Siri Pendidikan SIDC
Ke Arah Menjadi Remisier
Pusat Perkembangan Industri Sekuriti Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (Securities Industry Development Centre - SIDC), cabang pendidikan dan latihan Suruhanjaya Sekuriti, memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu peserta pasaran menerusi peningkatan kemahiran, profesionalisme dan kesedaran di kalangan pelbagai kumpulan pasaran. Ia memenuhi objektifnya dengan: •
mendidik para pelabur mengenai risiko dan ganjaran pelaburan, perancangan kewangan dan hak-hak serta tanggungjawab mereka;
•
mempromosikan pemahaman yang lebih meluas mengenai tugas dan tanggungjawab para pengarah dan pemegang saham syarikat awam tersenarai;
•
mempromosikan profesionalisme dan kepakaran di kalangan perantara pasaran;
2
•
menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal menerusi pendidikan;
•
memudahkan perkembangan program pendidikan bagi para pelajar dan ahli akademik universiti tempatan; dan
•
menyediakan bantuan latihan untuk pengawal selia serantau.
Diterbitkan pada Ogos 2000
MENGENALI REMISIER REMISIER ATAU WAKIL PENIAGA BERGAJI TETAP? Saya berminat untuk menjadi remisier. Pertama sekali, saya ingin tahu apakah perbezaan antara remisier dan wakil peniaga bergaji tetap? Remisier adalah ejen bagi sesebuah syarikat broker saham dan menerima komisen bagi setiap transaksi yang dikendalikan, manakala wakil peniaga bergaji tetap adalah kakitangan syarikat broker saham dan dibayar gaji setiap bulan. Kedua-dua remisier dan wakil peniaga tetap diberikan lesen yang sama, iaitu lesen wakil peniaga untuk membolehkan mereka menjalankan dagangan saham. Syarikat broker saham boleh juga dikenali sebagai prinsipal.
PEPERIKSAAN Apakah peperiksaan yang harus saya ambil untuk menjadi remisier? Untuk memperoleh lesen wakil peniaga, anda perlu mengambil peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commission - SC). Sekiranya anda ingin berdagang di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), anda mesti lulus peperiksaan Modul 6 (Pasaran Modal Malaysia dan Undang-undang Sekuriti) dan Modul 7 (Akaun & Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset). Sekiranya anda ingin juga berdagang di Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia (MESDAQ) anda harus menduduki peperiksaan Modul 6, Modul 7 dan Modul 8 (Dagangan di MESDAQ).
3
SYARAT-SYARAT LAIN Selain lulus peperiksaan, apakah syarat-syarat lain untuk seseorang layak menjadi remisier? Selain daripada lulus peperiksaan Modul 6, Modul 7 (dan Modul 8), anda harus memenuhi syarat-syarat berikut: • mesti berumur tidak kurang daripada 21 tahun; • harus memegang: sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang setaraf dengannya dan mempunyai pengalaman bekerja tidak kurang daripada empat tahun dalam industri sekuriti atau industri niaga hadapan atau; • ijazah atau;
4
• diploma yang relevan bagi industri berkenaan daripada universiti atau institusi yang diiktiraf atau; • Diploma Analisis Pelaburan daripada Institut Penyelidikan Penganalisis-penganalisis Pelaburan Malaysia (RIIAM) [sesiapa yang memegang diploma ini dikecualikan daripada mengambil peperiksaan Modul 6 dan 7] atau; • diploma dalam lain-lain bidang dan mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman bekerja dalam industri sekuriti atau pasaran niaga hadapan. • anda telah mendaftar sebagai wakil peniaga pelatih dengan BSKL melalui sebuah syarikat broker saham dan telah menjalani latihan amali selama sebulan dengan syarikat broker saham tersebut; dan • anda bukan muflis dan tiada rekod jenayah.
PELESENAN Siapa yang mengendalikan peperiksaan berlesen bagi pasaran modal? Pusat pendidikan, latihan dan sumber maklumat SC iaitu Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) mengendalikan semua peperiksaan untuk tujuan pelesenan bawah Akta Industri Sekuriti 1983 dan Akta Industri Hadapan 1993. Peperiksaan yang dikendalikan oleh SIDC terbuka kepada orang ramai.
BAYARAN BAGI SETIAP MODUL PEPERIKSAAN Berapakah bayaran bagi setiap modul peperiksaan? Sekiranya anda menduduki peperiksaan bagi kali pertama, anda harus membayar RM200 bagi setiap modul.
5 JIKA GAGAL PEPERIKSAAN Apakah yang harus saya lakukan sekiranya saya gagal peperiksaan? Anda boleh mengulang peperiksaan dengan membayar RM100 bagi setiap modul yang diulangi. Anda hanya dibenarkan mengulang peperiksaan dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pertama anda mengambil peperiksaan. Sekiranya tempoh dua tahun ini tamat, anda harus mendaftar semula dan membayar RM200 bagi setiap modul yang diambil.
BAGAIMANA JIKA LULUS SATU MODUL TETAPI GAGAL YANG LAIN? Sekiranya saya lulus satu modul dan gagal dalam modul yang kedua, apakah keputusan peperiksaan saya? Slip keputusan peperiksaan akan diberikan setiap kali anda menduduki peperiksaan. Sekiranya anda lulus satu modul dan gagal modul yang lain, ianya akan ditunjukkan dalam slip keputusan anda. Anda hanya perlu mengulang peperiksaan bagi modul yang anda gagal sahaja. Sekiranya anda lulus bagi modul tersebut, slip peperiksaan akan menunjukkan keputusan modul yang baru diambil sahaja. Untuk membuat permohonan pelesenan, anda harus mengemukakan kesemua slip keputusan peperiksaan yang diambil.
6
LULUS PEPERIKSAAN Setelah lulus peperiksaan apakah yang perlu saya lakukan? Anda boleh memohon mendapatkan lesen wakil peniaga daripada SC melalui syarikat broker saham, dengan syarat anda telah memenuhi syarat-syarat pelesenan dan berdaftar sebagai wakil peniaga pelatih dengan BSKL serta telah menjalani latihan amali selama sebulan dengan syarikat broker saham.
PERMOHONAN LESEN Apakah yang perlu disediakan atau borang yang perlu dilengkapkan untuk memohon sebagai wakil peniaga berlesen daripada SC? Anda harus menyediakan : • sekeping gambar pasport (warna) yang terbaru;
• butir-butir peribadi; • satu salinan kad pengenalan atau pasport (bagi warganegara asing) yang disahkan benar oleh peguambela atau peguamcara, atau diaku saksi oleh pesuruhjaya sumpah; • keputusan akademik atau kelayakan profesional yang disahkan benar oleh seorang peguambela atau peguamcara, atau diaku saksi oleh pesuruhjaya sumpah; • slip keputusan peperiksaan pelesenan; • Surat Akuan Berkanun yang diaku saksi oleh pesuruhjaya sumpah; • satu salinan surat pelantikan sebagai wakil peniaga pelatih daripada BSKL; • akuan tamat latihan amali daripada syarikat broker saham;
7 • surat daripada dua orang penyokong yang mengenali anda lebih daripada lima tahun; • borang permohonan untuk lesen wakil peniaga (lengkapkan borang 8); dan • bayaran yuran pemprosesan RM50. Setelah permohonan anda diluluskan oleh SC, anda dikehendaki mengambil lesen anda dan membayar yuran pelesenan sebanyak RM200.
PEMBAHARUAN LESEN Adakah lesen tersebut perlu diperbaharui daripada masa ke semasa? Seksyen 13 Akta Industri Sekuriti 1983 telah menetapkan bahawa lesen wakil peniaga perlu diperbaharui pada setiap tahun. Bayaran pembaharuan lesen adalah sebanyak RM250 iaitu RM50 untuk yuran pemprosesan dan RM200 untuk lesen. Sekiranya lesen tidak diperbaharui, remisier atau wakil peniaga tidak boleh menjalankan dagangan saham.
MEMULAKAN URUS NIAGA Setelah mendapat lesen wakil peniaga, bilakah saya boleh memulakan urus niaga? Anda perlu mendaftar sebagai wakil peniaga berlesen dengan BSKL sebelum menjalankan urus niaga saham.
8
Anda boleh memulakan urus niaga saham dengan lesen tersebut berdasarkan apa yang telah anda persetujui berkenaan had dagangan dengan syarikat broker saham anda. Had dagangan anda adalah tertakluk kepada jumlah deposit sekuriti yang anda letakkan bersama prinsipal anda, iaitu syarikat broker saham tersebut.
TAHAP MAKSIMUM URUS NIAGA DAN JUMLAH DEPOSIT Berapakah tahap maksimum urus niaga saya dan apakah kaitannya dengan jumlah deposit? Jumlah deposit akan menentukan tahap maksimum urus niaga anda.
Sekiranya anda menyediakan deposit pada jumlah yang rendah (contohnya RM30,000), syarikat broker saham mungkin membenarkan anda menjalankan urus niaga sehingga sepuluh kali ganda daripada amaun tersebut (dalam kes ini anda boleh menjalankan urus niaga tidak melebihi RM300,000. Ini dinamakan tahap maksimum urus niaga). Lebih tinggi deposit sekuriti yang disediakan, lebih tinggi juga tahap urus niaga maksimum anda.
URUS NIAGA MELEBIHI TAHAP MAKSIMUM Apakah yang akan terjadi sekiranya saya menjalankan urus niaga melebihi tahap maksimum? Syarikat broker saham mungkin menggantung urus niaga anda.
MEMBUAT KEUNTUNGAN Bagaimanakah remisier membuat keuntungan? Remisier boleh diumpamakan sebagai usahawan. Remisier tidak terikat sebagai pekerja syarikat broker saham dan tidak menerima gaji tetap daripada syarikat broker tersebut. Seperti usahawan, remisier harus menanggung kos operasi semua aktivitinya sendiri seperti menyewa ruang pejabat, telefon, komputer dan lain-lain kemudahan daripada syarikat broker saham. Dia juga harus mendapatkan pelanggan sendiri. Pendapatan remisier bergantung kepada komisen bagi setiap transaksi dagangannya. Nisbah komisen adalah 40 peratus untuk remisier dan 60 peratus untuk syarikat broker saham bagi setiap dagangan. Lebih tinggi urus niaga yang dilaksanakan, lebih banyak komisen yang diperolehi.
9
Nota:
10
Nota:
11
Nota:
12