Pusat Perkembangan Industri Suruhanjaya Sekuriti Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (Securities Industry Development Centre – SIDC), cabang pendidikan dan latihan Suruhanjaya Sekuriti, memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu peserta pasaran menerusi peningkatan kemahiran, profesionalisme dan kesedaran di kalangan pelbagai kumpulan pasaran. Ia memenuhi objektifnya dengan: •
mendidik para pelabur mengenai risiko dan ganjaran pelaburan, perancangan kewangan dan hak-hak serta tanggungjawab mereka;
•
mempromosikan pemahaman yang lebih meluas mengenai tugas dan tanggungjawab para pengarah dan pemegang saham syarikat awam tersenarai;
•
mempromosikan profesionalisme dan kepakaran di kalangan perantara pasaran;
•
menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal menerusi pendidikan;
•
memudahkan perkembangan program pendidikan bagi para pelajar dan ahli akademik universiti tempatan; dan
•
menyediakan bantuan latihan untuk pengawal selia serantau.
Hak cipta Suruhanjaya Sekuriti Hak cipta terpelihara. Dilarang menerbit semula atau menyalin mana-mana bahagian dalam buku kecil ini dalam apa juga bentuk dan dengan apa jua cara sama ada melalui grafik, elektronik atau mekanikal, termasuk fotokopi, rekod, pita, atau sistem perolehan maklumat, tanpa kebenaran bertulis daripada Pusat Perkembangan Industri Sekuriti. Buku kecil ini bertujuan untuk memberikan pemahaman tentang subjek dan bukanlah penerbitan yang menyeluruh. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan nasihat perundangan atau mengurangkan sebarang tanggugjawab (statutori atau sebaliknya) yang mungkin terpakai kepada mana-mana orang di bawah undang-undang yang sedia ada.
Oktober 2002
2
Pengenalan Pasaran Modal Islam (PMI) merupakan salah satu cabang utama dalam sistem kewangan Islam yang juga merangkumi perbankan Islam dan insurans Islam atau takaful. Perkembangan PMI secara langsung meluaskan lagi aktiviti ekonomi yang berasaskan Syariah dan ini sememangnya perlu kerana keperluan masyarakat Islam terhadap penggunaan produk-produk berasaskan Syariah untuk kegiatan ekonomi yang semakin meningkat. PMI di Malaysia pada hari ini wujud seiring dengan pasaran modal konvensional menggunakan prasarana pasaran yang sama. Komponen dan aktiviti PMI adalah berpandukan kepada perundangan Islam atau Syariah yang lahir daripada sumber yang muktabar dan diperakui oleh para ulama fikah. Komponen dan aktiviti PMI merangkumi produk, instrumen dan operasi yang dilaksanakan dan dipadankan dengan prinsip-prinsip Syariah. Oleh itu, bagi memastikan komponen dan aktiviti PMI tersebut selaras dengan prinsip-prinsip Syariah, peranan penasihat Syariah seperti para ulama yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang fiqh muamalat (kewangan Islam) adalah penting bagi mewujudkan satu tahap keyakinan di kalangan peserta pasaran terutama yang beragama Islam.
Asas Pasaran Modal Islam Kewujudan PMI dianggap masih baru berbanding sistem perbankan Islam yang telah bertapak di negara ini sejak penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad pada 1983 dan Syarikat Takaful Malaysia pada tahun 1984. Kemudian diwujudkan pula Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) atau kini dipanggil Skim Perbankan Islam (SPI) yang beroperasi di bank-bank perdagangan konvensional. Semua perkembangan di sektor perbankan dan takaful yang menerapkan prinsip-prinsip Syariah dalam urus niaga mereka secara tidak langsung merangsang perkembangan PMI. Walaupun PMI dianggap baru, tetapi hakikatnya, falsafah dan prinsip mengenai PMI sudah digariskan dalam al-Quran dan al-Sunah sebagai gedung
3
khazanah yang belum dikembangkan. Dalam al-Quran dan al-Sunnah terdapat perintah, larangan dan panduan bagi umat manusia dalam membentuk ekonomi yang adil dan saksama. Kedua-dua sumber ini menjadi teras rujukan dalam membentuk dan memajukan PMI sama ada dari sudut konsep, instrumen ataupun peraturan. Selain daripada keduadua sumber tersebut, sumber fikah juga dijadikan sebagai rujukan PMI kerana ia tidak kurang penting dalam menyumbangkan idea-idea bernas yang dihasilkan oleh para ilmuan fikah silam dan kini. Islam menuntut umatnya berlaku adil dalam segenap aspek kehidupan termasuk dalam urusan perdagangan dan kewangan. Selaras dengan perintah dan suruhan tersebut, maka unsur-unsur larangan seperti riba, judi dan gharar yang ditegah oleh Islam menjadi asas penting sebagai sempadan dalam menilai dan menentukan sesuatu produk atau instrumen PMI.
Objektif Pasaran Modal Islam Pembangunan dan perkembangan PMI merupakan sebahagian daripada tuntutan semasa berasaskan kesedaran yang tinggi di kalangan umat Islam sendiri. Umat Islam yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat mula memberikan perhatian serius tentang pasaran kewangan yang berlandaskan Syariah. Bagi menyahut seruan ini, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mengaturkan beberapa langkah perlu agar perjalanan pasaran modal Islam mematuhi kehendak Syariah. Antara langkah yang diambil ialah menyediakan prasarana penting seperti mewujudkan sebuah badan penasihat Syariah di peringkat kebangsaan iaitu Majlis Penasihat Syariah (MPS) yang dianggotai oleh lapan orang ahli yang berpengalaman luas dalam bidang muamalat dan kewangan Islam. MPS berfungsi sebagai badan rujukan utama bagi isu berkaitan dengan perjalanan dan pematuhan aktiviti-aktiviti PMI dengan prinsip Syariah. Kewujudan PMI membuka peluang kepada umat Islam untuk menjana modal seberapa banyak yang mungkin. Semakin besar modal digemblengkan semakin kukuh kedudukan ekonomi dan sekali gus dapat membantu
4
pembangunan ekonomi umat Islam secara terancang dan bersepadu serta bersih daripada unsur-unsur riba, judi, gharar dan perkara lain yang ditegah oleh Islam. Amalan penggemblengan modal untuk digunakan bagi faedah umum tidak bertentangan dengan Islam selagi cara dan kaedahnya bersumberkan prinsip-prinsip Syariah.
Keperluan kepada Pasaran Modal Islam Umat Islam digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam sektor ekonomi dan perdagangan supaya mereka mampu bersaing dalam era dunia tanpa sempadan atau lebih dikenali sebagai era globalisasi. Untuk itu, umat Islam harus mengambil sikap proaktif dengan membabitkan diri secara aktif dalam ekonomi. Kelalaian umat Islam merebut peluang dalam sektor ekonomi akan menyebabkan mereka lemah dan ketinggalan dalam semua segi. Memahami hakikat ini PMI dianggap perlu kerana ia dilihat dari tiga sudut: • Sifat semula jadi manusia • Tuntutan agama • Tarikan kepada aktiviti ekonomi Sifat semula jadi manusia Keinginan memiliki harta kekayaan ialah fitrah manusia dan ini diakui oleh Islam. Islam membenarkan manusia memiliki harta sebanyak yang mungkin selagi tidak terlibat dengan perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan cara memperoleh harta adalah halal serta mematuhi prinsip-prinsip Syariah. Pemilikan harta diharuskan oleh Islam bertujuan mempertingkatkan taraf hidup umat Islam. Tuntutan agama Bidang perniagaan adalah salah satu amalan yang dipandang mulia selagi ia dilakukan dengan jujur dan
5
amanah. Sifat jujur dan amanah yang dimaksudkan ialah menjalankan perniagaan dengan penuh rasa tanggungjawab serta bersih daripada sebarang penipuan. Seseorang peniaga itu dianggap tidak jujur dan tidak amanah jika melakukan perbuatan seperti menyorok barang jualan, menipu timbangan dan menaikkan harga sesuka hati. Manakala barang dagangan mestilah yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat umum, bukan barangan yang diharamkan oleh Islam atau yang mendatangkan kemudaratan. Peniaga yang amanah pasti memberi sumbangan besar dalam membangunkan ekonomi negara. Selain menjadi penggerak kegiatan ekonomi dan perantara yang menghubungkan pengeluar barangan dengan pengguna, golongan peniaga juga memberi sumbangan besar dari segi zakat perniagaan. Zakat diibaratkan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan umat kerana ia boleh merapatkan jurang perbezaan antara masyarakat miskin dengan masyarakat kaya. Tarikan kepada aktiviti ekonomi Pasaran modal merupakan medan untuk menjana modal bagi memperluaskan aktiviti ekonomi dan sekali gus dapat menyediakan peluang-peluang pelaburan kepada pengamal pasaran khasnya dan masyarakat amnya. Corak pelaburan di PMI adalah pelbagai bergantung kepada jenis produk dan instrumen yang digunakan. Secara umumnya, ciri-ciri produk PMI terdiri daripada akad perkongsian keuntungan, perkongsian untungrugi dan keuntungan tetap. Berpandukan kepada ciri-ciri produk PMI sebagaimana yang disebut tadi, membuktikan bahawa umat Islam bukan sahaja digalakkan bekerjasama dalam perkara kebajikan, tetapi juga dituntut supaya menjalankan aktiviti perniagaan atau pelaburan secara bersama. Jika aktiviti pelaburan yang mereka jalankan memperoleh keuntungan, mereka akan sama-sama berkongsi keuntungan tersebut berdasarkan persetujuan antara mereka. Demikian juga, jika pelaburan mereka
6
mengalami kerugian, mereka akan sama-sama menanggung kerugian. Ini jelas menunjukkan bahawa medan pelaburan tidak semestinya menjanjikan keuntungan kepada para pelabur malah ia bergantung kepada tahap risiko sesuatu produk dan persekitaran sesuatu pelaburan. Oleh sebab itu masyarakat pelabur harus bijak mengurus atau mentadbir pelaburan yang mereka ceburi supaya risiko kerugian dapat diatasi atau sekurang-kurangnya pada tahap minimum. Biarpun Islam tidak menjanjikan bahawa aktiviti ekonomi semestinya menguntungkan, namun ia diklasifikasikan sebagai aktiviti yang paling lumayan berbanding pekerjaan lain atau mata pencarian. Ini jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Hendaklah kamu menceburi bidang perniagaan kerana padanya terdapat sembilan daripada 10 pecahan rezeki”. (Riwayat Ibrahim Harbi) Sejarah juga menunjukkan bahawa kebanyakan golongan berharta terdiri daripada masyarakat peniaga yang berjaya.
Panduan Syariah dalam Pasaran Modal Islam Untuk memastikan setiap instrumen dan peraturan yang diperkenalkan mematuhi kehendak Syariah, dua asas penting yang merangkumi asas umum dan asas khusus menjadi rujukan. Asas-asas umum terdiri daripada riba, judi dan gharar manakala asas khusus ialah terdiri daripada prinsip at-tanajusy (penipuan yang dilakukan bertujuan menaikkan harga tawaran), tadlis al-‘aib (penipuan terhadap kualiti barangan), al-khilabah (tipu daya dalam urus niaga) dan al-khiyanah (penipuan pada kadar modal). Larangan aktiviti riba Riba mengikut bahasa Arab bermaksud “sesuatu yang bertambah”. Ini tidak bermakna semua perkara yang
7
bertambah itu riba mengikut hukum fikah. Amalan riba yang biasa dilakukan pada zaman jahiliah antaranya adalah dalam bentuk jual beli secara hutang. Apabila sampai tempoh yang dijanjikan dan pembeli tidak dapat membayar hutangnya, penjual akan memanjangkan tempoh dengan ditambah jumlah hutang yang perlu dibayar. Secara umumnya, riba terbahagi kepada dua kategori iaitu, riba qurudh (riba yang berlaku melalui hutang atau pinjaman) dan riba buyu’ (riba yang berlaku melalui jual beli). Larangan aktiviti judi Judi dalam bahasa Arab disebut sebagai qimar atau maisir yang bermaksud apa jua aktiviti yang melibatkan pertaruhan. Pihak yang menang mengambil semua pertaruhan dan pihak yang kalah kehilangan benda atau barang pertaruhannya. Larangan aktiviti yang mempunyai unsur gharar Gharar ditakrifkan sebagai ketidakpastian atau penipuan ketika melakukan akad jual beli. Ia merujuk sama ada kepada barangan yang tidak pasti wujud atau harga yang tidak pasti atau penipuan terhadap harga atau sifat barang jualan. Islam menolak jual beli seperti ini kerana ia mempunyai unsur penipuan. Gharar mempunyai dua kategori iaitu gharar yasir (dengan kadar sedikit) dan gharar fahisy (dengan kadar yang melampau). Gharar yang ditegah mengikut prinsip Syariah ialah gharar fahisy kerana ia boleh memberi kesan kepada kesahihan sesuatu akad. Unsur gharar akan dianggap sebagai fenomena biasa dalam pasaran sekiranya tidak melampau. Kaedah ini diterima pakai oleh para ulamak fikah kerana untuk membasmi dan menjamin pasaran bebas daripada gharar secara total adalah rumit. Oleh itu, gharar yasir dianggap sebagai unsur yang tidak mencacatkan pasaran.
8
Larangan aktiviti al-tanajusy Al-tanajusy merujuk kepada persepakatan secara senyap antara penjual dan pembeli supaya pembeli tersebut menunjukkan keinginan membeli dengan membayar harga lebih tinggi. Ini dilakukan supaya orang lain terpedaya dan berebut-rebut membeli barangan yang sama dengan harga tinggi supaya dengan tindakan ini penjual dapat mengaut keuntungan berlipat ganda. Larangan aktiviti tadlis al-‘aib Tadlis al-‘aib ialah kegiatan menyembunyikan kecacatan yang terdapat pada barang jualan yang sengaja dilakukan oleh penjual. Larangan aktiviti al-khilabah Al-khilabah ialah suatu bentuk tipu daya, sama ada dengan perbuatan atau perkataan yang dilakukan oleh salah seorang daripada pihak yang berakad jual beli dengan tujuan menarik minat pihak lain untuk melakukan akad jual beli. Larangan aktiviti al-khiyanah Al-khiyanah merujuk kepada penipuan dalam menyatakan kadar sebenar modal yang telah digunakan dalam membeli barangan.
Prinsip-prinsip Syariah Prinsip-prinsip Syariah yang lazim digunakan dalam penstrukturan sesuatu produk PMI adalah seperti yang berikut: • Bai‘ Bithaman Ajil (jual beli dengan pembayaran bertangguh) • Bai‘al-Inah (pembelian semula aset dengan harga yang berbeza daripada harga jual) • Bai‘as-Salam (jual beli dengan penyerahan barangan pada masa hadapan)
9
• Bai‘al-Wafa’ (jual beli bersyarat) • Al-Ijarah (sewaan) • Al-Ijarah Thumma al-Bai‘ (sewa berakhir dengan pembelian) • Al-Istisna‘ (tempahan) • Al-Mudharabah (perkongsian keuntungan) • Al-Murabahah (jual beli dengan dinyatakan kos dan keuntungan) • Al-Musyarakah (perkongsian untung rugi) • Qardhul Hasan (pinjaman ehsan) • Bai‘ad-Dayn (jual beli hutang) • Bai‘al-Muzayadah (jual beli secara tawaran terbuka) • Al-Kafalah (jaminan) • Haq at-Tamalluk (hak milikan) • Al-Hawalah (pemindahan tanggungan hutang) • Al-Ibra’ (pengguguran hak tuntutan) • Ittifaq Dhimni (setuju praakad) • Ar-Rahnu (gadaian) • Sukuk (sijil sekuriti) • Al-Ujrah (upah/yuran) • Al-Wakalah (agensi)
10