METAKOGNISI (Metacognition)
Pengenalan Apabila seseorang itu sedar tentang apa yang difikirkan maka adalah mudah baginya untuk mengawal tindakan yang akan diambil seterusnya. Contoh: Omar sedar yang dia sedang memandu ke tempat yang belum pernah dia sampai dan jalannya juga sukar, maka dia akan memperlahankan kelajuan pemanduannya untuk memastikan yang dia akan faham dan sampai ke tempat yang ditujunya dengan tepat dan selamat. Proses metakognitif membantu meningkatkan pembelajaran dengan cara membimbing pelajar atau seseorang itu berfikir, membantu seseorang itu menentukan tingkah laku yang akan diambil apabila dia cuba memahami sesuatu keadaan, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Definisi Menurut Costa, A.L (1981) metakognisi ialah kebolehan mengetahui apa yang kita ketahui dan yang tidak kita ketahui.
Dalam pembelajaran metakognitif ialah kesedaran tentang apa yang diketahui dan apa yang tidak diketahui. Metakognitif merujuk kepada cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai proses berfikir dan pembelajaran yang berlaku. Apabila kesedaran ini wujud, seseorang dapat mengawal fikirannya dengan merancang, memantau dan menilai apa yang dipelajari. Salah satu langkah dalam pengajaran pembelajaran berdaya fikir (fikrah) yang menggunakan strategi penyebatian (infusion) ialah langkah metakognisi. Langkah ini biasanya dilakukan selepas langkah refleksi tentang isi pelajaran yang dipelajari. Langkah metakognisi memfokus kepada aktiviti pelajar untuk menjelaskan apa yang mereka fikir tentang pemikiran dari segi proses berfikir bagi sesuatu kemahiran berfikir yang khusus yang dialami dalam sesi pengajaran pembelajaran sebelumnya. Langkah ini membolehkan pelajar berfikir cara berfikir (students think about their thinking)
Apa yang mereka harus huraikan bukannya tentang isi pelajaran dan konsep sesuatu kemahiran berfikir yang dipilih itu, tetapi memberi tumpuan kepada penerangan proses berfikir --- memperihalkan aturan cara berfikir menggunakan sesuatu kemahiran berfikir yang dialami itu sendiri --- “thinking about thinking is metacognition”
Cara Mengajar Metakognisi Metakognisi tidak perlu diajar sebagai satu mata pelajaran. Metakognisi perlu disisipkan dalam kaedah mengajar, perkembangan staf dan proses penyeliaan.
Strategi Metakognisi Pelajar boleh menggunakan strategi metakognisi dan mengawal pembelajarannya melalui proses berikut: - Merancang apa yang hendak dipelajari - Memantau kemajuan pembelajaran diri. - Menilai apa yang pelajari
Proses Metakognisi
Proses Merancang Proses ini memerlukan pelajar : • • • •
Meramal apa yang akan dipelajari, Bagaimana perkara itu dikuasai dan kesan yang akan diperolehi apabila perkara itu dipelajari. Menyediakan diri secara fizikal, mental dan psikologi Membuat perancangan dari semasa ke semasa untuk mendapat sesuatu perkara.
Proses Memantau Dalam proses pembelajaran pelajar perlu bertanya pada diri sendiri dari semasa ke semasa perkara berikut: o Adakah ini membawa makna kepada saya ? o Apakah soalan yang boleh saya ajukan ? o Mengapakah saya tidak memahami cerita ini ? o Bagaimanakah perkara ini boleh dijelaskan ?
Proses Menilai Pelajar membuat refleksi • • •
Apakah tindakan pengubahsuaian yang harus saya ambil ? Mengapa saya sukar/mudah menguasai ? Bagaimana sesuatu kemahiran, nilai dan pengetahuan dikuasai oleh saya ?
Dengan pengetahuan ini pelajar dapat memikirkan strategi yang lebih sesuai untuk menguasai pelajaran baru.
Teori-teori Metakognisi Menurut Howard Gardner (1992), kebolehan mengawal proses berfikir dalam strategi metakognitif ini adalah dipengaruhi oleh umur dan pengalaman seseorang. Seperti contoh, pelajar yang lebih tua dari segi umur dan tinggi dari aspek persekolahan boleh menyedari, mengawal dan mengamalkan strategi berfikir berhubung dengan satusatu masalah lebih baik daripada pelajar yang muda dan rendah tahap persekolahannya. Manakala seorang lagi pakar dalam bidang metakognitif iaitu, Beyer di dalam model “Functional Thinking” nya menyatakan bahawa “metacognition” adalah merangkumi kebolehan seseorang merancang (planning), memantau (monitoring) dan menilai (assessing) satu-satu keputusan atau idea yang hendak diutarakan. Semakin terkawal proses pemikiran seseorang, semakin baik keputusan yang akan seseorang perolehi.
Strategi Meningkatkan Metakognisi Sebagai seorang guru, anda perlu mengetahui strategi-strategi yang boleh diaplikasikan di dalam kelas untuk meningkatkan metakognitif pelajar. Berikut disenaraikan strategi-strategi yang boleh anda gunakan (Sumber: myschoolnet.ppk.kpm.my):
1. Merancang Terdapat 3 peringkat yang perlu dilaksanakan dalam merancang strategi meningkatkan metakognisi iaitu sebelum, semasa dan selepas.
Sebelum sesuatu aktiviti pembelajaran dimulakan, guru perlu mengajar atau menunjukkan peraturan yang patut dipatuhi dan strategi serta langkah untuk menangani masalah dan hala tuju yang harus diikuti. Semasa aktiviti itu dilaksanakan, guru perlu memberikan peluang kepada pelajar untuk berkongsi pengalaman, proses berfikir dan pandangan tentang tingkah laku mereka. Selepas aktiviti pembelajaran, guru perlu meminta pelajar menilai sejauh mana peraturan yang diajarkan itu dipatuhi.
2. Menyoal Pada Semua Peringkat Menyoal ialah satu teknik penting untuk menjelaskan fikiran seseorang. Sebagai guru, anda boleh menggalakkan pelajar agar mengemukakan soalan kepada diri mereka sendiri sebelum, semasa dan selepas membaca, mendengar, melihat dan menonton sesuatu.
3. Memilih Secara Sedar Guru perlu berbincang dengan pelajar tentang pemilihan yang dibuat oleh pelajar dari segi kesan baik dan buruknya sebelum keputusan dibuat.
4. Menilai Berdasarkan Beberapa Kriteria Metakognisi boleh dikembangkan dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk membuat refleksi dan mengkategorikan tindakan mereka berdasarkan dua atau lebih penilaian.
5. Mengambil kredit Guru meminta pelajar menilai kesan positif dari apa yang mereka lakukan. Melalui cara ini, pelajar akan menyedari tingkah laku yang baik dan akan menerapkan tingkah laku tersebut dalam situasi yang berlainan. 6. Mengelak dari menyatakan “Saya tidak boleh” Cara yang boleh diaplikasikan ialah pelajar memikirkan beberapa soalan seperti: a) Apakah informasi yang diperlukan? b) Apakah alatan yang diperlukan? c) Apakah kemahiran yang diperlukan untuk melakukan tingkah laku berkenaan?
Soalan-soalan ini akan menimbulkan kesedaran tentang pengetahuan batasan yang diketahui dan apa yang perlu diketahui. Kesedaran ini akan membangkitkan keyakinan pelajar bahawa mereka boleh melakukannya.
7. Menggalakkan idea daripada pelajar Guru boleh membantu pelajar dengan mengubah pernyataan yang diutarakan oleh pelajar. Contohnya, “Apa yang ingin anda katakan ialah .....” Melalui cara ini, pelajar dibimbing agar menjelaskan, memikirkan semula atau memikirkan idea mereka dengan lebih mendalam.
8. Memberikan label bagi sesuatu tindakan Guru boleh menyedarkan pelajar mengenai tingkah laku kognitif mereka dengan memberikan label bagi tindakan yang diambil. Contohnya, guru boleh memuji pelajar dengan ayat berikut, “Bagus, anda sedang membuat satu rangka tindakan yang baik bagi ..... “
9. Menjelaskan maksud perkataan tertentu kepada pelajar Sebagai seorang guru, pastikan anda menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan setiap perkataan agar pelajar lebih sedar dan bertanggungjawab terhadap impak kata-kata mereka.
10. Main peranan dan simulasi Dengan kaedah main peranan, pelajar dapat membayangkan diri mereka dalam sesuatu watak dan membuat modifikasi tingkah laku secara metakognitif terhadap peranan tersebut. Simulasi pula memberi peluang kepada pelajar untuk memikirkan bagaimana seseorang itu akan bertindak dalam situasi berlainan.
11. Menyimpan jurnal Galakkan pelajar mencatat pengalaman harian mereka di dalam diari/buku log. Ini dapat membantu mereka mensintesis dan menterjemah fikiran dan kelakuan mereka dalam bentuk simbol dan grafik.
12. Memberikan teladan Guru hendaklah memberikan teladan yang baik dengan merancang, mengenal pasti dan menilai sesuatu tingkah laku beliau supaya pelajar dapat mencontohinya.