Persidangan Antarabangsa Pengajian Kemanusiaan 2017
Kota Kinabalu, 24-25 Mei 2017
WARISAN BUDAYA MELAYU DALAM NOVEL SRI RAHAYU SEBAGAI MEDIUM PENDIDIKAN Maizira Abdul Majid Jabatan Sosio Budaya/Kesenian Melayu
[email protected] Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali Jabatan Kesusasteraan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya
[email protected] PENDAHULUAN Novel merupakan karya prosa yang dapat mengungkap secara terperinci tentang persoalan masyarakat tersebut. Salah satu isu penting yang dipaparkan dalam karya sastera adalah mengenai nilai warisan budaya masyarakat Melayu. Isu ini sebenarnya dapat mendidik masyarakat supaya mengenali dengan lebih dekat lagi tentang nilai warisan budaya Melayu. Selain itu, mereka akan diberi kesedaran betapa pentingnya mencintai dan menghargai warisan budaya Melayu. Oleh itu, dalam hal ini, jelas memperlihatkan bahawa novel dapat memainkan peranan penting dalam melestarikan warisan budaya Melayu. Hal ini kerana warisan budaya Melayu yang diperkenalkan melalui karya sastera akan menjadi lebih menarik. Seterusnya pembaca secara tidak langsung diberi pendedahan terhadap warisan budaya Melayu. Karya Sri Rahayu Mohd Yusop banyak memaparkan nilai budaya Warisan Melayu ini. Sri Rahayu Mohd Yusop dilahirkan di Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan pada 18 Jun 1976. Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dengan major Kesusasteraan Inggeris secara berkembar di tiga institusi, iaitu Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, University of Otago, New Zealand dan Dunedin College of Education, New Zealand dengan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA). Setelah tamat pengajian, beliau memulakan tugas sebagai guru Bahasa Inggeris di SMK Dato' Harun, Tanjong Karang dari tahun 2000-2003. Kini, beliau berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di SMK Pandan Jaya, Ampang (Kamariah Kamarudin, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali & Mawar Safei, 2016: 155-1157). Semua novel yang dihasilkan oleh Sri Rahayu Mohd Yusop memenangi hadiah sastera seperti Bukan Legasi Lalang (2000), 'Merdekakan Cinta Ratna' (2002), 'Warisnya Kalbu' (2007), 'Kasih Nan Agung' (2009), 'Bimasakti Menari' (2010), novel 'Rimba Jiwa' (2011), novel fiksyen sains 'Equilibria' (2011), 'Qalam Kalbu' (2013), novel 'Transgenik Sifar' (2015). Terkini, novel beliau yang bertajuk 'Empunya Kalbu' telah memenangi tempat kedua Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015. Novel Warisnya Kalbu (2013) dipilih sebagai bahan kajian kerana novel ini banyak memperlihatkan warisan budaya Melayu, iaitu Pantun Melayu, Isu Bahasa Melayu,
1
Persidangan Antarabangsa Pengajian Kemanusiaan 2017
Kota Kinabalu, 24-25 Mei 2017
Kesantunan Bahasa dan Sejarah Negeri Pahang. Seterusnya metodologi kajian dan perbincangan diteruskan dalam kertas kerja ini. METODOLOGI Kajian ini berbentuk analisis kandungan dengan melihat novel kajian dan bahan-bahan kajian lepas yang berkaitan dengan novel kajian dan tentang warisan budaya Melayu. Konsep budaya Melayu dinyatakan terlebih dahulu sebagai panduan sebelum menganalisis teks kajian. Novel Warisnya Kalbu (2013) karya Sri Rahayu Mohd Yusop dipilih kerana novel ini banyak memaprakan tentang warisan budaya Melayu, iaitu pantun Melayu, Bahasa Melayu Klasik, Isu Bahasa Melayu, Sejarah Pahang dan Johor. Warisan Budaya Melayu ini dianalisis melalui tajuk-tajuk kecil tersebut bagi memperlihatkan secara jelas dan seterusnya memperlihatkan bahawa warisan budaya Melayu dapat dijadikan sebagai medium pendidikan masyarakat, terutamanya generasi muda. PERBINCANGAN/ANALISA Budaya merupakan cara hidup atau keseluruhan hidup yang diamalkan oleh masyarakat. Menurut (Mohd. Taib Osman, 1980: 75-76) sastera merupakan sebahagian daripada kebudayaan kita tidak dapat melihatnya sebagai satu entiti yang statik, tidak berubah, tetapi sesuatu yang dinamik yang berubah. Manusia mempunyai “budaya” yang membolehkan mereka berinteraksi antara satu sama lain (Wan Abdul Kadir, 1988: 1). Oleh itu budaya adalah keseluruhan cara hidup yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat yang berkait rapat dengan akal. Di samping, cara hidup masyarakat itulah yang akan mencorakkan budaya mereka sendiri dan diajarkan serta diwariskan kepada generasi seterusnya. Maka, perkataan budaya yang digunakan dalam bahasa Melayu merujuk kepada jenis kebiasaan atau tabiat tertentu, aiaitu positif dan negatif (Asmah Hj. Omar, 2005:5). Oleh itu, warisan budaya Melayu meruapakan warisan yang diperoleh daripada budaya Melayu yang diwarisi oleh generasi kini sejak zaman berzaman. Warisan budaya Melayu ini yang boleh dijadikan sebagai medium pendidikan kepada generasi sekarang. Hal ini dapat dilihat daripada analisis seterusnya dalam kertas kerja ini. Pantun Melayu Cerita dalam novel ini berlegar mengenai watak utama Hassan Baseri dan Khadija yang bersahabat baik. Persahabatan mereka terjalin erat dengan kegiatan yang memberi kesan yang baik terhadap aktiviti mereka sebagai remaja yang membesar dalam suasana yang harmoni dan syariat Islam. Hassan Basri, Khadija, Xian Rong dan Ruhana terpilih mewakili sekolahnya dalam Sayembara Pantun. Pemupukan minat dan penghargaan kepada pantun sebagai warisan budaya Melayu dapat dihayati sepenuhnya dalam novel ini. Menerusi pantun pelbagai nilai murni dan pengajaran dapat diambil sebagai panduan dan pedoman dalam kehidupan manusia. Misalnya budi bahasa Melayu dalam pergaulan seharian dapat dipelajari melalui pantun. Pasukan Pantun Sekolah Menengah Kebangsaan Perdana Jaya yang diwakili oleh Hassan Basri dan kawan-kawan berjaya memenangi Sayembara Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Daerah. Akhirnya, Hassan Basri telah memberi pelajaran yang akhir kepada Cik Katherine Cavenagh, anak perempuan orang putih yang meminati pantun, iaitu: 2
Persidangan Antarabangsa Pengajian Kemanusiaan 2017
Kota Kinabalu, 24-25 Mei 2017
“Pantun adalah pernyataan jiwa manusia Melayu. Ia menyerlahkan budi yang merangkumi adab, pemikiran, perasaan, pengalaman dan harapan manusia Melayu. Pantun juga mengalami perubahan yang bermakna apabila manusia Melayu mengangkat agama Islam sebagai anutannya.” (Warisnya Kalbu, 2013: 168). Mereka mendapat pelajaran dan pendidikan penting daripada pantun, iaitu seni warisan Melayu itu sebagai bukti betapa pemikiran orang Melayu dahulu sangat bijak dan generasi sekarang sepatutnya menghargai pusaka bangsa ini. Isu Bahasa Dalam novel Warisnya Kalbu ini turut menjelaskan bahawa bahasa Inggeris bukanlah penentu terhadap kejayaan bangsa Melayu atau bangsa-bangsa lain di dunia ini. Orang mungkin dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, tetapi tidak dapat menulisnya dengan baik, dan juga sebaliknya. Ada juga orang yang mampu menguasai pelbagai bahasa tetapi tidak pandai dalam melukis, sukan, memasak, berkebun dan mengaji al-Quran. Oleh yang demikian, tidak perlulah masyarakat terlalu taksub dengan bahasa Inggeris. Jika semua bangsa di Malaysia menggunakan bahasa Inggeris walaupun di rumah sendiri, maka bagaimana pula nasib bahasa ibunda seperti Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dab lain-lain. Hal ini diperjelaskan dengan baik dalam novel ini. Nilai pengajaran dalam cerita ini turut menyentuh tentang penggunaan bahasa Inggeris dengan orang tua. Sememangnya generasi muda sekarang ini kadang-kadang gemar bercakap bahasa Inggeris dengan orang tua kerana sudah terbiasa dengan percakapan seharian mereka yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris. Hal ini dijelaskan dalam petikan berikut: “Tak mengapa Khadija. Tak semestinya tak elok bercakap dalam bahasa Inggeris depan orang tua. Nenek faham apa yang ada dalam fikiran Khadija. Mungkin ada orang tua yang salah faham, dan akibatnya boleh menimbulkan salah sangka, terutamanya kalau ada saudara-mara lain.” (Warisnya Kalbu, 2013: 124-125). Hal ini bukanlah bermaksud bahawa penggunaan bahasa Inggeris itu tidak dibenarkan sama sekali digunakan ketika bercakap dengan orang tua, namun penggunaan harus berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan orang yang lebih tua. Budi Bahasa Amalan berbudi bahasa melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai identiti positif, berfikiran luas, terbuka dan sikap tanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga terhadap keluarga, rakan, jiran, pemimpin, guru serta persekitaran (Budi Bahasa Budaya Kita, 2004: 4). Budi bahasa menjadi cerminan bangsa Melayu yang sememangnya amat mementingkan sikap ini dalam kehidupan seharian. Hal ini sudah tentu ditonjolkan dalam pantun Melayu yang telah dianalisis dalam kertas kerja ini. Bahasa dan diksi-diksi terpilih dalam pantun menggambarkan kehalusan budi bahasa orang Melayu yang menggunakan bahasa lembut dan berlapik dalam menyatakan sesuatu pandangan atau perkara untuk mengekalkan keharmonian dalam kehidupan mereka. Contohnya dalam petikan berikut (Warisnya Kalbu, 2013: 130): Kalau memetik bunga kenanga, Jangan diletak di atas peti; Kalau orang memberi bunga, 3
Persidangan Antarabangsa Pengajian Kemanusiaan 2017
Kota Kinabalu, 24-25 Mei 2017
Jangan dibalas dengan tahi. Selain pantun Melayu, budi bahasa jelas diperlihatkan dalam novel Warisnya Kalbu melalui watak Hassan Basri dan rakan-rakannya yang sangat hormat kepada ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua daripada mereka. Selain itu, mereka turut menghargai warisan budaya Melayu yang diwarisi daripada nenek moyang mereka sejak turun temurun. “Pantun ini bukan untuk menggambarkan keadaan masyarakat umum. Ia adalah sindiran, dan paling penting nasihat kepada manusia yang tidak mahu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan.” (Warisnya Kalbu, 2013: 170). Sejarah Pahang dan Johor Kisah sejarah dalam Warisnya Kalbu dapat memberikan pengetahuan sejarah bangsa kepada generasi. Memupuk minat untuk mengetahui dan memahami sejarah tanah air. Novel ini memaparkan sejarah politik Pahang dengan penceritaan Wan Ahmad menyerang Istana Ganchong dan tertipu dengan percaturan orang putih. Perang Bendahara (1857-1863) (Kamariah Kamarudin, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali & Mawar Safei, 2016: 166). Perang saudara yang berlaku di Pahang banyak tercatat dalam buku Sejarah Pahang oleh Haji Buyong Adil, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1972 (Cetakan pertama) dan beberapa buku tentang sejarah Pahang dan pelbagai sumber rujukan lain. Cerita yang dikisahkan secara tidak langsung dalam novel Warisnya Kalbu merupakan sejarah sebenar daripada sumber hypotext Perang Saudara Bendahara Pahang 1857-63 (Kamariah Kamarudin, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali & Mawar Safei, 2016: 167). Selain sejarah Pahang, sejarah Johor bermula pada tahun 1528, Sultan Alauddin Riayat Shah dari keturunan kesultanan Melaka telah membuka Johor dan bertapak di Johor Lama juga dimuatkan dalam novel Warisnya Kalbu. Dinasti ini memerintah Johor sehingga tahun 1699, iaitu tarikh kemangkatan Sultan Mahmood yang dikatakan dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bintan). Sultan Mahmood tidak mempunyai waris yang sah dan oleh itu pengurusan dan pentadbiran Johor berpindah kepada Dinasti Bendahara iaitu menteri-menteri yang membantu Dinasti Kesultanan Melaka. Oleh sebab perperangan dan bagi mengekalkan kuasa perdagangan, ibu negeri Johor berpindah sebanyak 20 kali di sepanjang Sungai Johor termasuk pada akhirnya di Kepulauan Riau (Laman Web Rasmi Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor, 2017, http://kemahkotaan.johor.gov.my/pengenalan/sejarahkesultanan-johor/). Hal ini turut diperlihatkan dalam novel Warisnya Kalbu yang memaparkan mengenai sejarah Johor Lama (Warisnya Kalbu, 2013: 48). Secara tidak langsung perkara ini memberi ilmu pengetahuan yang berunsur pendidikan kepada pembaca untuk mengetahui tentang sejarah Melayu, dan seterusnya memberi rasa ingin tahu pembaca terhadap sejarah Melayu. Dengan hal demikian, pembaca akan cuba mencari sejarah Melayu dengan lebih jelas melalui pembacaan daripada sumber-sumber sejarah bagi mendapatkan fakta yang tepat. Menurut Muhammad Haji Salleh (2000: 43), sekiranya seorang pengarang ingin menulis sejarah bangsanya, maka dipilih genre sejarah, yang juga kita golongkan sebagai sastera. Tun Seri Lanang, Raja Chulan atau Raja Ali Haji memilihnya untuk melakarkan perjalanan kerajaan, 4
Persidangan Antarabangsa Pengajian Kemanusiaan 2017
Kota Kinabalu, 24-25 Mei 2017
pergerakan bangsa, peristiwa dan watak penting dalam karya-karya mereka, masingmasingnya dalam Sulalat al-Salatin, Misa Melayu dan Tuhfat al-Nafis. KESIMPULAN Kesimpulannya, novel Warisnya Kalbu (2013) banyak mengandungi unsur warisan budaya Melayu yang dapat dijadikan sebagai ilmu pengetahuan dan pendidikan kepada masyarakat umumnya, dan generasi muda khususnya. Pendidikan dapat dilihat dalam pantun, isu bahasa, budi bahasa, dan sejarah Pahang dan Johor. Analisis membuktikan bahawa novel ini dapat menoinjolkan tentang betapa warisan budaya Melayu dapat memberi pendidikan yang berkesan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam masyarakat. Selain memberi pengetahuan terhadap khazanah warisan Melayu, Warisnya Kalbu turut memperlihatkan kepentingan ikatan siratulrahim terjalin erat tanpa mengira bangsa bagi memakmurkan lagi tanah air tercinta. Oleh yang demikian hal ini bertepatan seperti kata-kata Muhammad Haji Salleh (2000: 43) bahawa sastera dianggap amat dasar dalam sesebuah masyarakat kerana selama ini sastera dianggap dan diisi sebagai wadah rohaniah, intelektual dan praktikal bangsa itu. RUJUKAN: Asmah Hj. Omar. (1983). The Malay Peoples of Malaysia and Their Languages. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ayob Yamin & Hamzah Hamdani. (1980). Penulisan Kreatif (Kumpulan Esei Ceramah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Budi bahasa Budaya Kita. (2005). Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Kamariah Kamarudin, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali & Mawar Safei. (2016). Takmilah, Semiotik dan Intertekstualiti Dalam Karya Sastera Melayu. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia. Laman Web Rasmi Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor. (2017). http://kemahkotaan.johor.gov.my/pengenalan/sejarah-kesultanan-johor/ diakses pada 26 April 2017. Mohd Yasin Ahmad. (2012). Pantun Jiwa Masyarakat Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. Muhammad Haji Salleh. (2000). Puitika Melayu Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Othman Yatim. (2005). Syarahan Perdana Pembudayaan Pembudayaan Muzium. Pelestarian Warisan dan Pembinaan Bangsa. Sri Rahayu Mohd Yusop. (2013). Warisnya Kalbu. Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd. Wan Abdul Kadir. (1988). Budaya Popular Dalam Masyarakat Melayu Bandaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Biodata: Maizira Binti Abdul Majid dari Jabatan Sosiobudaya Melayu/Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM). Penelitian dalam bidang Pengurusan Seni dan Kesenian Melayu. Tengku Intan Marlina Binti Tengku Mohd Ali dari Jabatan Kesusasteraan Melayu, APM, UM. Penelitian dalam bidang kesusasteraan Melayu moden, teori dan kritikan sastera. 5