1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: C-05-239-08/2014
ANTARA RABIDIN BIN SATIR
…
PERAYU
…
RESPONDEN
DAN PENDAKWA RAYA
(Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Temerloh, Pahang Perbicaraan Jenayah No. 45B-03-03/2013 Antara Pendakwa Raya Dan Rabidin bin Satir)
KORUM: AZIAH ALI, HMR ROHANA YUSUF, HMR DR. PRASAD SANDOSHAM ABRAHAM, HMR
2
PENGHAKIMAN MAHKAMAH [1]
Perayu telah dibicarakan dan didapati bersalah terhadap dua
pertuduhan di Mahkamah Tinggi di Temerloh Pahang. Kedua-dua pertuduhan adalah di bawah seksyen 302 dan seksyen 376(4) Kanun Keseksaan dan adalah seperti berikut:
Pertuduhan Pertama: “Bahawa kamu, pada tarikh 7hb Mac 2009, antara jam 11.30 malam hingga jam 1.50 tengah hari 8hb Mac 2009 bertempat di alamat Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, di dalam Daerah Bentong, di dalam Negeri Pahang Darul Makmur, telah membunuh seorang perempuan bernama Annie Kok Yin Cheng KPT No: 920606-06-5098, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.”
Pertuduhan Kedua: “Bahawa kamu, pada tarikh 7hb Mac 2009, antara jam 11.30 malam hingga jam 1.50 tengah hari 8hb Mac 2009 bertempat di alamat Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, di dalam Daerah Bentong, di dalam Negeri Pahang Darul Makmur, semasa melakukan rogol ke atas Annie Kok Yin
3
Cheng KPT No: 920606-06-5098 telah menyebabkan kematiannya, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 376(4) Kanun Keseksaan.”
Kes Pendakwaan [2]
Kes Pendakwaan bermula pada 08.03.2009 jam lebih kurang 1.50
petang apabila Helen Kor Ser Yin (SP5) kakak si mati balik ke rumah bapa tiri mereka, Sew Kok Wee (SP6) di No. 4168, Kg. Ketari, Bentong Pahang. Apabila sampai di rumah SP5 telah pergi ke bilik adiknya Annie Kok Yin Cheng (si mati) yang berada di sebelah bawah rumah tersebut. SP5 mendapati bilik si mati tidak berkunci. Beliau nampak banyak darah di atas katil dan tilam dan si mati berada di atas lantai. SP5 keluar dari bilik tersebut. Beliau menyangka si mati datang haid dan menunggu si mati bangun dari tidur.
[3]
SP5 kemudian pergi semula dan mengetuk pintu bilik si mati. Apabila
tidak ada jawapan, SP5 masuk ke dalam bilik dan mendapati badan si mati terasa keras dan sejuk. Pada masa itu, SP5 nampak kesan darah di bahagian atas badan si mati manakala bahagian pusat ke bawah ditutupi dengan selimut. Muka si mati pula ditutup dengan tisu putih. Keadaan baju
4
si mati terangkat sehingga ke bawah bahagian buah dada. Darah juga terdapat di bahagian leher dan dada si mati yang terbaring dalam keadaan terlentang. SP5 kemudian menjerit dan bapa tiri mereka (SP6) turun dari tingkat atas rumah dan masuk ke bilik si mati. SP5 juga mendapati si mati tidak bernafas lagi.
[4]
Si mati kemudian dibawa ke Hospital Bentong menaiki kereta SP6.
SP5 memaklumkan kejadian tersebut kepada ibunya Tan Siew Lin (SP4) yang ketika itu berada di Kuala Lumpur. SP4 balik dan terus ke bilik mayat Hospital Bentong dan telah mengecam mayat si mati.
[5]
Mengikut SP6 sehari sebelum kejadian iaitu pada 07.03.2009 beliau
berada di rumah bersama anak-anaknya Sew Li Teng, Sew Li Weng, Sew Wei Keat dan juga si mati. Pada malam tersebut SP6 nampak si mati bermain komputer seorang diri di luar biliknya. SP6 menonton TV di tingkat atas. Kali terakhir SP6 nampak si mati ialah pada 11.30 malam semasa si mati sedang bermain komputer. Kira-kira jam 12.30 pagi SP6 terdengar satu bunyi macam ada barang terjatuh di dapur. SP6 turun dari tingkat atas untuk melihat apa terjadi. Pada masa itu beliau mendapati si mati tidak lagi berada di meja komputer, walaupun lampu masih terpasang. Seterusnya
5
pada lebih kurang 7.30 pagi esoknya SP6 membuka pintu bilik si mati dengan menghulur tangannya dari luar bilik untuk menutup suis lampu, yang terletak berhampiran dengan pintu tersebut. SP6 tidak masuk ke dalam bilik tersebut. Selepas itu SP6 keluar minum bersama anak-anaknya Sew Li Teng, Sew Li Weng dan Sew Wei Keat. Mereka balik semula ke rumah jam 9.30 pagi. Pada jam 11.30 pagi SP6 keluar lagi bersama kawannya dan pulang ke rumah pada jam 12.30 tengahari.
[6]
Apabila SP6 terdengar SP5 menjerit, beliau pergi ke bilik si mati dan
mendapati si mati dalam keadaan terlentang di atas lantai dengan badannya ditutupi dengan selimut sehingga ke leher. Beliau kemudian menghantar si mati ke Hospital Bentong.
[7]
Kpl Rohani bt Muhamad (SP1) memberi keterangan yang beliau
menerima panggilan telefon daripada Medical Officer Hospital Bentong pukul 2.02 petang pada hari yang sama. seorang perempuan Cina telah
SP1 dimaklumkan bahawa
meninggal
dunia akibat dibunuh.
Berdasarkan maklumat tersebut SP1 membuat laporan polis, Bentong Rpt 1168/09 (P5).
6
[8]
DSP Azhar bin Musa (SP9) pada hari yang sama telah dimaklumkan
tentang laporan polis P5.
SP9 bersama-sama dengan jurugambar
pasukannya pergi ke tempat kejadian. Beliau menghubungi pihak Forensik PDRM dan Doktor Pakar Forensik Hospital Kuantan untuk hadir ke tempat kejadian dan membantu siasatan. Cif Inspektor Nizam bin Hussain (SP13) daripada pasukan Forensik PDRM datang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dengan mengambil sebanyak 37 barang kes yang diserahkan kepada SP9. Senarai barang adalah saperti di dalam Borang Serah Menyerah (P34). Di antara barang kes termasuklah satu swab cecair disyaki air kencing di dalam tandas yang ditandakan “15” dan di‘seal’ Forensik (P55). SP9 juga telah menerima daripada ibu si mati beberapa barang milik si mati, pakaian yang digunakan oleh ahli keluarga si mati termasuk satu T-Shirt kekuningan jenama “Jikani” yang ditandakan “A48” (eksibit P68(a)). SP9 turut menerima daripada Dr. Zahari bin Noor (SP8) barang-barang kes dan beberapa spesimen pada si mati seperti tersenarai dalam laporan bedah siasat (P16) selepas bedah siasat dilakukan untuk dianalisa. SP9 telah menyerahkan semua barang kes yang diterima kepada Inspektor Ismantie bin Ismail (SP14).
7
[9] SP8 telah menjalankan bedah siasat atas mayat si mati. Pemeriksaan luar mayat si mati dijalankan oleh SP8 dan laporannya dikemukakan di Eksibit P16. SP8 berpendapat bahawa punca kematian adalah kecederaan pada leher akibat daripada senjata tajam. SP8 mendapati bahawa kematian si mati adalah kematian homisid dan dilakukan oleh orang lain berdasarkan jenis, bilangan dan keparahan kecederaan dan terdapat kecederaan lain yang menunjukkan “defence wounds”.
[10] SP8 juga telah membuat satu prosedur pemeriksaan kemaluan si mati dengan menggunakan “Foleycartheter” yang boleh mengumpulkan cecair terdapat dalam vagina perempuan. SP8 mendapati banyak cecair yang terkumpul pada hujung “catheter” dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk diuji oleh ahli kimia (eksibit P29).
[11] Dua tahun selepas kejadian ini iaitu pada 14.11.2012 kira-kira jam 6.00 petang Inspektor Mohd bin Mustafa (SP11) telah menerima panggilan daripada L/Kpl. Fadzly Sham bin Aziz memaklumkan tentang satu peristiwa seorang
lelaki bergelut dengan anggota polis di atas bukit Taman
Sahbandar, Kuantan. SP11 pergi ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki (Lelaki Tersebut) yang memakai baju celoreng dalam
8
keadaan meniarap di atas tanah dengan muka berlumuran darah. Sementara L/Kpl. Fadzly Sham, Kpl. Suhaimi, Konst. Izwan bin Nordin berada di atas badan Lelaki Tersebut. Lelaki Tersebut ditangkap. SP11 mengambil
barang-barang
kes
daripada
Lelaki
Tersebut
yang
mengandungi 3 beg silang mengandungi beberapa barang kes. Turut dijumpai berhampiran lelaki tersebut adalah sepucuk senapang buatan sendiri, sebatang kuku kambing serta sebilah pisau bersarung. Lelaki Tersebut dibawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan. SP11 kemudian membuat Report Bentong 5343/12 (P83) tentang penangkapan dan rampasan barang-barang kes dan diserahkan kepada SP14.
[12] Semasa dalam tangkapan 18.11.2012, SP14 telah mendapatkan Lelaki Tersebut untuk menandatangani Borang Kebenaran Pemeriksaan Untuk Mengambil Spesimen Darah Tertuduh seperti di eksibit P88. SP14 telah membawa Lelaki Tersebut ke Hospital Bentong bagi mengambil spesimen darahnya. Selepas itu SP14 telah menerima satu sampul surat mengandungi 2 botol spesimen darah milik Lelaki Tersebut yang ber ‘seal’ Unit Perubatan Forensik Hospital Bentong seperti pada Borang Serahan Spesimen
(eksibit
P89).
SP14
telah
menandakan
sampul
surat
9
mengandungi 2 botol spesimen darah sebagai ‘Y65’ (berlabel “Rabidin Satir”) berkaitan kes Bentong Report P83.
[13] Pada 19.11.2012, SP14 telah menghantar barang kes hasil rampasan SP11 dan spesimen darah Tertuduh ‘Y65’ kepada ahli kimia Dr. Yunaneswari C. Swaran. Resit rasmi penerimaan barang kes telah dikeluarkan kepada SP14 sebagai P10. Dr. Yunaneswari C. Swaran mengesahkan kesemua barang kes termasuk sampul bertanda ‘Y65’ yang diterima dalam keadaan baik.
[14] Dr. Yunaneswari C. Swaran (SP7) daripada SP14
bertarikh 19.11.2012 (P12)
telah juga menerima surat meminta untuk membuat
perbandingan keputusan DNA profil spesimen darah ‘Y65’ dengan keputusan DNA dalam 7 laporan kimia yang lain termasuklah (PJ)FOR 2565/09-0 (Eksibit P7). Eksibit P7 adalah laporan kimia oleh Pegawai Kimia, Puan Nor Aidora (SP10) yang dibuat berkait dengan kematian si mati (Laporan Polis P5).
[15]
Setelah menjalankan analisis perbandingannya SP7 mendapati
bahawa profil DNA yang diperoleh daripada spesimen darah ‘Y65’ (berlabel
10
“Rabidin Satir”) adalah berpandangan dengan profil DNA yang diwakil oleh ‘Male 1’ dalam laporan DNA dalam eksibit P7 yang berkaitan dengan Laporan Polis di P5 mengenai kejadian kematian si mati. Laporan perbandingan DNA oleh SP7 adalah di eksibit P11. Lanjutan daripada laporan perbandingan ini pihak pendakwa menghujahkan bahawa Lelaki Tersebut adalah orang yang sama yang didapati terlibat dalam kes kematian si mati iaitu perayu. Di atas keterangan DNA itu YA Hakim bicara menerima hujahan pendakwa raya bahawa perayu adalah orang yang terlibat dalam kes pembunuhan si mati.
Kes prima facie [16] Di akhir kes pendakwaan bagi pertuduhan bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan YA Hakim bicara mendapati pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan satu kes prima facie terhadap perayu. YA Hakim bicara mendapati segala intipati kesalahan di bawah seksyen 302 telah terbukti setelah menilai keterangan pihak pendakwa secara maksima, seperti kehendak seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah dan prinsip-prinsip yang mantap yang diputuskan di dalam kes Looi Kow Chan v PP [2003] 1 MLJ 734; Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 83 serta PP v Sidek bin Abdullah [2006] 1 CLJ 314.
11
[17] Intipati pertama bahawa si mati Annie Kok Yin Cheng telah mati, jelas dibuktikan daripada pengecaman oleh ibunya SP4, dan juga pengesahan SP8 yang menjalankan bedah siasat ke atas si mati. Pihak pendakwa juga telah membuktikan kematian si mati adalah akibat bencana tubuh atau kecederaan tubuh yang dialaminya. Keterangan SP8 menjelaskan bahawa si mati mengalami kecederaan yang teruk di leher iaitu tetakan atau hirisan dengan senjata tajam pada leher. Akibatnya salur darah “carotid” dan “jugular”
terpotong
yang
mengakibatkan
kehilangan
darah
dan
menyebabkan kematian. Adalah jelas mengikut SP8, punca kematian adalah kecederaan pada leher si mati akibat daripada senjata tajam.
[18] Identiti perayu pula ditentukan melalui perbandingan DNA profil yang dibuat daripada spesimen darah ‘Y65’ dalam kes Laporan Polis P83 dengan Laporan DNA dalam kes si mati P5.
[19] YA Hakim bicara mendapati profil DNA “Male 1” adalah berpadanan dengan profil DNA daripada spesimen darah yang diambil daripada Lelaki Tersebut “Y65” (berlabel “Rabidin Satir”) seperti analisa dan perbandingan yang telah dijalankan oleh SP7 dan dilaporkan di Laporan Perbandingan P11. Dengan itu, profil DNA yang terdapat pada barang-barang kes yang
12
dijumpai pada pakaian dan kemaluan serta di paha kiri dan kanan si mati serta di dalam bilik air tempat kejadian adalah milik (“Male 1” dalam kes P5) ialah perayu. Melalui keputusan DNA ini adalah jelas terbukti yang perayu adalah orang yang bersama-sama si mati semasa kejadian.
[20] Mengenai pertuduhan di bawah seksyen 376 pula, SP8 disoal balas tentang berkemungkinan si mati telah dihiris dahulu atau dicederakan dahulu sebelum dirogol. SP8 dalam keterangannya semasa disoal balas mendapati bahawa terdapat kemerahan di bahagian “labia minora” si mati yang menunjukkan berlaku penetrasi. Ini menunjukkan kejadian rogol baru berlaku.
Keterangan-keterangan
tersebut
menjurus
kepada
satu
kesimpulan bahawa kejadian rogol dan membunuh berlaku dalam masa yang sama.
[21] Berdasarkan keterangan-keterangan DNA yang menemui profil DNA perayu di pakaian dan dalam kemaluan serta di badan si mati serta keterangan SP8 menunjukkan bahawa orang yang melakukan rogol adalah orang yang sama yang melakukan kecederaan menyebabkan kematian si mati; atas penilaian maksima keterangan-keterangan saksi pendakwaan, Mahkamah mendapati pihak pendakwa telah berjaya membuktikan satu
13
kes prima facie bagi kedua-kedua pertuduhan terhadap perayu dan memanggil perayu membela diri. Perayu telah memberikan keterangan secara bersumpah tanpa mengemukakan saksi-saksi lain.
Kes Pembelaan [22] Mengikut perayu dia dilahirkan di Limbang Tambunan Indonesia, datang ke Malaysia melalui ejen pekerja. Beliau kata beliau ditipu oleh ejen pekerja tersebut. Beliau telah bekerja di berbagai tempat dan seterusnya perayu pergi ke Bentong dari Kuala Lumpur. Perayu bekerja di supermarket di Bentong dan kemudian diberhentikan. Perayu selepas itu memungut tin kosong untuk dijual.
[23] Pada hari sebelum kejadian iaitu 7.3.2009 kira-kira jam 6.00 pagi perayu berkata beliau telah pergi ke suatu tempat untuk memancing ikan dan kemudian menjual ikan di bandar. Hasil daripada jualan ikan, perayu membeli arak dan mabuk dan seterusnya tertidur di kaki lima. Pada waktu subuh 8.3.2009, perayu dikejutkan oleh seorang penjual sayur berbangsa Cina berambut hitam dan memakai topi. Menurut perayu tempat yang beliau tertidur ialah pasar sayur Bentong. Namun perayu tidak mengingati siapa perempuan Cina tersebut.
14
[24] Perayu seterusnya menceritakan bahawa pada bulan Mac 2009 sewaktu ingin mengambil buah jering, seorang yang tidak dikenali telah datang membawa kayu dan memukul beliau di bahagian tengkok dan berlaku pergelutan. Orang tersebut telah duduk di atas badan perayu. Perayu kata beliau tidak tahu sama ada orang tersebut cedera atau tidak tetapi perayu selepas itu telah dipukul di kepala sewaktu beliau ditangkap.
[25] Semasa di lock-up, perayu kata beliau telah dipukul, dipijak di pinggangnya oleh 4 orang polis. Beliau kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan. Menurut perayu juga ingatan beliau mula kurang sejak dipukul di bahagian kepala.
[26] Perayu berkata tidak mengenali si mati apabila ditunjuk gambar di eksibit P6(1) dan (2). Katanya beliau tidak pernah nampak dan tidak pernah pergi ke tempat kejadian seperti dalam gambar di eksibit P8(1), (2) dan (3). Perayu menafikan merogol si mati, menafikan pernah pecah masuk ke rumah tersebut pada 7.3.2009 ataupun pada 8.3.2009.
15
Dapatan Hakim Mahkamah Tinggi [27] Di akhir kes pembelaan YA Hakim bicara mendapati pembelaan perayu adalah hanya penafian semata-mata. Keterangan perayu tidak mempunyai
apa-apa
penjelasan
yang
munasabah.
Perayu
hanya
menafikan pernah masuk ke rumah si mati pada 7 dan 8 Mac 2009 dan seterusnya menafikan merogol si mati serta tidak pernah mengenali si mati. Dengan itu YA Hakim bicara berpendapat keterangan perayu hanya satu penafian kosong sahaja. Berdasarkan kes PP v Ling Tee Huat [1982] 2 MLJ 326; PP v Tan Hon Tong [1993] 3 CLJ 232) penafian semata-mata bukan suatu pembelaan.
[28] YA Hakim juga mendapati tiada apa-apa notis alibi diberikan oleh perayu kepada pendakwa raya untuk menunjukkan bahawa perayu tidak berada di tempat kejadian, dan perayu tertidur kerana mabuk dari 7.3.2009 sehingga subuh 8.3.2009. Perkara tersebut juga tidak dibangkitkan oleh perayu semasa saksi-saksi pendakwa memberikan keterangan. Dengan itu YA Hakim mendapati pembelaan perayu adalah satu pembelaan yang berbentuk pemikiran terkemudian (afterthought).
16
[29] Tiada penjelasan juga diberikan oleh perayu tentang bagaimana terdapat kesan air mani perayu di bahagian kemaluan, pakaian dan paha kiri dan kanan si mati seperti yang dinyatakan dalam keterangan saksisaksi pendakwaan. Kewujudan air mani perayu tersebut juga tidak pernah dipersoalkan semasa saksi-saksi pendakwaan memberikan keterangan.
[30] Mahkamah juga memerhatikan tingkah laku perayu semasa memberikan keterangan. YA Hakim mendapati perayu sering mengambil masa yang lama untuk menjawab sesuatu soalan dan kebanyakan soalan dijawab dengan “tidak ingat” dan “tidak tahu”.
[31] Dengan itu YA Hakim bicara memutuskan yang keterangan perayu tidak berjaya menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes pihak pendakwa sebaliknya pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah bagi pertuduhan bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Perayu didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Perayu juga dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
17
[32] Berhubung dengan pertuduhan kedua di bawah subseksyen 376(4) Kanun Keseksaan, pihak pembelaan membangkitkan bahawa terdapat bukti yang menunjukkan perbuatan rogol itu berlaku semasa si mati telah mati dan merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan Rudy bin Jupri v PP [2012] MLJU 1447.
[33] Berdasarkan hujahan yang dibangkitkan, YA Hakim bicara merujuk semula kepada keterangan SP8 semasa disoal balas oleh peguam yang mengatakan beliau berpendapat berkemungkinan juga si mati disembelih atau dihiris dahulu kemudian berlaku penetrasi. Oleh itu, Mahkamah mendapati timbul keraguan sama ada si mati dirogol ketika masih hidup atau setelah mati. Berdasarkan nas kes Mahkamah Rayuan tersebut, YA Hakim bicara mendapati telah timbul satu isu yang meragukan kes Pendakwaan,
terhadap pertuduhan
bawah seksyen 376(4) Kanun
Keseksaan. Oleh itu, perayu dilepas dan dibebaskan bagi pertuduhan di bawah seksyen 376(4) Kanun Keseksaan. Keputusan ini tidak dirayukan oleh pendakwa raya.
18
Rayuan [34] Walaupun di dalam Petisyen Rayuannya beberapa alasan telah di kemukakan, di hadapan kami peguam perayu hanya berhujah atas satu alasan sahaja. Peguam perayu berhujah bahawa terdapatnya keraguan berkenaan dengan integriti keterangan DNA yang dikemukakan di Mahkamah. Peguam perayu berhujah atas 3 sebab kenapa laporan DNA yang disandarkan untuk membuktikan identiti perayu adalah meragukan. Pertamanya, terdapat kemungkinan yang DNA yang diperolehi pada masa kejadian tahun 2009 sudah tercemar apabila dibandingkan dengan DNA yang di perolehi dua tahun kemudiannya iaitu pada tahun 2012. Keduanya YA Hakim bicara gagal mengambil kira terdapatnya percampuran DNA yang lain dan seterusnya ada terdapat penyumbang lain yang tidak dapat dikenal pasti.
[35] Berikutan daripada isu mengenai DNA, peguam perayu berhujah bahawa tiada keterangan yang benar-benar kukuh untuk mengaitkan perayu dengan kematian si mati dan tiada bukti kukuh dikemukakan untuk menunjukkan bahawa DNA yang ditemui semasa kejadian pada tahun 2009 telah disimpan dengan baik dan tidak tercemar. Tiada keterangan
19
berhubung langkah-langkah penyimpanan yang telah diambil oleh Pegawai Forensik untuk memastikan DNA tersebut terjamin daripada tercemar.
[36] Peguam perayu juga berhujah bahawa terdapat DNA asing yang ditemui di tempat kejadian yang tidak dapat dikenal pasti. Lagi pun mengikut peguam laporan P11 ialah laporan yang cacat kerana SP7 hanya menerima satu sampel sahaja iaitu ‘Y65’ dalam membuat perbandingan dengan laporan kimia dalam kes P5. Kewujudan banyak penyumbang lain bagi DNA dan ketiadaan sebarang senjata dijumpai di tempat kejadian menambahkan kecacatan pendakwaan kes ini.
[37] YA Hakim bicara di dalam Alasan Penghakimannya juga telah meneliti isu mengenai perbandingan DNA seperti berikut: “ [23] Lapuran perbandingan (P11) oleh SP7 adalah boleh diterima memandangkan ia bertujuan membincangkan profil DNA darah ‘Y65’ (berlabel “Rabidin Satin”) dengan keputusan profil DNA yang diperolehi dari barang-barang kes yang dianalisa oleh SP10 berkaitan kes ini.
Menurut SP7 dan SP10 bahawa perbandingan
DNA darah ‘Y65’ dengan profil DNA “Male 1” dalam lapuran SP10 (PJ)FOR 2365/09-0(P7) adalah tepat. Ketepatan SP10 mendapatkan
20
profil DNA “Male 1” dan profil DNA dari barang-barang kes ini dan ketepatan SP7 menjalani profil DNA dari darah ‘Y65’ tidak tergugat dan tidak pernah dicabar oleh pihak peguam. Oleh itu Mahkamah ini menerima lapuran perbandingan (P11) yang dijalankan oleh SP7.” Kami bersetuju dengan dapatannya dan tidak ada sebab bagi kami mengubah satu dapatan berlandaskan alasan yang kukuh.
[38] Mengenai borang kebenaran mengambil darah P88 peguam berhujah bahawa ia tidak boleh diterima kerana tidak dibuat melalui borang khas tetapi menggunakan kepala surat Polis Diraja Malaysia. Kami dapati hujahan ini tidak bermerit. Apa yang pentingnya ialah kebenaran perayu telah diperolehi untuk mengambil sampel darahnya. Perayu tidak mencabar
yang kebenarannya telah diperolehi.
Malah kalau pun
kebenarannya tidak diperolehi dan dihujahkan bahawa keterangan ini di perolehi secara tidah sah, namun keterangan tersebut masih boleh di terima asalkan ianya relevan sebagaimana diputuskan di dalam kes Hanafi bin Mat Hassan v PP [2006] 4 MLJ 134. Tiada cabaran daripada pihak peguam perayu bagi perkara tersebut di Mahkamah Tinggi.
21
[39] Mengenai hujahan peguam perayu yang kemungkinan spesimen DNA perayu adalah bercampur, kami dapati isu ini telah juga diberi penelitian yang terperinci oleh YA Hakim bicara di perenggan 22 Alasan Penghakiman seperti berikut: “ [22] Walaupun terdapat satu profil DNA bercampur yang terdiri daripada profil DNA mangsa dan profil DNA seorang individu yang tidak dikenali yang bukan dari profil DNA ‘Male 1’ pada baju T-Shirt bertanda ‘A48’ (eksibit Mahkamah P68(a)) sepertimana yang dinyatakan dalam analisa SP10, namun berdasarkan keterangan SP9 yang menyatakan ibu si mati pada 9/3/2009 jam 5.00 petang, selepas kejadian, telah menyerahkan barang-barang milik si mati dan pakaian yang digunakan oleh ahli keluarga si mati iaitu termasuk TShirt bertanda ‘A48’, menunjukkan bahawa T-Shirt itu bukan T-Shirt yang dipakai oleh si mati semasa kejadian. Menurut SP8 baju kemeja yang dipakai oleh si mati telah diambil semasa bedah siasat dijalankan dan diserah kepada polis yang kemudian ditandakan sebagai ‘A23’ (eksibit Mahkamah P18(b)). Menurut SP10 pula barang kes ‘A23’ ini mempunyai kesan darah si mati.
Berdasarkan
keterangan-keterangan saksi SP8 menunjukkan T-Shirt ‘A48’ bukan pakaian yang dipakai oleh si mati semasa kejadian. Di samping itu
22
dari analisa SP10 terhadap seluar pendek ‘A25’ mendapati terdapat kesan darah dan kesan air mani yang mana kesan darah itu dari milik si mati dan kesan air mani milik “Male 1” iaitu Tertuduh. Sementara itu terdapat kesan air mani milik “Male 1” iaitu Tertuduh pada seluar dalam ‘A26’ yang dipakai oleh si mati.
Dengan kesan air mani
Tertuduh ditemui di seluar dalam dan seluar pendek si mati di samping kesan air mani Tertuduh ditemui di kemaluan dan paha kiri dan kanan si mati serta kesan kemerahan dan geselan baru di kemaluan mangsa dan juga kejadian bunuh serta rogol dilakukan dalam masa yang sama seperti dijelaskan oleh SP8, menunjukkan bahawa tiada orang lain selain Tertuduh adalah orang yang terakhir bersama si mati. Dengan itu keujudan profil DNA orang lain pada TShirt ‘A48’ yang tidak dipakai oleh si mati, tidak menjejaskan kes pihak pendakwaan…”
[40] Manakala peguam perayu tidak pernah mempersoalkan keujudan profil asing ini dan tidak pula membangkitkan keujudan orang lain selain daripada perayu semasa kejadian. Kami setuju dengan dapatan YA Hakim bicara bahawa keujudan orang lain selain perayu tidak berbangkit sama sekali. Dengan itu, kami mendapati hujahan perayu terdapatnya DNA
23
bercampur dengan DNA perayu telah dijelaskan dengan teliti oleh YA Hakim bicara. Kami tidak ada sebab untuk memutuskan sebaliknya sepertimana yang dikatakan oleh YA Hakim bicara.
[41] Setelah kami meneliti rekod rayuan kami tidak mendapati apa-apa kekhilafan daripda segi fakta atau undang-undang untuk kami mengubah keputusan YA Hakim bicara. Di atas keterangan di dalam rekod rayuan kami dapati sabitan terhadap perayu adalah wajar dan selamat. Kami dengan itu menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi. t.t. ROHANA YUSUF Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh: 11 Februari 2016 Peguam Perayu:
Puan Suzanawati binti Ismail Tetuan Suzana Ismail & Partners Peguambela dan Peguamcara No.26 Jalan Galena 7/24, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Peguam Responden:
Puan Tetralina binti Ahmed Fauzi Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perbicaraan & Rayuan Aras 5, No. 45, Lot 4G7 Presint 4, Persiaran Perdana 62100 PUTRAJAYA.
24