MEMAHAMI KONSEP “SUMPAH” DALAM ISLAM Zulkifli Hasan 1.0
Pendahuluan
Mutakhir ini, masyarakat dihidangkan dengan pelbagai isu agama yang sememangnya perlu difahami secara ilmiah, jujur, ikhlas dan tepat menurut kehendak syarak. Di antara isu yang menjadi topik hangat perbincangan umum pada hari ini ialah tentang konsep sumpah atau al-Yamin di dalam Islam. Apabila berlakunya sesuatu kes yang melibatkan pertuduhan dan perselisihan, maka kerap kali sumpah menjadi sebutan dan mainan. Di dalam kes pertuduhan liwat misalnya, ramai yang membuat andaian bahawa Yang Menuduh dan Orang Kena Tuduh perlu mengangkat sumpah bagi menyelesaikan kes. Dengan itu berlakulah upacara angkat sumpah di dalam masjid dihadapan al-Quran dan mendapat liputan secara langsung di media. Begitu juga dalam kes video seks yang menggemparkan Malaysia baru-baru ini, di mana ramai pihak menuntut Orang Kena Tuduh untuk bersumpah dan beranggapan ianya perlu dan wajib dilakukan. Melihat kepada perihal ketidak atau kurang fahaman umum mengenai konsep sumpah dalam Islam, penulis ingin berkongsi sedikit pengetahuan berkenaan dengan ruanglingkup undang-undang Islam terhadap perlaksanaan sumpah dan aplikasinya. Dengan informasi dan penjelasan yang diberikan, diharapkan selepas ini tiada lagi desakan dari pihak tertentu sesuka hati untuk meminta sesiapa bersumpah. Sesungguhnya hanya ilmu pengetahuan dan kejujuran serta keihklasan dalam memahami konsep sumpah ini akan memelihara masyarakat dari pelbagai mehnah dan tohmahan. 2.0
Konsep Sumpah (Al-Yamin) dan Pembahagian
Menurut bahasa al-yamīn bermaksud kanan atau bahagian kanan, dan di dalam bahasa melayu al-yamīn bererti sumpah. Istilah lain yang digunapakai juga merujuk kepada al-yamīn ialah al-halaf, al-istihlaf, al-Ila’ dan al-qasam. Dari sudut istilah pula, al-yamīn ditakrifkan sebagai: “Suatu lafaz yang digunakan untuk menyatakan (mensabitkan) haknya terhadap sesuatu perkara atau menafikan sesuatu perkara dengan menyebut nama Allah Subhanahuwataala atau sifatsifatNya”. Melalui pentakrifan ini, sumpah yang dibuat dengan memegang atau menjunjung al-Quran di mana sering kali menjadi anggapan ramai sebagai syariat Islam bukanlah amalan yang dituntut oleh syarak. Bagi memahami konsep sumpah dengan lebih mendalam, kefahaman terhadap pembahagiannya adalah amat penting. Secara umumnya sumpah dibahagikan
dua bahagian iaitu di luar mahkamah (al-Yamīn ghair al-Qadha’iyyah) dan dalam mahkamah (al-Yamīn al-Qadha’iyyah). Walaupun kedua-dua al-yamīn bertujuan untuk menguat dan mengukuh sesuatu tetapi terdapat beberapa perbezaan dari segi hukum dan kaedah pemakaiannya. Al Yamin di luar mahkamah adalah tidak tergolong dalam kategori pembuktian yang diterima untuk sabitan apa-apa kes. Manakala al-Yamin di dalam mahkamah menjadi keterangan (al-Bayyinah) dan boleh diterima pakai untuk sabitan di dalam kes mal (sivil) sahaja. Apa-apa bentuk al-Yamin atau sumpah di dalam kes-kes yang melibatkan jenayah seperti hudud, qisas dan taa’zir tidak boleh diterima pakai sebagai pembuktian untuk sabitan. 2.1
Al-Yamīn Di luar Mahkamah (al-Yamīn Ghair al-Qadha’iyyah)
Al-Yamīn di luar mahkamah juga bertujuan untuk menguat dan mengukuhkan sesuatu perkara. Tetapi al-yamīn ini tidaklah menjadi salah satu cara pembuktian berbeza dengan al-yamīn di dalam mahkamah. al-Yamīn ghair al-Qadha’iyyah bergantung sepenuhnya kepada niat yang orang melafazkannya, sekiranya lafaznya berbeza dari apa yang diniatkannya ia disebut sebagai ‘Tauriyyah’. Tauriah semasa bersumpah adalah tidak dibenarkan samasekali sekira bertujuan untuk menganiayai orang lain bahkan ia merupakan perbuatan yang diharamkan. Pembahagian al-yamīn di luar mahkamah boleh dibahagikan kepada empat iaitu al-yamīn al-munaqidah, al-yamīn al-lagha, al-yamīn al-ghumus dan al-Yamin Mubahalah. Al-Yamīn al-Mun’aqidah. Al-yamīn al-Munaqidah iaitu sumpah yang bersungguh-sungguh dan sah. Ia merupakan suatu sumpah terhadap sesuatu perkara pada masa yang akan datang sama ada untuk dilaksanakan atau meninggalkan sesuatu perkara. Sekiranya seseorang itu melanggar apa yang disumpahkannya maka wajib dikenakan kafarah. Al-Yamīn al-Lagha al-Yamīn al-Lagha adalah jenis sumpah sia-sia yang mana orang yang melafazkan sumpah tersebut tidak berniat untuk bersumpah. Ianya juga boleh ditakrifkan sebagai sumpah terhadap sesuatu yang tidak disangkakan menepati ianya bersumpah sebagaimana ia bersumpah akan tetapi ternyata tidak tepat atau dalam erti kata lain sumpah yang dimaksudkan dengan sesuatu tetapi lidah menyebut perkataan lain. Para fuqaha berpendapat bahawa sumpah jenis ini tidak dikenakan kafarat kepada sesiapa yang melanggarnya.
Al-Yamīn al-Ghumus al-Yamīn al-Ghumus ialah sumpah bohong yang merendahkan hak-hak atau bertujuan membuat dosa dan khianat serta ia tergolong di antara dosa-dosa besar. Ghumus itu bermaksud menjerumuskan pelakunya ke dalam neraka. Mengikut pendapat mazhab Shafie diwajibkan juga kafarat kepada sumpah bohong ini. Al-Yamin al-Mubahalah Al-Yamin mubahalah ialah sumpah saling melaknat sesiapa yang berbohong antara kedua-dua belah pihak, termasuk orang yang bersumpah. Di antara perkara yang perlu dibari perhatian pada sumpah mubahalah ialah ianya adalah bentuk sumpah di luar mahkamah yang berlaku untuk mempertahankan diri dan bukan untuk melakukan tuduhan kepada orang lain. Sekiranya apa yang disumpah tidak betul, sesuatu yang batil atau berbohong orang yang bersumpah juga termasuk dalam mereka yang dilaknat dalam sumpahan itu. Perlu diingat keperluan kepada al-Yamin mubahalah tidak menjadi tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di Mahkamah. Ini kerana ianya boleh mengganggu proses keadilan di Mahkamah yang melibatkan banyak kaedah pembuktian yang lain seperti al-Iqrar, al-Syahadah, al-Qarinah. Malahan sumpah mubahalah dianjurkan hanya selepas pelbagai cara diusahakan untuk menyelesaikan perbalahan dan sekiranya terus buntu barulah ianya boleh dilaksanakan. Sheikh Yusuf alQaradhawi mengingatkan bahawa mubahalah bukanlah perkara yang baik dan mudah dilakukan begitu sahaja, sebaliknya ia berlaku dalam perkara-perkara yang sangat penting dalam agama sahaja. 2.2
Al-Yamīn Di Dalam Mahkamah (al-Yamīn al-Qadhaiyyah)
Al-yamīn al-Qadhaiyyah berfungsi untuk mensabitkan atau menafikan sesuatu dakwaan ke atas seseorang dan ia bergantung kepada niat orang yang mengarahnya iaitu Hakim. Ianya hanya terpakai untuk sabitan dalam kes mal. Menurut kitab-kitab fiqh, al-yamīn yang dilaksanakan dalam sesuatu penghakiman terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Yamīn al-Mudda’a ‘alaih, Yamīn al-Mudda’i dan Yamīn al-Syahid. Yamīn al-Mudda’a alaih Yamīn al-Mudda’a alaih ialah sumpah yang dilafazkan oleh yang kena dakwa atas arahan hakim merujuk kepada permohonan yang mendakwa bagi menguatkan jawapan terhadap dakwaan. Ia juga dikenali sebagai Yamīn al-Asliyyah, Yamīn alDafī’ah dan Yamīn Al-Rafī’ah. Ulamak Hanafiyyah juga menamakan sebagai sumpah wajib (Yamīn al-Wajibah).
Yamīn al-Shahid Yamīn al-Shahid akan dilaksanakan oleh saksi sebelum sesuatu kesaksian dibuat. Sumpah ini bertujuan memberi kebenaran atas kepercayaan. Pada Masa ini alyamīn jenis ini menjadi ganti kepada tazkiah kepada saksi. Yamīn al-Mudda’i Seperti yang telah dinyatakan di atas, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya hanya menerima Yamīn al-Mudda’a alaih (sumpah yang didakwa) dan menolak selain daripada itu. Namun jumhur yang terdiri daripada Maliki, Shafie, Hanbali dan lain-lain menerima pakai yamīn al-Mudda’i. Menurut para ulamak yang menerima Yamīn al-Mudda’i, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Yamīn alJalibah, Yamīn al-Tuhmah dan Yamīn al-Istizhar. i. Yamīn al-Jalibah: Sumpah yang dilaksanakan oleh al-mudda’i untuk mensabitkan hak-haknya. Sebab-sebab yang memerlukan sumpah ini adakala ianya keterangan seorang saksi sahaja iaitu sumpah bersama seorang saksi (alyamīn ma’a al-Syahid) adakalanya kerana nukul al-mudda’a alaih daripada al-Yamīn al-asliyyah dan dikembalikan kepada al-mudda’i supaya bersumpah atau dinamakan al-yamīn al-Mardudah atau al-Munqalibah. Adakalanya al-yamīn alJalibah digunakan kerana lauth iaitu yamīn al-Qasamah dalam kes pembunuhan atau kecederaan. Kadangkala ia juga dilaksanakan kerana Qazaf suami terhadap isterinya iaitu dikenali sebagai al-Yamīn al-Li’an dan adakalanya amanah kerana setiap orang yang diberi amanah dan mendakwa telah memulangkan barang tersebut kepada tuannya. Maka dibenarkan dakwaannya dengan bersumpah kecuali pemegang barang gadai, penyewa dan peminjam tidak dibenarkan dakwaan mereka melainkan jika ada bayyinah. ii. al-Yamīn al-Tuhmah: Sumpah yang diarah oleh Hakim kepada orang yang mendakwa bertujuan untuk menolak dakwaan yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Sumpah ini diterima pakai oleh mazhab Maliki dan Zaidiyyah. iii. Yamīn al-Istizhar: Bentuk sumpah ini yang paling kerap digunakan dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian di mahkamah Syariah. Yamīn al-Istizhar juga disebut sebagai Yamīn al-Istithaq atau Yamīn al-Istibra’ iaitu sumpah yang dilakukan oleh orang yang mendakwa atas permintaan hakim untuk menolak tohmah terhadapnya selepas ia mengemukakan dalil dan keterangan yang diperlukan dalam dakwaan. Lazimnya Yamīn al-Istizhar ini dilaksanakan bagi tuntutan yang berhubung dengan hak ke atas orang yang ghaib atau mati.
4.0
Kesimpulan
Konsep sumpah di dalam Islam merupakan salah satu cabang ilmu yang perlu difahami secara mendalam oleh pengamal undang-undang manakala kesedaran dan kefahaman asas pada konsep ini perlu diserap dan diperjelaskan kepada masyarakat. Akibat dari ketidak atau kurang fahaman atau buat-buat tak faham pada konsep sumpah ini membuatkan ketidakselesaan dan persengketaan di dalam masyarakat. Desakan pihak tertentu untuk bersumpah dalam pelbagai aspek menunjukkan krisis intelektual dan kedangkalan tahap kefahaman Islam. Sumpah yang boleh diterima pakai untuk sabitan kes adalah sumpah yang dibuat di mahkamah dan menurut syarat-syarat yang ditetapkan. Sumpah sebagai kaedah pembuktian hanya terpakai di dalam kes mal dan ianya tidak boleh diterima di dalam kes jenayah seperti kes liwat, zina, qazaf dan sebagainya. Sumpah di luar mahkamah bukanlah sesuatu perkara yang digalakkan di dalam Islam. Sumpah mubahalah misalnya, bukanlah boleh dilaksanakan sesuka hati sesedap rasa. Ianya hanya boleh dilakukan sekiranya pelbagai cara lain telah dilaksanakan dan tiada kaedah lain lagi yang boleh menyelesaikan perselisihan. Dalam aspek kaedah bersumpah pula, amalan bersumpah menjunjung atau mencium atau mengusap atau mengangkat alQuran bukanlah tuntutan ajaran Islam. Sumpah cukup dengan menyebut nama Allah Subhanahuwataala atau sifat-sifatNya. Penjelasan ringkas mengenai konsep sumpah di atas diharapkan dapat merungkai dan memberi kefahaman yang sewajarnya terhadap ruanglingkup dan aplikasi sumpah menurut hukum syarak. Masyarakat umum atau pihak tertentu janganlah terlalu teruja dan terkinja untuk mendesak individu untuk bersumpah sebagai kaedah menyelesaikan pertikaian dan perselisihan. Sumpah yang menyandarkan kepada nama Allah Subhanahuwataala atau sifat-sifatnya tidak boleh dipermain-mainkan dalam bentuk apa sekalipun. Amalan mendesak atau memaksa individu bersumpah di dalam masyarakat perlu dihentikan atau kita akan hanya terus mengamalkan perkara yang tidak dituntut oleh syarak malahan boleh mencetuskan kemurkaan Allah Subnahuwataala.