MEMAHAMI RAMADHAN HAYATI KEMERDEKAAN Zulkifli Hasan 1.0
Pendahuluan
Pada 1961, Presiden Habib Burguiba mengejutkan seluruh rakyat Tunisia apabila mengiystiharkan larangan berpuasa di bulan Ramadhan bagi semua penjawat awam. Bagi menunjukkan komitmen larangan ini, seluruh anggota Kabinet telah mengadakan majlis makan tengahari dan ditayangkan secara langsung di media elektronik. Arahan tegahan untuk berpuasa di bulan Ramadhan ini di buat berdasarkan andaian bahawa ianya akan mengurangkan produktiviti dan ini tidak baik untuk negara. Tindakan yang dibuat oleh Presiden Habib Burguiba ini jelas menunjukkan kejahilan dan ketidaktahuan sejarah Islam. Sejarah telah mencatatkan banyak peristiwa penting umat Islam berlaku pada bulan Ramadhan. Ramadhan bukan menjadi penghalang kepada produktiviti mahupun penyebab kemunduran bahkan ianya adalah bulan kemenangan bagi umat Islam. Bermula dari penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah Sallallahualaihiwasallam diikuti kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar, Khandaq dan Hunain, penaklukan kota Mekah serta kejayaan mendapatkan kembali bumi Al Aqsa semasa era Salahuddin al Ayubi. Pada bulan Ramadhan juga empayar Rome ditakluki dan seterusnya menjadikan negara Islam sebagai salah satu kuasa besar. Berbanding dengan zaman kegemilangan umat Islam terdahulu, pada masa ini, sesungguhnya umat Islam melalui masa-masa getir dengan pelbagai peristiwa dan tragedi yang berlaku di serata dunia. Walaupun kesemua negara Islam telah mencapai kemerdekaan setelah dijajah puluhan atau ratusan tahun, umat Islam masih berada dalam keadaan yang menyedihkan. Dengan mengenang nasib umat Islam di Afghanistan, Palestine, Iraq, Selatan Thailand dan Filipina, Sudan, Bosnia, Chechnya, China dan lain-lain yang tidak dapat ditulis dalam ruangan yang kecil ini, terdetik sejenak mengapakah peristiwa ini berlaku sedangkan umat Islam telah dianugerahi dengan nikmat Islam dan iman. Bahkan Ramadhan sudah semestinya menjadi institusi paling berkesan mendidik dan melatih umat Islam untuk kemajuan dan pembangunan. Sehubungan dengan itu, artikel ini serba sedikit akan mengupas intipati Ramadhan dan mengaitkannya dengan penghayatan kemerdekaan sempena sambutan yang ke-54. 2.0
Carta Prestasi Umat Islam Seiring Dengan Sambutan Ramadhan 1432H
Seiring dengan sambutan Ramadhan yang sudah melebihi 1400 tahun, artikel ini cuba memberikan sedikit gambaran tentang status umat Islam pada hari ini. Dalam konteks Malaysia, penulis juga ingin berkongsi fakta mengenai keadaan umat Islam setelah 54 tahun kemerdekaan. Fakta-fakta ini bakal menimbulkan satu persoalan mengapa umat Islam pada hari ini termasuk di Malaysia masih ketinggalan, mundur dan miskin. Penulis berpandangan bahawa salah satu punca kemunduran umat Islam pada hari ini adalah kerana gagal untuk memahami dan menghayati intipati dan aspirasi Ramadhan. Berkenaan dengan pendidikan, laporan yang dikeluarkan oleh Yarmouk Universiti mengenai kedudukan universiti dan penyelidikan umat Islam sesuai dijadikan rujukan untuk membuka minda mengenai status umat Islam. Laporan ini mencatatkan bahawa di 57 negara OIC, hanya terdapat lebih kurang 1000 universiti. Jika dibandingkan dengan
negara lain, Jepun misalnya mempunyai 1000 universiti manakala di Amerika sahaja, terdapat 5,758 universiti. 57 Negara OIC ini juga ketinggalan dari aspek penyelidikan di mana hanya keluarkan lebih kurang 500 PhD setahun berbanding di UK sahaja melahirkan 5,000 graduan PhD. Didapati tiada negara Islam yang memperuntukkan lebih dari 0.5% daripada GDP untuk penyelidikan berbanding di Jepun, Amerika dan Jerman yang memperuntukkan sekurang-kurangnya 2.5% daripada GDP mereka. Begitu juga yang berlaku dari sudut penerbitan apabila direkodkan bahawa negara Islam hanya menerbitkan kira-kira 100,000 buku dan artikel penyelidikan daripada jumlah 2.1 juta naskhah yang telah diterbitkan di seluruh dunia. Bahkan, hingga kini tiada universiti di negara Islam yang tersenarai sebagai antara 100 terbaik di dunia. Dari sudut ekonomi, direkodkan bahawa hampir separuh daripada 57 negara OIC diklasifikasikan sebagai ’Negara Berpendapatan Rendah’ dan ’Negara Miskin dan Tinggi Keberhutangn’. 70-85% daripada 1.6 billion orang Islam ini juga dikategorikan sebagai ’non-bankable’ dan 50% hidup di bawah garis kemiskinan serta 25% tiada akses pada kemudahan perubatan dan air bersih. Sebagai contoh revolusi di Tunisia tercetus akibat kesempitan hidup iaitu lebih 40% kadar pengangguran dan lebih 25% dilaporkan sebagai miskin tegar. Situasi yang sama berlaku di Mesir iaitu dengan 80 juta penduduk dan lebih 90% adalah Muslim, direkodkan hampir 50% penduduk adalah miskin dan kadar pengangguran juga mencecah lebih 10%. Dari aspek GDP, walaupun negara OIC mewakili 70% daripada pengeluaran minyak dunia, GDPnya hanyalah 4.7% daripada GDP dunia, eksport hanya 7.9% daripada jumlah eksport dunia dan 1.3% daripada perdagangan dunia. GDP negara OIC melainkan Turki dan Indonesia adalah kecil daripada syarikat di senarai bursa saham di barat. Umpamanya, GDP Malaysia pada 2009 hanya US$193 billion hanya bersamaan dengan ’market capitalisation’ Google. Kegagalan Menghayati Aspirasi Ramadhan Antara Punca Permasalahan Merenung kepada fakta dan angka tersebut di atas, jelas menunjukkan umat Islam kini menghadapi krisis yang perlu ditangani segera. Persoalannya di sini, mengapa dan kenapa ianya berlaku sedangkan disepakati bahawa Islam itu agama yang syumul, sempurna dan merupakan cara hidup. Lebih-lebih lagi Islam memperuntukkan sebuah institusi pembersihan jiwa mendidik rohani dan jasmani yang perlu dilalui oleh setiap umat Islam selama sebulan setiap tahun. Institusi Ramadhan merupakan sebuah institusi yang diperuntukkan khusus oleh Allah untuk melatih, mendidik, menyucikan jiwa dan fizikal umat Islam. Ia umpama sebuah kem, sekolah, universiti atau institusi lain yang menyediakan modul untuk membina kekuatan diri. Bagi memotivasikan umat Islam, Allah menjanjikan pelbagai insentif yang hampir mustahil untuk ditolak umpamanya malam ’lailatul qadr’ yang hanya ditawarkan kepada umat Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam. Sekiranya ruh Ramadhan ini dihayati, umat Islam pasti selepas ini akan dapat mengembalikan kegemilangan Islam sepertimana yang dikecapi satu masa dahulu. Dengan itu, penulis berpandangan bahawa antara punca utama permasalahan yang berlaku hari ini ialah kegagalan umat Islam untuk menjadikan institusi Ramadhan sebagai medan membentuk syahsiah diri mencapai darjat ketaqwaan.
3.0
Memahami dan Menghayati Intipati Ramadhan
Kenapa Ramadhan? Timbul persoalan mengapa Ramadhan amat penting sebagai institusi mendidik diri. Jawapannya sudah pastilah kerana ianya arahan Allah kepada hambanya agar dapat membina kekuatan jiwa dan iman melalui proses pentaqwaan diri. Kenapa pula Ramadhan dipilih sebagai institusi latihan dan ujian? Ini berkemungkinan amat berkait rapat dengan hadis Nabi Sallallahualaihiwasallam yang menyebut bahawa apabila Ramadhan menjelang tiba maka pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Al-Bukhari dan Muslim). Bertepatan dengan makna Ramadhan yang bermaksud panas iaitu bulan menghanguskan dosa, Allah telah memberikan peluang kepada umat Islam untuk beramal dan beribadah tanpa gangguan hasutan syaitan. Segala kelakuan dan perbuatan di bulan Ramadhan menjadi cermin sebenar tatkala syaitan dirantai daripada menghasut dan membisik. Allah telah memberikan peluang yang sangat tinggi nilainya ini untuk umat Islam membentuk dan membina syahsiah diri dengan hanya perlu berhadapan dengan hawa nafsu tanpa dipengaruhi oleh bisikan syaitan. Taqwa Sebagai Objektif Ramadhan Tidak dapat dinafikan pelbagai hikmah Ramadhan dan puasa yang dapat dibuktikan melalui kajian saintifik sehinggakan terdapat di Amerika, ‘Fasting Centre International Incorporation’ sebuah institusi yang mempromosikan puasa sebagai cara untuk mencegah dan memulihkan penyakit. Namun begitu, kelebihan berpuasa sama ada dari sudut kesihatan mahupun dari aspek yang lain bukanlah merupakan matlamat utama Ramadhan. Objektif utama Ramadhan dirakamkan oleh Allah dengan jelas di dalam al Quran iaitu untuk mencapai darjah ketaqwaan. “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Al-Baqarah: 183) Melalui ayat di atas tersangatlah jelas bahawa melalui kalimah ‘la'alla' itu yang bermaksud, ‘agar' atau ‘semoga' atau ‘mudah-mudahan' menunjukkan matlamat sebenar puasa Ramadhan iaitu tidak lain dan tidak bukan mencapai makam taqwa. Kelebihan taqwa ini dinukilkan Allah di dalam surah al A’raf ayat 26 yang bermaksud “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian Taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”. Sekiranya dirujuk kembali, pengertian taqwa bukan sahaja bererti takut namun ianya juga membawa maksud yang lebih luas. Ibn Kathir manyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini. Imam Ibn Kathir menerangkan Taqwa di dalam tafsirnya dengan merujuk kisah dialog Umar al Khattab dan Ubay bin Kaab. Dalam kisah ini Ubay memberikan analogi Taqwa dengan perumpamaan orang melalui jalan berduri di mana sudah pastinya seseorang itu berhati-hati bagi mengelakkan terpijak duri. Bagi merumuskan makna taqwa, kata-kata daripada Ali Bin Abi Talib sangat relevan untuk dirujuk. Beliau merumuskan ciri taqwa itu kepada empat iaitu takut kepada azab dan murka Allah, yakin dengan al Quran, redha dengan sedikit nikmat dan sedia
menghadapi hari kematian. Keempat-empat ciri inilah yang menjadikan seorang yang bertaqwa itu mempunyai peribadi unggul dan jiwa yang merdeka. Di samping memahami taqwa sebagai matlamat Ramadhan, ianya juga membuktikan keadilan Allah. Sesungguhnya Allah menilai seseorang itu melalui kaca mata taqwa dan bukan dari kualiti yang lain. Taqwa itu boleh dicapai oleh sesiapa sahaja sama ada individu itu kaya, miskin, gemuk, kurus, cantik, kurang upaya, ternama dan sebagainya. Melalui penilaian taqwa ini Allah jelas menunjukkan keadilannya di mana semua manusi berpotensi untuk mencapai makam taqwa dan seterusnya mendapat kasih dan rahmat Allah. 4.0
Ruh Ramadhan Hayati Kemerdekaan
Tahun ini genap kita mencapai kemerdekaan yang ke-54 dengan tema “1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”.. Kemerdekaan tahun ini adalah lebih manis kerana ianya jatuh sejurus selepas bulan Ramadhan yang mulia. Seiring dengan ruh Ramadhan ini, penghayatan kemerdekaan kali ini sepatutnya menjadi lebih bermakna dan menerbitkan kefahaman yang mendalam kepada konsep mencapai kemerdekaan dan juga mengisi kemerdekaan. Kemerdekaan lebih 54 tahun lalu bukanlah satu perkara yang mudah dicapai. Namun begitu, agenda mengisi kemerdekaan itu adalah perkara yang lebih sukar. Ini bersesuaian dengan nukilan para hukama’ yang menyatakan jihad melawan nafsu adalah lebih besar dari jihad melawan musuh Islam. Di Mana Umat Islam Malaysia Selepas Kemerdekaan? Dengan bilangan penduduk Malaysia yang mencecah 28.3 juta, bilangan penagih dadah juga meningkat setiap tahun. Direkodkan setiap hari akan ada 12 penagih baru dan kini bilangan penagih dadah telah melebihi 1.3 juta orang. Lebih menyedihkan umat Islam mewakili 80% angka ini iaitu 1.04 juta manakal Cina, 149,000 dan India, 101,000. Kos penyelenggaraan mereka ini juga menelas kos yang amat besar iaitu mencecah RM8.65 bilion. Dari sudut ekonomi, walaupun Malaysia telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan sejak kemerdekaan, namun didapati umat Islam masih lagi mendominasi statistik penduduk miskin. Sebanyak 5.3% umat Islam dikategorikan sebagai miskin berbanding Cina, 0.6% dan India, 2.5%. Dianggarkan lebih 75% orang miskin di Malaysia adalah umat Islam. Merujuk kepada fenomena jenayah, Statistik Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia melaporkan statistik kes rogol membabitkan pelajar kian meningkat dan pada tahun 2008 sebanyak 309 kes direkodkan di mana majoriti yang terlibat adalah orang Melayu. Selain daripada itu, PDRM juga merekodkan seramai 8,809 pelajar berusia antara 7 dan 18 tahun terlibat dalam kes-kes jenayah yang mana sebanyak 72..7% adalah umat Islam berbanding India, 10% dan dan Cina, 7.3%. Lebih menyedihkan, kes buang bayi juga didominasi oleh umat Islam apabila PDRM melaporkan lebih 80% yang didakwa terlibat adalah umat Islam. Taqwa Sebagai Asas Penghayatan Kemerdekaan Ketaqwaan merupakan satu bentuk penghambaan diri hanya kepada Allah iaitu membebaskan diri secara total dari perhambaan dengan manusia. Apa guna kemerdekaan dicapai sekiranya jiwa, pemikiran dan cara berfikir masih lagi berada di
bawah ruang lingkup yang tidak merdeka. Kemerdekaan itu amat sia-sia jika ianya tidak diisi dengan agenda umat. Lebih malang lagi apa yang berlaku ialah kemerdekaan yang dicapai selepas penjajahan itu diganti dengan bentuk penjajahan lain seperti pemerintahan diktator yang dilihat lebih kejam sebagaimana yang berlaku di Tunisia yang diperintah secara zalim oleh rejim Habib Borguiba dan Ben Ali dan di Mesir yang dizalimi puluhan tahun oleh rejim Anwar Sadat, Gamal Nasir dan Husni Mubarak. Dalam konteks Malaysia, walaupun tidak dinafikan negara telah mencapai kemajuan namun begitu, masih terdapat banyak permasalahan dan krisis sosial yang berlaku pada umat Islam. Berdasarkan fakta yang tersebut di atas, jelas menunjukkan umat Islam di Malaysia masih lagi dibelenggu masalah sosial, ekonomi dan lain-lain. Permasalahan penagihan dadah, jenayah, kemiskinan, pendidikan dan sebagainya masih menghantui dan membelenggu umat Islam. Penulis berpandangan di antara punca permasalahan ini ialah kerana kegagalan menghayati ruh Ramadhan dan juga umat Islam menghadapi krisis taqwa. Sekiranya taqwa itu dijadikan sebagai dasar pembangunan diri, bangsa dan negara sudah pasti umat Islam akan kembali dihormati dan mendapat kedudukan yang sewajarnya. Bagaimana Mencapai Ketaqwaan? Di dalam berbicara mengenai matlamat ketaqwaan, persoalan yang besar diajukan ialah bagaimana atau apakah formula untuk mencapai darjat ketaqwaan. Sepertimana perkara yang lain, usaha untuk mencapai taqwa perlu melalui satu proses. Proses ini perlu dilaksanakan satu persatu secara konsisten, ikhlas dan itqan. Penulis membahagikan proses mencapai makam ketaqwaan ini kepada empat fasa seperti berikut: Fasa Pertama: Berilmu. Ketaqwaan tidak akan dapat dicapai melainkan dengan ilmu. Hanya dengan ilmu yang sahih dapat memberi petunjuk kepada kita mengenai cara dan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Fasa Kedua: Beramal Taqwa itu sangat berkait rapat dengan amalan. Tanpa amalan walaupun berilmu tidak akan dapat membuatkan seseorang mencapai darjat ketaqwaan. Begitu juga amalan yang dibuat sambil lewa juga tidak mendapat perhatian daripada Allah. Dalam hal ini setiap amalan itu perlu mempunyai ciri-ciri Itqan, Istiqamah dan Ikhlas. (i) (ii) (iii)
Itqan: Rasulullah bersabda: Allah mengasihi seorang hamba kalau ia melakukan sesuatupekerjaan ia melakukannya dengan sempurna (AlTabarani). Istiqamah: Dan sesungguhnya amal yang paling dicintai Allah adalah yang terus menerus meskipun sedikit.(Muttafaq 'alaih) Ikhlas: Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar Al Khattab, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka
hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan (Bukhari dan Muslim). Fasa Ketiga: Berdoa dan Bertawakkal Berdoa merupakan senjata orang mukmin. Sebagai hamba kepada Allah, amalan berdoa dengan sepenuh hati tanpa jemu akan menjadikan diri merasa sangat kecil di hadapan Allah. Doa ini pula mesti diikuti dengan tawakkal iaitu konsep berserah pada ketentuan Allah. Konsep doa dan tawakkal ini yang akan menambahkan ciri ketaqwaan kepada Allah di mana ianya memperlihatkan peranan kita sebagai hamba Allah yang menyerahkan sepenuh jiwa raga kepadaNya. Fasa Keempat: Syukur dan Redha Setelah melalui ketiga-tiga fasa di atas, setiap individu yang ingin mencapai darjat ketaqwaan perlu memenuhi ciri-ciri fasa terakhir iaitu syukur dengan nikmat dan anugerah Allah dan redha dengan apa sahaja ujian, pemberian dan penentuan Allah. Konsep syukur dan redha ini merupakan natijah dari ilmu, amal, doa dan tawakkal. Melalui institusi Ramadhan yang menguji keimanan melalui pembentukan jiwa menerusi amalan ibadah yang disyariatkan akan dapat mendidik diri ke arah pembinaan insan yang bertaqwa. 5.0
Penutup
Ruh dan intipati Ramadhan perlu diberi penghayatan dan diterjemahkan ke dalam hidup umat Islam sepertimana hidupnya Ramadhan sewaktu zaman Rasulullah. Penghayatan Ramadhan melalui penterjemahan ruh dan intipatinya merupakan pencetus kepada matlamat ketaqwaan. Makam Taqwa itu pula penentu kepada harga diri kita di mata Allah. Hanya dengan pakaian taqwa kita akan mendapat rahmat dan berkat Allah serta mempunyai harga di mata Allah. Apabila kita mendapat rahmat Allah ini, maka dengan itu jugalah segala usaha ke arah pembangunan diri, negara, bangsa dan umat akan mendapat keberkatan dan tidak akan menjadi sia-sia. Sesuai dengan sambutan kemerdekaan yang ke-54 ini juga marilah kita jadikan Ramadhan sebagai titik tolak dan asas pengukuhan Taqwa demi kesejahteraan umat Islam. Hayatilah roh Ramadhan alMubarak hanya untuk mendapat keredhaan Allah dan hidupkanlah semarak semangat kemerdekaan melalui penghayatan Ramadhan serta jadikan taqwa sebagai dasar pembangunan ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.