PERLAKSANAAN/KAEDAH CERAI SECARA TALAQ MENURUT UNDANGUNDANG KELUARGA DAN PUSAKA ISLAM SELATAN THAILAND (UUKDPI) Mahyidin b. Hamat, Zuliza Mohd Kusrin & Mohd Nasran Muhamad Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia ABSTRAK Perceraian secara talaq telah dikanunkan dalam UUKDPI bertujuan memantau hal ehwal perceraian dalam kalangan masyarakat Muslim di Selatan Thailand. Artikel ini bertujuan membincangkan beberapa isu berkaitan pelaksanaan perceraian secara talaq di bawah UUKDPI. Metodologi penulisan adalah secara analisis kandungan. Data-data terkumpul dianalisis secara diskriptif. Hasil perbincangan mendapati bahawa UUKDPI telah mengkanunkan cara pelaksanaan perceraian secara talaq, sama ada dilakukan secara terang/sareh ataupun sindiran/kinayah. Walaupun Dato Yuthitam bertindak sebagai pendaftar nikah cerai dan rujuk bagi orang Islam di Mahkamah Wilayah tetapi kebiasaannya beberapa isu berkaitan kekeliruan pelaksanaan talaq akan dirujuk kepada imam ataupun Majlis Agama Islam di Selatan Thailand. Imam atau Majlis tersebut mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sijil perkahwinan dan perceraian tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mendaftarkannya. Justeru, keputusan pihak-pihak tersebut tidak akan mengikat pasangan tersebut secara perundangan melainkan setelah ia telah didaftarkan di Mahkamah Wilayah melalui Dato’ Yuthitam. Tiada peruntukan khusus dalam . UUKDPI yang menguatkuasakan pihak suami melafazkan talaq di hadapan imam atau di Majlis Agama Islam menyebabkan pemantauan terhadap perceraian sukar dilakukan. TALAQ DI BAWAH UNDANG-UNDANG KELUARGA DAN PUSAKA ISLAM (UUKDPI) Artikel 82, UUKDPI memberi definisi talaq adalah sebagai: “Talaq ialah melepaskan ikatan perkahwinan oleh suami semasa proses menjatuhkan talaq oleh pihak suami”. Analisis daripada definisi talaq yang dinyatakan dalam artikel 82 UUKDPI mendapati bahawa UUKDPI telah mengadaptasi maksud talaq sepertimana yang terdapat dalam teks undang-undang Islam. Walau bagaimanapun, beberapa proses perceraian melalui proses menjatuhkan talaq yang digunapakai oleh UUKDPI menurut Artikel 82 menjadi kritikan apabila ia bersangkutan dengan konsep penceraian dalam Islam. Sebahagian pendapat menyatakan bahawa ungkapan tersebut kelihatan tidak sesuai dan maksudnya adalah tidak setara serta boleh menimbulkan salah faham mengenai talaq itu sendiri. Perlu disebut di sini bahawa secara konsepnya dalam undang-undang Islam, apabila suami mengucapkan kata-kata yang menunjukkan talaq, penceraian berkuatkuasa serta merta. Fakta ini telah disahkan melalui penghakiman yang diberikan oleh Dato' Yuthitham dalam kes Mahkamah Wilayah Patani Hama' Molo lwn Pisoh Molo. (Kes Sivil 1993,No:510/B.E. 2536) Dalam hal ini Dato' Yuthitham berpendapat bahawa oleh kerana suami melafazkan ucapan penceraian secara sengaja, penceraian itu berkuat kuasa serta merta. Berdasarkan kepada penilaian Dato' Yuthitham dalam kes di atas, perkara itu menunjukkan bahawa dalam 142
undang-undang Islam, tidak ada formaliti atau proses yang diperlukan untuk membentuk suatu penceraian yang sah. UUKDPI mengiktiraf pelbagai tatacara perlaksanaan talaq. Berdasarkan UUKDPI, talaq boleh berlaku melalui mulut, (UUKDPI, artikel 83 (1)), secara bertulis, atau dengan pergerakan sekiranya suami tidak mampu melakukan dengan mulut atau tulisan. (UUKDPI, artikel 83 (1).). Ucapan talaq secara lisan atau dengan kata-kata dari mulut juga boleh dilaksanakan baik melalui sarih (jelas) atau dengan kinayah (tersirat)(Abu Bakr Taqiyu al-Den, 1990). Kedua-dua topik ini akan dibincangkan secara berasingan di bawah ini. a.
Kata-kata Talaq Secara Sarih dalam UUKDPI
Istilah tersurat bererti kata-kata yang tidak mempunyai erti lain kecuali talaq (Al-Sayyid Sabiq,1977). Perkataan talaq, yang bererti penolakan atau penceraian, dianggap sebagai suatu istilah yang jelas, contohnya apabila seorang suami berkata kepada isterinya “Aku telah talak kamu dengan satu talaq”. Ucapan perceraian yang sedemikian merupakan kenyataan jelas. Bagi keadaan seperti ini, ungkapan yang digunakan tidak membawa erti lain selain daripada penceraian dan mereka juga memahami dengan jelas penceraian tersebut, bukti niat tidak diperlukan. Selain perkataan talaq sebagaimana disebut di atas, kata firaq yang bermaksud pemisahan dan kata sarih yang bererti pemberhentian dianggap sebagai kata-kata jelas menurut pandangan Shafie (al-Khatib al-Syarbini, 1958). Dalam UUKDPI pula, kanun yang terkandung di dalamnya membezakan kata-kata jelas dan tersirat. Seksyen 83 (a) dalam UUKDPI mendefinisikan ekspresi jelas sebagai: Sebarang kata yang diucapkan oleh suami dengan jelas dan dia mengetahui maksud kata-katanya tersebut maka, dalam kes ini niat adalah tidak penting. Masyarakat di empat wilayah selatan Thailand didapati memang biasa menggunakan perkataan talaq dalam urusan perceraian. Umumnya, perkataan ini boleh difahami oleh semua orang, termasuklah orang buta huruf. Ekoran dari itu, UUKDPI telah menggunakan perkataan talaq sebagai perkataan yang boleh merujuk kepada pembubaran perkahwinan. Selain itu, perkataan cerai juga sering digunakan untuk menunjukkan kata talaq. Contoh kes berikut membantu untuk menggambarkan hal tersebut (Abdul Rahman Abdul Samad, 2011). Dilaporkan bahawa satu aduan dibuat oleh seorang isteri untuk mendapatkan fatwa sama ada perkataan atau ungkapan “aku cerailah mu dengan tiga talaq” yang diucapkan oleh suami dikira sebagai talaq. Dalam kes ini isteri telah membuat pengesahan di hadapan ahli jawatankuasa bahawa suaminya benar-benar mengucapkan ungkapan tersebut. Isteri itu kemudiannya membawa seorang saksi yang bernama Doloh bin Hama. Jawatankuasa Majlis Agama Islam Patani memutuskan bahawa penceraian itu sah dan tempoh ciddah berkuatkuasa serta merta (Majlis Agama Islam Patani, 2010, Permohonan Fatwa Berkenaan, lafaz-lafaz cerai.) Selain perkataan “talaq” sebagaimana disebut di atas, perkataan “firaq” yang bermaksud pemisahan dan perkataan “sarih” yang bererti pemberhentian juga dianggap sebagai katakata jelas menurut pandangan Shafici (Muhammad al-Khatib al-Syarbini, 1958.) b.
Kata-kata Talaq Secara Kinayah/ Tersirat dalam UUKDPI
Secara konsepnya, perkataan tersirat bermaksud perkataan yang meragukan dan samarsamar atau tidak jelas. Perkataan itu boleh bermaksud cerai atau perkara lain (Abu Bakr Taqiyu al-Den, 1990). Tersirat juga diterjemahkan sebagai kinayah dalam bahasa Arab. 143
Perkataan kinayah biasanya ditakrifkan dalam buku-buku fiqh sebagai ekspresi yang mempunyai lebih daripada satu maksud dan salah satu maksudnya ialah talaq (Abu Bakr Taqiyu al-Den, 1990) Terdapat banyak ungkapan tersirat (Daud Bin Abdullah alFatani,t,th, Percetakan al-Ma’arif Sdn Bhd), contohnya, perkataan al-Khaliyyah, alBarri’iyyah (tinggalkan aku sendiri), al-Battah (aku tamatkan mu), Bacin (berpisah), ibtada (kira tempoh percubaan mu) dan al-Haram (aku haram kepada mu). Semua contoh ini merupakan ungkapan tersirat. Oleh itu, niat seseorang ketika melafazkannya perlu diambil kira (Muhammad al-Khatib al-Syarbini, 1958). Ini kerana ekspresi atau perkataan tersirat bukan hanya bermaksud cerai tetapi juga boleh membawa maksud lain. Kesimpulannya sebarang perkataan boleh membawa maksud cerai sekiranya niat suami itu untuk menceraikan isterinya. Artikel 83(1)(b) UUKDPI mendefinisikan ungkapan tersirat seperti berikut: Sebarang perkataan yang dilafazkan oleh suami secara tidak jelas contohnya, menggunakan perkataan meragukan atau secara sengaja mengucapkannya dengan tidak jelas. Dalam situasi ini bukti niat untuk bercerai adalah diperlukan. Peruntukan perundangan di atas menjelaskan bahawa perceraian adalah sah dalam semua keadaan sekiranya suami benar-benar berniat melaksanakan perceraian tanpa mengambil kira bukti dan keadaan ketika itu. Jika suami menggunakan ungkapan tersirat, dia mestilah benar-benar berniat untuk menceraikan isterinya sebelum talaq berkuat kuasa. Peruntukan Artikel 83(1)(b) UUKDPI tersebut adalah bertepatan dengan pandangan Madhab al-Malikiyyah (Ibn Ahmad al-Qurtubi, 1988), dan al-Shaficiyyah (Muhammad alKhatib al-Syarbini, 1958) Kedua-duanya berpendapat bahawa ekspresi yang meragukan tidak boleh menjadikan penceraian itu sah melainkan terbukti niatnya untuk bercerai tanpa mengambil kira bukti atau keadaan ketika itu. Dengan kata lain, Madhab al-Hanafiyah (Abi Bakr Ibn Sucud al-Kasăni, 1996), dan Madhab Hanabilah juga, (Ibn Quddāmah, 1981) mempertahankan bahawa ekspresi meragukan tidak boleh menjadikan perceraian itu sah melainkan terbukti dengan niat atau bukti keadaan pada ketika itu. Di Thailand, didapati perkataan tersirat kadangkala diungkapkan dalam Bahasa Melayu atau Thai. Antara contohnya boleh dilihat dalam Mahkamah Daerah Yala, iaitu melalui kes Chawivan To’ Dir lwn Abdullah To’Dir. (Kes Mahkamah Wilayah Yala, 1997,Kes Sivil No: 271 / B.E. 2540). Dato’ Yuhitham yang mendengar kes tersebut memutuskan bahawa, oleh kerana suami berulang-kali melafazkan cerai menggunakan ekspresi “chan mai yaak auw meng phin mea ku eek tho pai” yang diterjemahkan sebagai “aku tidak akan menerima mu sebagai isteriku lagi” sebanyak tiga kali kepada isterinya sebelum meninggalkan rumah. Keadaan ini dianggap sebagai ungkapan tersirat. Oleh itu, bukti niat suami tersebut diperlukan. Mahkamah Daerah Yala memutuskan bahawa penceraian adalah sah kerana dia benar-benar berniat untuk menceraikan isterinya. Contoh kes tersebut menunjukkan bahawa peruntukan berkaitan ungkapan tersirat telah dinyatakan dengan baik dalam UUKDPI dan garis panduan tersebut adalah bertepatan dengan pandangan ulama Islam terdahulu. KAEDAH TALAQ MENURUT UUKDPI (a)
Talaq Secara Bertulis dalam UUKDPI
144
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, talaq di dalam UUKDPI adalah sah sama ada melalui kata-kata, tulisan atau isyarat badan atau isyarat yang diketahui. Berkenaan dengan talaq secara bertulis, kebanyakan ahli undang-undang Islam, contohnya, Imam Malik dan Imam Shafici dengan sebulat suara bersetuju bahawa talaq adalah sah secara bertulis tidak kira sama ada suami itu mampu menyebut ungkapan talaq atau tidak (Sayyid Sabiq, 1977). Namun demikian, Imam Hanafi (Abi Bakr Ibn Sucud al-Kasăni, 1996), berpendapat bahawa talaq melalui isyarat badan atau isyarat lain adalah tidak sah sekiranya suami itu mampu menulis. Artikel 83(2) UUKDPI antara lain, menyatakan: “Apabila suami dengan sendiri menulis atau menaip dengan betul satu surat, dalam hal ini dia tidak perlu menulis namanya, dengan syarat surat cerai itu lengkap dan dia membuatnya dengan niat untuk melaksanakan penceraian. Sekiranya surat cerai itu tidak jelas, dia mestilah membaca surat itu dengan niat untuk melaksanakan penceraian. Jika tidak surat itu tidak sah”. Berdasarkan peruntukan di atas, perceraian berdasarkan tulisan dalam UUKDPI mempunyai dua bentuk; pertamanya ialah bentuk penulisan lazim yang dilakukan dengan niat. Bentuk kedua ialah penulisan tidak lazim yang dilakukan tanpa niat. Dalam kes penulisan yang nyata jika dilakukan dengan niat, surat itu adalah sah walaupun orang yang menulis tidak membacanya. Sementara penulisan tidak nyata, jika dilakukan tanpa niat, surat itu akan sah setelah orang yang menulis membacakannya dengan niat melaksanakan penceraian. Berdasarkan penjelasan di atas, boleh dilihat bahawa UUKDPI juga telah menggariskan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi sebelum talaq melalui penulisan sah di bawah UUKDPI. Hal ini dapat dirumuskan seperti berikut: (a) Surat mesti ditandatangani dengan betul oleh penulis. Sekiranya dia tidak menulis dan sekiranya dia sendiri membuatnya, surat itu adalah sah walaupun dia tidak menandatanganinya, dengan syarat dia mempunyai niat untuk menceraikan isterinya atau (b) Penulis mesti membaca surat itu jika surat tidak dibuat dengan betul. Dalam perkara ini, adalah perlu untuk membuktikan niat tidak kira tulisan itu jelas atau tersirat. UUKDPI memperuntukkan bahawa untuk menjadikan pengisytiharan penceraian itu sah dalam bentuk penulisan suami mestilah membaca atau melafazkan apa yang ditulis sama ada tulisan itu jelas atau sebaliknya. Antara contoh utama kes berkaitan isu ini boleh dilihat dalam Majlis Jawatankuasa Agama Islam Narathiwat iaitu melalui kes Zainun binti Abdul Rahman lwn Nasireen bin Mohd Saleh (Jawatankuasa Majlis Agama Islam Narathiwat, 2006,kes talaq N0: 65/B.E. 2549). Isu dalam kes ini ialah sama ada kenyataan dalam surat yang ditulis oleh suami mengandungi pengisytiharan penceraian. Fakta kes menunjukkan suami berasal daripada Kemboja. Dia berkahwin dengan Zainun Binti Abdul Rahman dan tinggal di Pulau Che Muda dalam Daerah Narathiwat, Selatan Thailand. Setelah dia meninggalkan isterinya lebih daripada empat bulan, isterinya membuat tuntutan penceraian berlandaskan perjanjian tacliq. Setelah tuntutan difailkan di Majlis Jawatankuasa Agama Islam Narathiwat, satu surat dikirimkan kepada isteri. Kenyataan berikut dibuat oleh suami untuk isterinya dan dibaca seperti berikut:
145
“Saya pergi untuk berdakwah dengan kawan saya Ustaz Sulaiman. Saya akan tiba di Kemboja pada 8 Julai 1990. Di kemboja, kami akan membentuk satu kumpulan tabligh untuk tiga hari dan kami akan menyambung dakwah sehingga kami berjaya membentuk satu jemaah lain setelah itu kami akan kembali ke Thailand. Bersabarlah menunggu sehingga saya kembali pulang”. Pemohon telah membawa surat itu kepada jawatankuasa dan memberitahu jawatankuasa bahawa dia telah membaca isi kandungan surat itu. Jawatankuasa Majlis Agama Islam Narathiwat menasihati pemohon supaya membawa dua orang saksi dan bertanya kepada pemohon sama ada dia mahu menunggu suaminya. Pemohon mendiamkan diri. Pada hari berikutnya, jawatankuasa bertanya kepadanya untuk mengangkat sumpah dengan menyebut Wallahi, Billahi, Tallahi, suamiku, Nasireen bin Mohd Salih telah meninggalkanku berseorangan selama lebih daripada empat bulan. Jawatankuasa kemudiannya memutuskan bahawa penceraian dengan satu talaq adalah sah berdasarkan lafaz tacliq yang telah dilafazkan oleh suami kepadanya di hadapan imam. Daripada kes ini boleh dilihat bahawa jawatankuasa tidak memperakui penceraian dengan bergantung kepada isi kandungan surat yang ditulis oleh suami tersebut. Hal ini adalah kerana surat itu tidak jelas kerana suami tiada bersama untuk menjelaskan perkara tersebut. Sekiranya suami benar-benar bermaksud untuk menceraikannya, jawatankuasa perlu membuktikan bahawa suami telah membaca isi kandungan surat di hadapan saksi. Oleh itu, sekiranya suami tidak mempunyai niat, surat yang diutuskan oleh suami dianggap sebagai terbatal dan dibubarkan (Abi Bakr al-Masyhur Bi al-Sayyid al-Bakr, 1993). Jika suami benar-benar bermaksud untuk menceraikan isterinya berdasarkan tulisan surat tersebut sebagaimana yang berikut “jika kamu tidak boleh menunggu saya, saya akan membenarkan kamu berkahwin dengan orang lain”, suami perlu membacanya di hadapan seseorang kerana dianggap sebagai ayat pembayang yang mempunyai beberapa tafsiran berbeza. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk membuktikan niat suami semasa membuat surat tersebut. Untuk menyelesaikan masalah, jawatankuasa menggunakan perjanjian tacliq yang telah dibuat oleh suami di hadapan Imam Haji Yusoff Haji Ali. Daripada kes di atas boleh dikatakan bahawa jawatankuasa memilih untuk melaksanakan penceraian melalui tacliq dan bukannya memperakui penceraian melalui tulisan. Hal ini adalah kerana penceraian sebegini agak sukar untuk dibuktikan dan ia mempunyai perlaksanaan terhad berbanding penceraian melalui tacliq. Kerana pembubaran perkahwinan secara tacliq bertujuan untuk menjaga maslahah umum, oleh sebab itu para ulama telah bersetuju dan memberi peruntukan istimewa dalam Undang-Undang Keluarga Islam terutamanya bagi melindungi hak-hak wanita yang bersuami seperti isteri yang ditinggalkan tanpa nafkah, suami hilang atau ghaib, isteri dianiaya, dizalimi atau didera oleh suami. Maka tindakan jawatankuasa menggunakan perjanjian tacliq yang dibuat oleh suami semasa perkahwinan dahulu adalah sesuai dan menempati hukum Syarak, tambahan pula suami telah melanggar perjanjian tacliq yang dibuat itu dengan meninggalkan isterinya lebih daripada empat bulan. Menurut hukum syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam, seorang isteri berhak menuntut cerai secara tacliq kepada Kadi dengan syarat surat tacliq dibuat di masa pernikahan. Kadi akan melakukan pemeriksaan dan penyiasatan mengenainya. Jika Kadi berpuas hati dan perceraian itu sah menurut hukum syarak, maka perceraian itu boleh didaftarkan secara penceraian tacliq.
146
Contoh lain adalah keputusan penghakiman mahkamah rayuan dalam Haji Hanafiah v. Rokiah (1970) 2 JH p. 103. Di dalam kes ini ahli jawatankuasa memutuskan bahawa talaq secara bertulis yang dibacakan oleh suami didapati tidak berkuatkuasa kerana suami tersebut tiada niat untuk menceraikan isterinya. (b)Talaq Orang Bisu di Bawah Peruntukan UUKDPI Sebagaimana yang diketahui umum seorang yang bisu adalah seseorang yang tidak mampu bercakap. Sekiranya orang bisu itu tidak mampu bercakap dan menulis, isyarat yang digunakannya boleh diterima bagi menggantikan percakapan. Sekiranya orang bisu itu mampu menulis tetapi memilih untuk menggunakan isyarat atau ekspresi badan, ahli undang-undang terdahulu tidak bersependapat sama ada isyarat orang bisu yang mampu menulis diterima atau tidak. Artikel 83(3) UUKDPI menggariskan seperti berikut: Menggunakan isyarat bagi orang bisu untuk mentalaqkan isterinya, apabila: a) Talaq mesti dilengkapi dengan ekspresi badan melalui isyarat jika sekiranya isyarat difahami oleh orang ramai, maka niatnya tidak diperlukan bagi membuktikan sah Talaqnya. b) Sebaliknya, jika isyaratnya hanya difahami oleh kawan rapat dengannya sahaja dan tidak difahami oleh orang ramai, maka niatnya adalah perlu bagi membuktikan sah talaq. Hal ini menunjukkan bahawa UUKDPI tidak membezakan antara orang yang mampu menulis atau tidak. Menurut UUKDPI, penceraian seorang yang bisu melalui isyarat adalah sah tidak kira dia mampu menulis atau tidak. PROSEDUR TALAQ Secara umumnya, terdapat dua cara pembubaran perkahwinan bagi orang Islam melalui talaq di Selatan Thailand. Cara yang pertama, ialah ia boleh dilakukan di hadapan imam kampung dan kedua di pejabat Jawatankuasa Majlis Agama Islam di wilayah tertentu Thailand. Setelah talaq disahkan, imam atau Majlis akan mengeluarkan sijil penceraian kepada kedua-dua belah pihak. Imam atau Majlis perlu membuat tiga salinan bukti penceraian. Salinan pertama diberikan kepada bekas suami, salinan kedua diberikan kepada bekas isteri dan salinan ketiga perlu disimpan oleh imam atau Majlis untuk rekod dokumen (Ahmad Omar Chapakia , 2012). Sijil ini dianggap sebagai dokumen agama yang tidak mempunyai pengesahan secara undang-undang jika dibandingkan dengan dokumen lain kerajaan Thai melainkan ianya diperakui oleh Mahkamah Wilayah (Muhammad Zakee Cheha. 2007) Imam dan Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam di setiap wilayah adalah dianggap bukan bertindak sebagai pendaftar sepertimana yang difahami oleh ramai orang dan ianya tidak dianggap sebagai penjawat awam berdasarkan kepada undang-undang Penal Thai. Berdasarkan kepada Akta Pertubuhan Pentadbiran Islam 1997 Imam dan Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam berkuasa untuk mengeluarkan sijil perkahwinan dan perceraian tetapi tidak berkuasa untuk mendaftarkannya. Maka, dalam melaksanakan tanggungjawabnya, dia tidak menanggung sebarang akibat yang berlaku. Akibatnya, terdapat segelintir pasangan bercerai yang memfailkan tuntutan undang-undang sekali lagi di Mahkamah Wilayah untuk mengesahkan bahawa penceraian telah diluluskan oleh imam atau Majlis.
147
Apabila tuntutan undang-undang diterima oleh Mahkamah Wilayah, Dato’ Yutitham akan melaksanakan peruntukan dalam UUKDPI untuk mengesahkan dan mengisytiharkan bahawa talaq telah dilaksanakan mengikut undang-undang Islam. Dato’ Yutitham adalah hakim atau orang yang membicarakan kes. Jawatan Dato’ Yutitham wujud sekitar tahun Rattanakosing (R.S) 120 (B.E. 2444) buat pertama kalinya. Pada masa itu, Dato’ Yutitham dikenali sebagai Tok Kadi. Mengikut peruntukan undang-undang, Dato Yutitham berperanan memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan dengan soal-soal kekeluargaan dan pusaka. Selain itu, talaq kadang-kala terjadi juga di rumah. Peruntukan dalam UUKDPI yang tidak menjelaskan dengan terperinci tentang sama ada prosedur melaksanakan talaq perlu dibuat di hadapan imam atau di Mahkamah Wilayah ataupun selain tempat-tempat tersebut menyebabkan pihak suami boleh membubarkan isterinya tidak kira masa, tempat, dan apa sebab sekali pun. Proses untuk penceraian di wilayah sempadan selatan Thailand boleh difahami dalam gambarajah di bawah. Perkahwinan
Masalah
Aduan di rumah Imam Perceraian berkuatkuasa tanpa peguam
Mahkamah Wilayah Melalui peguam, memohon di UUKDPI
Aduan kepada Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam (Perceraian berkuatkuasa tanpa peguam)
Perceraian dengan peguam (kuatkuasa undangundang)
Tiada Penguatkuasaan Undang-undang Rajah 1 Proses Permohonan Perceraian di Wilayah Selatan Thai Sumber: Majlis Agama Islam Patani 2013 Rajah .1 menjelaskan bahawa terdapat dua cara pembubaran perkahwinan. Pertama, apabila talaq diucapkan di rumah, pasangan akan memaklumkan imam dan setelah itu sijil penceraian akan dikeluarkan. Sijil penceraian tersebut tidak boleh digunakan sebagai bukti tanggapan pertama dalam menuntut hak dalam perkahwinan dan penceraian melainkan suami memfailkan tuntutan sivil di Mahkamah Wilayah. Kedua, setelah permohonan penceraian dihantar kepada mahkamah wilayah, perkara yang akan dilakukan oleh Mahkamah Wilayah ialah memeriksa sama ada dokumen yang dihantar itu lengkap atau tidak. Jika tidak lengkap, pegawai mahkamah akan mengembalikannya kepada peguam plaintif untuk pembetulan. Setelah dokumen lengkap dihantar dan didaftarkan, mahkamah 148
akan memutuskan tarikh untuk perbicaraan dan pembacaan kes. Proses di Mahkamah Wilayah sempadan Selatan Thailand boleh dilihat dalam Rajah 2 di bawah.
Rajah 2 Permohonan Perceraian: Proses di Mahkamah Wilayah Patani Sumber: Mahkamah Wilayah Patani 2013
Tidak terdapat peruntukan yang disediakan di bawah UUKDPI sama ada untuk pendaftaran talaq atau berkenaan prosedur untuk penceraian seperti itu. Seorang isteri mungkin tidak akan tahu dia telah diceraikan sehinggalah dia dimaklumkan oleh pasangannya. Dalam satu kes kajian di Thailand, setiap pemohon untuk penceraian yang difailkan di Mahkamah Wilayah empat wilayah tersebut adalah difailkan oleh isteri, kerana suami boleh mengucapkan terus talaq tanpa perlu membuat tuntutan mahkamah untuk penceraian. Bagi tujuan pendaftaran percerian orang-orang Islam, Kanun Undang-undang Sivil dan Komersial Thai 1934, buku V akan digunapakai tidak kira mereka adalah orang Islam atau Buddha.(Lihat Undang-undang sivil dan Komersil Thai 1934, book V. Artikel 1514 kanun 1934, book V menyatakan bahawa perceraian akan berkuatkuasa melalui niat atau, melalui penghakiman mahkamah.). Hal ini kerana ketiadaan pejabat Pendaftar Perkahwinan dan Penceraian Islam. Amalan yang biasa dilakukan ialah pemohon untuk penceraian mestilah hadir ke Pejabat Pegawai Daerah.
149
Dalam kes pemohon orang Islam, semua permohonan untuk talaq mestilah diajukan terlebih dahulu kepada imam tempatan di tempat tinggal pemohon (Lihat seksyen 26 (10), Akta Pentadbiran Pertubuhan Islam 1997. Ianya menyatakan tentang Suruhanjaya Wilayah hanya mengeluarkan surat cadangan terhadap isu perkahwinan dan perceraian orang Islam tetapi tidak menyatakan tentang pendaftaran perkahwinan dan perceraian). Setelah imam menerima permohonan, pemohon mestilah mengisi borang permohonan penceraian dengan Jawatankuasa Majlis Agama Islam. Majlis akan meminta pasangan untuk datang bersamasama dengan imam.Jika Majlis berpuas hati bahawa perkahwinan tersebut tidak boleh dibaiki lagi, Majlis akan meminta suami untuk melafazkan talaq (Ahmad Omar Chapakia , 2011). Majlis akan mengeluarkan sijil penceraian beserta dengan rekod punca lafaz talaq tersebut. Satu salinan sijil disimpan oleh Jawatankuasa Majlis Agama Islam sebagai rujukan. Jika suami enggan untuk melafazkan talaq, Majlis akan meminta suami melafazkan cerai melalui tuntutan setelah jumlah bayaran dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini, di empat wilayah tersebut, talaq boleh dilaksanakan di hadapan imam, Jawatankuasa Majlis Agama Islam atau di hadapan Dato’ Yuthitham di Mahkamah Wilayah. Hal ini adalah kerana Dato’ Yuthitham telah dilantik oleh kerajaan untuk menyelesaikan perbalahan berkaitan hal rumah tangga untuk orang Islam di empat wilayah iaitu wilayah Narathiwat, Yala, Patani dan Satul. Sebaliknya, secara praktikal didapati bahawa terdapat segelintir Dato’ Yuthitham yang dilantik oleh Jawatankuasa Majlis Agama Islam untuk menjadi ahli dalam Jawatankuasa Majlis Agama Islam. Dalam kes seperti ini, perkahwinan dan penceraian boleh dilaksanakan di hadapan beliau yang bertindak sebagai ahli Majlis dan bukannya sebagai hakim (Sebagai contoh Dato’ Abdullah Tuan Meden, iaitu Dato Yuthitham, Mahkamah Wilayah Patani). Tanggungjawab berganda ini akan menimbulkan lebih banyak masalah bagi pihak pendakwa Islam di selatan kerana tanggungjawab sebenar Dato’ Yuthitham ialah memutuskan kes di Mahkamah Wilayah. (a) Syarat Kehadiran Saksi Di Bawah UUKDPI UUKDPI tiada peruntukan berkenaan syarat bahawa talaq perlu dilaksanakan dengan kehadiran saksi. Syarat kehadiran saksi diambil daripada kitab suci al-Qur’an dan juga sunnah Nabi SAW. Al-Qur’an pada surah al-Talaq (65), ayat 2; menetapkan peraturan seperti berikut: Maksudnya: Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu karena Allah. Perintah untuk “dan ambil dua orang sebagai saksi” dalam ayat di atas menunjukkan perintah atau kewajipan di mana ia merujuk sama ada kepada talaq atau pembatalan. Jika diambil daripada pendekatan bahasa, didapati perintah untuk mendapatkan saksi dalam ayat ini adalah lebih tepat merujuk kepada talaq terutamanya kerana keseluruhan ayat membincangkan talaq dan bukannya pembatalan. Berdasarkan ayat yang dinyatakan di atas, Ahli Sunni berpendapat bahawa kehadiran saksi pada masa cerai dilafazkan adalah dikehendaki (al-Qurtubi, 1996). Namun demikian, ia bukanlah satu syarat keperluan penceraian. Ahli Sunni membenarkan penceraian tanpa kehadiran saksi kerana ia adalah hak mutlak suami yang tidak memerlukan saksi. Sebaliknya, Syiah dan al-Zohiriyyah 150
berbeza pendapat daripada Sunni, kerana mereka mensyaratkan kehadiran saksi untuk menjadikan penceraian itu sah (al-Qurtubi, 1996) Mereka berpandukan ayat yang sama seperti di atas dan juga sunnah Nabi SAW yang bermaksud: “Adalah diceritakan oleh Mucarrif ibn cAbd Allah bahawa Imran ibn Hussain berkata tentang seseorang yang bercerai dengan isterinya dan kemudian melakukan hubungan suami isteri tetapi tiada saksi untuk penceraian dan juga tiada saksi untuk pembatalan penceraian. Dia berkata: “kamu bercerai bertentangan dengan Sunnah. Panggil seseorang menjadi saksi penceraian dan pembubaran penceraian dan jangan ulangi lagi”. ( Sunan Abu Daud, 1990). Dalam kes perceraian muslim di Selatan Thai, kebanyakan suami memilih untuk melafazkan cerai di rumah tanpa mendapatkan pandangan jawatankuasa pendamaian sebagaimana yang diaturkan oleh Jawatankuasa Majlis Agama Islam atau oleh pejabat Dato’ Yuthitham. Situasi begini berlaku kerana mereka tidak mahu campur tangan pihak ketiga dan kadangkala kerana menerima pandangan dan nasihat daripada ahli keluarga. Tindakan yang dilakukan oleh suami ini supaya mudah proses perceraian berlaku tanpa menggunakan kos pembelanjaan yang banyak serta tidak memerlukan masa yang panjang dan lama. Akibat daripada fahaman sebegini dan sikap mengambil jalan yang mudah, banyak perkara-perkara yang berkaitan selepas perceraian tidak dapat dilakukan, seperti harta sepenceraian, hak hadanah, nafkah ciddah dan mutcah, akhirnya memberi kesan yang negatif khususnya kepada isteri yang diceraikan kerana haknya tidak terbela oleh manamana pihak. Penceraian tidak boleh berlaku kecuali di hadapan imam kampung atau di hadapan Dato’ Yuthitham. Bagi pihak Jawatankuasa Majlis Agama Islam, talaq tidak boleh dibenarkan melainkan pasangan sudah melalui penimbang tara di pejabat Dato’ Yuthitham atau di pejabat Jawatankuasa Majlis Agama Islam sendiri. Bagaimanapun, jika pasangan gagal mematuhi prosedur tersebut, ia dianggap sebagai satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan denda di bawah UUKDPI. KESIMPULAN Islam adalah agama yang mudah lagi sempurna, hukum-hukum yang berkaitan dengan perceraian bukanlah semata-mata untuk menggalakkan perceraian, malah hukum ini boleh diambil dan dilaksanakan dalam keadaan kritikal iaitu apabila suami dan isteri sudah tidak ada perasaan cinta dan tidak saling menyayangi antara sama lain, hidup berumahtangga tidak ada ertinya lagi, maka ketika ini syarak mengharuskan perceraian dilakukan antara suami isteri. Antara perceraian yang dinyatakan dalam Islam ialah talāq, tacliq, khuluc, fasakh, ila, licān dan zihar. Tetapi kebanyakkan kes-kes perceraian yang sering berlaku di antara suami isteri dikalangan masyarakat Islam ialah talāq, talāq secara tacliq, fasakh dan khuluc. Sementara ila, lican dan zihar amat jarang berlaku. Berdasarkan perbincangan mengenai pembubaran perkahwinan Muslim di Selatan Thai, boleh disimpulkankan bahawa UUKDPI telah memperuntukan undang-undang dalam beberapa kategori. Kategori pertama dinamakan Peruntukan am yang membincangkan perhubungan suami isteri terbubar disebabkan kematian, talāq, fasakh, licān dan perkahwinan fasad seperti persetubuhan secara subhat, berkahwin dengan saudara susuan dan suami atau isteri murtad. Kategori kedua, talaq. Dalam ketegori ini membincangkan perkara yang berkaitan dengan lalaz-lafaz talāq secara soreh dan tidak soreh (kinayah), 151
menentukan talāq itu hak suami yang tidak lebih daripada tiga talāq sekiranya suami itu merdeka, manakala hamba pula memiliki talāq tidak lebih daripada dua. Talāq boleh berlaku secara raj’e sekiranya suami mentalakkan isteri satu atau dua kali, dan boleh menjadi bācin sama ada bācin sughra dan bācin kubra. Dalam kategori ini juga menyatakan, selain daripada suami melafazkan talāq dengan sendirinya, talāq boleh berlaku apabila suami memberi hak kepada isteri untuk talāq atau suami mewakilkan kepada wakil yang tertentu untuk talāq, atau suami mentalakkan isteri secara menerima bayaran (khuluc) daripada isteri, atau suami telah melanggar perjanjian atau peraturan talāq yang ditetapkan oleh suami yang dinamakan talāq secara tacliq. Berkenaan prosedur talāq, ada sedikit kekurangan dan kelemahan. Setakat ini tiada peruntukan dalam UUKDPI yang membincangkan prosedur talaq sebagaimana juga tiada peruntukan dalam UUKDPI untuk menghukum suami yang melafazkan talaq di luar mahkamah. Akibatnya, pendekatan yang konservetif digunakan. Bagi orang Islam di selatan, talaq boleh didaftarkan atau tidak. Kebiasaannya, imam atau pegawai di Jawatankuasa Majlis Agama Islam akan mengeluarkan surat talaq sebelum ianya didaftarkan kali kedua di pejabat pegawai daerah. Suami yang mahukan rujuk bersama bekas isterinya boleh berbuat demikian dengan cara memaklumkan imam atau Majlis. Imam atau Majlis akan membuat soal siasat untuk memastikan sama ada tempoh iddah sudah tamat atau belum. Kebebasan lelaki untuk menceraikan isterinya perlu dikawal. Suami tidak boleh dibenarkan menjalankan haknya itu tanpa campurtangan daripada mahkamah wilayah atau Jawatankuasa Majlis Agama Islam. Dengan kata lain, apabila pasangan menuntut penceraian, suami atau isteri mestilah memohon daripada Jawatankuasa Majlis Agama Islam atau Mahkamah wilayah. Dalam Islam, apabila timbul perselisihan faham antara pasangan, al-Qur’an mengunjurkan perlantikan penimbangtara bagi pihak lelaki dan wanita. Ini adalah perlu bagi mencari jalan pendamaian. Sekiranya gagal berdamai, keputusan untuk bercerai akan dicadangkan kepada mahkamah wilayah. UUKDPI tidak menyebut tentang perkara ini. Bagaimanapun, Mahkamah Wilayah dilihat bersetuju menggunakan prinsip perselisihan faham untuk melaksanakan talaq. Penimbangtara hanya akan dilantik jika pemohon mengadukan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Majlis Agama Islam. Bagaimanapun, penimbangtara tiada kuasa untuk meluluskan penceraian dan semua keputusan, mereka perlu dirujuk kepada saudara terdekat pemohon. RUJUKAN Abdullah, S. D. al-F. (n.d.). Īdhāh al-Bāb Li Murid al-Nikah Bi al-Sowād. Pulau Pinang: Percetakan al-Ma’arif Sdn Bhd. Abi al-Tayyib, M. S. al-H. 1990. ‘Aywnu al-Ma’bũd Syarh Sunan Abi Daud. Kitab alTalaq, hlm.5th–6th Edisi ., 181. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Cheha, M. Z. 2007. Undang-Undang Keluarga Pada Abad 21 Cabaran Dan Masa Hadapan. Kertas kerja di Seminar Undang-Undang Keluarga.. Ibn Hazm, A. M. ‘Ali B. A. B. S. (n.d.). Al-Muhallā hlm.10th Edisi . Beirut: Mansyūrāt al-Maktabah al-Tijāri Li al-Tiba’ah Wa al-Nasyr Wa al-Tawzi’. Ibn Rushd, M. I. A. 1988. Bidayat al-Mujtahid Wa Nihayat al-Muqtalid. al-Qurtubi,.2nd Edisi ., 72. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah. al-Khin, M., Al-Sharbaji, ‘Ali & Al-Bugha, M. 2007. al-Fiqh al-Manhaji. Dar al-Qalam Damshiq. Mahmud, M. al-D. A. M. ‘Abd A. B. A. Bin. 1981. Al-Mughni.7th Edisi . Riyadh: Maktabah al-Riyādh al-Hadithah.
152
al-Qurtubi, A. A. A. M. I. A. al-A. 1996. al-Jāmi’ Li Ahkām al-Qur’an .2nd Edisi . Beirut: Dar al-Kutub al-Ilamiyyah. al-Sayyid al-Bakr, S. A. B. al-M. 1993. Hashiyah I’ānah al-Ţālibin.4th Edisi . Beirut: Dar al-Fikr. al-Sayyid, S. 1977. Fiqh al-Sunnah 2nd Edisi . Beirut: Dăr al-Kităb al-Arabi. Taqiyu al-Den, A. B. 1990. Kifayah al Akhyar Fi Hilli Ghayah al-Ikhtişār. Beirut: Dar alKutub al-Ilmiyyah. TEMUBUAL Dr Ahmad Omar Chapakia ,Pengarah Majlis Agama Islam Patani, temubual pada 28hb ogos 2012. Abdul Rahman Abdul Samad, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, temubual pada 20hb,Julai 2011
153