Pada setiap peringkat kehidupan kita kita membuat keputusan yang amat mempengaruhi kehidupan manusia yang kita impikan untuk menjadi, dan kemudian, apabila kita menjadi manusia berkenaan, kita tidaklah selalunya seronok dengan keputusan yang telah kita ambil. Jadi, orang muda membayar wang yang banyak untuk memadam tatu mereka, sedangkan remaja membayar wang yang lebih juga untuk mendapatkannya. Orang berusia pertengahan berlumba-lumba menceraikan orang yang ingin dikahwini berpusu-pusu oleh orang muda. Orang dewasa yang lebih tua bekerja keras untuk meninggalkan perkara yang ingin digenggam oleh orang muda pertengahan usia. Senarainya panjang. Sebagai ahli psikologi, soalan yang menarik minat saya, kenapa kita membuat keputusan yang selalunya membuatkan diri masa depan kita menyesal? Sekarang, saya fikir salah satu sebabnya -saya akan cuba meyakinkan anda hari ini — bahawa kita memiliki tanggapan asas yang salah tentang kuasa masa. Setiap diri kita faham mengenai kadar perubahan yang semakin perlahan sepanjang jangka hayat manusia, bahawa anak anda kelihatan berubah setiap minit tetapi orang tua anda kelihatan berubah setiap tahun. Namun, apakah nama titik ajaib kehidupan ini apabila kadar perubahan bertukar daripada pantas kepada perlahan? Waktu remaja? Waktu pertengahan usia? Waktu tua? Jawapannya, boleh jadi, bagi kebanyakan orang, adalah sekarang,
walau di mana pun sekarang berada. Apa yang saya ingin yakinkan anda pada hari ini adalah bahawa kita semua hidup setiap hari dengan satu ilusi, satu ilusi bahawa sejarah, sejarah peribadi kita, baru sahaja berakhir, bahawa kita baru sahaja menjadi orang yang sememangnya kita impikan dan pada hakikatnya akan menjadi sebegitu sepanjang hidup kita. Mari saya berikan sedikit data untuk mempertahankan hujah saya. Ini satu kajian tentang perubahan pada nilai peribadi manusia dalam tempoh waktu tertentu. Ini tiga jenis nilai. Setiap orang di sini mengamalkan kesemuanya, tapi anda mungkin tahu bahawa semakin anda membesar, semakin lanjut usia, keseimbangan nilai ini beranjak. Jadi bagaimana ia berlaku? Kami mengajukan soalan kepada ribuan orang. Kami bertanya setengah daripada mereka untuk meramalkan sejauh manakah nilai mereka berubah dalam masa 10 tahun akan datang, dan yang lainnya untuk memberitahu kami sejauh manakah nilai mereka berubah 10 tahun yang lepas. Dan ini membolehkan kami membuat analisis yang amat menarik, sebab ia membenarkan kami membandingkan ramalan orang yang berumur 18 tahun, contohnya dengan laporan orang yang berusia 28 tahun, dan melakukan analisis tersebut sepanjang jangka hayat. Ini dapatan kami. Pertama, anda semua betul, perubahan berlaku dengan perlahan semakin lanjut usia kita, tetapi kedua, anda semua salah,
sebab ia tidaklah seperlahan sebagaimana yang kita sangka. Pada setiap usia, dari 18 hingga 68, dalam set data kami, orang memandang rendah sejauh manakah mereka mengalami perubahan sepanjang 10 tahun yang akan datang. Kami panggil ini sebagai ilusi "berakhirnya sejarah". Bagi menerangkan idea tentang sejauh manakah kesan ini berlaku, anda boleh menghubungkan dua garisan ini, dan apa yang anda lihat adalah mereka yang berusia 18 tahun menjangkakan perubahan sama banyak dengan mereka yang berusia 50 tahun. Ini bukan sahaja merangkumi nilai. Bahkan, perkara yang lain juga. Contohnya, personaliti. Ramai di kalangan anda tahu, ahli psikologi kini berpendapat bahawa terdapat lima dimensi personaliti yang asas: neurotisisme, keterbukaan kepada pengalaman, gaya yang menyenangkan, ekstraversi, dan kehematan. Sekali lagi, kami bertanya kepada orang, sejauh manakah mereka jangka berlakunya perubahan sepanjang 10 tahun yang akan datang, dan juga sejauh manakah mereka berubah sepanjang 10 tahun yang lepas, dan kami dapati, anda nanti akan biasa melihat diagram ini berkali-kali, sebab sekali lagi kadar perubahan sememangnya perlahan semakin lanjut usia kita, tetapi pada setiap usia, orang membuat ramalan meleset tentang sejauh mana personaliti mereka akan berubah untuk dekad yang seterusnya. Dan ia bukan sahaja merangkumi perkara efemeral seperti nilai dan personaliti. Anda boleh bertanya orang tentang kegemaran dan kebencian mereka, kecenderungan asas mereka.
Sebagai contoh, namakan rakan baik anda, jenis percutian terbaik anda, kegemaran yang paling diminati, muzik yang paling disukai. Orang mampu menyenaraikan perkara ini. Kami tanyakan separuh daripada mereka untuk memberitahu kami, "Adakah anda fikir bahawa yang tersebut berubah dalam masa 10 tahun akan datang?" dan separuh lagi untuk memberitahu kami, "Adakah yang tersebut berubah sepanjang 10 tahun yang lepas?" Dan dapatan kami, anda telah lihatnya dua kali sekarang, dan ini dia sekali lagi: orang meramalkan bahawa rakan yang mereka ada sekarang adalah rakan mereka sepanjang 10 tahun akan datang, percutian yang paling mereka sukai adalah sama dengan yang akan mereka nikmati 10 tahun akan datang, namun, orang yang 10 tahun lebih tua pula berkata, "Eh, itu semua sememangnya telah berubah." Adakah ini semua penting? Adakah ini satu bentuk ramalan meleset yang tidak ada kesan? Tidak. Ini semua penting, dan saya akan berikan contohnya. Ia merumitkan proses membuat keputusan melalui banyak cara. Bayangkan diri anda sekarang. Pemuzik paling anda sukai hari ini dan pemuzik yang paling anda sukai 10 tahun yang lalu. Saya pancarkannya di layar untuk membantu anda. Kemudian, kami meminta orang untuk meramalkan dan memberitahu kami berapakah harga yang akan mereka bayar sekarang untuk menyaksikan pemuzik yang paling disukai sekarang membuat persembahan dalam konsert 10 tahun yang akan datang,
dan secara purata, orang berkata mereka akan membayar 129 dolar untuk harga tiket. Namun, apabila kami bertanya mereka berapakah harga yang ingin mereka bayar untuk menyaksikan pemuzik yang mereka minati 10 tahun lalu membuat persembahan pada hari ini, mereka berkata hanya 80 dolar. Dalam dunia rasional yang sempurna, harga yang sama sepatutnya dipilih, tetapi, kita membayar lebih untuk peluang menikmati kecenderungan semasa kita sebab kita membuat jangkaan yang lebih tentang kestabilan mereka. Kenapa perkara ini berlaku? Kami tidak pasti sepenuhnya, tetapi, ia mungkin disebabkan mudahnya mengingati berbanding sukarnya membayangkan. Kebanyakan kita mampu mengingati siapa diri kita 10 tahun lepas, tetapi agak sukar membayangkan siapa diri kita yang akan datang, dan kemudian kita membuat tanggapan yang salah atas sebab sukar membayangkan ia tidak mungkin berlaku. Maaf, apabila orang berkata "Saya tidak boleh membayangkan sesuatu," mereka biasanya mengatakan tentang ketiadaan imaginasi mereka, dan bukan tentang ketidakmungkinan berlakunya peristiwa yang mereka huraikan. Kesimpulannya, masa adalah kuasa yang ampuh. Ia membawa perubahan kepada kecenderungan kita. Ia mengubah nilai kita. Ia menukar personaliti kita. Kita sebenarnya menghargai perkara ini, tetapi hanya secara retrospek. Hanya apabila kita melihat ke belakang, baru kita sedar
sejauh mana kita telah berubah dalam masa satu dekad. Bagi kebanyakan kita, ia seakan waktu sekarang adalah masa ajaib. Ia titik perubahan dalam garis masa. Ia detik yang padanya kita menjadi diri kita yang sebenar akhirnya. Manusia adalah ciptaan yang masih belum siap yang berfikir secara salah bahawa mereka telah pun sempurna. Diri anda sekarang bersifat fana, sejenak dan sementara yang serupa dengan semua diri yang pernah anda jadi. Yang kekal dalam kehidupan kita ialah perubahan. Terima kasih. (Tepukan)