BAB I
PENDAHULUAN
1.1
Pengenalan
Pendidikan memainkan peranan penting dalam menentukan kemajuan sesebuah negara. Dewasa ini perkembangan sistem pendidikan di Malaysia semakin mencabar dan seiring dengan kemajuan dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kemajuan bidang ICT telah banyak membantu dalam usaha ke arah meningkatkan lagi keberkesanan sistem pendidikan. Pelbagai kaedah dan pendekatan baru diperkenalkan dari semasa ke semasa bagi merealisasikan matlamat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat pendidikan bertaraf antarabangsa.
Sebelum pengenalan komputer di sekolah-sekolah, kaedah pengajaran dan pembelajaran adalah secara tradisional yang berpusatkan kepada guru di mana guru berperanan menyampaikan pelajaran di dalam kelas sambil pelajar mendengar dan mencatat nota. Kaedah pengajaran secara satu hala ini menjadikan pelajar sebagai “passive learner” dan hanya bergantung sepenuhnya kepada penyampaian oleh guru. Kaedah ini juga kurang menarik minat pelajar untuk belajar kerana kaedah penyampaian yang sama akan mewujudkan rasa bosan di kalangan pelajar. Menurut Atan Long (1980), pembelajaran tradisional (kapur, buku teks dan percakapan) tidak
2 akan menjamin keberkesanan kerana ia tidak menguji daya imaginasi dan pelajar sukar untuk mendapat idea baru. Akibatnya fikiran pelajar sukar untuk berkembang dan menjadi tidak kreatif kerana corak pembelajaran yang digunakan tidak beresuaian dengan keperluan pembelajaran.
Menyedari kepentingan bidang pendidikan dalam merealisasikan wawasan negara, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah mengorak langkah dengan memperkenalkan pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam memastikan bidang pendidikan maju seiring dengan perkembangan semasa, di mana penekanan diberikan terhadap bidang teknologi maklumat dan penggunaan komputer di sekolah. Pada tahun 1999, projek perintis sekolah bestari telah diperkenalkan di 90 buah sekolah selaras dengan kemajuan bidang teknologi maklumat.
Kemunculan sekolah bestari di Malaysia telah menyebabkan berlakunya satu perubahan dalam pendekatan guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pelbagai kaedah diperkenalkan dalam usaha mempertingkatkan kualiti pembelajaran pelajar supaya lebih bermakna dan berkesan. Salah satu darinya adalah kaedah pengajaran berbantu komputer (PBK). Pembelajaran berbantu komputer (PBK) adalah satu pendekatan yang berpusatkan komputer untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna pelajar menggunakan komputer untuk mempelajari sesuatu secara langkah demi langkah melalui satu sistem program pembelajaran secara terancang.
Menurut Toh (1994), PBK adalah satu proses pengajaran yang melibatkan penggunaan komputer sebagai kemudahan pembelajaran dengan mempersembahkan bahan pengajaran dalam bentuk interaktif untuk memberikan dan mengawal suasana pembelajaran setiap pelajar. Nor Hashimah & Wan Azlinda (2001) pula menyatakan pembelajaran berbantu komputer adalah satu pendekatan kepada pendidikan yang menggunakan program-program perisian untuk berinteraksi dengan pelajar. Pendapat lain daripada Baharuddin et.al (2002) menyatakan bahawa PBK mampu melibatkan
3 penggunaan deria yang lebih dari satu. Ini kerana penggunaan lebih daripada satu deria akan memudahkan pelajaran diingati dan tidak menjemukan.
Selaras dengan kepentingan PBK dalam membantu proses P&P di sekolah, maka dalam projek ini pembangun berusaha untuk membangunkan sebuah perisian PBK agar ianya dapat memberikan sumbangan kepada guru dan pelajar khusunya di sekolah menengah teknik yang menawarkan mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam.
1.2
Latar Belakang Masalah
Matapelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) merupakan salah satu mata pelajaran elektif yang ditawarkan di sekolah-sekolah menengah teknik di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Tujuan matapelajaran ini diperkenalkan adalah untuk memupuk minat pelajar dalam bidang kejuruteraan dan memberi pengetahuan dan kemahiran asas khususnya dalam bidang kejuruteraan awam. Ini selaras dengan saranan pengerusi Institut Kejuruteraan Malaysia, Ahmad Zaidee Laidin supaya pelajar menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran khususnya bidang teknikal bagi memenuhi permintaan guna tenaga pada masa kini (New Straits Times, 13 Sept 2001).
Pada amnya matapelajaran kejuruteraan agak sukar untuk difahami oleh pelajar-pelajar di sekolah menengah teknik (SMT). Kajian oleh Zol Bahri (2002), mendapati purata pencapaian pelajar bagi subjek-subjek kejuruteraan adalah lebih rendah berbanding dengan subjek lukisan berbantu komputer atau subjek berbentuk pengiraan. Ini kerana dalam subjek kejuruteraan pelajar akan mempelajari topik kejuruteraan yang kadang kala berbentuk abstrak dan sukar bagi pelajar untuk mendapat gambaran yang sebenar. Seperti mana yang dinyatakan oleh Cockwood
4 (1981) dalam Zol Bahri (2002), beliau menyatakan bahawa pelajar sering menghadapi masalah yang serius untuk memahami konsep kejuruteraan kerana ketiadaan peralatan-peralatan atau alat bantu mengajar yang sesuai untuk menunjukkan perhubungan sebenar sesuatu sistem atau mekanisme kejuruteraan. Masalah ini bertepatan dengan hasil kajian oleh Funkhouser (1993) yang mendapati bahawa antara masalah pengajaran subjek kejuruteraan ialah ketiadaan alat bantu mengajar yang sesuai.
Tidak dapat dinafikan penggunaan buku teks adalah perlu sebagai panduan kepada guru dalam penyampaian pengajaran kepada pelajar. Malangnya kaedah pengajaran di kebanyakan sekolah pada masa kini masih terlalu bergantung pada kaedah konvensional yang lebih tertumpu pada penggunaan buku teks akibat daripada kurangnya bahan bantu mengajar. Ini dikuatkan lagi dengan pendapat Mat Nor dan Rahman (1990) yang menyatakan bahawa kebanyakan guru sering beranggapan bahawa penggunaan buku teks sudah memadai sebagai bahan pengajaran yang lengkap memandangkan isi kandunganya mengikut sukatan pelajaran di sekolah.
Akibatnya pelajar cepat merasa bosan dan seterusnya menimbulkan kesukaran khususnya bagi pelajar yang mempunyai penguasaan pembelajaran yang lemah. Menurut Noor Shahumi (2002), pembinaan buku teks kurang menekankan penglibatan pelajar sepenuhnya, tidak menitikberatkan perbezaan individu di samping penerangan yang terlalu umum bagi sesetengah tajuk walaupun tajuk tersebut memerlukan penerangan yang lebih terperinci. Selain itu, akibat ketiadaan bahan bantu mengajar yang sesuai, guru terpaksa menerangkan sesuatu topik dengan selengkap mungkin dan secara berulang kali berpandukan buku teks. Ini akan menyukarkan guru dan mengambil masa yang lama kerana kebanyakan pelajar di tingkatan 4 tidak mempunyai pengetahuan asas tentang bidang kejuruteraan awam.
Oleh itu guru amat memerlukan bahan bantu mengajar yang sesuai bagi memudahkan penyampaian pengajarannya dan pelajar pula mudah memahami isi
5 pelajaran yang disampaikan. Ini penting bagi menimbulkan keseronokan belajar di kalangan pelajar. Atas maksud itu, maka adalah perlu unsur-unsur multimedia digunakan di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana menurut Baharuddin & Mohd (1995) unsur-unsur miltimedia yang membenarkan integrasi elemen-elemen video, audio, teks, grafik dan animasi akan menjadikan proses P&P suatu pengalaman yang menyeronokkan dan menarik di samping membantu pelajar memahami sesuatu konsep dengan cepat dan mudah. Ini secara tidak langsung akan menjimatkan masa penyampaian P&P guru di dalam kelas.
Pada masa kini perkakasan komputer agak mudah diperolehi dengan harga yang mampu dimiliki oleh hampir semua golongan masyarakat. Namun begitu masalah timbul kerana perisian-perisian untuk proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) amat kurang di pasaran tempatan khususnya yang menggunakan bahasa melayu sebagai medium penyampaian. Masalah ini amat ketara lebih-lebih lagi bagi mata pelajaran yang berkaitan dengan sains, teknikal dan kejuruteraan seperti mana yang dinyatakan oleh Noor Shahumi (2002). Senario ini menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar yang mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan topik yang dipelajari. Sekiranya bahan pembelajaran dalam Bahasa Melayu terus berkurangan maka apa yang akan berlaku di kalangan pelajar ialah gejala sekatan ilmu, di mana ilmu dari luar tidak dapat diserap dan dimanfaatkan sepenuhnya. Natijahnya prestasi pelajar akan merosot dan tidak berkembang khasnya dalam mata pelajaran kejuruteraan.
Menyedari hakikat ini, maka dalam projek ini pengkaji berusaha untuk membangunkan sebuah perisian PBK yang akan menggabungkan unsur-unsur multimedia sebagai alat bantu mengajar bagi guru dan pelajar. Selain itu, perisian yang dibangunkan akan menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian sebagai usaha memperbanyakkan koleksi bahan pembelajaran dalam Bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknikal khususnya bagi mata pelajaran PKA. Semoga dengan wujudnya PBK dalam topik ini akan menimbulkan minat belajar di kalangan pelajar dan seterusnya membolehkan mereka memahami isi pelajaran dengan baik.
6 Secara tidak langsung ini akan dapat membantu meningkatkan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran ini.
1.3
Pernyataan Masalah
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah mengorak langkah memperkenalkan mata pelajaran kejuruteraan sebagai usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja separuh mahir khususnya dari sekolah-sekolah menengah teknik (SMT). Namun begitu masih terdapat masalah yang timbul terutamanya dalam proses P&P mata pelajaran tersebut kesan daripada ketiadaan bahan bantu mengajar yang sesuai. Akibatnya pelajar menghadapi masalah untuk mamahami konsep kejuruteraan yang disampaikan oleh guru di dalam kelas. Ini kerana kebanyakan guru hanya bergantung pada buku teks semata-mata dalam proses penyampaian P&P. Di samping itu pelajar sukar untuk mendapatkan rujukan lanjutan kerana kebanyakan bahan rujukan dalam bidang teknikal diimport dari luar negara dan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian. Ini menyukarkan pelajar-pelajar yang lemah dalam bahasa tersebut.
Menyedari akan masalah yang timbul, maka pengkaji berusaha untuk membangunkan sebuah perisian PBK bertajuk Cerun bagi mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam sebagai usaha membantu dalam memudahkan proses pemahaman pelajar-pelajar khususnya dalam mata pelajaran PKA.
7 1.4
Objektif Projek
Objektif utama projek ini adalah seperti berikut : 1.4.1
Menghasilkan sebuah perisian pembelajaran berbantu komputer (PBK) dalam topik Cerun bagi matapelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam tingkatan empat.
1.4.2
Mewujudkan sebuah perisian PBK yang dapat membantu pelajar memahami isi pelajaran dengan lebih mudah melalui penggunaan unsur-unsur multimedia.
1.4.3
Menambahkan satu lagi alternatif bahan bantu pengajaran di sekolah-sekolah menengah teknik.
1.5
Objektif Perisian
Di akhir penggunaan perisian ini, pelajar-pelajar akan dapat: 1.5.1
Mengenalpasti jenis-jenis cerun.
1.5.2
Menyenaraikan dua jenis mod kegagalan cerun.
1.5.3
Menerangkan faktor-faktor yang mempengaruhi kestabilan cerun.
1.5.4
Menerangkan kaedah-kaedah untuk menstabilkan cerun dalam kejuruteraan awam.