ULASAN BUKU
ULASAN BUKU Asmah Haji Omar, 2010. Carik-Carik Bulu Ayam: Kisah Runding Bahasa Dunia Melayu, 153 halaman, ISBN 978-983-46-0260-4 Pengulas: Raja Masittah Raja Ariffin
[email protected] Universiti Putra Malaysia Perjalanan MBIM/MABBIM menggambarkan perjalanan akademia, budaya, psikologi dan hubungan sesama manusia, yang semuanya tercakup dalam bahasa. Demikianlah antara ungkapan Asmah dalam bahagian penutup buku Carik-Carik Bulu Ayam Kisah Runding Bahasa Dunia Melayu. Dalam menyampaikan idea tentang perundingan MBIM/ MABBIM, Asmah telah menerapkan teori konflik dan penyelesaian konflik dalam hal bahasa yang melibatkan tiga buah negara, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, yang masing-masing mempunyai kelainan geolinguistik dan penglihatan dunia serta kognisi. Perbincangan dan penyelesaian konflik ini dilihat berdasarkan satu kerangka yang terdiri daripada empat paksi, iaitu politik, bahasa, pengkhususan dan paksi pengalaman. Untuk mencapai tujuan di atas, Asmah telah membahagikan kandungan buku ini kepada tujuh bab. Bab pertama membicarakan perundingan dan usaha membuat keputusan menurut situasi sosial, ekonomi, budaya, dan etos dalam proses mencapai sesuatu ketentuan dalam sesuatu kumpulan, panitia atau jawatankuasa, yang dapat mewakili jabatan, kementerian, persatuan, negara mahupun kumpulan negara. Kata kunci dalam proses ini ialah pertimbangan, iaitu apakah pertimbangan yang sesuai perlu diambil perhatian agar sejajar dengan etos atau matlamat institusi atau negara yang terlibat dalam perundingan untuk mendapatkan persetujuan bersama. Menurut Asmah (hlm.2), sesuatu matlamat itu ditunjangi oleh etos yang meliputi cita-cita seseorang atau kumpulan yang terlibat dalam proses mencapai matlamat bersama melalui ungkapan bahasa yang jelas. Walaupun ungkapan bahasa yang diikuti dengan tindakan bersama itu diandaikan semua yang terlibat itu memahaminya, tetapi pada 151
JURNAL BAHASA
realitinya, belum pasti situasi seumpama itu berlaku dan meninggalkan kesan yang sama kepada semua yang terlibat. Oleh sebab itu, dalam urusan perundingan yang membawa kepada sesuatu keputusan tidak akan terlepas daripada berlakunya konflik. Berlakunya pertelingkahan atau konflik berpunca daripada keupayaan kognitif yang berbeza-beza dalam kalangan individu yang terlibat. Perbezaan yang berlaku disebabkan oleh terdapatnya kelainan latar belakang dari segi sosiobudaya, pendidikan, kepercayaan (termasuk kepercayaan keagamaan), ideologi dan sebagainya, yang mempengaruhi cara seseorang itu berfikir, yang menjadi faktor utama termeterainya sesuatu keputusan. Bagi melicinkan proses perundingan dan membuat keputusan, penentuan matlamat perundingan terlebih dahulu adalah amat penting. Menurut Asmah (hlm. 5), dalam konteks MBIM/MABBIM, matlamat bagi setiap negara anggota ditentukan oleh pihak atasan atau pihak berkuasa negara masing-masing. Penentuan matlamat sesuatu perundingan itu bergerak dari atas ke bawah (topdown). Hal ini dapat dijelaskan bahawa matlamat ditafsirkan oleh pihak atasan yang bertanggungjawab, manakala pihak yang di bawah yang terdiri daripada pakar bahasa dan pakar bidanglah yang akan memastikan setiap kandungan dalam matlamat tersebut. Walaupun kumpulan pakar disebut sebagai pihak yang di bawah tetapi pakar bahasa yang menganggotai Sidang Eksekutif mempunyai kuasa yang lebih dalam membuat penentuan sesuatu keputusan. Hal ini demikian kerana kumpulan pakar yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa telah menyumbang kepada Majlis Bahasa ini dari awal hingga akhir yang mewujudkan kestabilan MBIM/MABBIM. Demikian juga dengan pakar bidang dan subbidang yang bertukar ganti mengikut bidang pada perundingan yang tertentu. Dalam kata lain MBIM/MABBIM mencapai kejayaan yang membanggakan apabila wujudnya penglibaran erat dan kerjasama para penyumbang yang bekerja dalam satu pasukan (Raja Masittah, 2010:29). Dalam hal perundingan yang melibatkan penerimaan atau penolakan keputusan atau cadangan tentang bahasa, jawatankuasa atau panitia eksekutif memainkan peranan yang utama. Dengan erti kata lain, jawatankuasa eksekutif berkuasa dalam membuat keputusan menerima atau sebaliknya cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai lapisan pada tahap negara, antara negara, tahap pakar, dan tahap urus setia, yang disebut oleh Asmah (hlm. 5) sebagai “proses-proses yang berlapis-lapis sifatnya (multilayed)”. Namun kementerian yang berkaitanlah yang berkuasa penuh 152
ULASAN BUKU
apabila melibatkan dasar, khususnya dalam jaringan hubungan ketiga-tiga negara anggota. Buku Carik-Carik Bulu Ayam Kisah Runding Bahasa Dunia Melayu mampu menarik perhatian pembaca, khususnya ahli bahasa dan para penyelidik sosiolinguistik, pada peringkat antarabangsa yang berminat tentang perancangan korpus bahasa antara Malaysia dan Indonesia. Penghasilan kaedah tersendiri dalam perancangan korpus bahasa, termasuklah kaedah perundingan dan membuat keputusan (decisionmaking) ada diperkatakan oleh Profesor Dr. Anton Moeliono dan Profesor Amran Halim dalam usaha menarik pihak luar yang mempunyai minat yang sama supaya dijadikan contoh. Setakat ini belum ada lagi perancangan bahasa antara negara yang mengusahakan seperti yang dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia. Buku ini juga dapat menarik perhatian para penyelidik sejarah, khususnya sejarah politik antara tiga negara anggota MABBIM serta penyelidik dalam bidang sosiologi. Kehadiran buku ini ada pertaliannya dengan buku Muafakat Bahasa: Sejarah MBIM/ MABBIM Sebagai Pembina Bahasa (2004) yang ditulis oleh penulis yang sama dan diterbitkan oleh penerbit yang sama. Buku ini merakamkan sejarah timbulnya gagasan mewujudkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia (MBIM) dan kemudian MABBIM apabila kemasukan Negara Brunei Darussalam sebagai negara anggota. Penjelasan diberikan juga terhadap perancangan sistem yang meliputi sistem ejaan dan leksis, khususnya istilah dan pembentukannya serta beberapa pertimbangan kebahasaan sifatnya dalam usaha mencapai persetujuan dalam ejaan dan peristilahan. Muafakat Bahasa bukan sahaja sebagai dokumen sejarah, yang lebih penting adalah untuk kita mengetahui dan menghayati setiap yang berlaku dalam program perancangan korpus bahasa, antaranya termasuklah peraturan, proses dan hasil. Bab dua dalam buku ini menyentuh gambaran umum rumpun Melayu menurut persepsi orang asing, dari aspek fisiognomi, cara hidup dan bahasa. Dalam menghuraikan bab ini, Asmah (hlm. 12) menggunakan metafora mata yang dikiaskan kepada pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu yang mengekalkan ciri-ciri asas di negara anggota MABBIM tetapi memperlihatkan variasinya dari negara ke negara. Hal ini dapat dihuraikan dengan mengaitkannya dengan kehidupan yang melatari bangsa Melayu, seperti budaya benda, kesenian dan kraf tradisional, organisasi masyarakat dan kepercayaan keagamaan. Asmah (hlm. 19) mengatakan bahawa sistem kepercayaan mempengaruhi aspek perilaku 153
JURNAL BAHASA
manusia dari segi peraturan etika dan etiket yang berbeza walaupun ada yang universal sifatnya. Pengaruh luar yang membawa kesan perbezaan terhadap negara anggota MABBIM turut mempengaruhi cara membuat perundingan dan membuat keputusan. Demikian juga dengan bahasa yang dituturkan oleh rumpun Melayu, iaitu di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, yang dianggap tiga buah negara Melayu serumpun, terletak di kawasan teras atau kawasan tradisional dalam gugusan pulau Melayu, iaitu di dunia Melayu. Fenomena ini dapat dihubung kaitkan dengan kenyataan Asmah (hlm. 33) tentang tadahan penyebaran bahasa sebagai satu konfigurasi yang mampu memberikan ruang kepada bahasa Melayu untuk hidup dan berkembang melalui organisasi dan sistem sosial masyarakatnya. Rupa bentuk bahasa alam Melayu serumpun yang berlaku melalui proses mutasi memperlihatkan berlakunya perubahan pada sistem-sistemnya. Kepelbagaian sistem bahasa terbahagi kepada tiga peringkat utama, iaitu fonologi, nahu dan kata leksikal. Mutasi dalam bahasa melibatkan jenis perubahan yang berlaku dan memberikan kesan terhadap sistem dan struktur bahasa penerima. Mutasi dari segi fonologi dapat dilihat melalui kemasukan pelbagai jenis konsonan rangkap yang dahulunya tidak wujud dalam bahasa Melayu. Mutasi dari segi morfologi pula jelas pada kepanjangan kata yang melibatkan kata pinjaman yang dibawa masuk ke dalam bahasa Melayu, yang mempunyai suku kata yang lebih daripada dua. Faktor seterusnya merupakan faktor luaran yang melibatkan penggunaan awalan dan akhiran pada kata pinjaman dan kata asli atau dengan menggandakannya untuk mendukung konsep terbitan yang sesuai dengan tabii bahasa Melayu sebagai bahasa aglutinatif; dan juga kecenderungan orang Melayu kini mewujudkan kata majmuk; yang juga menggunakan penambahan dan penggandaan. Istilah ditakrifkan sebagai perkataan atau gabungan perkataan yang menerbitkan konsep khusus dalam sesuatu bidang atau subbidang akademik mahupun profesional, yang dapat membezakan istilah daripada kata umum. Oleh sebab itu, persetujuan untuk mencipta sesuatu istilah itu melambangkan rujukan yang sama, dan perkara ini bukanlah semudah yang difikirkan kerana mereka yang terlibat dalam penciptaan istilah tersebut mempunyai latar belakang dan penglihatan dunia yang berbeza. Oleh sebab itu, dalam perundingan istilah antara tiga negara anggota MABBIM, pemberian nama kepada ungkapan dan idiom dalam penggunaan bahasa mengalami perbezaan tafsiran, akibat daripada 154
ULASAN BUKU
perbezaan cara berfikir dan penglihatan dunia antara kelompok pakar negara-negara yang berbeza fahaman geopolitiknya. Kelainan cara berfikir dan penglihatan dunia bukan sahaja berlaku antara kelompok pakar antara tiga negara anggota MABBIM, malah berlaku juga dalam kelompok sesebuah negara tertentu, misalnya dalam kelompok pakar dari negara yang sama, misalnya Malaysia. Walaupun terdapat perbezaan pendapat dan penglihatan dunia dalam kelompok pakar senegara tetapi perdebatan yang berlaku itu tidaklah sebesar perbezaan yang wujud antara pakar dari negara-negara yang berbeza. Situasi ini menimbulkan pelbagai implikasi dalam perbincangan sehinggakan keputusan bagi sesuatu istilah atau unsur istilah itu lambat dan sukar dicapai (hlm. 29). Dalam bab tiga, Asmah memperkatakan tradisi peribumi yang terdapat di ketiga-tiga negara anggota MABBIM, yang secara umumnya dikenal pasti sebagai tradisi Melayu yang besar, yang memayungi satu kawasan yang dikenali sebagai alam Melayu, yang sama luasnya dengan benua Eropah (hlm. 33).Tradisi yang pernah dilalui oleh ketigatiga negara ini mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu di wilayah masing-masing, yang seterusnya membentuk sistem kognitif para penentu dasar pembinaan bahasa dan pakar bidang ilmu semasa perbincangan atau dalam perundingan MBIM/MABBIM. Orang Melayu di Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia merupakan peribumi serumpun alam Melayu yang mewarisi tradisi yang sama, namun pertumbuhan dan perkembangan sesuatu komuniti itu mungkin berbeza dengan komuniti yang lain. Kelainan ini menyebabkan wujudnya kelainan dari aspek peraturan dan amalan dalam tradisi tertentu, yang ditentukan oleh jarak geografi antara komuniti dan arus perkembangan sosial yang mungkin sama atau berbeza. Oleh sebab Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam terletak berhampiran satu sama lain, jarak wilayah atau faktor geografi tidak memainkan peranan utama dalam mewujudkan persamaan dan perbezaan bahasa dan budaya di antara negara anggota MABBIM. Yang lebih berperanan dalam hal ini ialah arus perkembangan sosial, iaitu perkembangan tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Ketika berada di meja perundingan, akan wujud tradisi yang bertindihan dan bersimpangan satu sama lain kerana lazimnya tiap-tiap perwakilan dari negara anggota MABBIM memperlihatkan tradisi tersendiri, dan membawa etos negara sendiri yang berasaskan falsafah negara, terutama dalam pembinan dan pengembangan bahasa kebangsaan yang dilihat 155
JURNAL BAHASA
dalam konteks pendidikan dan komunikasi dalam menghadapi kemajuan zaman (hlm. 35). Pada hakikatnya, pemisahan dari sudut bahasa di antara Malaysia dengan Brunei Darussalam, dan kedua-dua negara ini dengan Indonesia bukan atas sebab warisan rumpun Melayu, tetapi disebabkan oleh proses penyerapan unsur dan tradisi luar alam Melayu secara sentrifugal, iaitu dari peradaban Hindi-Buddha dari India (unsur Sanskrit dan Tamil), peradaban Arab-Islam dan peradaban Barat Yunani-Romawi (khususnya Portugis, Belanda dan Inggeris) yang mempengaruhi budaya Melayu peribumi dan menyumbang kepada lahirnya peradaban Melayu yang dapat kita lihat pada hari ini. Pengaruh daripada ketiga-tiga peradaban ini memberikan kesan yang sangat signifikan kepada penyelarasan ejaan dan pembinaan istilah (hlm. 36-49). Walaupun ketiga-ketiga negara dalam MABBIM ini mempunyai komposisi suku kaum peribumi serumpun yang multietnik sifatnya, tetapi Indonesia memiliki sifat multietnik yang paling tinggi, dan diikuti oleh Malaysia dan Brunei Darussalam.Walau bagaimanapun, peranan bahasa suku kaum tersebut tidak menunjukkan persamaan dalam pertumbuhan dan perkembangan bahasa kebangsaan masing-masing. Dengan pengertian lain, bahasa Melayu (dengan variasi yang digunakan di kawasan Melayu di Sumatera dan Kepulauan RiauLingga) dan bahasa Jawa sebagai sumber peribumi menyumbang kepada pertumbuhan bahasa Indonesia moden di Indonesia; manakala di Malaysia dan Brunei Darussalam berdasarkan sumber peribumi utama, iaitu pelbagai dialek bahasa Melayu. Demikian juga dengan bahasa peribumi lain di Sabah dan Sarawak yang turut dimanfaatkan sebagai istilah tetapi jumlahnya adalah sedikit. Faktor-faktor di atas telah mendorong MABBIM meminda peraturannya dalam pencarian istilah seperti yang dijelaskan dalam Bab empat, di bawah topik “lain kain , lain coraknya”. Dalam bab ini, Asmah menghuraikan secara sistemik faktor-faktor penting dalam penggunaan bahasa dalam perbincangan MBIM/MABBIM, di samping mengajak kita melihat cara MABBIM menghasilkan perkataan dan ungkapan yang berbeza-beza dari segi makna berdasarkan bahan bahasa yang sama. Tidak dapat dinafikan bahawa hal ini bukan sahaja akan mewujudkan situasi kurang faham untuk menyampaikan maksud akibat kelegapan makna sesuatu perkataan, ungkapan atau ayat tetapi juga akan mewujudkan situasi salah faham. Apabila terdapat pihak yang tidak memahami sesuatu perkataan, ungkapan atau ayat, akan timbul pertanyaan dan apabila penjelasan diberikan, baik dalam bentuk takrif atau parafrasa, masalah 156
ULASAN BUKU
kurang faham dapat diatasi dan konflik yang mungkin timbul di meja perundingan dapat dielakkan. Sebaliknya, salah faham berlaku bukan disebabkan oleh kelegapan makna tetapi memberikan gambaran bahawa terdapatnya tafsiran makna yang disampaikan oleh penutur itu tidak sama dengan makna yang dimaksudkan oleh pendengar. Gejala salah faham seperti ini mungkin menimbulkan konflik dalam kalangan pihak dalam perundingan MBIM/MABBIM. Menurut Asmah, sumber kurang faham dan salah faham ini disebabkan oleh tiga faktor utama, iaitu faktor bahasa, faktor sosiolinguistik dan faktor pragmatik. Faktor bahasa ialah asas bagi faktor yang lain, oleh sebab itu penguasaan nahu sangat penting dalam perundingan rasmi. Faktor ini tidak mengundang sebarang masalah kerana mereka yang terlibat dalam perundingan MBIM/MABBIM terdiri daripada mereka yang menguasai nahu bahasa. Walau bagaimanapun, ada kalanya faktor bahasa atau linguistik mempengaruhi jalan perundingan dan menimbulkan kesukaran dalam memahami satu sama lain disebabkan oleh butir atau eksponen (boleh terdiri daripada satu perkara atau butir leksis bagi perkataan yang digunakan sehari-hari) dan juga idiom (perkataan atau frasa yang tidak dapat ditakrifkan menurut kelaziman mentakrifkan butir leksis yang biasa) yang mengisi peraturan bahasa. Gejala kurang faham lazimnya timbul daripada pemilihan unsur bahasa. Berlakunya kelegapan dalam perbendaharaan kata dan idiom dalam pertuturan sehari-hari disebabkan oleh persamaan kata dan ungkapan tetapi berbeza dari segi makna; pengambilan kata asing yang sama dari segi bentuk ejaan dan fonologi tetapi berbeza dari segi maknanya; pengambilan kata asing dengan perubahan bentuk fonologi yang menjadikan ejaan berbeza tetapi makna tidak berbeza; faktor pilihan antara kata asal atau tradisional Melayu dengan kata pinjaman untuk konsep tertentu; dan faktor idiom yang boleh menimbulkan beberapa simpang-siur dalam mentafsirkan makna (hlm. 53-60). Walaupun berlaku salah faham atau kurang faham dalam perundingan MBIM/MABBIM akibat perbezaan yang wujud, tetapi suasana perundingan tetap harmoni apabila disertai faktor sosiolinguistik dan faktor pragmatik. Faktor sosiolinguistik yang wujud dalam perundingan melibatkan sikap hormat-menghormati, termasuklah tutur kata yang sopan dan menjaga air muka seseorang ketika dalam perundingan. Perbezaan sosiolinguistik antara negara anggota MABBIM dapat dilihat melalui penggunaan katakata tertentu, terutamanya rujukan diri dan gelar. Sistem rujukan diri di Indonesia adalah sama rata sifatnya berbanding dengan di Malaysia 157
JURNAL BAHASA
dan Brunei Darussalam. Dalam menghadapi situasi yang berbeza ini, pihak Malaysia berakomodasi menurut kaedah Indonesia ketika berada di Indonesia dan begitu jugalah sebaliknya berlaku di Malaysia dan di Brunei Darussalam. Ungkapan kehormat yang mendahului nama dan pangkat seseorang ketika merujuk seseorang dalam ucapan rasmi atau surat rasmi merupakan satu lagi aspek sosiolinguistik yang tidak seragam bagi ketiga-tiga buah negara dalam MABBIM. Kelainan ini berlaku disebabkan oleh perbezaan sejarah sosial yang mempengaruhi etos dan menyebabkan perbezaan penampilan juga (hlm. 61-67 untuk meneliti ungkapan kehormat). Selain faktor bahasa dan faktor sosiolinguistik, faktor atau peraturan pragmatik bahasa sangat penting dan impaknya lebih besar dalam perundingan berbanding dengan peraturan sosiolinguistik kerana pragmatik bahasa mementingkan kesan atau hasil daripada sesuatu interaksi untuk mencapai niat dan tujuan. Dalam beberapa mesyuarat MBIM/MABBIM, perbincangan dijalankan dalam suasana kekeluargaan dengan penuh mesra dan harmoni. Walaupun masing-masing pihak berusaha mempertahankan tradisi tetapi dalam waktu yang sama wujud keinginan untuk mencapai kata sepakat. Satu ungkapan yang seolah-olah menjadi ungkapan keramat apabila persetujuan bagi sesuatu istilah itu tidak dapat dicapai ialah “bersetuju untuk berbeza” (hlm. 69). Bab lima menghuraikan empat paksi yang menggambarkan konflik idea yang berlaku dan bukan konflik personaliti ketika perbincangan MBIM/MABBIM, iaitu paksi politik (menurut garis geopolitik, dalam ejaan, dan paksi yang berkaitan dengan penamaan huruf dalam abjad Rumi), paksi linguistik, paksi pengkhususan dan paksi pengalaman. Paksi tersebut mempunyai pertalian yang erat dalam perundingan MBIM/ MABBIM. Perbincangan yang berdasarkan paksi politik meletakkan kepercayaan bahawa kepentingan negara diutamakan dan amat penting berbanding dengan kepentingan yang lain. Oleh sebab itu, setiap orang yang hadir mewakili negara masing-masing meletakkan kepentingan negara sendiri dalam perbincangan MBIM/MABBIM. Paksi politik juga mengambil kira pengguna hasil keputusan perundingan tersebut, terutama sistem ejaan bersama yang seragam (hlm. 79-83) yang digunakan dalam sistem pendidikan negara, media mahupun dalam sistem pengurusan dan pentadbiran negara. Demikian juga dengan penamaan huruf dalam abjad Rumi dan pengubahsuaian yang dibuat sesuai dengan reaksi masyarakat pengguna (hlm. 83-86). 158
ULASAN BUKU
Paksi linguistik berlandaskan kebiasaan penggunaan bahasa dalam kalangan perwakilan dari negara anggota MABBIM. Pelbagai suku kaum peribumi bagi ketiga-tiga negara tersebut menyumbang kepada perbendaharaan kata bahasa Melayu/Indonesia dan kata-kata yang berasal dari bumi Melayu/Nusantara yang tergolong dalam tradisi Melayu/ Indonesia. Demikian juga dengan penguasaan bahasa asing, terdapat persamaan dan perbezaan dalam kalangan perwakilan MBIM/MABBIM. Penguasaan bahasa asing sangat penting kerana faktor ini mempengaruhi keputusan yang dibuat, terutamanya dalam bidang peristilahan. Menurut Asmah (hlm. 88), “proses-proses perundingan yang berlaku pada peringkat Sidang Eksekutif dan Sidang Pakar, arus pemikiran yang diperlihatkan itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh latar kebahasaan para anggota.” Dalam perbincangan mengikut kelompok pakar istilah, lazimnya ada nara sumber yang terdiri daripada pakar bahasa yang memberikan nasihat bukan sahaja dari segi sistem dan struktur bahasa, malah dari segi sosiolinguistik dan pragmatik bahasa. Penghasilan awal buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah (PUPI) yang dilancarkan pada tahun 1975 mengutamakan sumber Melayu (hlm. 89-90). Pakar istilah ilmu dari Malaysia dan Indonesia patuh berpandukan pedoman ini berhubung dengan sumber istilah. Pakar dari Malaysia memanfaatkan sumber Melayu arus perdana dan kreatif dalam menghidupkan semula unsur morfologi yang selama ini tidak produktif lagi dan juga daripada dialek yang terdapat di Sermenanjung. Pada pihak Indonesia pula, sumber peribuminya adalah daripada bahasa suku kaum, terutamanya bahasa Jawa. Walau bagaimanapun penyerapan istilah antarabangsa, iaitu Inggeris terletak pada peringkat yang paling bawah dalam tatatingkat senarai sumber peristilahan Melayu-Indonesia menurut PUPI versi awal. Dengan kata lain, istilah Inggeris bukan merupakan kaedah penyelesaian yang utama. Walaupun senarai yang menjadi bahan perbincangan dalam kalangan pakar bidang ialah senarai bahasa Inggeris (sebelum ini senarai yang berbeza-beza, yang dibawa oleh negara masingmasing) atas persetujuan pihak eksekutif MBIM untuk mewujudkan senarai yang seragam untuk memudahkan perbincangan. Malaysia dan Indonesia juga bersetuju berpegang pada bentuk visual sesuatu istilah dan bukan berdasarkan sebutan seperti yang dilakukan sebelum ini dan melalui kaedah ini, masing-masing pihak diharapkan dapat meninggalkan tradisi bekas penjajah mereka dan menggunakan sebutan yang dipreskripsikan oleh perwakilan mereka sendiri dalam MBIM/MABBIM (hlm. 95). Dalam bab ini juga, Asmah menyentuh perihal sebutan baku Malaysia 159
JURNAL BAHASA
dan kaitannya dengan keputusan MBIM berkenaan dengan sebutan bagi istilah-istilah yang dipindahkan daripada bahasa Inggeris dan tidak meliputi perkataan-perkataan Melayu yang sedia ada, apatah lagi katakata keagamaan daripada bahasa Arab (hlm. 96-98). Paksi pengkhususan amat ketara kewujudannya sejak awal penubuhan MBIM. Asas dalam setiap perbincangan ialah kepentingan pengkhususan yang ditampilkan dalam bentuk bahasa. Dalam perundingan MBIM/MABBIM, tidak selalunya berlaku persamaan pendapat tentang sesuatu isu kerana mereka yang terlibat merupakan pakar yang khusus dalam subbidang tersebut, dan mempunyai pendapat yang berbeza-beza tentang konsep khusus. Dalam keadaan ini, akan berlaku perdebatan hebat antara pakar bidang. Peristiwa seperti ini bergerak pada landasan pengkhususan sehingga menimbulkan kelainan aliran pemikiran antara institusi, bahkan negara yang sama juga. Contoh paksi ini dapat dirujuk pada halaman 99-105. Paksi pengalaman merupakan faktor yang mempengaruhi perkembangan mental dan kognisi seseorang. Dalam konteks perundingan MBIM/MABBIM terdapat perbezaan pengalaman kerjaya sebagai ahli akademik dan pengalaman dalam peristilahan antara perwakilan Malaysia dengan perwakilan Indonesia, terutamanya pada zaman awal MBIM. Menurut Asmah (hlm. 106), perwakilan Indonesia mengatasi perwakilan Malaysia dari sudut pengalaman dalam pembentukan istilah dalam bahasa Melayu. Perbezaan ini disebabkan oleh faktor kelewatan, iaitu di Indonesia, penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantar dalam bidang ilmu dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi telah bermula semenjak Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945; manakala di Malaysia, usaha pembentukan istilah ilmu hanya bermula sejak penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956. Kelewatan waktu ini menyebabkan pengalaman Indonesia dalam membentuk istilahistilah dalam bahasa Indonesia jauh lebih lama daripada pengalaman pakarpakar di Malaysia (hlm. 106). Walau bagaimanapun, paksi pengalaman berubah dengan meningkatnya usia MABBIM. Pengalaman yang sama juga dirasai oleh perwakilan Brunei Darussalam dalam perundingan tiga negara setelah Brunei Darussalam menjadi anggota MABBIM pada tahun 1986. Namun, selepas 20 tahun bersama MABBIM, Brunei berasa setaraf dengan Malaysia dan Indonesia dari segi pengalaman. Keseluruhan cara MBIM/MABBIM mengelolakan sidang, baik pada peringkat eksekutif mahupun pada peringkat pakar dan sekretariat 160
ULASAN BUKU
dihuraikan dalam bab enam. Asmah menyentuh sejarah penubuhan MBIM atas pertimbangan politik dengan kepercayaan bahawa bahasa mampu menjadi salah satu alat dalam penyelesaian konflik; dan bahasa juga sebagai alat politik yang kemudian berubah corak menjadi alat pembina ilmu untuk seluruh alam Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa warisan budaya. Dengan berdasarkan pengertian alam Melayu, bukan sahaja antara Malaysia dan Indonesia, malah Brunei Darussalam dan juga Singapura. Walaupun taraf Singapura hanya sebagai pemerhati dalam MABBIM, tetapi Singapura mendapat manfaat sepenuhnya daripada keputusan yang disepakati dalam MBIM/MABBIM, khususnya dari segi sistem ejaan Rumi. Dalam bab ini juga Asmah membuat kesimpulan tentang pendirian MBIM sejak awal dalam usaha memajukan bahasa Melayu sehingga menjadi bahasa yang bertenaga dan sebagai bahasa ilmu. Antaranya ialah sikap terbuka menghadapi pembaharuan, mengekalkan perkataan yang sudah mantap, bersetuju untuk berbeza, akomodasi dengan pihak lain dan kemesraan dalam keluarga MBIM/MABBIM. Dalam bab tujuh sebagai bab penutup, Asmah menumpukan perhatian khusus kepada pengalaman peribadi tokoh dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura yang turut serta dalam MBIM/MABBIM. Mereka yang diwawancara oleh Asmah. Tokohtokoh ini berpendapat bahawa penubuhan MBIM/MABBIM merupakan landasan kerjasama serantau yang terdiri daripada tiga buah negara Melayu yang amat dibanggakan. Pencapaiannya telah memberikan kekuatan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa serantau. Pada pandangan mereka, tanpa MBIM/MABBIM masing-masing negara atau kawasan geopolitik Melayu berkembang dari segi bahasa dengan mengikut haluan dan hala tuju masing-masing. Mereka juga mengatakan bahawa MBIM/ MABBIM sebagai penghubung silaturahim antara anggota perwakilan dan menjadi landasan teladan yang ditunjukkan oleh para pemimpin MABIM/MABBIM. Keakraban juga berterusan, bukan sahaja dalam hubungan antara institusi, bahkan juga antara keluarga. Ungkapan mereka juga memperlihatkan harapan agar MABBIM sebagai “penyatuan bahasa” perlu diteruskan hayatnya. Walaupun kini kisah runding bahasa telah merentasi jangka masa lebih 35 tahun, tetapi perundingan dan membuat keputusan tentang kebahasaan dalam MBIM/MABBIM telah mencapai kejayaan yang amat membanggakan. Walaupun dalam tempoh perundingan dan membuat 161
JURNAL BAHASA
keputusan itu ada yang dipersetujui sepenuhnya, dan ada yang bersetuju untuk berbeza, dan pelbagai konflik dialami, tetapi kejayaan tetap tercapai kerana sikap dan sifat profesional dalam kalangan anggotanya yang sama serumpun. Matlamat majlis bahasa ini juga adalah untuk “mendekatkan bahasa bersama, yang dahulunya bergerak menuju arah masing-masing seperti bergeraknya tectonic plate di dasar bumi (Asmah, 2010:9). Walaupun kerenggangan hubungan antara Malaysia dan Indonesia pernah berlaku akibat konfrantasi, tetapi pertemuan perwakilan Malaysia dan Indonesia dalam Sidang MBIM yang pertama kali pada penghujung Disember 1972 merupakan langkah merapatkan semula dua bersaudara dan juga merupakan mercu tanda dalam sejarah persahabatan MalaysiaIndonesia. Menurut Asmah, “Sejak tarikh itu lagi percantuman semula bulu ayam yang dahulunya carik-carik itu tidaklah setakat meliputi ahli bahasa, tetapi juga meliputi keseluruhan rakyat kedua-dua buah negara. MBIM telah memperluas keanggotaannya apabila Brunei Darussalam menyertai Majlis Bahasa ini, dan berlaku perubahan nama kepada MABBIM pada tahun 1986. Singapura tetap mejadi pemerhati dalam MABBIM. Perjalanan perundingan dan perbincangan yang berlaku antara tiga negara ini sebenarnya merupakan satu latihan dalam hubungan antara manusia dan persahabatan yang terjalin antara negara, umpama tiga bersaudara. Sikap persaudaraan seperti inilah yang menjamin keberterusan MABBIM (hlm. 111). Oleh sebab itu, usaha yang dilakukan oleh MBIM/ MABBIM selama ini amat dihargai kerana dengan usaha Majlis Bahasa inilah masih wujudnya kefahaman menyaling antara penutur bahasa Melayu walaupun dilihat sebagai tiga kawasan yang tersendiri di kawasan geolinguistik alam Melayu.
RUJUKAN Asmah Haji Omar, 2004. Muafakat Bahasa: Sejarah MBIM/MABBIM Sebagai Pembina Bahasa.Kula Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asmah Haji Omar (peny.), 2005. Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Raja Masittah Raja Ariffin, 2010. Tokoh Pembinaan Bahasa Melayu Serantau: 35 tahun MABBIM. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
162