Soalan 1 : Rumusan [30 markah] Baca petikan brikut dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk memartabatkan batik Malaysia serta kekangan untuk melaksanakannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. Seni batik merupakan salah satu akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia dan bidang kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejak dulu lagi, fungsi batik tidak pernah berubah sebagai busana kaum Hawa. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri telah berusaha menghidupkan seni batik ini semula dengan mengarahkan kakitangan awam memakai baju batik pada setiap hari Khamis. Arahan pemakaian batik selaras dengan usaha kerajaan menyokong usaha untuk mengembangkan industri batik di negara ini, sekali gus mempopularkan semula pakaian yang semakin dilupakan itu. Sesungguhnya, langkah mewajibkan pemakaian batik telah memberi nafas baru kepada perkembangan industri batik negara untuk terus berkembang maju. Industri batik kini semakin berkembang pesat dan generasi Malaysia telah mula mencintai batik. Golongan remaja juga sudah tidak berasa segan mengenakan batik dengan gaya kasual. Selain itu, batik juga telah mendapat penghargaan sebagai budaya seni yang begitu tinggi nilainya dan boleh dijadikan cenderamata kepada sesiapa sahaja sama ada di dalam mahupun di luar negara. Kita harus berterima kasih kepada Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang telah mengilhamkan serta melancarkan Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia. Sejak dilancarkan, program tersebut telah mendapat sambutan hebat, walaupun pada mulanya hanya bertujuan untuk menimbulkan kesedaran orang ramai untuk mempertahankan seni batik. Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Budi Penyayang Malaysia telah berusaha mengadakan Minggu Batik Malaysia 2005 bertujuan untuk berkongsi kegemilangan dan keistimewaan batik Malaysia bersama-sama masyarakat tempatan dan dunia. Buat julung-julung kalinya juga, Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 2005 telah diadakan di negara ini. Konvensyen tersebut telah menampilkan 14 orang pembentang kertas kerja dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Indonesia, Jepun dan Australia telah menyentuh pelbagai aspek perkembangan batik seperti sejarah batik, rekaan batik, pemasaran batik serta kejayaan industri itu. Perdana Menteri juga telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi komitmen dalam menggerakkan industri batik negara. Komitmen kerajaan ini disebabkan industri batik berpotensi menarik kedatangan pelancong ke Malaysia sekali gus menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara. Oleh itu, pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia perlulah bekerja keras untuk mempromosikan batik agar produk ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong asing. Bagi memastikan industri batik terus berkembang, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah berusaha meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) merangkumi pelbagai aspek batik seperti penggunaan kain baru, penggunaan warna asli, ketahanan basuhan dan lain-lain. Melalui Program Pembangunan Usahawan pula, latihan
SPMLIBRARY.WORDPRESS.COM
kemahiran tenaga kerja dilaksanakan dengan matlamat untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri batik ini. Di samping itu juga, teknologi baru seperti penggunaan mesin dan bantuan komputer untuk menghasilkan batik yang lebih menarik dan berkualiti diperkenalkan. Selain usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan, para pengusaha batik tempatan juga perlu memainkan peranan mereka untuk meningkatkan kemajuan industri batik di negara ini. Mereka perlu lebih kreatif dalam menghasilkan batik yang lebih menarik dan lebih bermutu bagi memastikan batik tempatan mampu bersaing dengan batik dari negaranegara lain. Mereka juga perlulah bersedia untuk melabur bagi meningkatkan pasaran batik ke peringkat global. Secara tuntas, apa-apa yang selama ini menjadi identiti bangsa sebagai warisan tradisi yang wajar dipertahankan terutama yang membabitkan seni budaya tempatan seperti seni batik ini. Sudah tiba masanya seni batik Malaysia yang diusahakan secara turun-temurun, kembali berdaya maju seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini dan terus bertapak di hati generasi demi generasi sebagai khazanah bangsa yang dibanggakan. (Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Memartabatkan Batik Malaysia oleh Haji Samat Buang, Dewan Siswa, April 2006)
Soalan 2 : Pemahaman [35 markah]
Soalan 2 (a) Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri. (i)
Berikan maksud rangkai kata warisan tradisi yang wajar dipertahankan. [2 markah]
(ii)
Nyatakan kesan langkah kerajaan mewajibkan kakitangan awam memakai baju batik setiap Khamis. [3 markah]
(iii)
Pada pendapat anda, selain melalui industri batik, apakah bidang lain yang boleh diketengahkan untuk memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing? [4 markah]
SPMLIBRARY.WORDPRESS.COM
Soalan 2(b) Petikan Prosa Moden Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
NEK SINAH : Nak Aiman, mari makan. Nek dah siapkan makanan kegemaran Aiman, ayam masak asam pedas. AIMAN
: Hei, jangan panggil saya nak Aiman! Saya bukan anak Nek Senah. Nek Sinah tu cuma orang gaji di rumah ini, faham? Saya belum lapar. Belum nak makan lagi. Saya nak tunggu Kak Dapnia balik, saya nak makan dengan dia.
NEK SINAH : Nenek sedar siapa diri nenek dalam rumah ini. Tadi Dapnia ada telefon beritahu yang dia tak balik makan tengah hari, dia banyak tugasan di universiti. Malam baru dia pulang. Datin juga sibuk, malam baru dia balik. AIMAN
: Kak Dapnia tak balik, mummy pun sama? Semua orang dalam rumah ini sentiasa sibuk saja. Macamlah esok dah nak kiamat.
NEK SINAH : Tak baik cakap begitu. Mereka pastinya ada urusan yang penting. AIMAN
: Sudahlah, Nek Sinah boleh keluar dari bilik saya ini. Nanti kalau saya lapar, saya pergi makan. Tak perlu sentiasa nak aturkan perkara yang perlu saya buat. Saya bukannya budak kecil lagi.
( Nek Sinah meninggalkan AIMAN dengan rasa kesal. Kesal dengan sikap AIMAN yang tidak menghormatinya dan ahli keluarga tersebut hanya mementingkan wang ringgit) AIMAN
: Bosan betul aku dengan Nek Sinah. Semua perkara nak diberitahu kepada aku. Suruh aku buat macam ini, buat macam itu. Hish, rimas aku dengan orang tua tu! Daripada aku fikir pasal Nek Sinah, baik aku tidur. Dipetik daripada drama “Berkhidmat untuk Negara” oleh Affix Zulkarnaen Adam dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Dewan Bahasa dan Pustaka
(i)
Berdasarkan petikan drama di atas, mengapakah Aiman tidak mahu Nek Sinah memanggilnya dengan panggilan ‘nak Aiman’? [2 markah]
(ii)
Pada pendapat anda, apakah kelebihan memiliki orang gaji atau pembantu rumah di rumah? [3 markah]
(iii)
Jelaskan satu latar tempat yang terdapat dalam petikan drama di atas dan satu latar tempat lain daripada drama tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
SPMLIBRARY.WORDPRESS.COM
Soalan 2(c) – Petikan Prosa Tradisional Baca petikan prosa tradisional di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri. Syahadan, pada suatu hari, maka Tun Perak datang menghadap, duduk di tanah samasama orang banyak. Maka kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, “Tuan Tun Perak mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan. Adapun orang teluk rantau yang lain semuanya menghadap laki-laki juga; adapun orang Kelang ini menghadap dibawa Tun Perak dengan membawa perempuan sekali. Mengapakah maka demikian fiil tuan?” Maka disahut oleh Tun Perak kata itu. Sekali lagi Seri Amerta berkata, itu pun tiada disahuti oleh Tun Perak. Genap tiga kali Seri Amerta berkata itu, maka barulah disahuti oleh Tun Perak, katanya “Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga, hendaklah baik-baik tuan hamba peliharakan, jangan diberi berkarat, jangan kemakanan matanya. Akan pekerjaan kami orang bekerja ini, di mana tuan hamba tahu? Adapaun akan sekarang Duli Yang Dipertuan di dalam negeri ini dengan perempuan anak isteri dan segala perkakas. Maka benarkah pada fikir tuan hamba kami sekalian datang dengan laki-laki juga, dengan begini jauh Selat Kelang? Jikalau satu hal negeri ini, apa hisab pada kami sekalian? Sebab itulah maka segala orang Kelang ini hamba suruh bawa dengan anak isterinya sekali. Nescaya berperang dengan musuh bersungguh-sungguh hatinya; kurang-kurang ia berlawankan Duli Yang Dipertuan lebih ia berlawankan anak isterinya bersunguh-sungguh.”
Dipetik daripada ‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’ dalam antologi Sejadah Rindu, Sasbadi Sdn. Bhd.
(i) Berikan maksud mengadukan halnya. markah]
[2
(ii) Nyatakan alasan-alasan Tun Perak mengarahkan orang Kleang membawa kaum perempuan dan anak-anak mereka berperang. [3 markah] (iii)Tindakan Tun Perak mengarahkan orang Kleang membawa kaum perempuan dan anak-anak mereka ketika berperang merupakan suatu keputusan yang tepat dan wajar. Pada pendapat anda, mengapakah Tun Perak mengambil tindakan tersebut? [3 markah]
SPMLIBRARY.WORDPRESS.COM
SOALAN 2(d)- Petikan Prosa Moden Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri. Erti Hidup Bererti Aku selalu didatangi malam sepi bagai kalung yang melingkari leherku tidak berubah keesokan hari siapa yang akan datang menjengukku keluhan seorang tua sunyi. Keheningan tasik kehijauan rumput hanya menjadi bayangan di penjuru ruang zaman cinta dalam rahim dilupai dari sulung ditendang ke bongsu dari angah ditendang ke sulung balik kucari erti hidup menderita mengerang sakit berdiri tanpa ruang. Aku bagi mereka tiada makna anakku bakaku baik setia mahupun derhaka semoga disirami benih keinsafan menjadi penawar dalam hati embun cinta atasi angin dingin jangan terpegun ada yang mati ada yang hidup tiada yang kekal kecuali Tuhan. Teo Wei Sing Antologi Sejadah Rindu, Sabsidi Sdn. Bhd.
SPMLIBRARY.WORDPRESS.COM
(i) Apakah maksud baris Aku selalu didatangi malam sepi berdasarkan rangkap pertama sajak di atas?
[2 markah]
(ii) Pada pandangan anda, apakah cara-cara yang boleh dilakukan oleh seseorang anak agar dia tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang sudah tua walaupun pada masa yang sama dia sibuk bekerja? Nyatakan tiga cara itu. (iii) Huraikan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam sajak ini.
SPMLIBRARY.WORDPRESS.COM
[3 markah] [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [ 30 markah ] Jawab semua soalan. (a)
Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas. (i) media sosial (ii) litar pintas (iii) masyarakat majmuk (iv) derma kilat (v) pakar bedah (vi) bencana alam
[6 markah]
(b) Tukar cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah tanpa mengubah maksud asalnya. Hakim
: Apakah kursus yang saudara ambil di Akademi Seni Kebangsaan?
Syahmi
: Saya mengikuti kursus diploma dalam bidang teater.
Hakim
: Wah, bagusnya! Pastinya kursus tersebut amat menarik minat saudara.
Syahmi
: Betul kata awak. Saya amat meminati kursus ini kerana teater mampu meningkatkan perasaan yakin terhadap diri sendiri. Selain itu, saya juga dapat berjumpa dengan pelakon-pelakon teater yang saya gemari.
Hakim
: Saya doakan semoga impian saudara akan tercapai dan mampu menjadi pelakon atau pengarah teater yang berjaya pada suatu hari nanti.
Syahmi
: Terima kasih. Semua ini memerlukan usaha yang tinggi. [6 markah]
SPMLIBRARY.WORDPRESS.COM
(c) Dalam petikan di bawah ini, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan dari segi imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan dari segi imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula. Walaupun negara kita telah menjadi sebuah negara yang maju dan berteknology serba canggeh, negara kita masih dihadapi masalah pencemaran. Tidak dapat dinafikan bahawa masalah ini telah jatuhkan imej negara kita pada pandangan mata pelancong dari luar negara. Hal ini akan memberi kesan yang mendalam kepada negara kita, terutamanya sektor pelancongan. Sektor pelancongan banyak memberi sumbangan demi pembangunan negara. Pembangunan negara yang perancangan harus mengambil kira sektor ini. jika tidak, pelancong-pelancong akan beraleh ke negara lain. [6 markah]
(d) Dalam setiap ayat di bawah ini, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan akata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula. (i)
Pak Ali bercadang untuk menganjurkan majlis perkahwinan anaknya November nanti.
di bulan
(ii)
Setiap individu-individu perlu sedar tentang kepentingan mengamalkan pemakanan yang setara.
(iii)
Pelbagai usaha telah dilakukan untuk meningkatkan kuantiti sukan negara bagi setanding dengan negara maju. [6 markah]
(e) Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian isi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.
SPMLIBRARY.WORDPRESS.COM
Shamsul gemar melewat-lewatkan tugasan yang diberikan oleh ketuanya. Selain itu, kebanyakan kerja yang dilakukannya (i)__________________ walaupun masa yang diberikan kepadanya lebih daripada mencukupi. Pada suatu hari, dia dipanggil oleh ketuanya. Beliau menasihati Shamsul supaya mengubah sikap kerana (ii)________________ . Namun, Shamsul masih bekerja sambalewa. Akhirnya, dia diberhentikan kerja. Kini, barulah Shamsul sedar akan kesilapannya. Namun begitu, (iii)____________________ . [6 markah] Soalan 4: Novel [15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah ini berdasarkan novel-novel yang berikut:
(a) Persoalan kegigihan sering dikaitkan oleh pengarang dalam novel yang dihasilkannya. Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua persoalan kegigihan yang terdapat dalam novel tersebut. [7 markah]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu pengajaran daripada setiap novel. [8 markah]
KERTAS SOALAN TAMAT
SPMLIBRARY.WORDPRESS.COM