaplikasi ke semua lapisan masyarakat di serata dunia. Contohnya, masyarakat Jepun mempercayai bahawa kanak-kanak mengalami dua peringkat dalam pertumbuhan mereka, iaitu peringkat kemurnian dan peringkat tanggung jawab. Pada peringkat awal kehidupannya, kanak-kanak akan mencuba dan mengkaji persekitarannya dan golongan dewasa dalam kehidupannya hendaklah memberikannya sokongan sepenuhnya. Lazimnya, kehidupan mereka pada tahap ini tidak berapa berdisiplin tetapi mereka akan lebih berdisiplin apabila mereka meningkat dewasa kelak. Proses sosialisasi juga berbeza antara sekolah rendah dan sekolah menengah. Di peringkat sekolah rendah, guru-guru perlu menggunakan pendekatan yang lebih berbentuk peribadi dalam mendidik kanak-kanak berbanding dengan guru-guru sekolah menengah. Namun demikian, guru-guru sekolah menengah seringkali memerlukan lebih pengkhususan untuk memenuhi keperluan para pelajar yang lebih matang serta masyarakat secara umumnya. Sehubungan dengan it, kita akan mendapati bahawa sekolah-sekolah tertentu mungkin akan mengamalkan unsur-unsur sosialisasi tertentu yang hanya wujud di sekolah-sekolah ini
sahaja. Contohnya, budaya di selatan negara Perancis membolehkan seorang kanak-kanak yang disayangi oleh guru-gurunya untuk bergerak dari kelas ke kelas untuk menerima pelukan daripada setiap guru. Namun demikian, tidak semua pelajar akan mendapat peluang ini kerana setiap guru memilik jangkaan tersendiri bagi setiap pelajar. Secara lazimnya, guruguru akan meluangkan lebih banyak waktu dengan pelajar yang kurang cemerlang. Golongan ibu bapa pula mungkin akan memastikan bahawa disiplin di sekolah tersebut dilaksanakan dengan seketat yang mungkin. Di samping persekitaran sekolah tersebut, ekonomi tempatan atau status sosio-ekonomi ibu bapa turut mewujudkan variasi antara kanak-kanak di sekolah. Contohnya, didapati bahawa sebahagian besar daripada golongan kelas pertengahan dan pertengahan atas di Amerika Syarikat cenderung mengamalkan birokrasi. Dengan itu, kaedah sosialisasi yang elit akan kekal diamalkan di sekolah-sekolah swasta dan berasrama. Sebaliknya, di kawasan-kawasan yang lebih miskin, misalnya komuniti pendatang asing dan Hispanik, kaedah sosialisasi komunal atau perkampungan masih diamalkan. Di kalangan masyarakat perindustrian, pematuhan perlakuan seringkali lebih dipentingkan, di mana tingkah laku kanak-kanak akan dipantau kerana dijangka bahawa mereka akan mematuhi peraturan. Di persekitaran sebegini, sekolah-sekolah akan lebih tertumpu kepada penghafalan kerana para pelajar diberi tugasan yang tidak mencabar. Golongan ibu bapa pula memiliki sudut pandangan yang berbeza mengenai persekolahan kerana telah disosialisasi dari aspek kelas sosial. Contohnya, ibu bapa dari kelas pertengahan atasan mempercayai bahawa sekolah-sekolah patut menekankan tugasan yang berunsur kreatif dan berarahkan kendiri. Ibu bapa dari kelas pekerja pula lebih cenderung memberi penekanan kepada aspek disiplin dan pemantauan dari para guru ke atas anak-anak mereka. Sepertimana yang dapat dilihat, persekitaran sosialisasi sekolah dipentingkan di semua komuniti di seluruh dunia. Namun demikian, negara-negara ini mungkin memiliki corak yang berbeza tetapi secara umumnya dapat dikatakan bahawa setiap sekolah akan mengamalkan salah satu daripada tiga dimensi sosialisasi yang telah dibincangkan. Dengan itu, corak-corak sosialisasi tidak bersifat statik tetapi sebaliknya sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Sepertimana yang telah dibincangkan sebelum ini, setiap negara telah bermula dengan corak sosialisasi perkampungan yang bersifat bebas. Apabila negaranegara ini memasuki era perindustrian, sekolah-sekolahnya lebih cenderung kepada kawalan tingkah laku dan pematuhan moral. Perubahan ini dapat dilihat apabila industri-industri besar ditubuhkan untuk memenuhi permintaan pekerjaan yang kian meningkat. Kini, masyarakat yang memiliki status sosio-ekonomi yang tinggi telah berubah dari sistem perindustrian ke sistem birokrasi. Ini telah menyebabkan sekolah-sekolah mengubah corak sosialisasi mereka untuk menepati keperluan dunia luar. Aktiviti 2.3 Jelaskan ciri-ciri sekolah-sekolah elit.
2.2 Sosialisasi di dalam bilik darjah
Salah satu daripada fungsi persekolahan ialah sosialisasi. Sepertimana yang telah dibincangkan sebelum ini, sekolah-sekolah cenderung mencipta kurikulum supaya selaras dengan jangkaan masyarakat mengenai perkara-perkara yang patut diajar kepada golongan muda. Kebudayaan Bilik Darjah Jackson (1968, m.s. 10) telah menjelaskan bahawa sebuah bilik darjah ialah situasi “satu guru-ramai pelajar”, di mana para pelajar ini diletakkan berdekatan antara satu sama lain (bilik darjah) dan si guru (individu utama) ditugaskan untuk mengawal mereka melalui kaedah-kaedah disiplin. Untuk memahami perhubungan yang terlibat dalam sosialisasi bilik darjah, anda perlu memahami kepentingan persekitaran bilik darjah. Budaya bilik darjah terdiri daripada rutin tertentu yang ditetapkan oleh para guru ke atas para pelajar. Rutin-rutin ini terdiri daripada peraturan bilik darjah dan sekolah yang telah digubal bagi tujuan mendisiplinkan para pelajar dan untuk memupuk perlakuan, kepercayaan dan halatuju yang ditetapkan oleh sekolah tersebut. Para pelajar bebas berinteraksi selagi tidak melanggar peraturan ini. Namun demikian, sekiranya mereka melanggar peraturan-peraturan ini, contohnya dengan meniru ketika peperiksaan, mengganggu ketenteraman bilik darjah dan sebagainya, hukuman yang akan dikenakan akan turut ditetapkan berdasarkan peraturan ini. Boleh dikatakan bahawa peraturan ini merupakan sebahagian besar daripada sistem birokrasi sekolah yang menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Peraturan sosialisasi berbeza mengikut masyarakat. Misalnya, Amerika Syarikat lebih mementingkan peraturan pada peringkat sekolah rendah dan setelah para pelajar telah menyesuaikan diri kepada peraturan-peraturan ini, penekanan terhadapnya semakin berkurangan sehingga mereka memasuki sekolah menengah. Amalan ini biasa diamalkan di
negara-negara maju. Namun demikian, perkara ini berbeza mengikut budaya. Walaupun Jepun merupakan sebuah negara maju, pematuhan kepada peraturan ditekankan di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Di negara membangun pula, peraturan dan pematuhan kepada peraturan ini diberi penekanan yang berat di kedua-dua peringkat. Rutin yang telah diterapkan ini bukan merupakan sebahagian daripada kurikulum formal tetapi sebaliknya bersifat informal. Ia juga dikenali sebagai kurikulum tersirat.
Aktiviti 2.4 Terangkan aspek-aspek budaya bilik darjah.
Apakah yang dimaksudkan dengan kurikulum tersirat? Kurikulum tersirat merujuk kepada proses-proses utama yang menetapkan proses interaksi atau sosialisasi. Contohnya, beratur, membuat kerja sendiri dalam bilik darjah tanpa berbincang dengan rakan, menurut perintah yang diberi oleh guru, melakukan kerha berkumpulan dan menjaga kebersihan bilik darjah. Kadangkala, ia mungkin timbul melalui mesej yang disampaikan oleh guru secara verbal atau tidak verbal, contohnya jangkaan, tingkah laku dan perhubungan kuasa. Interaksi ini mungkin berlaku antara guru-murid atau murid-murid. Apakah jenis-jenis interaksi yang berlaku dalam bilik darjah? 1. Interaksi yang berlaku dalam persekitaran bilik darjah bergantung kepada stail mengajar guru tersebut. Interaksi antara guru-murid dan murid-murid akan mempengaruhi suasana bilik darjah. Dalam masa 40 minit, mungkin hampir beratus interaksi akan berlaku. Interaksi ini mungkin bersifat verbal atau tidak verbal, contohnya riak muka, tona suara, pergerakan tangan atau pergerakan fizikal. Kesemua interaksi ini mampu mempengaruhi suasana bilik darjah. 2. Menurut seorang ahli sosiologi bernama Bernstein (1996), interaksi dalam bilik darjah memiliki “kod” tersendiri dan ia mampu mempengaruhi peraturan bilik darjah, amalan dan juga dapat mempengaruhi perhubungan kuasa antara guru dan murid. Aspek-aspek seperti kurikulum dan pedagogi juga termasuk dalam kod ini. Kurikulum merujuk kepada maklumat yang telah disusun atau distruktur manakala pedagogi merujuk kepada kaedah penyampai maklumat ini. 3. Melalui interaksi antara guru (penyampai) dan para pelajar (penerima), maklumat disampaikan melalui kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru tersebut. Dalam erti kata lain, guru dapat mengawal cara maklumat ini disampaikan, termasuklah bahan pengajaran, kemahiran yang akan diterapkan, sebanyak mana maklumat akan disampaikan dan cara penerimaannya (Bernstein, 1990). Misalnya, Kalekin-Fishman (1991) mendapati bahawa corak “kebisingan” dalam tadika-tadika di Jerman dan Israel berpunca daripada halatuju dan struktur bilik darjah. Didapati bahawa guru-guru yang mengamalkan stail pengajaran yang bersifat autoritarianisme lebih berjaya dalam mengawal tahap kebisingan bilik darjah kerana para pelajar hanya dibenarkan bercakap pada waktu-waktu tertentu sahaja. Stail ini lebih bersesuaian untuk kanak-kanak yang berasal dari keluarga-keluarga kelas pekerja. Namun
demikian, jika guru menganggap dirinya sebagai seorang fasilitator, para pelajarnya akan diberi lebih banyak kebebasan untuk bercakap dan mereka akan kurang dikawal. Dengan itu, jelas kelihatan bahawa pendekatan berbeza dalam mengawal para pelajar mendatangkan hasi yang berbeza ke atas interaksi dalam bilik darjah dan ini seterusnya akan mempengaruhi proses sosialisasi bilik darjah tersebut. 4. Di samping interaksi guru-murid, interaksi murid-murid juga mampu mempengaruhi suasana bilik darjah. Bagaimanakah sosialisasi murid-murid diperkembangkan? Antara norma-norma utama budaya bilik darjah tradisional ialah penetapan tempat duduk para pelajar oleh guru. Ini bermaksud bahawa bahawa para pelajar tidak dapat memilih tempat duduk mereka. Dengan ini, para pelajar akan dipaksa berinteraksi dengan pelajar lain yang duduk berdekatan dengan mereka. Lama-kelamaan, pelajar-pelahar ini akan mula menghabiskan masa bersama di kantin dan selepas tamat waktu sekolah, walaupun mereka tidak lagi dipaksa berinteraksi. Persahabatan ini akan menjadi sebahagian yang penting dalam pengalaman pembelajaran informal mereka.
Aktiviti 2.5 Terangkan kepentingan kurikulum tersirat.
Persahabatan
Sumber gambar: www.pkpim.org.my
Sosialisasi persahabatan antara pelajar berbeza berdasarkan persekitaran bilik darjah, iaitu sama ada bilik darjah tersebut merupakan bilik darjah tradisional atau terbuka. Kajian menunjukkan bahawa bilik darjah yang tersusun secara demokratik akan mampu mempengaruhi perkembangan afektif atau emosional pelajar (Grubaugh & Houston, 1990). Bilik darjah yang tersusun secara afektif akan meningkatkan interaksi dan aktiviti bersama serta memberi peluang kepada setiap pelajar untuk menjadi popular. Dengan itu,
berkemungkinan besar bahawa setiap pelajar akan dapat cemerlang. Bilik darjah yang bersifat terbuka akan memupuk persahabatan jangka masa panjang antara ramai pelajar. Apabila bilik darjah terbuka dan bilik darjah tradisional dibandingkan, didapati bahawa sebahagian besar daripada pelajar dalam bilik darjah terbuka tidak cenderung memiliki ramai kawan rapat tetapi lebih cenderung memiliki ramai rakan secara umumnya. Sebaliknya, pelajara dalam bilik darjah tradisional berpeluang berkawan dengan pelajar lain yang duduk berhampiran dengan mereka. Di manakah persahabatan bermula? Persahabatan bermula pada peringkat pra-sekolah lagi. Di sini, kanak-kanak akan berinteraksi dengan dunia luar buat pertama kali. Zaman pra-sekolah dipenuhi dengan masa riadah dan pembelajaran secara informal di mana wujud berbagai peluang untuk mereka berkawan. Proses sosialisasi bermula di sini dan akan berkembang apabila mereka membesar. Kanakkanak yang dapat berinteraksi dengan rakan sekelasnya dengan baik akan selalunya popular. Ini akan sedikit sebanyak mempengaruhi pertumbuhan sosio-emosional kanak-kanak tersebut. Kemahiran bersosialisasi menjadi lebih penting apabila kanak-kanak tersebut membesar menjadi remaja. Pada peringkat ini, golongan remaja menganggap bahawa persahabatan merupakan sebahagian besar daripada kehidupan mereka. Mereka menganggap bahawa rakan sebaya dan kawan rapat mereka merupakan tempat mengadu, pemberi nasihat dan sebagainya. Dengan itu, golongan remaja cenderung mementingkan rakan-rakan mereka berbanding dengan ibu bapa mreka kerana mereka menganggap bahawa kesetiaan dan ketaatan penting kepada suatu persahabatan. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa proses sosialisasi memainkan peranan penting dalam memupuk persahabatan dalam bilik darjah.
Aktiviti 2.6 Adakah persahabatan penting dalam kehidupan seorang kanakkanak? Jelaskan.
Adakah gender mempengaruhi cara seorang pelajar bersosialisasi? Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara cara pelajar lelaki dan perempuan bersosial. Sebuah kajian yang dijalankan oleh Corsaro dan Eder (1990) melaporkan bahawa kanak-kanak perempuan secara lazimnya lebih cenderung memiliki kawan rapat dan lebih bersifat terbuka kerana gemar berkongsi rahsia dan masalah sesama mereka. Sebaliknya, kanak-kanak lelaki kurang cenderung memiliki kawan rapat tetapi lebih cenderung membina persahabatan berdasarkan minat yang sama, terutamanya dalam bidang kesukanan. Oleh sebab perbezaan yang wujud dalam kaedah sosialisasi, kanakkanak lelaki akan selalunya menjadi berdasarkan faktor keupayaan kesukanan mereka, kecekalan dan keupayaan mereka dari segi perhubungan antara gender. Kanak-kanak perempuan pula lebih cenderung menjadi popular berdasarkan faktor status sosio-ekonomi ibu bapa mereka, rupa paras mereka, kemahiran sosial mereka serta pencapaian akademik mereka (Adler, Kless & Adler, 1992). Sehubungan dengan itu, didapati bahawa kanak-kanak perempuan yang popular jarang bersosial dengan golongan yang berasal daripada status
sosial yang lebih rendah dari mereka. Kanak-kanak lelaki pula lebih cenderung berlagak dengan agresif dan kurang sensitif dalam menghadapi tekanan untuk memperoleh kecemerlangan (Edler et al., 1995). Apakah faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada corak sosialisasi para pelajar? 1. Struktur organisasi sekolah mungkin memainkan peranan yang penting dalam corak sosialisasi para pelajarnya. Contohnya, pembahagian para pelajar mengikut pencapaian akademik mungkin akan bermaksud bahawa pelajar-pelajar yang berprestasi tinggi tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan para pelajar yang berprestasi rendah. Sehubungan dengan itu, pembahagian para pelajar mengikut kumpulan etnik mungkin akan mengurangkan peluang untuk mereka bersosial dengan kumpulan etnik lain. Perhubungan antara etnik pada zaman kanak-kanak akan menyediakan mereka untuk dunia pekerjaan. Oleh itu, para guru seharusnya memberatkan aspek ini dalam mengatur agenda sosialisasinya di samping memastikan bahawa persekitaran bilik darjah berada dalam keadaan optima. Ini dapat dilakukan dengan menyusun semula tempat duduk para pelajar selang beberapa minggu supaya mereka berpeluang untuk bersosialisasi dengan semua pelajar dalam kelas.
2. Susunan tempat duduk dan keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah juga mampu mempengaruhi sosialisasi para pelajar. Kebanyakan bilik darjah disusun supaya guru berdiri di depan dan para pelajar duduk menghadapinya. Ini merupakan kedudukan yang agak strategik bagi pihak guru kerana ia akan dapat memperhatikan aktiviti dan tingkah laku para pelajar.
3. Susun tempat duduk para pelajar juga mungkin akan menyebabkan corak sosialisasi mereka. Pelajar-pelajar yang duduk di hadapan bilik darjah lebih berpeluang untuk menyertai aktiviti kelas berbanding dengan para pelajar yang duduk di belakang. Kedudukan mereka di hadapan bilik darjah bermaksud bahawa mereka akan di beri perhatian yang lebih oleh guru dan rakan sekelas mereka. Beberapa kajian menunjukkan bahawa para guru lebih mengemari pelajar-pelajar yang duduk di hadapan bilik darjah dan tidak cenderung menghukumi mereka sekiranya mereka melakukan kesalahan. Pada peringkat kolej atau universiti pula, pelajarpelajar yang duduk di hadapan bilik darjah selalunya lebih cerdik dan lebih berkeinginan untuk memperoleh pencapaian yang baik. Mereka juga lebih menyukai para pensyarah mereka kerana mereka dapat mendengar dan melihatnya dengan lebih baik. Ini pula akan membolehkan para pelajar melibatkan diri dalam proses pembelajaran dengan lebih baik. Namun demikian, sesetengah pelajar akan memilih tempat duduk dalam bilik darjah atau bilik kuliah kerana tidak ingin diperhatikan oleh guru atau pensyarah mereka. 4. Saiz bilik darjah juga dapat mempengaruhi corak sosialisasi para pelajar. Contohnya, saiz kelas yang lebih kecil bermakna yang guru akan dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelajarnya dengan lebih rapat. Para guru juga didapati kurang cenderung menekankan disiplin atau kawalan bilik darjah sekiranya bilangan pelajarnya kecil. Secara keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa saiz kelas yang kecil membawa kepada persekitaran bilik darjah yang lebih positif dan membolehkan interaksi antara kumpulan kecil berlaku. Dengan itu, para pelajar akan lebih berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti persekolahan dan ini seterusnya akan mewujudkan interaksi informal dengan antara para guru, pentadbir dan pelajar. Sebaliknya, sekolah-sekolah yang memiliki ramai pelajar mungkin akan mewujudkan jarak antara para guru dan para pelajar dan ini seterusnya akan mengurangkan sosialisasi antara mereka kerana peluang untuk para pelajar berinteraksi dengan para guru secara efektif akan berkurangan.
Aktiviti 2.7 Terdapat empat faktor utama yang mempengaruhi corak sosialisasi para pelajar. Jelaskan pengaruh setiap faktor.
Bagaimanakah kita dapat melibatkan para pelajar supaya mereka dapat bersosialisasi dalam bilik darjah? Jika kita melihat bilik darjah sebagai tempat untuk para pelajar bersosial, kita sepatutnya membenarkan mereka meluahkan pendapat mereka mengenai perkara-perkara yang melibatkan mereka. Contohnya, a. Para pelajar sepatutnya terlibat dalam penggubalan peraturan bilik darjah; b. Tugas-tugas bilik darjah sepatutnya diubah mengikut perbincangan ketika mesyuarat bilik darjah c. Setiap warga sekolah bertanggung jawab ke atas kebajikan para pelajar dalam bilik darjah, termasuklah para pengawas dan ketua kelas d. Para guru tidak seharusnya terlalu melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah atau mengawalnya dengan ketat; ini akan membenarkan para pelajar meluahkan perasaan mereka dan belajar cara mengorganisasi. Para guru boleh memberikan
pelajar tanggung jawab atau tugas yang tertentu, contohnya mengorganisasi lawatan sambil belajar ke muzium. e. Para guru seharusnya memastikan bahawa perhubungan yang rapat antara para pelajar dalam bilik darjah melangkaui batasan umur, etnik atau pencapaian akademik f. Para guru seharusnya menggalakkan para pelajar supaya mereka berkongsi pengalaman mereka yang berkaitan dengan kerja sekolah mereka, sama ada pengalaman di luar dan di dalam sekolah g. Mendidik anak-anak supaya mereka meluahkan penghargaan mereka terhadap usaha orang lain. Dengan itu, kita seharusnya membolehkan proses sosialisasi berlaku secara berperingkat supaya mereka dapat mempelajari mengenai masyarakat orang dewasa secara perlahan-lahan. Cara ini akan membenarkan mereka mengecapi kebebasan serta tanggung jawab sambil mereka membesar. Menurut John Dewey, “Satu-satu caranya untuk menyediakan diri untuk kehidupan bersosial adalah dengan melibatkan diri dengan kehidupan bersosial” dan bilik darjah merupakan lokasi yang ideal untuknya. Pendapat ahli-ahli teori mengenai sosialisasi Sekarang kita akan menganalisa pendapat para ahli teori mengenai sosialisasi dalam bilik darjah. Penyokong teori fungsionalis berhujah bahawa sosialisasi dalam bilik darjah merupakan langkah yang penting kerana ia dapat menyediakan kanak-kanak untuk peranan mereka dalam masyarakat kelak. Proses sosialisasi bermula dari peringkat sekolah rendah lagi dan berlanjutan sehingga peringkat sekolah menengah. Melalui proses ini, kanak-kanak akan dididik mengenai pematuhan, bekerja sama, jangkaan masyarakat serta peranan mereka dalam kesemua aspek ini dalam memastikan sistem persekolahan dapat berjalan dengan lancar. Keupayaan mereka untuk disosialisasi mengikut aspek-aspek ini serta keupayaan mereka untuk bekerja sama dengan orang dewasa dalam konteks sekolah akan menjadi kriteria dalam “pemilihan” pelajar. Penyokong teori konflik pula berpendapat bahawa wujud konflik antara pekerja-pekerja di sekolah, iaitu golongan orang dewasa yang dominan, dan para pelajar yang dipaksa dan dikawal melalui berbagai cara. Konflik ini disifatkan sebagai “peperangan” yang wujud antara kedua-dua pihak. Para guru bertanggung jawab untuk menyediakan jadual waktu, memulakan perbincangan dan menetapkan peraturan bilik darjah. Oleh hal yang demikian, aktiviti seharian dalam sekolah akan mencerminkan budaya dominan yang diamalkan oleh para pelajar. Keupayaan kanak-kanak untuk bersosialisasi dalam bilik darjah bergantung kepada betapa dominannya guru tersebut serta budaya yang diterapkan ke dalam para pelajarnya. Penyokong teori interaksionis pula berpendapat bahawa setiap pelajar mempunyai tanggapan sendiri mengenai bilik darjah. Sudut pandangannya dan cara ia bertindak balas kepadanya bergantung berbeza dari pelajar ke pelajar. Perbezaan ini dipengaruhi oleh latar belakang budayanya dan konflik antara guru dan pelajar tersebut. Contohnya, para pelajar dapat dilabel sebagai singa, gajah atau kerbau. Label-label ini akan meninggalkan kesan ke atas emosi kanak-kanak tersebut, di mana ia akan berkelakuan selaras dengan label yang diberikan. Kanak-kanak yang dilabel sebagai “singa” mungkin bertanggapan bahawa ianya lebih positif berbanding dengan label-label lain. Para guru juga mungkin lebih cenderung berinteraksi dengan positif dengan kanak-kanak yang dilabel singa berbanding dengan label-label lain. Persepsi yang berbeza ini berkait rapat dengan kelas sosial para pelajar di mana golongan yang dilabel “singa” berasal dari kelas sosial yang lebih tinggi berbanding dengan label-label
lain. Oleh itu, para guru lebih cenderung berfokus kepada golongan pelajar ini berbanding dengan pelajar ini dan ini menyebabkan mereka lebih berinteraksi dengan guru mereka. Sebaliknya, golongan yang lain pula mungkin berpendapat bahawa guru-guru mereka jarang berinteraksi dengan mereka. Aktiviti 2.8 Jelaskan perspektif teori fungsional, konflik dan interaksionis mengenai proses sosialisasi para pelajar dalam bilik darjah?
2.3 Sosialisasi di luar bilik darjah
Sumber gambar: smkcmyusuf.blogspot.com
Kita telah membincangkan sosialisasi dalam bilik darjah. Namun demikian, sosialisasi juga berlaku di luar bilik darjah. Para pelajar masih berinteraksi sesama mereka di luar bilik darjah, misalnya di kantin atau di taman permainan. Walaupun masa yang dihabiskan di luar bilik darjah tidak sebanyak masa yang dihabiskan di bilik darjah, interaksi dan sosialisasi yang berlaku pada ketika-ketika ini masih penting. Taman Permainan Taman permainan merupakan tempat yang penting untuk bersosial kerana ia merupakan persekitaran yang informal untuk membina persahabatan. Aktiviti yang berlaku di luar bilik darjah dapat menyediakan para pelajar untuk dunia orang dewasa kerana mereka akan mempelajari mengenai harga diri dan kawalan diri sesama rakan. Kebanyakan sekolah membenarkan para pelajar mereka meninggalkan bilik darjah ketika waktu rehat dan ini akan membolehkan mereka bersosial dengan pelajar-pelajar lain.
Mengapakah taman permainan sekolah penting kepada proses sosialisasi kanak-kanak? Apabila para pelajar berada di taman permainan mereka berjauhan dari orang dewasa. Mereka akan dapat berseorangan dan para orang dewasa hanya memerhatikan mereka sahaja untuk memastikan mereka berkelakuan baik. Ini akan membolehkan kanak-kanak berkongsi pengalaman dan memilih rakan sepermainan mereka tanpa penglibatan orang dewasa. Mereka lebih cenderung memilih sahabat yang sebaya dengan mereka dan tidak semestinya berkawan dengan jiran atau saudara mereka. Interaksi antara rakan sebaya dapat mengurangkan jurang sosial yang wujud antara kanak-kanak. Namun demikian, sekiranya mereka berinteraksi dengan kanak-kanak pelbagai umur, mereka akan dapat mengenali mereka serta membina perhubungan baru. Kepelbagaian dalam interaksi sosial akan membantu kanak-kanak memahami masalah-masalah yang dihadapi dalam perhubungan sosial serta cara-cara menanganinya. Sumber gambar: drzubaidi.com
Oleh itu, kanak-kanak yang tidak berapa berpengalaman dalam bersosialisasi di luar bilik darjah mungkin akan kurang bersedia untuk menghadapi zaman dewasa. Aktiviti dan amalan di taman permainan akan mendidik mereka mengenai cara bersosialisasi, berkawan, menangani kaki buli, gosip dan sebagainya kerana mereka akan turut berdepan dengan masalah ini apabila dewasa kelak. Di taman permainan, mereka akan mempelajari mengenai pelbagai tingkah laku yang akan membantu mereka dalam menghakimi perlakuan orang lain. Berikut merupakan contoh perkara-perkara yang mungkin dihadapi di taman permainan:
Menangani orang yang bersifat agresif; Tindakan yang sepatutnya diambil apabila kawan sendiri bertingkah laku buruk; Memahami bahawa mengaku kalah tidak semestinya bermaksud yang dirinya sedang dibuli; Membezakan antara maklumat peribadi yang patut dikongsi dan dirahsiakan; Cara paling efektif untuk berkawan; Memahami bila ia seharusnya bercakap dan bila ia seharusnya mendengar sahaja.
Dengan menghadapi masalah-masalah ini pada umur yang muda, berkemungkinan besar bahawa mereka akan dapat menangani masalah-masalah ini dengan bijak apabila dewasa kelak. Oleh itu, para ahli sosiologi berpendapat bahawa pengalaman di luar bilik darjah merupakan faktor sosialisasi utama dalam kehidupan kanak-kanak di samping interaksi dalam bilik darjah. Jenis-jenis sosialisasi yang berlaku di taman permainan Boleh dikatakan bahawa sosialisasi yang berlaku antara kanak-kanak lelaki dan perempuan agak berbeza, baik di luar atau di dalam bilik darjah. Contohnya, pada zaman sekolah rendah,
kanak-kanak lelaki lebih cergas dan lebih cenderung mengawal kawasan permainan dan mencerobohi kawasan permainan kanak-kanak perempuan. Dengan ini, boleh dikatakan bahawa taman permainan merupakan arena bersosialisasi melalui sikap agresif, di mana kanak-kanak dapat membina persahabatan baru dan memutuskan persahabatan lama, belajar menggunakan bahasa kasar untuk melindungi diri dari kaki buli serta membina identiti baru.
Aktiviti 2.9 Apakah sumbangan taman permainan terhadap sosialisasi kanakkanak?
Tugas-tugas di luar bilik darjah Sumber gambar: tksdsmpt11nkpwk.wordpre ss.com
Sekolah-sekolah sering merancang tugas-tugas luar bilik darjah, contohnya membenarkan para pengawas bertugas pada waktu rehat serta menggalakkan pelajarpelajar mereka supaya melibatkan diri dalam komuniti sekolah dan tidak mengehadkan diri kepada bilik darjah mereka sahaja. Antara tugas-tugas yang diberi kepada para pengawas termasuk membunyikan loceng pada permulaan dan penghujung waktu persekolahan dan menunggu di pintu pagar sekolah untuk menutupnya apabila loceng berbunyi pada 7:40 pagi dan membukanya pada 2:00 petang. Selain itu, para pelajar juga dipertanggungjawabkan dengan tugas yang lebih berat, contohnya menguruskan kedai buku sekolah, menjaga bengkel basikal serta bertugas di perpustakaan sekolah dan makmal. Dengan menjalankan tugas-tugas ini, para pelajar akan berinteraksi dan pada masa yang sama belajar untuk menjadi anggota masyarakat yang berguna. Tanggung jawab yang paling berat sekali adalah menjaga para pelajar dan para pengawas dipertanggungjawabkan dengan tugas ini. Di samping itu, terdapat juga tugas-tugas lain seperti menjadi ketua rumah sukan, olahraga dan pasukan-pasukan sukan lain. Dengan ini, jelaslah bahawa sosialisasi merupakan aspek yang penting dalam perkembangan kanak-kanak. Sebagai guru, kita perlu meneliti tingkah laku kita terhadap pelajar. Adakah kita memiliki tingkah laku yang dominan atau integratif (bersepadu)?
Tingkah laku dominan merujuk kepada kaedah autokratif yang digunakan untuk menangani para pelajar di mana guru akan mengawal tingkah laku para pelajar. Guru-guru yang dominan memiliki sifat-sifat berikut: Berpendapat bahawa ia lebih tahu dari orang lain; Memastikan bahawa para pelajar bekelakuan mengikut kehendaknya sendiri tanpa mengambil kira pengalaman, keinginan atau pendapat para pelajar; Membuat keputusan sendiri tanpa membenarkan penglibatan para pelajar walaupun keputusan tersebut mungkin akan mendatangkan kesan kepada mereka; Cenderung mengugut dan menyalahkan pihak lain; Cenderung mengarah orang lain; dan Berkelakuan secara agresif apabila para pelajar tidak mematuhi arahannya. Guru-guru yang berkelakuan begini cenderung menghasut pihak lain, baik secara tersurat atau tersirat dan membawa kepada keadaan yang agak berkonflik. Seorang guru yang bersifat integratif pula memiliki ciri-ciri berikut: Dapat bekerjasama dengan para pelajarnya; Menghargai nilai pengalaman para pelajarnya; Sanggup bekerjasama dan menyesuaikan matlamatnya demi kepentingan pelajarnya; Sentiasa bertanyakan pendapat para pelajar mengenai perkara-perkara yang mungkin melibatkan mereka; Memuji para pelajar apabila mereka berkelakuan baik atau memberi idea yang baik; Dapat berkongsi tanggung jawab dengan pelajarnya; Tidak menyalahkan pihak lain; Meminta para pelajar melakukan sesuatu dan tidak mengarah mereka; Dapat menerima ketidaksefahaman dengan para pelajar. Dengan ini, boleh dikatakan bahawa guru integratif bersifat fleksibel, toleransi dan dapat menyesuaikan diri dengan baik. Guru sebegini menggalakkan pelajarnya melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah, menggalakkan mereka supaya lebih berinitiatif dan dapat mengkoordinasi tugas-tugas pelajarnya supaya suasana bilik darjah lebih gembira dan kondusif kepada pembelajaran. Dua jenis tingkah laku ini dapat mempengaruhi sosialisasi para pelajar dalam bilik darjah. Oleh itu, guru-guru perlu menyedari bahawa mereka bertanggung jawab untuk memastikan bahawa pelajar-pelajar mereka diberi peluang untuk bersosial dan mengembangkan kemahiran sosial mereka.
Aktiviti 2.10 Apakah perbezaan antara guru dominan dan guru integratif?
2.4 Perspektif antara Sekolah-Sekolah Asia Selepas Perang Dunia Kedua, bekas tanah jajahan berbagai kuasa Eropah di Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia dan Filipina berusaha untuk mencapai kemerdekaan politik serta pembangunan ekonomi dan sosial. Walaupun tidak dijajah, Thailand turut berganding bahu dengan negara-negara Asia Tenggara lain dalam mencapai aspirasi mereka. Negara-negara ini telah melancarkan rancangan pembangunan negara lima tahun dan lapan tahun telah dilancarkan untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan. Komponen pendidikan turut ditekankan dalam program ini demi mencapai matlamat negara dari segi politik, ekonomi dan kebajikan sosial. Fokus pertama kerajaan merupakan aspek ekonomi. Untuk mencapai matlamatnya dalam aspek ini, pakar-pakar ekonomi memberikan ramalan mengenai tenaga kerja yang akan diperlukan untuk menangani pertumbuhan ekonomi pada masa depan. Untuk mencapai matlamat-matlamat ini, sekolah-sekolah dan institusi pendidikan perlu melatih dan menghasilkan para pelajar yang selaras dengan visi negara. Oleh itu, sekolah-sekolah perlu mengenali tenaga kerja yang perlu dilatih serta kemahiran yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan dan program-program yang diperlukan. Setakat ini, Singapura merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dapat mencapai matlamat ini. Tugas sekolah yang seterusnya adalah untuk memupuk nilai-nilai kenegaraan dalam para pelajarnya. Oleh itu, sekolah-sekolah dipertanggungjawabkan untuk melengkapkan para pelajar dengan kemahiran berkomunikasi, contohnya dari segi bahasa kebangsaan. Ini bermaksud bahawa kurikulum sekolah mungkin perlu dilihat semula. Di Malaysia, sekolahsekolah diwajibkan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar pembelajaran dan pengajaran. Di Indonesia pula, sekolah-sekolah diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Indonesia. Thailand dan Filipina turut mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Di Singapura pula, para pelajarnya perlu menguasai dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan lagi satu bahasa lain. Di samping menerapkan nilai-nilai kenegaraan di kalangan para pelajar melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, sekolah juga perlu mereka kurikulum yang berfokus kepada kenegaraan. Kanak-kanak diajar sejarah dengan penekanan kepada kemenangan di medan peperangan, sumbangan kebudayaan serta kegemilangan empayar lampau yang menjadi asas kepada kejayaan masa kini. Di samping itu, sekolah-sekolah juga perlu menerapkan nilai-nilai kesetiaan kepada kerjaan dan negara secara keseluruhannya, dan bukannya satu etnik, agama atau kelas sosial sahaja. Faktor-faktor penjanaan tenaga kerja dan kenegaraan menjadi teras kepada pembangunan negara-negara ini. Kedua-dua faktor dianggap sebagai criteria yang perlu dipenuhi demi mendapat pekerjaan dalam ekonomi baru ini. Aspek terakhir yang ditekankan oleh negara-negara ini merupakan kebajikan sosial. Kebajikan sosial merangkumi kebajikan awam, kebajikan sub-kumpulan serta kbajikan peribadi. Untuk memupuk kebajikan awam, sekolah-sekolah telah memperkenalkan amalan kesihatan dan keselamatan untuk memastikan bahawa kanak-kanak cergas dan bebas dari penyakit. Di samping itu, sekolah-sekolah turut mengutamakan pembelajaran sastera negara yang menekankan aspek tradisi, budaya dan sejarah serta kesenian. Setiap negara ASEAN turut menggalakkan kanak-kanak supaya mengikuti pengajian berteraskan agama berdasarkan agama mereka sendiri. Sekolah-sekolah juga mengangkat kebajikan individu dengan membenarkan lebih banyak peluang untuk para pelajarnya memilih bidang yang diminati.
Bimbingan pendidikan dan panduan vokasional diberi bagi membantu mereka dalam merancang masa depan mereka. Di samping itu, mereka turut didedahkan kepada berbagai pilihan dari segi kurikulum. Kebajikan pelajar OKU pula dijaga dengan memperkenalkan sistem persekolahan khas yang disesuaikan kepada keperluan mereka. Rancangan pembangunan kebangsaan merangkumi kesemua aspek yang telah dibincangkan di atas dan perlu diterapkan dalam sistem persekolahan setiap negara ASEAN. Oleh itu, perlu wujud persamaan antara kepentingan rakyat dan negara dari segi tenaga kerja dan kesepaduan politik. Namun demikian, kelihatan seperti tiada satu pun negara di ASEAN yang dapat mencapai matlamat-matlamat yang telah digariskan dalam rancangan pembangunan negaranya. Dengan itu, kita berharap bahawa sekolah-sekolah akan memainkan peranan mereka dalam memastikan bahawa objektif-objektif kebangsaan dapat dicapai.