KELEMAHAN NOVEL JERIJI KASIH SEBAGAI TEKS PENDIDIKAN KESUSASTERAAN MELAYU: SATU PENILAIAN BERDASARKAN GAGASAN PERSURATAN BARU Muhammad Zarif Hassan@Zulkifli (
[email protected]) Roselan Baki, PhD (
[email protected]) Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia
Abstrak: Novel Jeriji Kasih merupakan teks wajib yang baharu bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Sebagai teks pendidikan, novel Jeriji Kasih didakwa memaparkan “gaya penceritaan yang menarik”, mengandungi “ilmu” serta mampu menjadikan murid seorang insan yang berfikir tentang “kebaikan, kebenaran, dan kehalusan budi pekerti”. Makalah bertujuan merungkai kandungan novel Jeriji Kasih berdasarkan kepada struktur naratif novel. Sehubungan itu, makalah memanfaatkan kerangka analisis Gagasan Persuratan Baru (PB), guna untuk meneliti sejauh mana dakwaan-dakwaan tersebut diakui kebenarannya. Pemilihan PB tepat kerana PB menawarkan kerangka asas yang mengutamakan “ilmu” berbanding “cerita”, yang dilihat selari dengan dakwaan yang terhadap teks. Analisis kajian mendapati novel mengandungi kelemahan yang merangkumi kandungan dan maklumat pada fizikal novel. Intipati novel yang berkisar pada idea pokok yang negatif jelas bertentangan dengan dakwaan yang dikenakan ke atas novel. Ini dapat dilihat melalui beberapa manipulasi alat penceritaan seperti watak, plot dan insiden. Selain itu, analisis juga menolak dakwaan kandungan novel mengandungi ilmu tetapi sebaliknya.
Kata Kunci : Ilmu, cerita, paksi naratif, ruang naratif, isian cerita, isian wacana
Mukadimah Novel Jeriji Kasih (JK) telah memenangi hadiah sagu hati bagi Sayembara Mengarang Sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2007. Walaupun hanya memenangi hadiah sagu hati, JK telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai salah satu teks wajib bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (KM). Pemilihan ini menunjukkan satu pengiktirafan yang penting dalam sejarah pendidikan KM kerana novel JK menjadi salah satu sumber teks autoritatif dalam menjayakan kegemilangan pendidikan KM selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pengiktirafan terhadap JK ini didasari oleh beberapa andaian dan dakwaan oleh beberapa pihak tertentu sebagai pengukuhan kepada pengiktirafan tersebut. Antaranya, Laporan Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas DBP 2007 (seterusnya Laporan) menjelaskan bahawa novel JK membawa “tema kekeluargaan”, “gaya penceritaan yang menarik” serta “bahasa yang digunakan lancar, ringkas, padat dan dialog yang bersesuaian”
(Zalila Sharif, 2007: 28-29). Selain itu, pengiktirafan terhadap novel JK diperkukuhkan lagi dengan pengakuan KPM (2009) seperti berikut : “Novel Kesusasteraan Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) telah melalui proses perakuan pada peringkat Kementerian Pelajaran demi menjaga kualiti novel berkenaan… Novel ini telah dipilih dengan teliti supaya dapat memenuhi matlamat pendidikan Kesusasteraan Melayu... dapat menyokong teras pembentukan individu, terutama dari segi pemupukan ilmu, kemahiran dan nilai yang berkaitan dengan aspek intelek dan emosi... karya sastera terpilih mampu menjadikan murid seorang insan yang berfikir tentang kebaikan, kebenaran, kehalusan budi pekerti...” [Penekanan ditambah] Melalui kenyataan di atas, ternyata kualiti kandungan novel JK telah diteliti secara rapi dan selektif oleh pihak KPM. Tambahan pula kandungannya dikatakan mampu “memupuk ilmu” dan “menjadikan murid insan berfikir tentang kebenaran, kehalusan budi pekerti”. Dengan itu, melalui perakuan Laporan dan KPM, terdapat dua dakwaan penting yang saling memperkukuh kandungan novel JK iaitu menawarkan “gaya penceritaan” yang menarik dan mengandungi “ilmu”. Jelasnya, penekanan terhadap aspek “cerita” dan “ilmu” menjadi justifikasi utama pengiktirafan novel JK. Walau bagaimanapun, pertukaran dan pemilihan teks wajib KM telah menimbulkan polemik kerana terdapat pandangan yang mengatakan kandungan novel yang dipilih tidak bermutu, mengandungi pengajaran yang negatif (Mohd. Affandi Hassan, 1992), sembarangan, dangkal (Anwar Ridhwan, 2009) tidak mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan, tidak memaparkan unsur moral yang baik bagi pembentukan insan dan bertahap rendah jika dibandingkan dengan kesusasteraan Melayu tulen (Berita Harian, Mei 2011). Kesannya, pendidikan KM menjadi beku, bosan dan tidak memberikan kesan keindahan yang kekal (Mohd. Affandi Hassan, 1992; Chew Fong Peng, 2006). Ini menjadikan matapelajaran KM gagal mencapai matlamatnya kerana matlamatnya tidak jelas dan cara mencapainya kacau dan keliru (Mohd. Affandi Hassan, 1992). Lanjutan itu, persoalan yan perlu dibangkitkan, adakah pemilihan novel JK selari dengan matlamat FPK sebagai bahan bacaan dalam meningkatkan intelektual para pelajar? Dan sejauh mana kebenaran dakwaan yang dikenakan kepada novel JK itu tepat dan benar? Persoalanpersoalan ini perlu ditangani kerana kandungan novel yang tidak menjadikan ilmu sebagai perkara pokok dilihat sebagai suatu penyimpangan terhadap matlamat FPK sekaligus merencatkan matlamat pendidikan KM. Bagi perbincangan seterusnya, makalah bertujuan merungkai aspek pembinaan struktur penceritaan novel JK sebagai usaha memahami kandungannya dan seterusnya mengenal pasti apakah struktur tersebut dibina berdasarkan cerita dan ilmu seperti yang didakwa. Pemahaman berkaitan cerita dan ilmu yang terdapat dalam JK dilihat penting untuk dianalisis secara kritis dalam melihat kredibiliti dan pengiktirafan JK. Oleh itu, kajian memilih untuk menerapkan Gagasan Persuratan Baru (PB) sebagai kerangka analisis dalam makalah ini. Pemilihan PB sebagai kerangka analisis tepat dan mampu berlaku adil terhadap teks JK kerana PB sememangnya sebuah gagasan yang menawarkan idea pokok dan memberi penekanan terhadap “ilmu” (knowledge) sebagai keutamaan (priority) berbanding “cerita” (narrative) dalam sesebuah karya. Selain itu, terdapat beberapa penelitian penting
lain yang terangkum dalam idea pokok PB seperti paksi naratif (narrative axis) dan ruang naratif (narrative space) yang mendasari sesebuah karya sastera. Kesemua konsep-konsep dalam pembikinan naratif tersebut dibincangkan, diperhalusi dan seterusnya diterapkan PB dalam menganalisis sesebuah karya sastera bagi memahami keutamaan sesebuah karya sastera, sama ada cenderung memaparkan “ilmu” atau “cerita”. Gagasan Persuratan Baru Sebagai Kerangka Analisis PB merupakan satu gagasan komprehensif yang mencakupi perbahasan KM secara serius. Secara umumnya, PB merupakan sebuah gagasan yang merangkumi dua aspek iaitu aspek falsafah dan praktis. Pada tahap falsafah, PB tertegak pada tiga falsafah penting iaitu Hakikat Insan, Hakikat Ilmu dan Amal dan Hakikat dan Fungsi Sastera (Mohd. Affandi Hassan, 1992: 15). Ketiga-tiga aspek falsafah itu dipasakkan oleh PB pada kerangka taklif, yang merujuk kepada soal kerterikatan manusia terhadap “Perjanjian Azali” (primordial covenant) bahwa kewujudan mereka hanyalah semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT (Mohd. Affandi Hassan, 1992: 15) Oleh itu, menurut PB, tuntutan untuk beribadah ini menjadi fitrah manusia yang abadi. Ini memberikan kefahaman bahawa keingkaran manusia terhadap untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT menunjukkan suatu pertentangan terhadap fitrah manusia itu sendiri. Seterusnya, melalui penjelasan di atas, melalui paksi Hakikat dan Fungsi Sastera, kegiatan karang-mengarang yang berasaskan “pena” (Qalam) haruslah sejajar dengan pengertian Qalam di sisi al-Quran yang merujuk kepada matlamat untuk mengajar manusia tentang kebenaran di sisi Allah SWT. Mohd. Affandi (1992: 23) menjelaskan bahawa “kesusasteraan sebagai salah satu daripada hasil yang terbit daripada penggunaan Qalam (Qalam di sini termasuk alat untuk menulis dan kata-kata atau bahasa) yang dengan sendirinya mencerminkan kebenaran yakni hakikat ilmu. Ini menyatakan bahawa soal penyampaian ilmu menjadi pengisbatan utama PB berkaitan dengan matlamat kegiatan sastera. Penting untuk dijelaskan bahawa ilmu yang menjadi falsafah dan pegangan PB ialah ilmu yang benar di sisi Allah SWT yakni ilmu yang dapat menjadikan manusia kenal akan Pencipta mereka. Dalam kerangka PB, setiap amalan yang berasaskan “ilmu yang benar” perlu diutamakan agar tidak mendatangkan kerugian dan sia-sia (Mohd. Affandi, 1992). Ini membuktikan bahawa ilmu menjadi asas kepada pembentukan amal dan dua aspek penting ini terangkum dalam paksi Hakikat Ilmu dan Amal. Bertunjangkan kepada aspek falsafah yang telah dijelaskan, PB seterusnya merangka idea pada aspek yang kedua iaitu aspek praktis. Seperti yang telah dijelaskan di atas, aspek praktis yang ditekankan dalam analisis ini akan berlegar kepada dua konsep iaitu paksi naratif dan ruang naratif. Konsep paksi naratif merujuk kepada perkara pokok yang menunjangi cerita secara keseluruhannya yakni pendirian (stance) novel terhadap cerita yang dipaparkan, yang sekali gus akan menyerlahkan pandangan, tanggapan serta kecenderungan novel tentang sesuatu perkara. Selain itu, paksi naratif sangat mempengaruhi pembikinan naratif sesebuah cerita melalui strategi-strategi penceritaan yang digembleng bagi mengukuhkan paksi naratif tersebut. Sebagai asas dalam pembikinan cerita, paksi naratif dibatasi oleh bahagian awal dan akhir cerita. Manakala, ruang yang tersedia antara awal dan akhir cerita itu dimaksudkan dengan ruang naratif. Konsep ruang naratif ini ditanggapi sebagai satu ruang yang kosong dan neutral serta mampu diisi dengan isian-isian tertentu. Penting untuk dijelaskan bahawa ruang
naratif yang wujud dalam sesebuah karya “bukan tergolong dalam komponen cerita seperti peristiwa, konflik, watak, aksi, ketegangan dan sebagainya” (Mohd. Zariat Abdul Rani & Ungku Maimunah Mohd Tahir, 2005: 379). Atas sifat neutral itu, ruang naratif boleh dipenuhi dengan isian berupa komponen cerita atau isian berupa wacana. Isian cerita merujuk kepada komponen-komponen cerita seperti peristiwa, konflik, watak dan perwatakan, plot dan sebagainya digembleng bagi mencetuskan, mengembangkan dan seterusnya mengekalkan perjalanan sesebuah cerita (Mohd. Zariat Abdul Rani & Ungku Maimunah Mohd Tahir, 2005: 378). Matlamatnya pula ialah memastikan pengisahan tersebut menyediakan laluan-laluan agar wacana dapat diungkapkan dengan cara bersahaja dan selesa (Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2010: 120) Isian wacana pula merujuk kepada idea atau buah fikiran yang bernas yang dibangunkan secara serius. Idea pengarang ini bukanlah merujuk kepada ilham cerita, sebaliknya idea atau hujah intelektual yang dibangunkan secara ilmiah dengan huraian serta pengukuhannya yang mantap dan tersusun (Mohd. Zariat Abdul Rani, 2010: 400). Melalui idea dan buah fikiran tersebut proses pembentukan wacana melibatkan hujahan, taakulan, debat penjelasan, sanggahan, huraian, analisis, olahan, kupasan dan sebagainya (Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2007: 61). Dalam penjelasan lain, wacana ditafsirkan dalam PB seperti berikut : Wacana …ialah pencernaan maklumat yang telah diberi tafsiran sendiri kerana telah disesuaikan oleh watak berkenaan. Wacana adalah pemikiran berasaskan maklumat yang disaring daripada sejumlah maklumat yang telah dimatangkan oleh pemikiran berasaskan konsep ilmu tertentu …wacana adalah hujah-hujah ilmiah yang digunakan untuk menjelaskan sesuatu persoalan sehingga dapat dirumuskan ke dalam kesimpulan tertentu. (Mohd. Affandi Hassan, 2004 dalam Ungku Maimunah, 2009, hlm.106) Dapat difahami melalui penjelasan di atas bahawa novel yang memberi keutamaan kepada ilmu akan sedaya dapat memenuhi ruang naratifnya dengan isian wacana dan cerita digunakan untuk menampung idea atau buah fikiran yang akan disampaikan. Sebaliknya, cerita yang tidak dimanipulasi supaya membuka raung naratifnya untuk menampung wacana, kekal sebagai cerita yang fungsi dan matlamatnya ialah pengisahan semata-mata (Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2010). Perbezaan ini jelas tampak pada novel yang mengutamakan cerita akan memperuntukkan sebahagian besar atau keseluruhan ruang naratifnya untuk diisi dengan isian cerita semata-mata. Dengan cara ini, konsep cerita dan ilmu dibezakan dari sudut fungsi, matlamat dan ciri-cirinya bagi memperlihatkan letak duduk setiap konsep dalam kesepaduan yang adil. Lanjutan itu, analisis akan menerapkan idea-idea yang telah dibincangkan bagi mengenal pasti dakwaan-dakwaan yang mengukuhkan pengiktirafan JK. Sebagai teks yang didakwa mempunyai cerita dan ilmu, analisis dijangka mampu menjawab persoalan berkaitan pembikinan struktur naratif JK, khususnya persoalan tentang keutamaan (priority) yang diberikan oleh novel sama ada ilmu atau cerita. Melalui analisis yang dijalankan, mampu memperlihatkan kredibiliti JK setaraf dengan pengiktirafannya sebagai sebuah teks yang autoritatif dalam sistem pendidikan negara. Selain itu, daripada analisis yang dilakukan, akan dikenalpasti beberapa kelemahan yang terdapat pada novel JK.
Analisis Paksi Naratif dan Ruang Naratif Novel Jeriji Kasih Seperti yang dijelaskan, analisis bertumpu kepada dua konsep penting iaitu paksi naratif dan ruang naratif dalam memahami serta merungkai pembinaan struktur naratif JK. Menurut Laporan, novel JK memaparkan tema kekeluargaan (Zalila Sharif, 2007). Berbeza dengan Laporan, analisis kajian ini mendapati paksi naratif yang cuba diketengahkan di dalam novel JK ialah permasalahan akhlak negatif. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan rangsang sari (blurb) JK yang menyatakan bahawa kedamaian Anuriza terusik dengan permasalahan akhlak negatif yang ditimbulkan oleh dua orang anak Syed Mustafa iaitu Syed Fariz dan Syarifah Farisya. Selain itu, permasalahan akhlak negatif yang menjadi paksi naratif ini diperkukuhkan melalui tajuk novel sendiri iaitu Jeriji Kasih, yang secara metaforanya membawa makna kehausan kasih sayang. Pertalian antara tajuk dan paksi naratif JK dapat dilihat melalui aspek sebab-akibat. Ini bermakna perihal kehausan kasih sayang merupakan sebab (cause) kepada kesan iaitu permasalahan akhlak negatif (effect). Penekanan terhadap soal akibat (cause) yakni permasalahan akhlak negatif inilah yang menjadi pembentukan paksi naratif dalam novel JK. Dengan memilih soal tersebut sebagai paksi naratif, jelas memperlihatkan ruang naratif JK lebih tertumpu kepada soal nilai, keperibadian, serta sikap yang jelas condong ke arah aspek negatif dan dimanipulasikan melalui beberapa komponen naratif seperti peristiwa, watak dan perwatakan, plot dan sebagainya. Selari dengan kefahaman paksi naratif yang dijelaskan, permulaan cerita akan didasari dengan persoalan-persoalan yang condong ke arah negatif. Maka pada bahagian awal penceritaan, JK ditandai dengan perpindahan Syarifah Farisya dan Syed Fariz ke rumah baharu mereka di kampung untuk tinggal bersama-sama dengan nenek mereka iatu Nek Siah. Perpindahan ini bukanlah semata-mata disebabkan oleh Syed Mustafa yang sibuk, materialistik serta kematian isterinya tetapi diperkukuh dengan keperibadian Syed Fariz yang negatif. Ini kerana watak Syed Fariz digambarkan pernah digantung sekolah kerana penyalahgunaan ubat batuk dan pernah menjadi pengedar ubat batuk sebelum berpindah ke kampung (hlm. 102-103,159). Apa yang ketara, permasalahan akhlak negatif Syed Fariz menjadi perkara pokok yang mengakibatkan kehadiran Syed Fariz dan Syarifah Farisya ke kampung. Selanjutnya, analisis mendapati bahawa novel telah memanipulasi aspek watak dan perwatakan terutamanya pada watak protagonisnya iaitu Syed Fariz. Pemanipulasian watak dan perwatakan ini bukan berbentuk tunggal iaitu hanya kepada watak Syed Fariz sahaja, malah turut ditangani novelis terhadap watak-watak lain seperti Syed Mustafa dan Syarifah Farisya. Ini bermakna permasalahan akhlak negatif dihadirkan melalui keluarga Syed Mustafa serta anak-anaknya yang dibina secara saling bersepadu. Analisis mendapati watak protagonis dimanipulasikan untuk menimbulkan permasalahan akhlak negatif yang kompleks dan rumit. Hal ini terbukti apabila analisis mendapati peneguhan paksi naratif dilakukan melalui pemaparan keperibadian watak Syed Fariz. Antara sifat dan nilai negatif yang didirikan pada watak protagonis ialah mempunyai rekod kotor sebelum datang ke kampung seperti digantung sekolah kerana sering ponteng dan dibuang sekolah kerana terlibat dengan penyalahgunaan ubat batuk serta menjadi pengedar ubat batuk (hlm. 102104, 117); tidak berminat dengan pelajaran (hlm. 9,30,67,94); degil (hlm. 13); nakal dan suka memberontak (hlm. 29,94,95); benci terhadap ayahnya kerana beranggapan bahawa ayahnya menyebabkan kematian ibunya (hlm. 32); gemar menyendiri dan mengurungkan diri (hlm. 49,69); tidak gemar bertegur sapa dan tidak peramah (hlm. 49); suka ponteng
kelas dan sekolah serta tidak menghormati guru (hlm. 49-51,111); tidak disukai oleh guru (hlm. 56); mengasari pelajar perempuan (hlm. 61-62); merokok (hlm. 54,64,75,87), menghidu gam (hlm. 87); perintis budaya baharu dan moden, membentuk kumpulan jahat yang besar (hlm. 76,86,118); ketua kumpulan samseng dan peras ugut (hlm. 101); pencuri dan hidup mewah dengan hasil curian (hlm. 101) dan mencabul kehormatan perempuan iaitu Ruhaiza (hlm. 204-205). Protagonis dilukiskan dengan watak dan perwatakan yang sarat dengan keperibadian yang negatif dan ini mengundang pemahaman bahawa untuk membina sesuatu watak yang sarat dengan nilai akhlak yang negatif, novel memerlukan ruang naratif yang luas. Bagi memenuhi tuntutan untuk melebarkan jarak antara kedua-dua bahagian iaitu bahagian awal dan akhir, sekali gus menambah jumlah halaman dan meningkatkan ketebalan halaman novel, tidak dapat dinafikan novel telah memilih isian cerita yang penuh dengan nilai akhlak negatif untuk mengisi ruang naratif JK. Selain itu, permasalahan akhlak negatif ini terzahir jelas pada watak Syarifah Farisya dan Syed Mustafa. Permasalahan akhlak negatif yang ditonjolkan pada watak Syarifah Farisya ialah rasa benci, jijik, cemburu (hlm. 234) serta menuduh ayahnya kejam (hlm. 248) lalu melarikan diri dari rumah kerana tidak bersetuju dengan niat ayahnya yang mahu berkahwin dengan Solehah (hlm. 267-270). Permasalahan akhlak negatif diteguhkan lagi melalui perwatakan Syed Mustafa yang disifatkan sebagai seorang bapa yang sibuk bekerja (hlm. 71,91-92) serta tamak untuk mengejar kebendaan (hlm. 93) sehingga dia disifatkan sering mungkir janji (hlm. 100) mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga (hlm. 33,92), tidak mempedulikan keadaan dan perasaan anak-anaknya (hlm. 94,243), jarang pulang ke kampung (hlm. 21,126,171). Berpunca dari kesibukan bekerja itulah watak Syed Mustafa telah mengambil keputusan untuk menghantar anak-anaknya tinggal di kampung bersama ibunya (hlm. 7) setelah kematian isterinya. Selain itu, Syed Mustafa digambarkan sebagai seorang kasar (hlm. 102,136) dan panas baran (hlm. 102,136 138,140). Ini dapat dibuktikan melalui tindakan Syed Mustafa yang mengasari memukul Syed Fariz dan Syarifah Farisya sewaktu dirumahnya di kampung. Watak Syed Mustafa juga dibekalkan dengan sikap sering mengikut nafsu kerana terlalu asyik melayan karenah perempuan muda dan tidak menjaga perhubungan keluarga (hlm. 159,161). Kesannya, watak Syed Musatafa tidak mampu mendidik anak dengan cemerlang (hlm.170) hingga menyebabkan Syed Fariz mencabul kehormatan Ruhaiza. Pada tahap ini, pemaparan watak dan perwatakan yang dominan dalam penceritaan JK menunjukkan sikap, nilai dan keperibadian yang negatif. Selain itu, pengamatan lanjut analisis mendapati soal keutamaan cerita dalam JK menjadi pegangan utama novelis. Ini dapat dilihat dengan pengisian “isian cerita” yang penuh dengan manifestasi kejahatan dimasukkan ke dalam ruang naratif JK. Analisis mendapati bahawa perihal erotik yakni adegan protagonis mencabul kehormatan Ruhaiza, menjadi puncak nilai negatif protagonis dalam dunia fiktif JK. Pemaparan kisah erotik ini diperikan dengan manifestasi “binatang” (ungkapan novel) pada watak protagonis yang menjadi mencabul kehormatan seorang gadis bernama Ruhaiza. Hal ini digambarkan secara jelas melalui pemaparan babak erotik dalam novel JK seperti berikut : Sehelai demi sehelai pakaian Ruhaiza ditanggalkan mereka sebelum diserahkan kepada Syed Fariz… Syed Fariz bertindak seakan-akan binatang buas menggomol sesuka hatinya dengan ditonton rakan-rakannya yang bertepuk sorak kegirangan seperti penyabungan ayam jantan. (hlm. 204-205)
Jika diperhalusi dengan teliti, kenyataan atas memperlihatkan bahawa adegan pencabulan kehormatan yang dibayangkan seperti “penyabungan ayam jantan” itu diangkat sebagai suatu kemenangan dan kegembiraan dengan “tepuk sorak” sebagai tanda berjayanya membalas dendam kepada Ruhaiza yang menjadi pelapor kepada kegiatan-kegiatan jahat protagonis dan rakan-rakannya kepada guru disiplin. Sekali gus melalui pemahaman atas disimpulkan bahawa watak protagonis merupakan watak yang dipenuh dengan sifat kejahatan, kekejaman, kebuasan dan kebinatangan. Ternyata soal kekejaman, kejahatan, kebuasan dan kebinatangan inilah yang mengukuhkan paksi naratif novel JK. Analisis mendapati melalui pemanipulasian peristiwa erotik tersebut telah membantu novel maju ke hadapan dan melebarkan ruang naratif sekali gus mengisi ruang naratif JK dengan peristiwa erotik yang jelas memberi keutamaan kepada cerita semata-mata bukan kepada keutamaan kepada ilmu. Seterusnya, dalam soal pengisian ruang naratif JK, novelis telah memanipulasikan komponen cerita yang penting iaitu plot. Bagi memudahkan perbincangan, analisis membahagikan plot kepada dua subplot yang selari iaitu cerita Syed Fariz (subplot I) dan cerita Syarifah Farisya (subplot II). Pemisahan ini tidak bertujuan memperlihatkan wujudnya pemisahan hakiki antara subplot tetapi bagi memperlihatkan kesinambungan plot dalam JK. Analisis mendapati terdapat keselarian berhubung kait antara subplot I (Rujuk Lampiran A) dan subplot II (Rujuk Lampiran B) hingga terdiri utuh menjadi sebuah cerita. Seperti yang telah dijelaskan, kedatangan Syed Fariz ke kampung telah dibekali dengan watak dan perwatakan yang negatif. Apa yang menarik untuk diperhatikan, berbekalkan nilai-nilai akhlak negatif pada watak protagonis ini, cerita Syed Fariz (subplot I) dibina dan seterusnya berkembang luas. Analisis mendapati bahawa permasalahan akhlak negatif yang ditonjolkan pada watak protagonis ini disusun berdasarkan turutan dan berperingkat. Pengembangan cerita Syed Fariz (subplot I) ini dilakukan oleh novelis dengan mencerakinkan nilai akhlak negatif protagonis dan menyusunnya secara beransur-ansur sehingga mewujudkan pertautan dari bab ke bab hingga mendominasi ruang naratif novel JK. Analisis mendapati bahawa nilai-nilai akhlak negatif pada watak protagonis disusun dari tidak berminat dengan pelajaran (hlm. 9) hinggalah kepada mencabul kehormatan Ruhaiza (hlm. 204-205) mengambil tempat yang luas dalam novel JK. Melalui pencerakinan dan penyusunan nilai akhlak negatif secara beransur-ansur ini, novel telah memperuntukkan hampir 24 bab berbanding 30 bab secara keseluruhannya, hanya untuk memenuhi tuntutan cerita Syed Fariz (subplot I). Hal ini memperlihatkan kesengajaan novel memenuhi ruang naratifnya dengan isian cerita yang tidak berakhlak melalui perwatakan protagonisnya. Seterusnya, cerita Syarifah Farisya (subplot II) memperihalkan tentang Sharifah Farisya yang tidak bersetuju dengan niat ayahnya, Syed Mustafa untuk mengahwini Solehah, ibu kepada Anuariza, kerana Syarifah Farisya mencintai Anuariza. Pertikaian Syarifah Farisya terhadap niat ayahnya, Syed Mustafa, untuk berkahwin dengan Solehah telah membuatkan Syarifah Farisya melarikan diri dari rumah bagi menunjukkan protesnya. Perlu dijelaskan, cerita Syarifah Farisya (subplot II) ini menjelaskan bahawa ruang naratif JK diisi dengan isian cerita yang masih berkisar tentang permasalahan akhlak negatif yang dibangkitkan oleh watak Syarifah Farisya. Peralihan nilai akhlak negatif daripada watak protagonis ke watak Syarifah Farisya ini menunjukkan bahawa terdapat usaha novel untuk meneguhkan paksi naratif tersebut. Selain itu, bagi memenuhi tuntutan kepanjangan sesebuah novel dan menggerakkan cerita maju ke hadapan, analisis mendapati novelis telah
memanipulasikan elemen yang penting dalam pembikinan struktur naratif, iaitu hukum sebab-akibat. Dalam erti kata yang lain, terdapat perkaitan antara cerita Syed Fariz (subplot I) dan cerita Syarifah Farisya (subplot II) yang memperlihatkan pengukuhan paksi naratif bagi memungkinkan cerita Syarifah Farisya (subplot II) terbina. Analisis mendapati cerita Syarifah Farisya (subplot II) terbina berpunca dari cadangan Syed Mustafa untuk berkahwin dengan Solehah setelah cerita Syed Fariz (subplot I) terbina. Keadaan ini dikuatkan lagi apabila Syed Mustafa mengambil keputusan untuk meletak jawatannya di kota dan pulang serta menetap di kampung setelah mendapat khabar protagonis ditangkap polis akibat mencabul kehormatan Ruhaiza. Seperti yang telah dijelaskan, kepulangan Syed Mustafa akibat cerita Syed Fariz (subplot I) telah menyebabkan dia berhasrat untuk mengahwini Solehah. Dengan jelas, cerita Syarifah Farisya (subplot II) tidak mampu terbina dalam novel tanpa memanipulasikan hukum sebab-akibat melalui cerita Syed Fariz (subplot I). Ini bermaksud cerita Syed Fariz (subplot I) merupakan sebab yang memberi kesan akibat terbinanya cerita Syarifah Farisya (subplot II). Penjelasan ini menggambarkan bagaimana paksi naratif digembleng novelis melalui pembikinan ruang naratif JK yang mana akhirnya paksi naratif berdiri teguh dari permulaan cerita hingga ke akhir cerita JK. Ternyata keprihatinan utama dalam JK jelas terlihat memberi keutamaan kepada isian cerita yang negatif ke dalam ruang naratifnya berbanding isian wacana hadir secara jelas di dalamnya. Kelemahan Novel Jeriji Kasih Sebagai Teks Kesusasteraan Melayu Melalui analisis yang dilakukan diatas, terdapat beberapa kelemahan novel JK yang ketara boleh dilihat melalui kandungan yang dinilai melalui struktur penceritaannya. Ini bermakna dari segi intipati idea, novel JK cuba mengetengahkan idea pokok yang bersifat negatif. Ini dapat dibuktikan melalui pembinaan paksi naratif novel iaitu permasalahan akhlak negatif. Dengan pemilihan paksi naratif tersebut, maka hampir keseluruhan kandungan novel dibangunkan berdasarkan idea yang negatif. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat juga usaha novelis untuk membangkitkan wacana dalam suatu peristiwa yang merujuk kepada perbincangan Syed Mustafa dengan Anuariza. Peristiwa tersebut berkisar tentang pendirian dan kepercayaan Anuariza pada beberapa isu seperti arah kiblat ketika bersolat di dalam hutan (hlm. 24), keselamatannya di dalam hutan daripada binatang buas (hlm. 26-27) dan isu ajaran sesat (hlm. 27-29). Isu-isu yang dibangkitkan sememangnya menarik jika diperbahaskan dengan tuntas dan jelas kerana ruangnya telah tersedia. Selari dengan perwatakan Anuariza yang dipaparkan sebagai seorang remaja yang berpegang teguh kepada ajaran Islam (hlm. 20, 65, 139) serta bijak dan cerdas (hlm. 40,78,213), ruang naratif novel sebenarnya mampu mengetengahkan isian wacana dengan idea-idea yang bernas. Namun begitu, perbahasan yang dalam peristiwa tersebut berada pada tahap permukaan dengan beberapa huraian balas yang singkat dan tidak dikupas dengan mendalam sehingga memperlihatkan bahawa yang idea yang cuba diketengahkan novelis adalah berupa isian wacana. Oleh itu, cubaan novelis untuk memenuhi ruang naratif JK dengan isian wacana dilihat berada pada tahap tempelan dan tidak diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Ini membuktikan bahawa matlamat utama novel JK adalah memberi keutamaan kepada cerita bukan kepada ilmu. Kelemahan novel JK seterusnya ialah pada kecenderungan novel untuk memaparkan paksi naratifnya iaitu permasalahan akhlak negatif. Kecenderungan novel ini dapat dilihat melalui usaha melemahkan beberapa watak sampingan untuk membolehkan permasalahan
akhlak negatif ditonjolkan dengan lebih jelas. Selari dengan tuntutan itu, strategi pemanipulasian dilakukan terhadap watak dan perwatakan dengan melemahkan beberapa watak seperti Anuariza, Syed Mustafa dan Syarifah Farisya bagi menyerlahkan lagi akhlak negatif Syed Fariz. Dalam cerita JK, Anuariza telah diminta oleh Syed Mustafa untuk menjadi guru tuisyen kepada Syed Fariz dan dalam pada masa yang sama diminta untuk membimbing dan mengubah keperibadian Syed Fariz yang digambarkan negatif (hlm. 30). Walau bagaimanapun, analisis mendapati, strategi melemahkan watak Anuariza dilihat jelas apabila sepanjang kejahatan protagonis bermula, Anuariza tidak mampu menghalang atau mengekang, apatah mengubah sikap Syed Fariz. Walaupun watak Anuariza dihadirkan dengan watak dan perwatakan yang “berhati waja” (ungkapan dalam rangsangsari), “berhemah, baik budi pekerti serta bijak” (ungkapan dalam Laporan) namun masih tidak mampu menyekat sikap dan nilai akhlak negatif pada watak protagonis. Ini menyimpulkan bahawa watak Anuariza dengan sengaja dilemahkan agar nilai negatif pada protagonis dapat ditonjolkan dan mendominasi ruang naratif JK. Malah, Anuariza dilihat tidak menegur Syed Fariz yang merokok dan terpaksa menipu Nek Siah untuk menyembunyikan keperibadian negatif Syed Fariz (hlm. 77). Tidak keterlaluan untuk difahami bahawa kehadiran watak Anuariza hadir hanya sekadar sampingan serta mengembangkan jalan penceritaan, bukan sebagai watak yang mampu mengekang dan mengubah keperibadian protagonis. Strategi melemahkan watak ini dikukuhkan lagi melalui dua watak yang lain iaitu Syarifah Farisya dan Syed Mustafa. Sama seperti Anuariza, watak Syarifah Farisya dilukiskan tidak mampu menasihati protagonis untuk berubah, malah terpaksa menjadi penipu terhadap Nek Siah bagi menyembunyikan kegiatan protagonis daripada diketahui oleh ahli keluarga yang lain. Dengan jelas boleh ditanggapi bahawa perbuatan menipu di atas digunakan dalam novel untuk menunjukkan keakuran Anuariza dan Syarifah Farisya terhadap kegiatan tidak berakhlak protagonis, yang secara tidak langsung meneguhkan lagi paksi naratif novel JK. Seterusnya, strategi novel untuk melemahkan watak juga dikesan melalui pemanipulasian terhadap watak Syed Mustafa. Dengan menghadirkan watak seorang ayah yang tamak, materialistik, tidak bertanggungjawab dan sibuk bekerja di kota, dengan mudah memperlihatkan kelonggaran kawalan dan pantauan seorang ayah terhadap protagonis dapat dilakukan novelis. Kelonggaran inilah yang membolehkan novel memanifestasikan kepanjangan nilai akhlak negatif protagonis sebagai isian cerita dengan lebih luas dalam mengisi ruang naratif novel. Pada tahap ini membuktikan bahawa persoalan cerita menjadi keutamaan novel dalam memenuhi ruang naratifnya. Selain itu, kelemahan lain yang dikenalpasti dalam novel JK ialah pada dominasi perwatakan dalam novel JK. Novel JK mengemukakan juga watak-watak yang penuh dengan sifat positif seperti keluarga Solehah yang terdiri daripada Solehah, Anuariza dan Azuera. Tetapi penceritaan novel menjadikan mereka sebagai keluarga yang miskin dan berhutang budi dengan Nek Siah yang telah banyak membantu mereka ketika mereka susah. Didasari atas nilai hutang budi itulah, keadaan keluarga ini dilihat sebagai suatu keluarga yang terikat serta patuh kepada keluarga Nek Siah dan Syed Mustafa. Kesannya, perwatakan yang penuh dengan nilai positif dipinggirkan dan keseluruhan watak dalam keluarga Solehah menjadi watak sampingan yang tidak tertonjol kebaikan pekertinya. Ini menjadi salah satu faktor soal permasalahan akhlak negatif yang menjadi paksi naratif dalam penceritaan JK dilihat begitu kukuh dan ruang naratif dipenuhi dengan cerita negatif akhlak keluarga Syed Mustafa.
Seperti yang dijelaskan, kajian juga mendapati terdapat kesilapan maklumat yang jelas ketara pada rangsang sari yang terdapat di bahagian kulit novel JK. Sungguh pun maklumat tersebut membayangkan soal paksi naratif yang membentuk novel ini iaitu berkaitan permasalahan akhlak negatif, namun maklumat yang dinyatakan jelas bertentangan dan sebaliknya. Jika diteliti dengan cermat, melalui konteks penceritaan novel JK, watak Anuariza sebenarnya tidak mampu menangani permasalahan akhlak negatif Syed Fariz sehinggalah watak protagonis tersebut ditangkap polis atas kesalahan mencabul kehormatan Ruhaiza. Selain itu, bagi masalah moral yang ditimbulkan oleh Syarifah Farisya telah berjaya ditangani oleh Anuariza melalui nasihat-nasihatnya kepada watak Syarifah Farisya. Oleh itu, pada akhir penceritaan, Syarifah Farisya telah kembali ke pangkuan keluarga setelah melarikan diri dari rumah. Kesenjangan maklumat ini memperlihatkan kelemahan teks yang sangat ketara dan ia mampu mengundang kesilapan dalam tanggapan dan kefahaman awal kepada para pelajar selaku pembaca wajib ke atas novel ini. Penutup Melalui analisis yang dilakukan, jelas kandungan novel JK memaparkan paksi naratif yang negatif dan ruang naratif yang dipenuhi dengan isian cerita yang berkisar pada soal akhlak yang negatif. Dengan pemilihan paksi naratif yang sedemikian rupa, pemanipulasian alat penceritaan seperti watak dan perwatakan, plot serta insiden menjadikan hampir keseluruhan penceritaan novel JK didasari oleh perkara yang tidak bermanfaat dan bertentangan sama sekali dengan nilai ilmu. Ternyata ruang naratif novel dipenuhi dengan penceritaan yang berlegar pada perihal kejahatan akhlak remaja yang dibentuk dari awal penceritaan sehingga ke akhir penceritaan novel.. Sehubungan itu, dakwaan Laporan dan KPM yang menjelaskan bahawa novel ini mengandungi “penceritaan yang menarik” dan “ilmu” serta mampu menjadikan murid seorang insan yang berfikir tentang “kebaikan, kebenaran, dan kehalusan budi pekerti” sama sekali bertentangan dengan kandungan novel JK. Hal ini menandakan bahawa kualiti novel JK sebagai teks pendidikan wajib KM sebenarnya masih boleh dipertikaikan dan penelitian yang lebih serius dan mendalam perlu dilakukan oleh pihak yang berwajib bagi menjaga kualiti pendidikan KM.
Rujukan Anwar Ridhwan. 2009. Perjuangan Penulis Muda : Arah dan Cabaran. Perhimpunan Penulis Muda Nasional. Anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dewan Bahasa dan Pustaka, bersama Majlis Bandaran Melaka Bersejarah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan di Puteri Resort, Melaka, pada 22-24 Mei 2009. Chew Fong Peng. 2006. Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia dan Permasalahannya. Jurnal Masalah Pendidikan. (29): 143-157 Mohd. Affandi Hassan. 1992. Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd. Affandi Hassan, Mohd. Zariat Adbul Rani & Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 2008. Gagasan Persuratan Baru : Pengenalan dan Penerapan. Bangi. Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd. Zariat Abdul Rani. 2010. Ilmu dan Penjanaan Ilmu Dalam Novel Melati Kota Bharu Karya A. Kadir Adabi: Satu Bacaan Intelektual. Hlm. 383-444. Dlm Ungku maimunah Mohd. Tahir (pnyt.) 2010. Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd. Zariat Abdul Rani & Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 2005. “Persuratan Baru dan Penggemblengan Ruang Naratif: Satu Kajian Perbandingan Antara Hikayat Faridah Hanom oleh Syed Syeikh Al-Hadi dengan Pujangga Melayu oleh Mohd. Affandi Hassan”. Hlm. 374-422. Dlm. Hajijah Alias & Muhammad Ikhram Afdhly Hussin (pngr.) Seminar Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ramlah Abd. Rashid. 2009. Jeriji Kasih. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia & Dewan Bahasa dan Pustaka. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 2010. Cerita: Kedudukan Dan Peranannya Dalam Karya Kreatif Penulis Wanita Sebelum Merdeka. GEMA Online™ Journal of Language Studies. 10(2): 117-131. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 2009. Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 2007. Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Zalila Sharif. 2007. Laporan Sayembara Mengarang Sempena Sambutan Jubli Emas DBP. Dewan Sastera. Mac: 28-29.
LAMPIRAN A
Syed Fariz tidak senang pindah ke kampung [Pengenalan cerita] “Sebab” Berdendam dan benci kepada ayahnya kerana kematian ibunya
“Akibat” Malas belajar, memberontak, nakal dan melakukan pelbagai perkara negatif di sekolah “Sebab”
“Akibat” Menimbulkan kebimbangan guru dan menjadi pengaruh negatif “Sebab”
“Akibat” Ruhaiza melaporkan kegiatan kejahatan bagi menyelamatkan Syed Fariz dan Syed Fariz berdendam dengan Ruhaiza “Sebab”
“Akibat” Syed Fariz mencabul kehormatan Ruhaiza [Kemuncak subplot I] “Sebab”
“Akibat” Syed Fariz ditangkap polis “Sebab”
“Akibat” Syed Mustafa meletak jawatan dan tinggal di kampung [Peleraian subplot I]
Jalinan Hukum Sebab Akibat Dalam Subplot I Novel Jeriji Kasih
LAMPIRAN B
Syed Mustafa ingin berkahwin dengan Solehah [Pengenalan cerita] “Sebab” Syed Mustafa berharap perkahwinannya dengan Solehah dapat memberi keselesaan buat anak-anaknya
“Akibat” Syarifah Farisya tidak bersetuju dengan keputusan ayahnya kerana dia telah jatuh cinta kepada Anuariza “Sebab”
“Akibat” Syarifah Farisya memberontak dan melarikan diri dari rumah [Klimaks Subplot II] “Sebab”
“Akibat” Anuariza terpaksa ke Kuala Lumpur untuk memujuk dan menasihati Syarifah Farisya “Sebab”
“Akibat” Syarifah Farisya insaf dan kembali ke pangkuan keluarga [Peleraian Subplot II]
Rajah 4.2
Jalinan Hukum Sebab Akibat Dalam Subplot II Novel Jeriji Kasih