MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA
SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA 2017 922/4: KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF 4 (KERJA KURSUS)
CONTOH TUGASAN ESEI
Tulis sebuah esei tentang alam sekitar berdasarkan cerpen-cerpen yang anda kaji.
UNSUR ALAM SEKITAR DALAM CERPEN TERPILIH SHAHNON AHMAD
__________________________________________________
KANDUNGAN
Pengenalan
3
Objektif kajian
3
Kaedah kajian
4
Isi kajian
4
Penutup
12
Senarai rujukan
13
2
PENGENALAN Perbincangan tentang kehadiran unsur alam sekitar dalam karya terpilih Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad merupakan suatu hal yang menarik. Memandangkan Shannon banyak berkarya pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an dengan berlatarbelakangkan kampungnya di Kedah, Kampung Banggul Derdap, maka alam sekitar mendominasi keadaan. Beliau banyak menyerlahkan falsafah alam sekitar melalui watak dalam karya beliau. Dalam menghasilkan sesebuah karya kreatif sebagaimana ditegaskan oleh Asiah Abdul Rahman (2015), seseorang pengarang sentiasa terdedah dengan persekitaran yang menjadi sebahagian daripada rujukan sumber untuk berkarya. Sehubungan dengan itu, penelitian terhadap unsur alam semulajadi yang menjadi subjek kajian akan berdasarkan tiga buah cerpen SN Shahnon Ahmad, iaitu “Babi Hutan”, “Gelungnya Terpokah” dan “Kelapa Nan Sebatang”. Ketiga-tiga cerpen tersebut yang termuat dalam Koleksi Terpilih Sasterawan Negara: Shahnon Ahmad. Ketiga-tiga buah cerpen yang diteliti dikesan wujudnya unsur alam sekitar sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Bagi tujuan ini penelitian terhadap unsur alam sekitar berkaitan dengan kelestarian dan kemusnahan yang dikesan menerusi cerpen-cerpen SN Shahnon Ahmad yang dikaji. Hal ini secara tidak langsung akan mengangkat karya tersebut sebagai suatu sumber untuk mendidik selaras dengan fungsi sastera. Secara tidak langsung pembaca akan terdidik untuk mencintai alam sekitar dan kepentingannya kepada kehidupan manusia sampai bila-bila serta impak yang mesti dilalui akibat kerosakan oleh tangan manusia yang rakus.
OBJEKTIF KAJIAN Kajian yang dilakukan bertujuan untuk memenuhi objektif yang ditetapkan, iaitu bagi membincangkan unsur-unsur alam sekitar yang dikenal pasti dalam cerpen SN Shahnon Ahmad yang dikaji.
3
KAEDAH KAJIAN Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kepustakaan. Kaedah kepustakaan digunakan untuk mengumpul dan mendapatkan maklumat yang relevan dengan penelitian unsur alam sekitar yang terdapat dalam cerpen “Babi Hutan” dan “Gelungnya Terpokah” dan “Kelapa Nan Sebatang” karya SN Shahnon Ahmad. Dalam hal ini, sumber dari buku ilmiah, artikel dari jurnal, kertas kerja, dan tulisan ilmiah yang berkaitan dijadikan bahan rujukan. Sumber rujukan tersebut diperoleh secara bercetak dari perpustakaan tertentu mahupun secara dalam talian.
ANALISIS DAN PERBINCANGAN Persoalan alam sekitar yang diangkat dalam sesebuah karya sastera sama dalam genre puisi mahupun prosa. Persoalan yang diangkat ini dilakukan secara langsung mahupun secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana setiap pengarang yang melalui proses kreatif ini mempunyai tujuan tertentu sama ada untuk tujuan mendidik, mengkritik atau protes sosial mahupun untuk tujuan refleksi masyarakat (Arba’ie Sujud: 2013). Lantaran itu, persoalan tentang alam sekitar yang dikaitkan dengan alam semulajadi dalam cerpen yang dikaji, setidak-tidaknya dapat dilihat dari dua sisi. Pertama dari sisi kelestarian dan keduanya dari sisi kemusnahan yang dikembangkan menerusi watak-watak mahupun unsur penceritaan yang dibawakan.
Alam Sekitar dan Kehidupan Manusia Alam sekitar semulajadi sangat dekat dengan masyarakat khususnya masyarakat yang Melayu tradisional. Oleh sebab itu alam seringkali dikaitkan sebagai guru yang paling setia (Zurinah Hassan: 2006). Dalam hal ini, alam sekitar semulajadi terdiri daripada perkara yang berkaitan dengan persekitaran semulajadi sama ada berbentuk fizikal seperti suhu, iklim,
4
kelembapan, angin, keamatan matahari, badan air (kedalaman, air hujan, arus sungai, ombak, laut, tasik dan sepertinya) dan topografi; atau berbentuk kimia seperti gas-gas, nutrien, keasidan, garam mineral dan kemasinan (Mohd Noor Ramlan: 1999). Alam sekitar semulajad ini dikesan melalui keadaan cuaca, suasana, keadaan alam, dan proses biologi bagi floral dan fauna.
Berdasarkan cerpen “Babi Hutan”, persoalan alam sekitar semulajadi digambarkan secara tidak langsung. Ia dikaitkan dengan kehidupan habitat yang menjadi penghuni kepada latar kehidupan yang dibawakan oleh pengarangnya. Suasana dan gambaran latar rimba yang didiami oleh pelbagai binatang secara fitrahnya adalah untuk dikongsi sama. Berkongsi dalam pengertian ini bermaksud saling memerlukan antara satu sama lain. Namun begitu pada hakikatnya pengertian ‘saling memerlukan itu’ ada kalanya dilihat bersifat tidak adil khususnya kepada pihak yang lemah seringkali teraniaya dan menjadi mangsa. (Hamzah Hamdani: 2012). Misalnya, binatang buas sering kali akan mencari dan menunggu pemangsa dalam lingkaran atau putaran hidup. Lazimnya yang kuat akan berkuasa dan yang lemah menjadi pemangsa kepada yang gagah.
Namun dalam suatu keadaan pula akan ada pihak yang lebih agresif dan bertindak balas sehingga membawa pelbagai kesan yang
tidak dijangkakan
antaranya masalah
kemusnahan mahupun kematian. Namun sekiranya diamati yang menjadi asbab kepada permasalahan yang wujud berhubung persoalan ini adalah daripada tangan-tangan manusia. Mereka melakukannya dengan pelbagai cara untuk memenuhi keinginan mereka. Hal ini dapat dikesan dalam cerpen “Babi Hutan” yang melibatkan watak Nibung. Pencarian yang dilakukan oleh Nibung terhadap babi hutan bertaring kuning berakhir dengan suatu yang trajis apabila ibu dan dua adiknya mati dibunuh babi tersebut.
5
Menerusi cerpen tersebut dua isu yang menarik untuk diteliti iaitu pengekalan terhadap warisan yang menjadi tradisi turun temurun dan keduanya penghapusan habitat alam yang menjadi mangsa kepada pengekalan warisan tradisi sesuatu kaum. Gambaran kehidupan masyarakat orang asli yang sentiasa akrab dengan alam semulajadi khususnya dengan kehidupan di hutan turut menuntut mereka menjaga warisan nenek moyang yang direflaksikan menerusi alam dan kehidupan sekitarnya. Bersesuaian dengan kehidupan orang asli di rimba, unsur fauna iaitu babi hutan bertaring kuning dijadikan satu kemestian untuk meminang anak dara suku Temiar. Ibu Nibung keberatan membenarkannya pergi mencari babi hutan tersebut kerana bimbang akan tragedi yang menimpa bapa Nibung berulang,
Secara tersuratnya persoalan alam sekitar yang diketengahkan dalam cerpen yang dikaji memperlihatkan wujudnya kebergantungan manusia terhadap alam sekitar. Keberbergantungan ini sesuatu yang lazim dan menjadi fitrah dalam kehidupan manusia secara realitinya. Bagi pengarang yang memiliki keupayaan kreatif yang tinggi sebagaimana ditegaskan oleh Arba’ie Sujud (2013) menjelaskan bahawa seseorang pengarang
akan
menggunakan kemampuan berkarya dengan mengangkat persoalan biasa sehingga menjadi luar biasa. Dalam hal ini, persoalan alam sekitar yang dipilih adalah sebagai idea untuk dikaitkan dengan persoalan yang lebih besar yang menuntut daya fikir dan interpretasi pembaca.
Penghargaan terhadap Alam Flora Alam flora secara umumnya dirujuk sebagai alam tumbuh-tumbuhan sebagaimana dijelaskan oleh Mashitoh Yaacob (1999) sebagai alam tumbuhan dari peringkat tinggi sehingga rumpair seperti alga. Dalam hubungan ini, Mashitoh turut mengklasifikasikan alam
6
flora kepada dua bahagian iaitu, flora yang berkaitan dengan aktiviti penanaman dan flora dari alam semulajadi. Berdasarkan cerpen “Gelungnya Terpokah”, SN Shahnon Ahmad mengetengahkan persoalan alam dengan mengaitkan dengan aktiviti penanaman padi yang disimbolkan melalui kata gelung. Latar sawah padi lazimnya digambarkan dengan suasana damai, tenang harmoni. Persekitarannya ditumbuhi pokok dan pepohon yang dapat mengimbangi eko-sistem. Merujuk hal ini, isu-isu berkaitan dengan pencemaran secara tersiratnya dapat dihindari akibat daripada aktiviti pertanian yang dijalankan.
Menerusi watak Jusoh, SN Shahnon Ahmad secara kreatif menjelaskan bahawa untuk kelangsungan hidup yang sejahtera dan kecintaan terhadap alam sekitar, ada pihak yang sanggup melakukan apa sahaja. Bagi Jusoh, dia memenjadikan padi merupakan ‘simbol’ atau tunggak utama dalam menjamin kelestarian hidupnya sekeluarga. Dia sanggup berbuat apa-apa saja kalau sawah padinya diganggu, diceroboh atau alam sekitarnya diperlaku tanpa asas. Penghargaannya, pada alam flora sebagai bukti taat setianya pada tanah dan khazanah alam yang memberi erti bukan sahaja pada dirinya tetapi seluruh ahli keluargannya sebagaimana diungkapkan dalam petikan di bawah.
“Terbayang di mata Jusoh yang beranak tujuh, Petaknya kali ini akan menjadi petak yang tersubur. Padinya lebat. Dan besar-besar pula bijinya. Dan anaknya yang tujuh orang itu bukan saja tidak kebuluran tapi juga dapat makan nasi tiga kali sehari.” (“Gelungnya Terpokah” dalam Debu Merah: 24)
Berdasarkan petikan tersebut, dapat dikesan kepuasaan hati Jusoh dengan tanaman padi yang diusahakan. Dengan pokok padi yang tumbuh subur, berbuah lebat serta saiz yang besar
dilihat sebagai suatu mesej bahawa tidak akan ada ruginya bagi mereka yang ingin
berbakti dengan tanah. Bahkan tanah sebagai sumber alam semulajadi. Menerusi cerpen
7
tersebut, ‘hasil padi yang baik’ adalah reflaksi kepada kehidupan yang sejahtera. Padi yang dikaitkan dengan sumber makanan ruji masyarakat merupakan keperluan asas yang mesti dipenuhi. Berdasarkan herarki keperluan asas manusia mengikut Maslow, keperluan makanan adalah sesuatu yang mesti disediakan. Sekiranya sumber makanan mencukupi tindakan
melalui
memanipulasikan sumber alam semulajadi secara berhemah, maka hasil yang
diperoleh juga membanggakan.
Dalam cerpen yang dikaji, gambaran tersebut dikesan melalui frasa ‘tidak kebuluran tapi juga dapat makan nasi tiga kali sehari’. Lantaran itu, kecukupan terhadap keperluan asas sumber makanan ini, telah menghilangkan keraguan dan kegusaran kepada ketua keluarga yang diberikan tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga mereka. Jelasnya, SN Shahnon Ahmad berjaya membawakan persoalan alam sekitar dengan membawakan mesej penghargaan terhadap alam flora meskipun cara pengungkapannya dibuat secara tidak langsung. Situasi ini juga turut mencipta pelbagai tafsiran khususnya bagi mereka yang menilai dan meneliti dari susut pandangan yang berbeza-beza. Hal ini sesuatu yang wajar serta boleh berlaku kerana pengarang dan pembaca ada ketikanya berada dalam dua simpang jalan yang ada kalanya bertemu dan ada masanya berbeza laluan meskipun rujukan yang digunakan adalah sama (Ahmad Khamal Abdullah: 2012).
Alam Fauna dan Kehidupan Manusia Kehidupan manusia secara umumnya masih berkait dengan alam fauna samada menerusi aktiviti ekonomi mahupun aktiviti sosial dan riadah. Bahkan ada dalam kalangan manusia ada yang mewujudkan fenomena alam fauna sebagai sebahagian daripada corak kehidupan mereka. Dalam hubungan ini, Mashitoh Yaacob (1999) mengklasifikasikan alam fauna sebagai alam haiwan sama ada dalam ekosistem akuatik (air tawar dan laut) mahu pun
8
darat atau teristeral. Penggunaan alam fauna dalam karya sastera Melayu terbahagi kepada dua bahagian, pertama adalah teristeral atau darat yang terbahagi kepada empat iaitu, serangga, binatang peliharaan, burung dan haiwan liar di hutan. Kedua adalah ekosistem akuatik yang terbahagi kepada dua iaitu, haiwan air tawar dan haiwan laut.
Berdasarkan cerpen “Babi Hutan” yang memfokuskan pencarian Nibung akan seekor babi hutan bertaring kuning yang akhirnya menimbulkan persaingan antara dua spesis tersebut. Cerpen ini mengungkapkan resah pemuda serta tuntutan sosial dalam kelompok masyarakat di pendalaman yang ada waktunya terpaksa menempuh tragedi. Nibung terpaksa mencari babi hutan bertaring kuning sebagai mas kahwin untuk gadis idamannya. Ditarik oleh rasa kecintaan yang mendalam, nibung akhirnya memperoleh mas kahwinnya itu dengan peristiwa yang amat tragis.
Dalam konteks ini, ‘babi hutan’ sebagai prasyarat untuk Nibung memiliki gadis idaman yang nantinya akan menjadi suri hatinya. Kegagalan memperoleh ,syarat, tersebut bermakna suatu kegagalan untuk memenuhi tuntutan sosial. Ternyata dalam masyarakat keperluan fauna masih berkait rapat bahkan dalam tradisi sastera Melayu watak-watak binatang seperti Sang Kancil, Pak Belang, Kerbau, Sang Bedal
diangkat untuk tujuan
tertentu. Walaupun watak-watak binatang digunakan namun hakikatnya
watak tersebut
adalah reflaksi watak manusia.
Sementara dalam
cerpen “Gelungnya Terpokah” pula, alam fauna yang lebih
menonjol adalah dari kumpulan binatang peliharaan iaitu kerbau dan lembu. Kerbau digabungkan tenaga dengan Jusoh untuk mengerjakan tanah sawah dan memang menjadi tunggak utama dalam pertanian tradisional sebagaimana dikesan dalam petikan berikut
9
"...Kerbau gagah itu membedal-bedal kedua telinganya tanda kelegaan. Sehari suntuk membahang. ...Malam itu kerbau bertanduk songsang akan mengeruh hingga ke subuh". (“Gelung Terpokah dalam Debu Merah: 25)
Berdasarkan petikan tersebut memperlihatkan bahawa masih wujud kebergantungan manusia dengan haiwan untuk tujuan tertentu. Dalam konteks cerpen ini, kerbau digunakan bagi meringankan tugas dalam aktiviti bersawah. Tanpa penggunaan kerbau dalam kegiatan ini akan menyukarkan atau melambatkan proses aktiviti pertanian yang diusahakan. Justeru berdasarkan cerpen yang diteliti, memperlihatkan bahawa keperluan terhadap alam fauna khususnya dalam masyarakat tradisional untuk tujuan tertentu masih dekat dan mempunyai keterikatan yang kukuh. Hal ini selaras dengan pandangan Ahmad Khamal Abdullah (2012) bahawa dalam kehidupan manusia akan sentiasa akrab dengan alamnya samada secara sedari atau tidak kerana dalam kehidupan saling melengkapi sesuatu yang lazim.
Unsur Alam Sekitar sebagai Sumber Kreativiti Seorang pengarang akan menggunakan seluruh keupayaan yang ada untuk mengetengahkan sesuatu yang menjentik naluri kepengarangannya. Keupayaan dan kepekaan terhadap sesuatu yang wujud dalam dunianya akan disaring dan akhirnya diolah sedcara cermat melalui keupaya kreativiti yang dimiliki. Asasnya cukup jelas kerana menerusi mata pena pengarang dapat menyalurkan apa-apa yang sewajarnya dilakukan selaras dengan gagasan “ASAS 50” iaitu “Seni Untuk Masyarakat”. Menurut SN Shahnon Ahmad bahawa peranan sastera sebagai pengkritik sosial perlu diperhebat semula. Matlamat pengkritik sosial ini adalah murni iaitu bertujuan untuk menyedarkan masyarakat. Kritikan mungkin tajam tetapi tujuannya adalah murni (2006). Unsur alam sekitar sememangnya digunakan secara meluas dalam beberapa cerpen yang dikaji kerana pemilihan unsur-unsur kedesaan. Pemilihan ini berasakan bahawa suasana desa lebih kaya dengan unsur fauna dan flora
10
berbanding di bandar. Hal ini dapat dikesan melalui cerpen “Kelapa Nan Sebatang” menggambarkan kegelisahan jiwa seorang tua menerusi watak Wak Da. Latar dan suasana kedesaan yang diindahkan dengan panorama dan alam semulajadi yang sentiasa dipelihara mampu menenangkan tekanan yang dihadapi. Melalui cerpen tersebut, cabaran hidup manusia tidak akan ada kesudahannya. Di mana-mana pun manusia berada cabaran tetap ada namun yang utama bagaimana persekitaran yang ada dapat dimanfaatkan untuk membantu mengatasi masalah yang dihadapi.
Ternyata alam semulajadi turut berfungsi sebagai penawar ketenangan sebagaimana digambarkan melalui cerpen “Kelapa Nan Sebatang”. Sementara dalam cerpen “Gelungnya Terpokah” diwujudkan gambaran terhadap alam sekitar semula jadi yang diterapkan secara kreatif. Pengarang menceritakan aktiviti biologi tubuh haiwan, iaitu kerbau, yang terpaksa melalui kesakitan apabila disiram dengan cuka getah bertujuan membunuhnya secara perlahan. Shahnon memaparkannya secara terperinci dalam cerpen “Gelungnya Terpokah”. “Kulit kerbau hitam yang gemuk dan berguh itu kini merah macam cabuk naik bias. Cuka getah Jusoh sudah menjalankan tugasnya dengan seratus peratus kejayaan. Mulai dari tulang belakang cuka terbisa itu mengalir ke kiri kanan perut hingga tertumpu pusat. Tiga hari kerbau itu tidak berganjak dari peraduannya. Siang malam berkurung dalam tahi. Cabuknya merebak luas. Kulitnya mengoyak-ngoyak dan sana sini kedapatan nanah likat berombak. Dan di tengah-tengah ombak nanah itu kedapatan pula ulat kecil-kecil tindih-menindih satu sama lain. Bolah memuntahkan siapa menjenguknya. Dan bila masuk hari keempatnya, kerbau itu pun berhenti bernyawa. Matanya terbelalak. Di tengah mata yang terbelalak itu kelihatan urat-urat merah terbentang menandakan siksaan yang tak boleh diceritakan.” (Gelung Terpokah dalam Debu Merah:31)
Meneliti keseluruhan cepen yang diteliti, dapat disimpulkan bahawa setiap unsur alam semula jadi yang dipilih dan dimunculkan dalam cerpen sama ada menerusi watak, latar mahupun gaya bahasa yang diterapkan mempunyai tujuan tertentu selaras kehadiranya dalam
11
alam semesta ini. Dalam konteks ini, Mashitoh Yaacob (1999) berpandangan bahawa alam sekitar yang berkait dengan budaya merupakan satu cara tingkah laku, pengetahuan, cara berfikir dan bertindak, sikap, kesedaran, nilai dan etika, dan moral yang diamalkan sesuatu kelompok manusia dalam kehidupan mereka untuk berinteraksi dengan persekitarannya. Justeru,
pengarang
menggunakan keupayaan dan kebebasan berkreatif menggunakan
sumber yang wujud di sekitarnya untuk mengilhamkan dan menjelmakan sesuatu persoalan yang membugarkan minda pembaca.
PENUTUP Unsur alam sekitar dalam tulisan kreatif memang tidak dapat dinafikan kehadirannya. Ini bagi memantapkan makna, memaparkan unsur perlambangan di samping mewarnai budaya tempatan. SN Shahnon Ahmad berjaya mengharmonikan kesemua unsur alam sekitar dalam karyanya yang berfungsi sebagai pelengkap dan bukannya sekadar tempelan untuk menyedapkan cerita. Cerpen “Babi Hutan” memapar unsur alam sekitar semula jadi dilihat mendominasikan cerita berdasarkan pemilihan nama watak, kehidupan rimba orang asli, dan interaksi dengan alam hutan untuk mendapatkan hasilnya. Begitu juga dengan unsur alam sekitar buatan manusia di mana watak menggunakan unsur ini untuk kelestarian hidup, iaitu sebagai makanan, tempat tinggal, dan peralatan yang digunakan. Dalam cerpen “Gelungnya Terpokah”, unsur alam sekitar, iaitu Jusoh, kerbau, dan tanaman padi digabungkan secara harmoni untuk membentuk satu plot yang menarik. Di sini juga perincian tentang alam semula jadi dalam bentuk proses biologi dimasukkan bagi memantapkan cerita dan memberi informasi kepada pembaca. Sama ada dinyatakan secara spesifik atau tidak, karya kajian hasil tulisan beliau terserlah kewujudan unsur ini. Unsur inilah yang mampu mewujudkan dan mendidik khalayak pembaca akan sikap cinta akan alam sekitar dan kepentingannya kepada kehidupan manusia di samping menilai impak yang dilalui akibat pembangunan yang mapan.
12
SENARAI RUJUKAN Abdullah Mohammad Said. (1999). Pengurusan sumber dan alam sekitar. Shah Alam: Institut Teknologi MARA. Ahmad Khamal Abdullah (Peny).2012. Anggerik Cinta Shahnon Ahmad. Serdang:UPM Press. Arba’ie bin Sujud et.al. 2013. Pengantar Sastera Melayu. Kuala Lumpur : Tinta Press. Asiah Abdul Rahman. 2015. “Estetika Logik dalam Karya Sasterawan Negara” kertas kerja Seminar Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu. UPM. Serdang Selangor Aveling, Harry. (2000). Shahnon Ahmad: Islam, Gender and Power. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia Mashitoh Yaacob. (1999). Kajian sudut pandangan falsafah alam sekitar terhadap kumpulan cerpen muktahir tiga penulis wanita. Buletin Pusat Pengajian Umum. bil.1(1). Bangi: Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd Noor Ramlan. (1999). Ekologi asas dan alam semula jadi terpilih. Shah Alam: Universiti Teknologi MARA. Mohd Yusof Hasan. (1990). Sasterawan Negara: Shahnon Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd Yusof Hasan. (1995). Koleksi Terpilih Sasterawan Negara: Shahnon Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Shahnon Ahmad. 2006. Setitis Embun Semarak Api. Shah Alam: Penerbit Alaf 21.
13