Gerakan Retrograd Marikh dan Hari Kiamat Pengenalan Terdapat khidmat pesanan ringkas (sms) yang tersebar luas mengenai planet Marikh yang dikatakan telah mengalami putaran terbalik dan menyebabkan Matahari yang selama ini naik dari arah Timur bertukar naik dari sebelah Barat, maka hal yang sama akan segera berlaku ke atas Bumi kita kelak, menandakan Kiamat terlalu hampir. Ia ada kaitan dengan artikel di dalam majalah antarabangsa al-Mujtamak keluaran Februari 2006, bilangan 1687 yang memberitakan bahawa planet Marikh telah terhenti peredarannya pada 30 Julai 2005 dan berpatah balik putarannya kebelakang, dari putaran menghala ke Timur ke putaran menghala ke Barat. Penulis artikel itu membuat ulasan bahawa fenomena ini menghasilkan perubahan ketara di mana Matahari yang selama ini naik dari arah Timur di atas Marikh akan naik dari arah Barat, dan jatuh pula ke arah Timur. Maka peristiwa itu terus memberi tanggapan bahawa apabila ia telah berlaku ke atas Marikh, maka tidak mustahil ia akan berlaku pula ke atas Bumi. Ulasan ini pula dikaitkan dengan apa pakar astronomi gelar sebagai retrograde motion (gerakan retrograd).
Gerakan Retrograd Tamaddun Yunani silam memanggil cahaya kecil yang bergerak di langit pada malam demi malam sebagai planetes asteres yang bermaksud bintang kembara atau hanya planētoi yang bermaksud pengembara. Perkataan planet berasal dari perkataan planētoi. Melalui cerapan mereka menyedari bahawa jejak perjalanan planet berbanding dengan bintang-bintang lain adalah sukar difahami melalui model alam semesta yang sedia ada di mana Bumi terletak di tengah-tengahnya. Yang menjadi masalah bagi mereka ialah kesukaran untuk menerangkan gerakan retrograd planet-planet. Gerakan ini bermaksud bahawa jejak perjalanan planet dari hari ke hari di langit sekali sekala kelihatan berpatah-balik dari arah umumnya. Perkataan retrograd berasal dari perkataan latin retro yang bermaksud kebelakang dan gradus yang bermaksud langkah. Maka ia bermaksud langkah kebelakang. Dalam astronomi juga terdapat retrograde rotation iaitu putaran retrograd atau putaran kebelakang. Kebanyakan planet berputar pada paksinya mengikut arah lawan jam. Putaran ini menyebabkan pada permukaan planet itu Matahari kelihatan
terbit di sebelah Timur dan terbenam sebelah Barat. Putaran retrograd bermaksud putaran arah jam. Dengan itu Matahari akan kelihatan terbit di sebelah Barat dan terbenam di arah Timur. Planet Zuhrah dan Uranus mengalami putaran retrograd. Bagi pergerakan orbit juga terdapat retrograde orbit atau orbit retrograd. Kebiasaannya dalam sistem suria sesuatu objek mengelilingi objek yang lain mengikut arah lawan jam. Semua planet dan kebanyakan objek-objek kecil bergerak mengikut arah lawan jam apabila dipandang dari kutub Utara Matahari. Pengecualian ialah beberapa komet yang bergerak pada orbit yang sangat condong dan mempunyai tempoh yang panjang. Objek-objek ini benar-benar bergerak mengikut arah jam dan oleh itu mempunyai orbit retrograd tulen, juga dipanggil orbit retrograd langsung. Adapun retrograde motion seperti yang disebutkan di dalam edaran sms merujuk kepada apparent retrograde motion, iaitu gerakan retrograd ketara seperti yang dilihat dari Bumi. Ia bukan gerakan retrograd sebenar. Ia merujuk kepada gerakan orbit mengelilingi Matahari. Gerakan retrograd ini berlaku kepada semua planet yang orbitnya di luar dari orbit Bumi dan ia bukan satu keanihan. Ianya dapat diterangkan secara lebih sempurna apabila model sistem suria moden digunakan. Ia adalah kesan atas perspektif pandangan dan dapat dilihat dari rajah berikut :
Rajah 1 : Unjuran kedudukan planet luaran P dilihat daripada planet T semasa keduaduanya sedang mengorbit Matahari. Unjuran dibuat pada selang masa yang seragam ke atas latarbelakang bintang-bintang di langit yang kelihatan statik.
Rajah 2 : Dari Bumi unjuran pergerakan planet P kelihatan seperti di dalam rajah ini dengan kedudukan A2 dan A4 sebagai titik-titik gerakan retrograd Merujuk kepada dua rajah di atas (ihsan http://en.wikipedia.org/wiki/Retrograde_and_direct_motion), andaikan Bumi ialah T, Marikh ialah P serta A ialah unjuran kedudukan P pada langit yang dihiasi bintangbintang yang kelihatan statik, dan imbuhan 1 hingga 4 merupakan kedudukan dengan peredaran masa di mana 1 lebih awal dari 2 lebih awal dari 3 lebih awal dari 4. Rajah kedua adalah gambaran apa yang dilihat dari perspektif Bumi. Titik retrograd ialah A2 dan A4.
Kekeliruan Planet Marikh tidak mengalami putaran retrograd pada tarikh yang dinyatakan di atas. Mengikut data dari NASA ia hanya mengalami gerakan retrograd pada sekitar 30 Julai 2003 (bukan tahun 2005 sepertimana yang diberitakan) dan juga pada 17 September 2003. Ia juga mengalami gerakan retrograd pada sekitar 20 September 2005 dan 30 November 2005.
Rajah 3 : Jejak gerakan retrograd planet Marikh pada tahun 2003 (ihsan http://mars.jpl.nasa.gov/allabout/nightsky/images/2003/whereLosAngeles_br.jpg)
:
Rajah 4 : Jejak gerakan retrograd planet Marikh pada tahun 2005 (ihsan : http://mars.jpl.nasa.gov/allabout/nightsky/images/2005/whereLosAngeles.jpg) Sementara itu putaran retrograd dipercayai telah berlaku pada planet Zuhrah dan Uranus semasa awal kejadian lagi. Kedua-duanya dipercayai adalah akibat hentaman besar ke atas planet sehingga mengubah arah putaran mereka, menjadikannya berputar dengan putaran retrograd.
Penutup Maka berbalik kepada persoalan di atas, oleh kerana planet Marikh tidak mengalami putaran retrograd maka seluruh kekeliruan yang berlaku mungkin terbit dari salah-
faham di antara putaran retrograd dengan gerakan retrograd (ketara). Gerakan retrograd hanyalah fenomena optikal, ia tidak menggambarkan orbit sebenar planet Marikh yang masih mengelilingi Matahari mengikut arah yang sama. Ia boleh dianggap sebagai satu ilusi optik. Ia adalah fenomena yang berlaku berulang-ulang dan telah diketahui sejak zaman Yunani silam lagi. Gerakan retrograd sekali-kali tidak menandakan berubahnya arah putaran kerana kedua-duanya tidak berkaitan secara langsung. Kita juga tahu bahawa arah putaran planet Marikh adalah sama seperti dahulu, tiada sebarang perubahan. Maka kaitan yang cuba dibuat dengan arah putaran Bumi gugur dengan sendirinya. Tetapi bagaimana pula dengan planet Zuhrah yang juga merupakan jiran kepada Bumi? Planet Zuhrah kerap disifatkan sebagai planet saudara (sister planet) dengan Bumi kerana saiznya yang hampir sama besar. Dan ia mengalami putaran retrograd. Adakah putaran retrograd yang dialami planet Zuhrah boleh membawa petanda kepada Bumi? Bahawa Bumi juga akan menjadi seperti itu dalam masa yang segera. Putaran retrograd Zuhrah hanya baru sahaja (tahun 1960’an) diketahui melalui teknologi radar kerana permukaannya tebal diselaputi awan yang tidak membolehkan kadar putarannya ditentukan secara optikal. Namun, sebab–sebab berlakunya putaran retrograd masih belum dapat dipastikan Terdapat beberapa teori yang mempunyai kekuatan, dan salah satunya ialah teori hentaman semasa awal kejadian. Ini bermaksud planet Zuhrah telah dihentam oleh sesuatu yang agak besar pada awal kejadiannya yang menyebabkan ia mengalami putaran retrograd. Jika demikian, ia berlaku berbilion tahun yang lalu dan bagi Bumi untuk mengekorinya memerlukan juga satu hentaman dahsyat seperti itu, yang akan memusnahkan kehidupan di Bumi. Jika demikian, ia bukan lagi tanda kiamat, bahkan lebih merupakan senario hari kiamat itu sendiri. Maka, saya menganggapnya kurang berkemungkinan. Teori lain mengenai putaran retrograd juga tidak menunjukkan bahawa ia akan berlaku dalam masa yang segera ke atas Bumi. Oleh itu satu penjelasan masih diperlukan bagi menjelaskan Matahari terbit di sebelah Barat. Saya tidak bercadang untuk mengemukakannya di sini. Walau apa pun kita tetap meyakini kedatangan hari kiamat dan kebenaran kata-kata Rasul s.a.w. mengenai tanda-tandanya. Cuma telah berlaku salah-faham terhadap tafsiran gerakan retrograd planet Marikh yang mengakibatkan teori tentang kehampiran hari kiamat telah terbentuk dari fakta yang salah ini, dan ianya telah tersebar luas bukan sahaja melalui sms tetapi juga di dalam akhbar dan VCD. Walaupun kehampiran hari kiamat itu tidak dinafikan, tetapi penyajiannya melalui fakta yang salah boleh menyebabkan kita menjadi bahan tertawaan dan persendaan orang.
Lampiran A