PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, Hakim Zainal, Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, Maheram Ahmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin © Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm
Jasa dan Sumbangan Tuan Guru Haji Ghazali dalam Pengasasan Madrasah al-Nahdat al-Islahiyah, Kampung Mundok, Sungai Golok sebagai Institusi Pendidikan Islam di Selatan Thailand 1
Salamiah Ab. Ghani, 2Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad & 1Suhaila Zailani @ Ahmad 1
2
Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor
Abstrak: Artikel ini bertujuan untuk mengkaji ketokohan seorang ulama yang terkenal dan dihormati oleh masyarakat Islam di Selatan Thailad terutamanya di Daerah Sungai Golok, iaitu Tuan Guru Haji Ghazali. Ia juga bertujuan untuk mendalami kegigihan beliau untuk membina sebuah institusi pendidikan untuk memberi peluang kepada umat Islam menimba ilmu pengetahuan. Kajian ini menggunakan metod kajian kepustakaan dan juga melalui kaedah temu bual dengan tokoh-tokoh yang hidup sezaan dengan beliau. Hasil kajian mendapati Tuan Guru Haji Ghazali telah berjuang dengan gigih sehingga ke akhir beliau untuk membina sebuah institusi pendidikan agama yang mampu memberi pendidikan kepada umat Islam bagi menjamin mereka hidup di landasan sebenar seperti yang dituntut oleh agama Islam.
PENGENALAN Tuan Guru Haji Ghazali Jalaluddin merupakan tokoh ulama yang terkenal dan dihormati oleh umat Islam di wilayah Patani, terutamanya di daerah Sungai Golok semenjak tahun 1940-an (Sabri Haji Daud 1987:82). Beliau lebih dikenali dengan panggilan “Tok Guru Haji Ghazali”. Nama sebenar beliau ialah Sabar bin Jalal (Haji Yahya Haji Hassan 2010). Beliau dilahirkan pada tahun 1911M di desa Manambin, terletak di Kecamatan Kota Nopan, daerah Tapanoli Selatan, Sumatera Utara, Indonesia (Muhammad Yunani 1989:143). Beliau berasal daripada golongan bangsawan suku Mandeling berketurunan Lubis. Datuk beliau pula berketurunan India. Bapa beliau bertugas sebagai pegawai di istana, dari situlah beliau mendapat gelaran "Lubis" Bapa beliau juga merupakan ketua kampung di desa Manambin. Kaum keluarga beliau yang masih berada di desa Manambin masih berpegang teguh dengan adat resam masyarat berketurunan "Lubis" seperti adat masyarakat yang berketurunan "Lubis" tidak boleh berkahwin mereka yang di luar suku "Lubis" khususnya kaum wanita (Mek Napisah 2010). Tuan Guru Haji Ghazali merupakan anak yang ke tiga daripada enam beradik. Beliau menerima pendidikan awal di pesantren (pondok) di Sumatera (Sabry Haji Daud 1987:82). Sebelum beliau berusia dua belas tahun, beliau dikatakan telah menyatakan kepada dua ibu bapa beliau tentang hasratnya ingin meninggalkan kampong halaman mendalami ilmu agama. Ketika berusia 13 tahun (Mek Napisah
2010), dengan restu dan keizinan ibu bapa, beliau berhijrah ke Medan. Pada usia yang begitu muda, beliau memulakan episod pengembaraan beliau untuk menimba dan mendalami ilmu pengetahuan dengan berbekalkan kesabaran, kecekalan dan semangat yang kuat. Beliau didapati telah bekerja sebagai penjual kain semasa berada di Medan untuk mencari nafkah dan bekalan untuk meneruskan perjuangan dalam menimba ilmu pengetahuan (Haji Yahya Haji Hasan 2010). Beliau kemudiannya merantau ke negeri Kedah. Pada ketika itu, beliau dikatakan berusia 15 tahun (Sabry 1987: 52). Pada waktu itu, negeri Kedah terkenal di alam Melayu sebagai tempat penyebaran ilmu agama kerana terdapat ramai tokoh ilmuan yang berwibawa dan hebat di negeri Kedah seperti Tuan Guru Haji Bakar Tobiar, pengasas Pondok Penyarum di Pendang Kedah dan Tuan Guru Haji Idris dan Lebai Dukun yang mengendalikan Pondok Air Hitam. Manakala di Madrasah Darul Sa’adah al-Islamiyah, Pondok Titi Gajah terdapat seorang guru yang terkenal iaitu Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir yang terkenal dengan panggilan Pakcu Him (Haji Yahya Haji Hasan 2010). Menurut sumber yang lain, selepas berhijrah ke Kedah, Tuan Guru Haji Ghazali belajar di Pondok Haji Hussain Haji Ahmad, kampong Titi Gajah Alor Star Kedah. Kebijaksanaan beliau dilantik sebagai ‘ketua mutala’ah’ di pondok tersebut. Beliau juga pernah belajar di Pondok Syeikh al-Junaid, Padang Rengas Kuala Kangsar, Perak. Selepas itu, beliau merantau ke Kelantan dan menyambung pengajian di Pondok Tok Kenali, Pondok Haji Abdullah Tahir, Bunut Payung, Kota
547
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Bharu dan pada masa yang sama, beliau ‘menadah kitab’ di Masjid Muhammadi Kota Bharu (Muhammad Yunani 1989:143) Tuan Guru Haji Ghazali sezaman dengan salah seorang ulama yang terkenal di nusantara iaitu Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutallib al-Mandili Mereka merupakan sahabat karib yang sama-sama merantau dari Sumatera ke Tanah Melayu, menjelajahi negeri Kedah, Perak dan Kelantan untuk menimba ilmu pengetahuan. Walaupun Tuan Guru Haji Ghazali tidak pernah memberitahu secara tepat, menurut cerita anak-anak dan murid-murid beliau, beliau juga berkesempatan mendalami ilmu-ilmu agama dari ulama-ulama yang tersohor dalam mengembangkan ilmu agama di Kedah. Kemungkinan besar guru-guru Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutallib al-Mandili juga merupakan guru-guru beliau (Haji Yahya Haji Hasan 2010). Pendidikan di Makkah al-Mukarramah: Setelah hampir 17 tahun berada di Kelantan, Tuan Guru Haji Ghazali dan sahabatnya, Syeikh Abdul Qadir alMandili berangkat ke tanah suci Makkah alMukarramah untuk mendalami ilmu pengetahuan. Selama lima tahun beliau berada di Mekah (Muhammad Yunani 1989:143), Tuan Guru Haji Ghazali pulang dari Mekah pada 1940. Beliau juga belajar dengan guru-guru al-marhum Syeikh Abdull Qadir al-Mandili seperti Pakda 'Ali, Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir; dan ulama yang lain seperti Syeikh al-Maliki, Syeikh Hassan al-Masyat, Syeikh Muhammad al-Arabi, Syeikh Sayyid al-Alawi dan Syeikh Muhammad Ahyad. Syeikh Abdul Qadir alMandili telah mendapat pengiktirafan ulama-ulama Makkah sehingga beliau diberi izin untuk mengajar di Masjidil Haram. Manakala Tuan Guru Haji Ghazali tidak memilih untuk menetap di Mekah, beliau kembali ke Tanah Melayu. Walau bagaimanapun semasa berada di Makkah, menurut Haji Yahya Yahya Haji Hassan (Paksu Haji Ya), yang merupakan salah seorang murid Tuan Guru Haji Ghazali yang paling tua, gurunya dan Syeikh Abdul Qadir al-Madili samasama mengajar di Masjidil Haram. Semasa beliau pergi menunaikan fardu haji ke Makkah, beliau telah bertemu dengan kedua-dua tokoh tersebut. Selepas menunaikan fardu haji, beliau mengambil keputusan menetap di makkah untuk menunu ilmu pengetahuan. Beliau tinggal di Makkah selama beberapa tahun dan berguru dengan ulama-ulama yang mengajar di Masjidil Haram termasuklah dua orang tokoh tersebut(Haji Yahya Haji Hasan 2010). Semasa berada di Makkah, Tuan guru haji Ghazali juga telah bertemu jodoh dengan Siti Hafsah binti Haji Taib. Beliau telah diperkenalkan dengan ayah mentuanya, Haji Taib yang menetap bersama keluarganya di Makkah. Haji Taib merupakan seorang yang kaya dan berasal dari Lubuk Jong, yang sekarang ini dikenali dengan nama Kampong Batu Tiga, Repek, Pasir Mas, Kelantan. Haji Taib
telah mendorong Tuan Guru Haji Ghazali supaya pulang ke Kelantan untuk menyebarkan ilmu agama kepada penduduknya dengan membuka pondok di Lubuk Jong atau Kampung Batu Tiga Repek. Manakala sahabat karib beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Mandili terus menetap di Makkah dan mengajar di dalam Masjidil Haram(Haji Yahya Haji Hasan 2010). Peristiwa ini berlaku sekitar 1940-an (Sabry Haji Daud 1987: 82) Setelah pulang ke tanahair, Haji Yahya (Paksu Haji Ya) menimba ilmu pengetahuan di pondok Tuan Guru Haji Ghazali di Lubuk Jong, akan tetapi tidak lama kerana dikatakan belum begitu mengerti mengenai kepentngan ilmu pengetahuan, lalu kembali semula ke Kampung Mundok (Haji Yahya Haj Hasan 2010). Penghijrahan Tuan Guru Haji Ghazali ke Kampung Mundok, Sungai Golok: Tuan Guru Haji Ghazali tidak dapat meneruskan pengajarannya di pondok Lubuk Jong kerana Jepun telah menyerang dan menjajah Tanah Melayu. Tenteratentera Jepun terkenal dengan sikap ganas dan bengis. Mereka menangkap orang-orang awam dan membawa mereka ke Burma untuk mebina jalan kereta api. Pada masa itu jalan kereta api merupakan laluan utama dari Pekan Sungai Golok, Siam ke Burma. Penangkapan terhadap orang-orang awam berlaku tiap-tiap hari khususnya terhadap pendudukpenduduk di sekitar Pasir Mas Kelantan. Keadaan demikian telah memaksa ramai penduduk di sekitar Pasir Mas berhijrah ke selatan Siam dengan membawa bersama harta benda mereka termasuklah binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan sebagainya (Haji Yahya 2010) Keadaan huru-hara yang terjadi akibat pendudukan Jepun ini juga menyebabkan Tuan Guru Haji Ghazali dan juga bapa mentuanya, Haji Taib merasa tidak senang hati untuk terus berada di Lubuk Jong. Mereka berdua ke rumah Haji Sulaiman bin Haji Ngah yang tinggal di Kampung Siram Alor, Pasir Mas. Mereka mengadakan mesyuarat dengan Haji Che Hasan, ayah kepada Paksu Haji Yahya yang merupakan neban iaitu penghulu kampong Mundok, Sungai Golok. Mereka mengambil keputusan mesyuarat untuk memindahkan pondok yang telah dibina Lubuk Jong, Repek ke Kampung Mundok, Sungai Golok (Haji Yahya Haji Hasan 2010). Keputusan in juga telah membawa kepada penghijrahan Tuan Guru Haji Ghazali ke Kampung Mundok. Peritawa ini berlaku sekitar 1941, ketika penjajahan Jepun semakin rancak di Tanah Melayu termasuklah negeri Kelantan. Keputusan ini juga telah memulakan episod perjuangan Tuan Guru Haji Ghazali kepada masyarakat Islam di selatan Thai. Jasa dan sumbangan beliau sangat besar dalam mengubah pemikran dan cara hidup masyarakat Islam di wilayah ini kea rah kehidupan yang lebih baik (Sabry Haji Daud 1987: 82).
548
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Penubuhan Madrasah al-Islahiyyah alIslamiyyah di Kampong Mundok: Tuan Guru Haji Ghazali berangkatlah ke kampong Mundok dan tinggal sementara di rumah Pakcu Hamad yang terletak di Seberang Kuala Kampung Mundok. Pakcu Hamad mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mentuanya, Haji Taib. Pada peringkat permulaan, pengajian agama diadakan di rumah persendirian yang disertai kira-kira 15 orang tempatan. Mereka juga bertindak selaku pengawal keselamatan Tuna Guru Haji Ghazali dan keluarga dari sebarang ancaman kerana mereka baru sahaja berpindah ke Kampung Mundok yang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Siam, sementelah lagi pendudukan Jepun masih berlangsung(Sabry Haji Daud 1987: 83). Tuan Guru Haji Ghazali bersama Pakcu Hamad dan Haji Che Hasan meninjau kawasan yang sesuai untuk mendirikan pondok bagi meneruskan penyebaran ilmu. Setelah melihat kawasan di sekitar kampong Mundok, Tuan Guru memilih satu kawasan kepunyaan Cek Mamat. Haji Che Hasan telah merundingkan dengan Che Mamat mengenai tanahnya yang mahu dibeli oleh Tuan Guru untuk mendirikan pondok. Pada mulanya Cek Mamat tidak bersetuju, alasannya kerana beliau tidak mempunyai tanah yang lain. Beliau kemudiannya bersetuju sekiranya tanahnya ditukarkan dengan sawah padi kerana beliau belum mempunyai sawah. Pakcu Hamat sanggup memberikan sawah padi beliau kepada Cek Mamat tetapi tidak dipersetujui oleh Che Mamat kerana beliau inginkan sawah yang terletak di kawasan Dalam Repuh. Alasan beliau ialah sawah di kawasan itu boleh diusahakan untuk menanam padi walaupun pada musim kemarau. Haji Taib memiliki sawah padi di kawasan Dalam Repuh bersetuju untuk memberi sawah padinya kepada Che Mamat. Che Mamat beretuju dengan dengan cadangan itu. Setelah dibuat penilaian antara tanah Che Mamat dengan Tanah Haji Taib, didapati tanah Che Mamat lebih luas dari tanah Haji Taib. Tuan Haji Ghazali pun membuat kutipan derma daripada orang ramai untuk membayar berbezaan tanah tersebut. Che Mamat bersetuju dengan pembayaran itu(Haji Yahya 2010). Selepas itu Tuan Guru Haji Ghazali melantik dua belas orang pembantu yang sanggup tinggal di kawasan itu. Akhirnya tapak bangunan rumah dan madrasah telah dibina. Buat sementara waktu, Tuan Guru Haji Ghazali masih menumpang di rumah Pakcu Hamad di Seberang Kuala. Walau bagaimanapun beliau meneruskan kerjayanya sebagai seorang guru dengan memgajar empat hingga lima orang murid sahaja. Di antara mereka ialah Paksu Haji Ya, Abdullah Awang Mengati, Yusuf bin Haji Saleh, Nik soh bin Nik Lah dan Che Umar bin Che Nuh. Mereka merupakan murid sulung Tuan Guru Haji Ghazali selepas beliau menetap di Kampung Mundok. Tidak lama selepas itu, Tuan Guru Haji Ghazali mengadakan mesyuarat
dengan 12 ahli jawatankuasa yang dilantik dan juga orang kampung yang lain telah mengadakan mesyuarat mengenai pembinaan ‘balasah(musalla)’ sebagai tempat beribadah dan juga tempat mengajar ilmu agama. Mereka mengambil keputusan untuk memindahkan musalla di Lubuk Jung Repek ke Kampong Mundok. Orang kampong pergi ke Lubuk Jung dan mereka secara bergotong royong merombak bangunan musalla dan memuatkannya di atas rakit yang dibuat daripada buluh. Mereka membawa bangunan musalla yang dirombak itu dengan rakit melalui sungai Lubuk Jung, sungai Lacang dan terus ke sungai Mundok dan berlabuh di Pengkalan Wakaf Kampung Mundok. Mereka kemudiannya memunggah kayu-kayu tersebut ke tapak balasah (musalla) yang ada sekarang ini. Tuan Guru Haji Ghazali bersama dengan orang kampong secara bergotong royong membangunkan musalla. Beliau menamakan ‘balasah’ tersebut sebagai Madrasah al-Nahdah al-Islahiyyah (Haji Yahya 2010). Madrasah ini diasaskan pada tahun 1942(Sabry Haji Daud 1987:82). Selepas pembinaan musalla tersebut siap, Tuan Guru Haji Ghazali mengajak mereka mengambil rumah beliau yang berada di Lubuk Jong Repek kerana beliau masih belum ada tempat tinggal dan masih menumpang di rumah Pakcu Hamad. Orang ramai pun bersetuju untuk pergi ke lubuk Jung dan memunggah rumah tersebut untuk dibawa balik rumah itu ke kampong Mundok dengan menggunakan cara yang sama. Rumah itu telah dibina kembali berhampiran dengan bagunan madrasah (musalla/balasah). Tuan Guru haji Ghazali telah berpindah ke rumah tersebut dan meneruskan tugas mengajar di madrasah yang baru dibina itu. Pengajaran beliau mendapat sambutan yang sangat memberansangkan. Menurut Haji Yahya ‘ada yang datang dengan menadah kiltab dan ada juga yang menadah telinga. Sambutan begitu hebat sehinggakan ada yang terpaksa duduk dibawah balasah’ (Haji Yahya 2010). Perkembangan Madrasah al-islahiyyah alIslamiyyah: Penubuhan Madrasah al-islahiyyah alIslamiyyah membawa fenomena baru khususnya di Kampung Mundok dan Daerah Sungai Golok. Usaha Tuan Guru Haji Ghazali membuka pondok menyebabakan kawasan tersebut menjadi tumpuan umat Islam sekitar. Perkembangan yang berlaku di madrasah tersebut telah mendapat perhatian seorang polis yang dikenali sebagai Tok Neca Muka Merah kerana beliau dikatakan terlalu garang dan bengis. Polis tersebut telah menahan Tuan Guru Haji Ghazali dan membawa beliau ke rumah pasung. Berita tersebut telah sampai ke pengetahuan Neban(Penghulu) Haji Che Hasan. Beliau bergegas ke rumah pasong dan mengakui kepada polis tersebut bahawa Tuan Guru haji Ghazali merupakan anak beliau yang baru pulang setelah lama merantau ke Mekah untuk menuntut ilmu. Sebab itulah beliau
549
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
tidak dikenali dan dianggap sebagai orang asing. Tuan Guru Haji Ghazali telah dibebaskan. Apabila keadaan menjadi tenang, beliau menyambung usahanya untuk mengajar ilmu agama kepada muridmuridnya dan juga masyarakat Islam sekitar. (Haji Yahya 2010). Mata pelajaran yang diajar di madrasah ini sama seperti yang diajar di pondok-pondok yang lain, merangkumi bidang Usuluddin, Fekah, Nahu, Saraf, Tafsir, Hadith, tasawuf dan mantiq. Medium pengajaran ialah bahasa Melayu dan bahasa Arab bergantung kepada kitab-kitab yang idgunakan dan juga pencapaian murid yang mengikuti pelajaran tersebut (Sabry 1987: 84). Kewibawaan dan keilmuan yang tinggi yang dimiliki oleh Tuan Guru Haji Ghazali menyebabkan madrasah yang diasaskan oleh beliau mendapat sambutan yang sangat hebat. Semakin ramai pelajar yang datang dari jauh ke madrasah tersebut untuk menimba ilmu daripada beliau. Mereka datang membuat pondok dan menetap di Kampung Mundok. Mereka terdiri daripada latarbelakang masyarakat yang berbeza dan datang pelbagai tempat. Mereka dikatakan datang dari negeri-negeri di Tanah Melayu seperti Kelantan terutamanya dari Pasir Mas, Terengganu dan Pahang. Masyarakat Islam sekitar seperti Yala dan Patani, malah dari Bangkok turut memberi sambutan yang menggalakkan(Haji Yahya 2010: Sabry Haji Daud 1987: 83). Pada tahun 1963, jumlah pelajarnya dianggarkan mencapai 700 orang. Era ini dianggap sebagai zaman kemuncak keagungan madrasah ini sebagai pusat pendidikan ilmu pengetahuan Islam(Sabry Haji Daud 1987: 83) Pada tahun 1961, Kerajaan Thai telah melaksanakan undang-undang sekolah swasta yang mewajibkan semua institusi pondok mendaftar di Kementerian Pendidikan dan mengubahsuai sukatan kurikulum mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan telah menganjurkan mesyuarat antara Tuk Guru Pondok dengan badan-badan kerajaan seperti gabenor Empat Wilayah Sempadan Selatan, wakil kementerian Pendidikan dan Pusat Pembangunan Pendidikan Wilayah Yala. Pihak kerajaan bertujuan untuk mengubah institusi pengajian pondok ke taraf Sekolah Islam swasta dengan memasukkan mata pelajaran akademik dan bahasa Thai (Niyomwittayanont 2003:62). Ekoran daripada polisi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Thai, madrasah ini juga turut sama menerima tempiasnya. Pada tahun 1965, Kerajan Thai mengundang guru-guru pondok dari empat wilayah selatan Thai untuk menghadiri seminar di Wilayah Yala, termasuk Tuan Guru Haji Ghazali. Pihak kerajaan Thai mencadangkan agar sistem pengajian pondok ditukar kepada sistem sekolah moden. Dalam mesyuarat itu terdapat dua pandangan, Tuan Guru Haji Ghazali dalam kumpulan yang keberatan untuk melakukan perubahan tersebut. Manakala pendapat yang lebih banyak, yang terdiri daripada guru agama yang lebih
muda cenderung kepada menyetujui perubahan tersebut. Akhirnya keputusan yang dicapai ialah semua pondok-pondok mesti ditukar kepada sistem pengajian moden. (Haji Yahya 2010) Pengasas institusi pondok terpaksa menerima perubahan ini demi survival institusi tersebut sebagai pusat pendidikan dan pengajaran Islam termasuklah Tuan Guru haji Ghazali. Pada 1965, sistem pengajian pondok berubah kepada sistem persekolahan selari dengan kehendak pihak kerajaan. Walaupun begitu, Tuan Guru Haji Ghazali masih lagi mengajar secara sistem pondok, dan pada masa yang sama, sistem sekolah dijalankan membuka kelas di atas balasah (madrasah) sementara mencari tapak yang sesuai untuk membina sekolah. Dengan secara kebetulan, Paksu Arifin ada membuka kelas mengaji al-Quran di pinggir tanah kepunyaan bunda Paksu Haji(Haji Yahya).Tempat agak sesuai dijadikan tapak sekolah. Tuan Guru berbincang denganibu Paksu Haji dan mereka bersepakat untuk menjadikan tempat mengaji al-Quran tadi sebagai sekolah. (Haji Yahya 2010). Mengikut Sabry (1987) Madrasah alIslahiyyah al-Islamiyyah digabungkan dengan sekolah Melayu yang sedia ada hasil usaha penduduk kampung. Bangunan sekolah didirikan di atas tanah wakaf dengan perbelanjaan sebanyak 17,880 Bath (Sabry Haji Daud 1987: 86-87). Sumbangan pihak kerajaan sebanyak 10,000.00 bath digunakan untuk menyediakan kursi dan meja. Kerajaan Thai juga menghantar seorang guru untuk mengajar bahasa kebangsaan iaitu bahasa Thai dan mata pelajaran akademik yang juga diajar dalam bahasa Thai. Kelas agama dibuka dari darjah 1-4 ibtidaii. Sekolah ini diberi nama " al-Madrasah alNahdat al-Islahiyyah." (Haji Yahya 2010). Jemaah Pengurus sekolah telah dibentuk iaitu Haji Ghazali Jalaluddin sebagai Tuan Sekolah, Arun @ Husein Haji Che Hasan sebagai Pengerusi, Ariffin Saad sebagai Mudir dan Ahli Jawatankuasa Sekolah yang terdiri daripada penduduk Kampung Mundok dan kawasan sekitar seramai 17 orang. Pata tahun-tahun awal pengasannya, sekolah ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Situasi dan keperluan kehidupan semasa menyebabakan ibubapa mula berminat untuk menghantar anak-anak mereka belajar dalam sistem persekolahan. Walau bagaimanapun madrasah atau sekolah ini mengalami banyak kekurangan sama ada dari segi kemudahan infrastuktur dan tenaga pengajar, di samping Pada peringkat awal penubuhannya, sisitem pengajian yang dilaksanakan di madrasah ini masih dalam bentuknya yang tersendiri seperti pondokpondok lain yang terdapat di Selatan Thai. Keadaan berubah dari masa ke semasa kerana perjalanan sekolah ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Thai walaupun dari segi teorinya, kuasa mentadbir adalah di bawah penguasaan Jemaah Pengurus Sekolah. Pihak pengurusan sekolah dikehendaki melaporkan perkembangannya kepada pemerintah semenjak
550
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
sekolah tersebut didaftarkan dengan kerajaan. Semasa pembentukannya, sukatan pelajaran hanya terhad kepada buku Jawi dan Rumi serta beberapa mata pelajaran Arab. Sistem pengajian menjadi lebih teratur sejak 1976. Pihak pengurusan sekolah telah menyusun dan mengemaskini sukatan mata pelajaran dengan memberi penekanan seperti nahu, saraf, Mutala’ah dan Mahfuzat, di samping mata pelajaran agama seperti Tauhid, Tafsir, Fekah dan Hadith. Bahasa Arab digunakan sebagai medium pengajaran bermula dari kelas mutawassitah. Manakala kelas ibtida’I, murid diberi pelajaran asas sebagai persediaan untuk menulis dan membaca. Manakala penyampaian guru bergantung kepada mata pelajaran yang biasanya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu (Jawi) (Sabry 1987:94). Sebelum madrasah atau sekolah ini dibina pada tapaknya sekarang, pengajaran dilaksanakan selama bertahun-tahun di bangunan sementara yang serba kekurangan yang dibina di atas tanah ibu kepada Paksu Ya(Haji Yahya). Dengan itu Tuan Guru Haji Ghazali memikirkan cara bagai mana untuk mendapatkan sebidang tanah untuk membina sekolah ini yang dapat menampung murid yang semakin hari semakin bertambah. Hasil usaha beliau, sebidang tanah seluas tiga hektar telah dijadikan tapak bangunan sekolah yang baru. Kebetulan, Kerajaan Thai telah memberi peruntukan untuk pembinaan sekolah kebangsaan Thai yang baru. Pihak pengurusan sekolah bersepakat membeli bangunan sekolah kebangsaan Thai dengan harga 10,000 Bath yang telah dikumpulkan oleh Tuan Guru. Bangunan tersebut dirombak dan dikumpulkan di tapak sekolah yang baru. (Haji Yahya 2010). Namun begitu, Tuan Guru tidak sempat menyaksikan pembinaan sekolah kerana beliau telah meninggal dunia pada 13.5.1978. Perancangan beliau diteruskan oleh murid-murid beliau yang menggantikan beliau menguruskan sekolah. Pada 31.12.1978, bangunan baru telah digunakan untuk memeberi tempat belajar yang sesuai dan selesa bagi menampung keperluan murid yang semakin meningkat. (Haji Yahya 2010; Sabry Haji Daud 1987: 89). Madrasah al-Nahdat al- Islahiyah berkembang maju untuk memenuhi kehendak masyarakat Islam yang dahagakan ilmu perkembangan. Dari sistem pondok sehingga kini, sekolah ini berkembang dan berubah selari dengan kehendak kerajaan dan keperluan kehidupan masyarakat. Bagaimanapun, kurikulumnya masih menggabungkan ilmu akademik dan ilmu agama(Sabry Haji Daud 1987; 90) demi supaya generasi muda Islam meneruskan kehidupan di dunia yang penuh mencabar ini. Sekolah ini masih meneruskan perjuangan Tuan Guru Haji Ghazali untuk mendidik umat Islam selatan Thai, dan kini berada di bawah pimpinan Haji Yahya Haji Hasan, atau Paksu Haji Ya, antara murid beliau yang paling tua.
KESIMPULAN Tuan Guru Haji Ghazali yang meninggalkan jasa dan sumbangan yang sangat besar kepada masyarakat Islam di Selatan Thai, khususnya di daerah Sungai Golok. Dalam keadaan yang serba kekurangan, beliau bersama dengan murid-murid beliau serta penduduk kampung berusaha untuk membina sebuah pusat pendidikan yang mampu memenuhi keperluan generasi muda untuk menimba ilmu pengetahuan Islam. Institusi pondok yang lahir hasil usaha beliau telah menyediakan pendidikan asas agama yang teguh kepada generasi muda sebelum mereka menyambung pelajaran mereka di institusi yang lebih tinggi iaitu di Makkah pada ketika itu. Institusi pondok ini telah melahirkan ramai tokoh-tokoh agama yang mampu menyambung usaha dan perjuangan beliau mendidik generasi Islam sekarang dan akan datang. Institusi yang diasaskan oleh beliau masih mampu bertahan walaupun terpaksa berubah kerana kehendak kerajaan dan juga keperluan semasa. Akan tetapi pembelajaran ilmu agama tetap diteruskan untuk menjamin survival umat Islam di Selatan Thai. RUJUKAN Muhammad Yunani Mahmud. 1989. Riwayat Hidup Tokoh-tokoh Ulama Kelantan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd. Rattana Niyomwittayanont. 2003. Perkembangan Islam di Bangkok:Kajian Kes Di daerah Nongjork Pada Abad ke-20M. Disertasi Sarjana Pengajian Islam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Sabry Haji Daud. 1987. Perkembangan Sekolah Agam(Arab) Di Selatan Thai: Tinjauan Khusus Di Madrasah Nahdah al-Islahiyah Munduk, Sungai Golok. Latihan Ilmiah. Sarjanamuda Pengajian Islam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Temubual Haji Yahya Haji Hasan, Mudir Madrasah al-Nahdah al-Islahiyah. 10 September 2010. Temubual Mek Napisah binti Tuan Guru Haji Ghazali, 9 September 2010. Temubual Suhaimi bin Husin, 6 September 2010.
551