Syed Mohammad Ashraf, Presiden Pengasas, Ulama All India dan Lembaga Mashaik Shawki Ibrahim Abdel Karim Allam, Mufti Besar Mesir, ShaykhHashimuddin Al Gailani, dari Baghdad Syed Minhaj Ur Rehman dari Bangladesh Diwan Ahmed Masood Chisti dari Pakistan Syed Nizami dari Nizamuddin Dargah dan Syed Chisti dari Ajmer Sharif rakan-rakan menteri saya, Ulama dan Sufi dari India Tetamu kami dari negara jiran dan dari negara-negara jauh di luar sana, Selamat datang ke negara yang menjadi sumber kepada keamanan abadi dan tradisi serta warisan purba, yang telah menerima dan memupuk kepelbagaian agama dari seluruh dunia. Selamat datang kepada mereka yang kekal mempercayai VasudhaivaKutumbakam, dunia ini adalah sebuah keluarga. Kepercayaan kepada harmoni dengan memetik pesanan daripada Al-Quran bahawa manusia adalah umat yang satu sehingga mereka berselisih sesama sendiri. Gemaan mengenai kepercayaan agama dalam kata-kata penyair Sufi Parsi yang terhebat, Saadi, ditulis untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bahawasanya manusia berasal daripada sumber yang sama: Kami adalah satu keluarga. Selamat datang ke kota purba, Delhi - dibina oleh para bijak pandai dari kalangan rakyat yang pelbagai bangsa, budaya dan agama. Sama seperti negara kami, jantung bandar ini juga merupakan tempat untuk kepelbagaian agama, sama ada daripada mereka yang mempunyai beberapa orang pengikut hingga mereka yang memiliki berbilion penganut. Tempat-tempat suci lagi mengagumkan termasuk dargahs wali Sufi terhebat, Mehboob-e-Ilahi dan HazratBakhtiyarKaki, yang mana tarikan istimewanya adalah ia terdiri daripada pengikut dari semua agama dan seluruh pelusuk dunia. Ia adalah satu rutin luar biasa yang membawa mesej penting kepada dunia, khususnya pada waktu yang digambarkan kritikal bagi manusia sejagat. Pada waktu kita dibayangi kegelapan keganasan yang semakin mengongkong, anda menjadi ‘noor’ atau cahaya harapan. Apabila gelak tawa kanak-kanak disenyapkan oleh senjata api di jalanan, anda adalah suara yang menyembuhkan segalanya. Ketika dunia merasa tercabar untuk mengumpul himpunan demi keamanan dan keadilan, ini adalah sebuah perhimpunan yang menjadikan setiap orang daripadanya sebagai pesanan untuk keamanan, toleransi dan kasih sayang. Anda berkunjung ke sebuah tanahair dengan budaya yang berbeza tetapi disatukan di bawah satu kepercayaan yang sama. Anda bercakap menggunakan bahasa yang berlainan, tetapi kekal bersama di bawah satu mesej keharmonian. Malah, anda juga wakil daripada kepelbagaian tamadun Islam yang kaya dan yang berdiri di atas asas sebuah
agama yang kukuh dan agung. Ia adalah tamadun yang mencapai tahap kemuncaknya pada kurun ke-15 dalam bidang sains, perubatan, sastera, seni, seni bina dan perdagangan. Ia menjadi pusat mengumpul bakat-bakat besar daripada kalangan rakyatnya dan juga penglibatan Islam dalam pelbagai ketamadunan - purba Mesir, Mesopotamia dan Afrika; Parsi, Asia Tengah dan tanah Caucasian; rantau Asia Timur; serta, dengan falsafah dan sains Buddha dan India. Sementara ia memperkaya secara sendiri, ia juga memperkaya seluruh dunia. Ia sekali lagi membuktikan pengajaran paling lama yang masih bertahan dalam sejarah manusia: Segalanya melalui keterbukaan dan pertanyaan, penglibatan dan penginapan, serta penghormatan terhadap kepelbagaian yang memajukan kemanusiaan, negara maju dan dunia makmur. Ini adalah pesanan ‘Sufism’ (tasawuf), salah satu sumbangan terbesar Islam kepada dunia. Daripada asal-usulnya iaitu di Mesir dan Asia Barat, Sufisme mengembara jauh, memegang panji-panji keimanan dan nilai-nilai kemanusiaan, belajar tentang tamadun lain dari segi pemikiran spiritual serta memikat orang dengan gaya kehidupan dan mesej daripada wali alim. Dalam tetapan berbeza di Sahara Afrika atau di Asia Tenggara, di Turki atau di Asia Tengah, di Iran atau India, Sufisme mencerminkan keinginan manusia sejagat untuk melangkah di luar amalan dan ajaran agama supaya mencapai perpaduan yang lebih mendalam dengan restu Yang Maha Berkuasa. Dan dalam kebangkitan spiritual dan mistik, para sufi memperoleh mesej sejagat SWT: Bahawasanya kesempurnaan dalam kehidupan manusia dapat dilihat dalam kualiti kasih sayangnya terhadap Allah. Bahawasanya semua adalah ciptaan Tuhan; dan jika kita mengasihi Tuhan, kita mesti juga mengasihi semua ciptaanNya. Memetik kata HazratNizamuddinAuliya, "Yang Maha Esa amat dihargai oleh mereka yang mengasihi Dia demi manusia, dan orang-orang yang mengasihi manusia demi Yang Maha Esa." Ini adalah mesej kesatuan umat manusia, untuk semua ciptaan Yang Maha Esa. Oleh itu, bagi para Sufi, berkhidmat kepada Tuhan bermakna berkhidmat kepada manusia. KhwajaMoinuddin Chishti juga pernah berkata, bahawa daripada semua ibadah yang ditujukan, ibadah yang dikehendaki Allah SWT ialah memberi bantuan kepada orang yang berstatus rendah dan tertindas. Dalam imej nilai-nilai kemanusiaan yang indah, beliau berkata, manusia mesti memiliki nilai kasih sayang seperti Matahari, kemurahan hati seperti sungai yang mengalir dan hospitaliti seperti bumi yang menanggung, kerana mereka memberi manfaat kepada kita, tanpa sebarang diskriminasi dan perbezaan dalam kalangan rakyat. Dan, kemanusiaan yang sama turut memberi tempat dan kedudukan istimewanya kepada wanita dalam masyarakat ini. Selain semua itu, Sufisme adalah sambutan kepelbagaian dan pluralisme, seperti kata-kata HazratNizamuddinAuliya, bahawa setiap orang mempunyai jalan kebenaran, kepercayaan dan tumpuan
penghormatan tersendiri. Kata-kata ini menggambarkan mesej Ilahi kepada Nabi bahawa tidak ada paksaan dalam agama; dan juga setiap orang mempunyai cara ibadah yang dilantik oleh kita yang mana dipatuhi oleh mereka. Malah, ia juga selaras dengan jiwa pendeta alim Bhakti dalam tradisi Hindu yang menyatakan, "Ke pangkuan lautan yang besar, sungai yang mengalir datang dari bukit-bukit di segala penjuru." Dan daripada hikmah Bulleh Shah pula, "Tuhan bercampur-campur dalam setiap hati." Nilai-nilai ini yang menjadi bekalan keperluan pada zaman ini. Ini adalah realiti semula jadi. Kita belajar hikmah dalam keseimbangan dan keharmonian sempurna yang wujud dalam kepelbagaian rimba terhebat ini. Mesejnya adalah di luar daripada batasan pembelajaran dan sektor. Ia adalah satu usaha rohani menjejaki asalusulnya dari nabi dan nilai-nilai asas Islam, yang secara harfiah bermakna kedamaian. Dan, ia mengingatkan kepada kita bahawa apabila mengenang 99 nama-nama Allah, tiada satupun yang mewakili kekerasan dan keganasan, sebaliknya dua nama pertamaNya adalah penyayang dan pengasih. Allah Maha Rahman dan Raheem. Sufisme adalah suara keamanan, kewujudan bersama, belas kasihan dan kesaksamaan; panggilan untuk persaudaraan sejagat. Sama seperti India yang menjadi pusat utama ketamadunan Islam, negara kita juga muncul sebagai salah satu hab Sufisme paling agung. Sufisme menjadi wajah Islam di India, meskipun ia kekal berakar umbi daripada Al-Quran dan Hadis. Sufisme berkembang dalam keterbukaan dan pluralisme India. Ia bergabung dengan tradisi rohani dan berkembang dalam etos tersendiri India. Dan, ia membantu membentuk warisan Islam yang berbeza dari India. Kita melihat warisan ini dalam bidang seni, seni bina dan budaya yang merupakan sebahagian daripada struktur negara dan kehidupan seharian bersama. Kita melihatnya dalam tradisi rohani dan intelektual India. Ia membantu mengukuhkan budaya inklusif yang merupakan sumbangan terbesar negara ini kepada kepelbagaian warna dunia ini. Dalam puisi Baba Farid atau Guru Granth Sahib, kami turut merasai hubungan rohani yang serupa. Kami melihat perikemanusiaan di pusat makan di tempat ibadah Sufi dan makam perkampungan tempatan Pirs yang menarik golongan miskin dan dalam kelaparan; Kata-kata Hindavi telah dituturkan dalam Sufi Khanqahs. Sumbangan Sufisme dalam bidang puisi di India adalah besar. Impaknya dalam perkembangan industri muzik di India amat mendalam.
Kesanya yang paling besar adalah daripada penyair- pemuzik Sufi, Amir Khusrau. Lapan kurun selepas itu, puisi dan inovasi muzik beliau terus menjadi sebahagian daripada jiwa muzik Hindustan di sini. Tiada siapa yang pernah berkongsi keterujaan mengenai muzik India dengan penuh semangat seperti beliau. Siapa lagi yang boleh meluahkan rasa cinta kepada India secara sebegitu indah seperti yang dilakukannya: "Tetapi India, dari hujung kepala ke hujung kaki, menggambarkan syurga, Adam datang dari istana taman syurga, Maka, dia hanya boleh dihantar ke dusun buah-buahan di India. Jika India bukan taman syurga, bagaimana ia boleh menjadi habitat kepada burung merak, burung daripada syurga? "
Berpegang kepada semangat Sufisme, rasa cinta terhadap negara dan kebanggaan terhadap tanahair mentakrifkan umat Islam di India.
Mereka mencerminkan budaya keamanan yang kekal abadi, kepelbagaian dan kesaksamaan kepercayaan di negara kami;
Mereka sudah menjadi sebahagian tradisi demokratik India, dengan kedudukan mereka di negara ini dan melabur dalam masa depan tanahair mereka;
Dan, di sebalik semua itu, mereka dibentuk oleh nilai-nilai warisan Islam di India. Ia mendukung citacita tertinggi Islam dan sentiasa menentang kuasa-kuasa keganasan dan ekstremisme.
Kini, apabila mereka menjelajah ke pelbagai sudut dunia, mereka menjadi duta nilai-nilai dan tradisi negara kami.
Sebagai sebuah negara, kita berdiri menentang penjajahan dan dalam perjuangan untuk kebebasan.
Pada era pasca kemerdekaan, ada yang memilih untuk untuk meninggalkan negara ini; dan saya percaya ia berkait rapat dengan politik penjajahan pada waktu itu.
Pemimpin-pemimpin keagamaan tersohor negara seperti Maulana Azad dan pemimpin keagamaan terpenting yang lain, seperti Maulana Hussain Madani, dan berjuta-juta rakyat biasa, menolak idea pembahagian atas dasar agama.
Sekarang, India sedang bergerak ke hadapan dengan berpegang kepada kekuatan dalam perjuangan, pengorbanan, keberanian, pengetahuan, kemahiran, seni dan kebanggaan setiap anggota masyarakat daripada semua agama dalam negara yang pelbagai tetap bersatu. Ia sama seperti instrumen muzik tradisi India, sitar, di mana setiap tali membawa not yang berbeza tetapi apabila digabung ia mewujudkan melodi yang mengagumkan.
Inilah semangat India. Ini adalah kekuatan negara kami.
Setiap rakyat kami, Hindu, Islam, Sikh, Kristian, Jain, Buddha, mikro-minoriti Parsis, orang yang beriman, mereka yang berkecuali tetap dan terus merupakan sebahagian daripada India.
Kerana ia pernah berada di India dan berkembang, hari ini Sufisme dari India telah merebak luas ke seluruh dunia.
Bagaimanapun, tradisi yang berkembang di India milik seluruh Asia Selatan.
Itu sebabnya saya menyeru semua yang lain dalam rantau ini untuk terus memupuk dan menghidupkan semula warisan mulia milik kita.
Apabila cinta rohani terhadap Sufisme, bukannya kuasa khianat keganasan yang mengalir merentasi seluruh sempadan, maka rantau ini akan menjadi syurga di bumi seperti mana yang pernah diucapkan oleh Amir Khusrau.
Biar saya petik semula kata-kata yang pernah saya lafazkan: Keganasan memisah dan membinasakan kita.
Malah, apabila keganasan dan ekstremisme menjadi kuasa yang paling merosakkan zaman kita, mesej Sufisme mempunyai hubungan global.
Daripada pusat-pusat konflik di Asia Barat kepada pekan yang masih aman di negara-negara nun jauh di sana, dari kampung-kampung terpencil di Afrika hingga ke bandar-bandar di rantau kita sendiri, keganasan adalah ancaman harian.
Setiap hari menemukan kita dengan berita buruk dan imej menggerunkan:
• sekolah bertukar menjadi tanah perkuburan kanak-kanak yang tidak bersalah; • perhimpunan doa bertukar menjadi perarakan pengebumian, • laungan doa atau Azan ditenggelami bunyi letupan; • pantai berdarah, pembunuhan beramai-ramai di pusat membeli dan kereta membara di tengah jalan; • warisan negara dimusnahkan dan negara yang sedang berrkembang maju dihancurkan; • dan, ibu bapa menjunjung keranda, seluruh masyarakat tidak tahu mana mereka berada, berjuta-juta menjadi pelarian, dan pelarian pula terperangkap di antara api dan laut bergelora.
Pada abad digital ini, dengan janji dan peluang-peluang baharu, jangkauan keganasan semakin berkembang dan jumlah maut juga meningkat setiap tahun.
Sejak awal abad ini, berpuluh-puluh ribu keluarga telah kehilangan orang tersayang dalam beribu-ribu insiden keganasan berlaku di peringkat global.
Tahun lepas sahaja, saya bercakap tentang 2015, lebih 90 buah negara berdepan serangan pengganas. Ibu bapa di 100 buah negara hidup menanggung kesakitan setiap hari apabila anak-anak mereka gugur di medan perang Syria.
Dan, dalam dunia global mudah alih ini, satu insiden boleh menuntut nyawa rakyat dari pelbagai negara.
Setiap tahun, kita menghabiskan lebih 100 bilion dolar untuk menyelamatkan dunia dari keganasan, wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk membina kehidupan yang mengubah kemiskinan.
Kesan daripadanya tidak boleh dirakamkan sepenuhnya dalam statistik semata-mata. Ia mengubah cara kita hidup.
Terdapat kuasa-kuasa dan kumpulan yang menjadi instrumen kepada dasar polisi dan reka bentuk dalaman negara. Pihak lain pula yang dibawa masuk ke dalam dasar itu dengan kepercayaan sesat.
Ada yang dilatih di kem-kem yang sedia dibina secara tersusun. Ada yang mencari inspirasi mereka dalam dunia tanpa sempadan, ruang siber.
Keganasan menggunakan pelbagai motivasi dan sebab, tidak ada yang boleh dijustifikasi.
Pengganas memutarbelit agama sebagai senjata untuk mendapatkan sokongan.
Mereka membunuh dan memusnahkan kehidupan orang dari tanahair mereka sendiri dan dalam kalangan rakyatnya sendiri berbanding dengan apa yang mereka lakukan di tempat lain.
Dan, mereka meletakkan keseluruhan tempat itu dalam bahaya dan menjadikan dunia ini semakin tidak selamat dan lebih mengganas.
Perjuangan menentang keganasan bukan konfrontasi terhadap mana-mana agama. Ia tidak boleh dianggap begitu.
Ia adalah perjuangan di antara nilai-nilai kemanusiaan dan kuasa-kuasa yang tidak berperikemanusiaan.
Ia bukan satu konflik yang perlu diperjuang melalui ketenteraan, perisikan atau cara diplomatik.
Ia merupakan pertempuran yang mesti dimenangi melalui kekuatan nilai-nilai kemanusiaan dan mesej keagamaan yang sebenar.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita mesti menolak sebarang kaitan antara keganasan dan agama. Mereka yang menyebar keganasan di atas nama agama adalah anti-agama.
Dan, kita mesti memastikan pesanan Sufisme disebar terlebih dahulu suapaya ia dapat membawa prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai kemanusiaan yang tertinggi.
Ini adalah satu tugas bagi setiap ahli masyarakat, para bijaksana, ulama, ahli keluarga dan ia perlu dilakukan secara berterusan.
Walau bagaimanapun, bagi saya, mesej Sufisme tidak hanya terhad untuk memerangi keganasan.
Nilai-nilai keharmonian, kebajikan, kasih sayang dan cinta kepada manusia adalah asas kepada masyarakat yang adil.
Itulah prinsip di sebalik kepercayaan saya, "Sab KaSaath, Sab KaVikaas".
Nilai-nilai ini amat penting untuk memelihara dan memupuk kepelbagaian dalam masyarakat kita.
Kepelbagaian adalah realiti asas Alam dan sumber kekayaan masyarakat; dan, ia tidak seharusnya menjadi punca perbalahan.
Kita bukan sahaja perlukan peruntukan perlembagaan atau perlindungan undang-undang, tetapi nilainilai sosial untuk membina masyarakat yang menyeluruh dan aman, di mana semua rakyat dapat merasa selamat tentang hak dan yakin terhadap masa depan masing-masing.
Ini juga merupakan waktu perubahan dan peralihan yang besar dalam dunia. Pertengahan abad lalu adalah titik perubahan yang terpenting dalam sejarah manusia. Satu perintah dunia baru wujud. Banyak negara-negara baru dilahirkan.
Pada awal abad yang baharu, kita berada pada satu lagi titik perubahan dalam skala yang jarang dilihat dalam sejarah manusia.
Di pelbagai sudut dunia wujud ketidakpastian tentang masa depan dan cara berurusan sesama negara dan masyarakat.
Itu merupakan masa apabila dunia ini paling terdedah kepada keganasan dan konflik.
Masyarakat global perlu lebih berhati-hati berbanding sebelum ini dan melawan kuasa-kuasa hitam dengan bercahayakan sinaran lampu nilai-nilai kemanusiaan.
Jadi, mari kita kembali kepada ajaran Al-Quran bahawa jika sesiapa membunuh seorang manusia yang tidak bersalah, ia seolah-olah membunuh ahli masyarakat secara keseluruhan; dan jika sesiapa bertindak menjaga keselamatan satu insan, maka ia bermakna dia telah menjaga keselamatan seluruh masyarakat itu.
Marilah kita mendapatkan inspirasi daripada pesanan HazratMoinuddin Chishti;
Menerusi cahaya kerohanian anda, bubarkan awan yang penuh perselisihan dan peperangan serta
sebarkan nama baik, keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyatnya.
Marilah kita mengenang kembali nilai kemanusiaan yang tidak terhingga dalam kata-kata penyair Sufi, Jalaluddin Rumi, "Terima semua wajah manusia dalam diri anda sendiri, tanpa apa-apa penghakiman ke atas mereka."
Marilah kita hidup berdasarkan ajaran Alkitab yang mengajak kita untuk berbuat baik, mencari keamanan dan meneruskannya.
Dan, kesatuan dalam pemerhatian Kabir digambarkan sebagai sungai dan gelombang-gelombangnya adalah satu.
Manakala, doa Guru Nanak Devji adalah agar Tuhan memberi keamanan dan kemakmuran kepada semua orang di dunia ini.
Marilah juga kita mengambil inspirasi daripada seruan Swami Vivekananda agar menentang sebarang pembahagian dalam kalangan manusia pelbagai agama supaya kita hanya bergegang kepada panji-panji keharmonian, bukannya pertikaian.
Marilah juga kita mengesahkan mesej yang terus berkekalan dalam pengajaran Ahimsa Buddha dan Mahavira.
Dan, dalam forum ini, di negara kelahiran Gandhi,
Dan, solat abadi yang sentiasa berakhir dengan doa
Om Shanti; Shanti; Shanti: Aman, Aman, Aman... Aman di dalam dan di dunia.
Oleh itu marilah kita sama-sama menghantar pesanan kepada dunia bahawa:
• Satu melodi harmoni dan kemanusiaan • Memeluk kepelbagaian, semangat kesatuan • Berkhidmat dengan rasa belas kasihan dan kemurahan hati, • Keazaman menentang keganasan, menolak ekstremisme
• Dan, terus berazam untuk memajukan keamanan
Marilah kita mencabar kuasa-kuasa keganasan dengan kebaikan daripada cinta dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Akhir sekali, marilah kita mengembalikan cahaya harapan dan menjadikan dunia ini taman keamanan.
Terima kasih kerana berada di sini bersama kami. Terima kasih di atas pendirian yang anda perjuangkan. Terima kasih kerana memainkan peranan untuk membina dunia yang lebih baik. Terima kasih, Terima kasih banyak-banyak.