Penggunaan Teknologi Di Dalam Pendidikan Awal Islam Kanak-Kanak
Mohammad Rahimee Ibrahim Asia e University ABSTRAK Kajian ini yang menggunakan kaedah pemerhatian terhadap pola pendidikan islam di Malaysia samada secara rasmi atau tidak memfokuskan kepada kemajuan teknologi di dalam bidang pendidikan. Kesedaran akan kepentingan pendidikan Islam di usia awal kanak-kanak yang semakin meninggi di Malaysia turut disumbang oleh kemajuan teknologi maklumat. Penggunaan pelbagai medium canggih berasaskan teknologi maklumat didapati banyak mempengaruhi perkembangan pemikiran kanak-kanak di dalam mempelajari agama Islam di usia awal mereka. Di akhir kajian, penggunaan teknologi maklumat di dapati bahawa penggunaan teknologi maklumat menyokong perkembangan pendidikan awal Islam kepada kanak-kanak tanpa mengambil peranan “guru” sebagai murabbi. Pengenalan Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat ke 28 yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar” Mengambil pentaddaburan dari Surah Yusuf; apabila saudara-saudara Nabi Allah Yusuf meminta izin Nabi Yaakub untuk membawa Yusuf keluar bermain, mereka berkata “Lepaskanlah ia bersama kami esok untuk bersuka ria dan bermain. Kami akan menjaganya” Surah Yusuf ayat 12. Nabi Yaakub tidak menyalahkan mereka malah membiarkan Yusuf pergi bersama mereka. Ini menunjukkan Islam mengiktiraf dan menggalakkan keinginan bermain di dalam diri kanak-kanak. Pada zaman Rasullullah SAW, kanak-kanak dimuliakan dan dilayan dengan mengambil kira hak mereka di dalam masyarakat. Kanak-kanak dibiarkan meneroka di pelbagai aktiviti kemasyarakatan sehinggakan masjid juga diibaratkan menjadi taman permainan buat mereka. Kaedah pendidikan sedari usia muda ini diterapkan Rasullullah SAW tanpa menolak hak-hak mereka sebagai seorang kanak-kanak. Selari dengan peredaran zaman, kemajuan teknologi telah banyak mengubah struktur kehidupan manusia. Kebergantungan manusia terhadap kecanggihan teknologi telah menjadikan manusia semakin bergerak tanpa sempadan masa dan tempat. Bidang pendidikan sendiri telah banyak berlaku revolusi di mana pembelajaran secara maya semakin dimajukan oleh pelbagai pihak. Kepantasan capaian internet membuka ruang yang luas buat manusia sejagat untuk beredar di ruang maya yang luas. Ini secara tidak langsung membuka satu ruang pengetahuan dan ilmu yang terlalu luas. Dalam konteks pendidikan awal Islam kanak-kanak, tanpa kita sedari telah banyak unsur-unsur teknologi diselitkan di alam pengenalan pendidikan mereka. Media-media maya dan kecanggihan produk-produk pembelajaran semakin mendapat tempat di kalangan pendidik terutamanya para 147
ibubapa. Kajian berdasarkan pemerhatian ini akan meneliti dan berbicara akan impak penggunaan teknologi ke atas perkembangan pendidikan awal Islam kanak-kanak. Selain itu kita akan melihat bagaimanakah masyarakat sekeliling melihat tanpa mereka sedari kebergantungan mereka terhadap struktur awal pendidikan Islam anak-anak mereka.
Kaedah Konvensional Pembelajaran Metod awal pendidikan dikatakan bermula seawal di kandungan ibu lagi. Tarbiah secara kerohanian ini digalakkan untuk membantu bayi dalam kandungan untuk mula memahami pola pembelajaran. Selepas kelahiran mereka pula Rasullullah SAW membahagikan peringkat pembelajaran kepada 4 tahap dengan penekanan kasih sayang berada pada tahap satu dan dua dari umur kelahiran sehinggalah berusia 7 tahun. Pada peringkat ini anak-anak dimanjakan dan ditumpahkan sepenuh kasih sayang bagi membentuk sahsiah dan kekuatan ikatan kekeluargaan. Tokoh pemikir Islam seperti Al-Ghazali, Ibnu Sina, Ikhwan Safa dan lain-lain lagi telah memperkatakan akan kepentingan pembelajaran ketika bermain oleh kanak-kanak. Sifat semulajadi kanak-kanak yang gemar bermain digarap agar menjadikan permainan mereka itu menyumbang kearah pembentukan keperibadian kanak-kanak. Namun demikian pada zaman moden ini, peranan “bermain” ini telah banyak di ambil alih oleh televisyen, permainan maya, internet dan lain-lain media sosial. Kanak-kanak kini lebih gemar berada di dalam rumah dengan keasyikan kesemua ini tanpa mahu lagi bermain di padang-padang permainan dan bersosial dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Jika kita kembali merenung pada zaman dahulu, pembelajaran banyak disampaikan melalui penceritaan. Ibubapa dan kalangan yang berusia akan bercerita kepada anak-anak akan sejarah Islam, sirah Rasullullah SAW, kisah para sabahat dan sebagainya. Malah terdapat juga pelbagai cerita rakyat yang terselit mesej-mesej insani bagi mendidik jiwa dan kerohanian anak-anak. Kita sering diceritakan melalui pembacaan cerita-cerita hikayat akan kehebatan Islam, kitab-kitab fekah, tauhid, rukun Islam, rukun iman, dan banyak lagi. Kesemua pembelajaran ini berlangsung hampir secara tidak rasmi dan melibatkan banyak penggunaan hubungan jiwa di antara sang pencerita dan si pendengar. Imam Al Ghazali menegaskan kepentingan ibubapa dan para guru sebagai mentor penting dan ikutan kepada kanak-kanak. Sifat semulajadi kanak-kanak yang gemar meniru perilaku orang lain menjadikan konsep pembelajaran secara pemerhatian berlaku secara tidak langsung di dalam pendidikan awal kanak-kanak. Maka dalam kitab beliau “Ayyuha al-Walad”, Imam Al Ghazali menyarankan pendidikan jiwa dengan jiwa atau ahlal bilhal. Konsep Pembelajaran Awal Islam Dahulu dan Kini Pendidikan akhlak dan pembentukan sahsiah yang mulis menjadi teras pembentukan seorang muslim yang baik. Islam dibentuk dengan kekayaan ilmu di seluruh pelusuk dunia. Amalan dan pendekatan Islam perlu dibentuk berdasarkan pandangan dan pendekatan integratif serta bersepadu gabungan Islam di seluruh dunia.
148
Pendidikan barat telah membangunkan banyak modul program pengasuhan kanak-kanak seperti “Montessori”, “Reggio Emilio”, High Scope” dan sebagainya. Di negara Jepun pembentukan pendidikan awal mereka terarah kepada aspek kebersihan, kesihatan dan pemakanan yang sihat. Manakala di New Zealand pula penekanan kepada konsep kebudayaan dan menghormati tatacara kehidupan masyarakat Maori dititikberatkan di dalam pembelajaran awal mereka. Ketika masyarakat bukan Islam ini memperkenalkan kaedah-kaedah pembelajaran awal ini, ternyata Ibnu Sina telah terlebih awal membincangkan kepentingan kebersihan dan penjagaan kesihatan kepada asas pembentukan diri yang sihat. Manakala Ibn Khaldun berbicara akan perbezaan pengalaman kanak-kanak dapat menjadikan diri mereka matang dan belajar dari kesilapan serta tidak mudah putus asa. Di zaman pemerintahan Khalifah Umar Ibni Al-Khattab, beliau banyak menyediakan ruang dan aktiviti keduniaan di masjid-masjid. Segenap ruang masjid digunakan bagi menjalankan programprogram yang menggalakkan kesatuan ummah. Kanak-kanak juga tidak terkecuali di dalam segala perancangan aktiviti dan program ini. Kanak-kanak dan golongan muda diberi layanan dan hak yang sepatutnya malah diberi tempat bersama-sama dengan golongan dewasa di dalam pembuatan keputusan. Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam karangan kitabnya bertajuk Tarbiyatul Aulad Fil Islam (Jilid 2) menyarankan kerjasama antara rumah, sekolah dan masjid. Beliau menggariskan dua syarat utama kerjasama ini iaitu keserasian antara bimbingan di rumah dan masjid serta bertujuan mewujudkan keseimbangan dan integrasi dalam membina sahsiah muslim. Dr. Abdullah Nasih Ulwan menyatakan bahawa sekiranya terjalin kerjsama ini maka kanak-kanak Islam akan menjadi anak yang seimbang rohani, jasmani, akal dan psikologi. Beliau turut menambah akan kepentingan menyediakan medium kebudayaan sebagai platform pembelajaran kepada kanak-kanak. Medium-medium seperti penyediaan perpustakaan khas untuk kanak-kanak, melanggan majalah Islam samada secara bulanan atau mingguan, menggunakan kaedah filem, lawatan ke tempat-tempat ilmu seperti muzium dan sebagainya. Medium-medium ini mampu mencorak pendidikan awal kanak-kanak dengan lebih efektif bersesuaian dengan tabiat dan fitrah kanak-kanak yang gemarkan aktiviti-aktiviti luar rumah. Meskipun demikian, sebahagian medium-medium ini pada masa kini telah banyak ddidapati dalam bentuk elektronik. Kemajuan teknologi maklumat telah memudahkan pembelajaran melalui bahan bacaan secara digital seperti e-buku dan e-majalah. Filem-filem yang dihasilkan oleh para penggiat seni pula telah membanjiri pasaran dan terdapat banyak karya-karya yang menyingkap akan sejarah Islam, ketamadunan manusia dan perihal kejadian alam. Ini secara tidak langsung memudahkan pemindahan maklumat kepada kanak-kanak dan menjadikan pembelajaran lebih seronok untuk dipelajari. Pengarang kitab Alla’bu Wabinaus Syakhshiyyatif; ‘Athif Abul’id Syeikh Muhammad Sa’id Marsa yang diterjemahkan dalam edisi Indonesia; Bermain lebih baik daripada nonton TV; menyebut bahawa Dr. Ahmad Shadiq al-Jaraf menjelaskan bahawa mainan kanak-kanak memiliki pengaruh yang sangat penting kepada tumbesaran mereka. Mainan kanak-kanak disinonimkan seperti makanan buat mereka yang menjadi inti kesihatan psikologi dan fizikal mereka. Kanakkanak harusnya digalakkan bermain di persekitaran luar rumah agar mereka dapat belajar kehidupan sebenar di luar rumah. Di dalam ash-Shahihain dari Anas R.A, dia berkata “Ketika aku sedang bermain-main bersama beberapa kanak-kanak lain tiba-tiba Rasulullah SAW datang dan
149
mengutusku untuk suatu keperluan”. Baginda juga membawa boneka dan patung-patungan untuk Aisyah bagi digunakan bermain-main sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari Muslim. Satu kajian oleh Akademi Kesihatan Otak Nasional di Amerika Syarikat telah membuktikan bahawa ada empat hubungan negatif yang kuat antara menonton televisyen dan prestasi belajar. Televisyen mampu untuk menjadi musuh kepada kanak-kanak dan merampas sebahagian besar usia muda kanak-kanak yang menyebabkan masa-masa penting untuk mereka belajar, bermain dan tidur tersia begitu sahaja. Seorang pakar kanak-kanak, Dr. Sa’diyyah Bahwar menegaskan bahawa ibubapa bakal menghadapi kesulitan yang serius sekiranya anak-anak mereka telah terpengaruh dengan segala macam sogokan program-program di televisyen. Pengaruh televisyen yang tidak hanya datang dari program-program televisyen malah iklan-iklan yang ditayangkan juga sebahagian besarnya memberi impak yang negatif terhadap pemikiran kanak-kanak. Noor Aini Ahmad (2014) turut menyokong penggunaan permainan atau bahan berteknologi sebagai pemangkin bagi kenak-kanak mempelajari sesuatu namun bimbingan dan panduan daripada orang-orang yang rapat dengan kanak-kanak ini mestilah wujud. Penggunaan permainan yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak dan dengan pentafsiran akam mesej permainan dari golongan dewasa mampu mencorak pemikiran kreatif kanak-kanak. Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa bimbingan golongan dewasa seperti ibubapa dan pendidik penting bagi memastikan kefahaman ilmu yang ditimba menerusi medium-medium elektronik ini benar-benar menurut ajaran Islam yang sebenarnya. Kemunculan banyak ajaranajaran yang menyimpang dari ajaran sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang juga turut menggunakan media-media elektronik sebagai medium penyampaian mereka dibimbangi merosakkan pemikiran dan kefahaman kanak-kanak. Oleh sebab itu, bahan-bahan pembelajaran yang bersifat maya ini hanya boleh dikategorikan sebagai bahan sokongan pembelajaran yang harus dipimpin pembelajarannya oleh golongan dewasa dan para pendidik. Penggunaan medium-medium elektronik ini lebih banyak membantu golongan yang telah dewasa untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Golongan yang telah matang akan mampu menterjemah dan mentafsir perkara-perkara yang baik dan buruk menerusi pembacaan atau tontonan mereka. Manakala kanak-kanak akan lebih bersifat menerima dan mempercayai segala yang dibaca dan ditonton mereka. Para ulama’ melarang orang kafir ataupun orang yang fasik daripada mengasuh anak-anak Islam kerana ia mampu membawa pengaruh yang negatif terhadap akhlak dan perilaku anak-anak tersebut. Persoalan timbul apabila penggunaan teknologi masa kini telah banyak menghasilkan bahan-bahan pembelajaran untuk kanak-kanak secara elektronik dan kebanyakannya dihasilkan oleh mereka-mereka yang tergolong dalam larangan para ulama itu. Maka anasir-anasir negatif semakin mudah menempatkan keilmuannya ke dalam pemikiran dan tabiat kanak-kanak Islam. Di sinilah peranan para ibubapa dan pendidik sekali lagi menjadi tunjang atau pendinding terhadap kesemua bahan-bahan pembelajaran elektronik ini. Ahmad Esa, Baharom Mohamad & Siti Nasrah Mukhtar (2007) menginginkan agar penggunaan teknologi multimedia digunakan dengan meluas di dalam mendidik kanak-kanak di usia awal mereka. Izam Shah (2007) menerusi kajiannya menyatakan bahawa perisian-perisian permainan kini sengaja direka untuk menghibur dan dimainkan sebagai satu bentuk rekreasi kepada kanakkanak. Namun apa yang menyedihakan ialah perisian-perisian permainan untuk tujuan pendidikan Islam amat kecil bilangannya. Latifah Abdul Majid (2012) memandang kepada peranan dan 150
tanggungjawab TADIKA kerajaan dan swasta sebagai sumber utama pembelajaran awal kanakkanak meskipun tanggungjawab ini telah sedia ada pada ibubapa, guru, ahli keluarga dan masyarakat. Beliau turt menyatakan bahawa peranan TADIKA ini harus diperluaskan kepada pemebentukan sahsiah dan jati diri kanak-kanak tersebut. Hasil Penulisan Ibn Khaldun menerangkan bahawa “Manusia sebagaimana makhluk haiwan lainnya juga mempunyai sifat hayawaniyat-nya seperti al-hiss (rasa), al-harakat (gerak), memerlukan alqiza (makanan) dan tempat tinggal (al-kanni). Manusia berbeza dengan makhluk lain kerana manusia berkeupayaan untuk berfikir. Dengan potensi itu manusia dapat mencari keperluan hidup. Dengan potensinya, manusia dapat berinteraksi dengan sesamanya untuk tujuan-tujuan kesejahteraan hidup bersama. Juga dengan potensinya, manusia dapat menerima ajaran-ajaran dari Allah yang disampaikan oleh para Nabi kepadanya”. Secara semulajadi manusia terbentuk dalam bentuk “potensi” untuk berkembang tahap demi tahap di mana proses pengembangan tersebut berlanjutan dari awal kelahiran sehinggalah kita meninggal dunia. Pendidikan secara rasmi dan tidak rasmi bertujuan untuk memaksimumkan pertumbuhan dan perkembangan potensi semulajadi manusia ini. Kaedah ikhtiar atau sifat untuk terus hidup menjadikan manusia lebih matang dan mampu mempelajari sesuatu yang baru menggunakan apa jua medium pembelajaran. Ibn Khaldun sendiri meletakkan pendidikan itu sebagai salah satu dari kerangka ketamadunan dengan menititk-beratkan elemen-elemen kemasyarakatan di dalam pembelajaran. Beliau berpandangan bahawa manusia yang dianugerahkan dengan kelebihan berfikir mampu mentafsir dan memahami hal-hal yang berada di luar dirinya. Kemampuan inilah yang dikatakan sebagai potensi diri yang bakal mencapai satu tahap pengembangan melalui al-ta’lim yakni pendidikan dan al-riyadat yakni latihan. Pendidikan dan latihan yang bersesuaian dengan pergerakan pengembangan pemikiran dan fizikal manusia mampu menjadikan seorang manusia itu hebat berfikir. Beliau berbicara akan pengaruh luar yang berstruktur yang dapat memaksimumkan potensi manusia kearah yang lebih sempurna. Pentafsiran dari pendapat Ibn Khaldun ini menyokong teori pendidikan masa kini yang banyak berkisar pada pemerhatian terutamanya kepada kanak-kanak. Pengaruh-pengaruh media elektronik menguasai penyampaian ilmu kepada masyarakat. Bagi seorang kanak-kanak pula, mereka lebih cenderung untuk meyakini apa yang ditonton dan diceritakan. Meskipun terdapat banyak unsur-unsur negatif di dalam tontonan dan penglihatan mereka, tidak dapat dinafikan ianya juga turut menyumbang kepada perkembangan pemikirian kanak-kanak tersebut. Melalui penulisan ini, saya merumuskan bahawa:
1. Pendidikan di usia awal kanak-kanak menjadi sesuatu yang amat bernilai seumpama menjaga sekecil api, bermanfaat buat kehidupan manusia namun menjadi musuh hebat sekiranya menjadi besar.
151
2. Pentarbiahan pendidikan awal kanak-kanak memerlukan bimbingan yang rapat dari seorang dewasa di mana peranan sebagai pembimbing ini bukan sahaja pada ibubapa malah keseluruhan masyarakat mempunyai tanggungjawab mereka tersendiri. Apabila bala Allah diturunkan, ianya bukan sahaja untuk mereka yang kufur kepadaNYa tetapi untuk semua.
3. Kecanggihan teknologi maklumat mampu menyokong pertumbuhan pembelajaran kanakkanak dengan lebih berkesan namun tidak dapat menggantikan tugas sebagai pendidik sejati. Pengajian secara talaqqi dan mendampingi guru-guru masih utuh sebagai medium utama penyebaran dan penyampaian ilmu khususnya buat kanak-kanak. Al-Quran yang dibaca melalui peralatan elektronik seperti telefon tangan dan sebagainya tidak mungkin akan sama penghayatan dari segi kerohaniannya berbanding jika kita memegang dan membaca sebuah kitab Al-Quran sebenar.
4. Masyarakat terutamanya ibubapa dan golongan pendidik tidak seharusnya menyerahkan kepada kecanggihan teknologi semata-mata di dalam meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak mereka. Meskipun dunia pendidikan kini terarah kepada pendidikan berteraskan maya dengan segala macam portal elektronik dibangunkan, pendidikan Islam yang lebih efektif di dalam membina jiwa dan adab insan masih memerlukan pendekatan bersemuka. Bicara ilmuwan Islam menyentuh akan sistem pembelajaran bersemuka, pondok-pondok dan madrasah-madrasah moden juga semakin giat didirikan, ilmuwan Islam yang hebat tidak ada yang lahir dari sistem pembelajaran maya. Maka kaedah kuno ini perlu diteruskan dan disanadkan kepada generasi yang akan datang. Pencorakan penyampaian dan pembelajaran buat kanak-kanak telah lama wujud dari zaman Rasulullah SAW lagi dan dari situlah lahirnya begitu ramai ulamaulama dan pemikir-pemikir hebat Islam. Para ulama berpesan, sekiranya mahu menjadi hebat maka kita harus berhijrah dan keluar dari zon selesa. Anak panah hanya menjadi hebat ketika ia dilepaskan.
Rujukan Abdullah Nasih Ulwan (2015); Tarbiyatul Aulad Fil Islam (Jilid 2); PTS, 709-714, 777-791 ‘Athif Abul’id Syeikh Muhammad Sa’id Marsa (2009); Bermain Lebih Baik Dari Nonton TV (Terjemahan); Ziyad Visi Media Abdul Mun’im Ibrahim (2010); Mendidik Anak Perempuan (Terjemahan); PTS Abu Hamid Muhammad Bin Muhammad Al Ghazali (2010); Wahai Anakku Yang Tercinta (Terjemahan); Khazanah Banjariah 152
Ahmad Esa Baharom Mohamad Siti Nasrah Mukhtar (2007). Peranan Multimedia Di Dalam Pembelajaran Kanak-Kanak. Fakulti Pendidikan Teknikal (UTHM) Noor Aini Ahmad (2014). Mengintegrasi Teknologi Komunikasi dan Maklumat Sebagai Media Pengajaran Bahasa Dalam Kalangan Kanak-Kanak Awal Umur. UPSI Izam Shah Basiron (2007). Perisian permainan pengembaraan multimedia: edutainment dalam pendidikan Agama Islam sekolah rendah. Tesis Sarjana, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, UKM Latifah Abdul Majid; Wan Nasyrudin Wan Abdullah; Nurul Hidayah Ahmad Zakhi (2012). Penerapan Nilai Murni Dan Pembentukan Jati Diri Kanak-Kanak Prasekolah Melalui Penggunaan Multimedia. Fakulti Pengajian Islam, UKM Syahrul Riza (2008). Konsep Pendidikan Islam Menurut Pemikiran Ibn Khaldun : Suatu Kajian Terhadap Elemen-Elemen Kemasyarakatan Islam. Universiti Sains Malaysia
153