BAB I
PENGENALAN
1.1
Pendahuluan
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu melancarkan Wawasan 2020, pada Februari 1991, menyatakan bahawa untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, apa yang penting ialah semua warganegaranya menggunakan sepenuhnya apa yang terdapat di antara dua telinga yakni minda, dan bukan di antara bahu yakni kekuatan atau apa jua yang berada di antara dua tapak kaki iaitu sumber semula jadi.
Pernyataan yang disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir itu merupakan amanat yang penting bagi semua masyarakat Malaysia khususnya bagi generasi baru yang dianggap sebagai tulang belakang negara di masa yang akan datang. Oleh itu, demi mencapai hasrat Wawasan 2020, segala urusan dalam pendidikan semestinya menjurus ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti yang terdapat di dalam isi kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ( FPK ). Kejayaan dan kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang bergantung kepada kebijaksanaan dan penggunaan kuasa minda yang terdapat pada rakyatnya (Som dan Mohd Dahalan, 1998). Untuk melahirkan generasi yang
tinggi inteleknya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Reformasi Pendidikannya pada tahun 1994 telah memantapkan budaya ilmu yang merangkumi dengan pelbagai pembaharuan yang boleh mewujudkan daya pemikiran yang kritis, inovatif, imiginatif dan kreatif (Som dan Mohd Dahalan, 1998). Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) perlu dijadikan satu landasan bagi proses pemerolehan ilmu dan kemahiran dalam mempelajari sesuatu mata pelajaran. Pelajar harus dilatih menggunakan kemahiran berfikir yang dipelajari ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan membuat keputusan sendiri dengan bijak tanpa perlu bergantung kepada orang lain.
Pada Januari 1994, Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahir Wan Mohd Noor, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada ketika itu, mengumumkan bahawa pelajar-pelajar akan diperkenalkan kepada soalan-soalan peperiksaan yang lebih bercorak analitis yang memerlukan pembacaan dan pemikiran yang kritis dan kreatif. Menteri Pendidikan pada masa itu, Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud pada masa yang sama mengumumkan bahawa dalam Piagam Pelanggan KPM termaktub bahawa menjelang tahun 2000 semua soalan peperiksaan menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif (Som dan Mohd Dahalan, 1998). Oleh itu, dalam usaha melahirkan masyarakat yang berfikir secara kritis dan kreatif, KPM telah melaksanakan beberapa perubahan pendidikan, antaranya :
i.
Memperkenalkan format baru soalan di semua peringkat peperiksaan sama ada peringkat sekolah rendah (UPSR), sekolah menengah (PMR & SPM) mahupun di peringkat pengajian tinggi. Format baru ini lebih menguji minda dan tahap keintelekkan pelajar.
ii.
Salah satu saranan kerja utama KPM
iii. Bagi tahun 2000 adalah memastikan bahawa 60 peratus soalan peperiksaan merupakan soalan yang memerlukan pelajar mempunyai pemikiran yang kritis dan kreatif. iv. Melaksanakan latihan dalam perkhidmatan tentang kemahiran berfikir secara berperingkat di semua sekolah di Malaysia. (Shahril @ Charil dan Habib, 1999)
Berfikir selalu dikaitkan dengan akal atau minda. Dalam Al-Quran, perkataan yang merujuk kepada akal disebut sebanyak 40 kali. Allah S.W.T. menempelak manusia yang tidak mahu berfikir dan ini terbukti dalam ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan kebesaran dan keagungan Allah. Perkara ini terbukti di mana Allah S.W.T. telah meminta hambaNya mencari akan kebenaran agar tidak membuat sangkaan atau andaian sahaja. Kebenaran sebenar ialah hanya milik Allah Yang Maha Esa. Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 36 yang bermaksud :
‘Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan kebenaran (iktikad). Sesungguhnya Allah maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.’ ( m/s 312 )
Daripada terjemahan ayat di atas ia membuktikan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dicari dengan amalan berfikir. Umat islam dilarang menggunakan sebarang sangkaan dalam menentukan sesuatu keputusan, di mana sesuatu sangkaan itu akan menyebabkan timbulnya masalah di antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan penciptaNya.
Konsep berfikir ini adalah menggunakan akal fikiran atau minda hasil daripada proses berfikir. Definisi yang sesuai untuk konsep kemahiran berfikir masih menjadi asas pokok perbincangan yang hebat, kerana terdapat kebanyakan tokohtokoh pemikir mempunyai pendapat yang berbeza. Umpamanya George (1970) dan beberapa tokoh di bawah yang dipetik dalam Som dan Mohd Dahalan (1998) melihat pemikiran sebagai proses penyelesaian masalah dan perlakuan semulajadi yang kompleks. Manakala Edward De Bono (1976) pula mengaitkan kemahiran berfikir dengan pemikiran lateral yang membawa maksud bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah malahan juga untuk melihat sesuatu berdasarkan pelbagai perspektif bagi menyelesaikan masalah dan bagi Mayer (1977) pula, beliau melihat pemikiran sebagai pengelolaan operasi-operasi mental tertentu yang berlaku dalam minda atau sistem kognitif seseorang yang bertujuan menyelesaikan masalah.
1.2
Latar Belakang Masalah
Kemahiran berfikir sudah lama diperkenalkan tetapi penggunannya dalam konteks pengajaran dan pembelajaran mula serius pada sekitar penghujung tahun 80an. Di Malaysia, penekanan terhadap perkembangan daya intelek bagi seseorang individu telah mendapat saranan yang utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Selaras dengan kehendak FPK tersebut yang menyatakan akan melahirkan insan atau masyarakat yang progresif, daya pemikiran yang tinggi, inovatif dan memandang jauh kehadapan, KPM (1997) telah menyarankan penggunaan KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi semua mata pelajaran di semua peringkat pengajian di Malaysia.
Di Malaysia, penekanan terhadap perkembangan daya intelek seseorang dititikberatkan bagi mencapai saranan yang utama dalam FPK. Begitu juga dengan kemahiran berfikir yang sudah lama diperkenalkan, tetapi penggunaannya dalam konteks pengajaran dan pembelajaran mula serius pada sekitar penghujung tahun 80 an ( Samsu Yaacob, 1996 ).
Penggubalan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) adalah selari dengan matlamat FPK. Untuk meningkatkan kemampuan intelek pelajar berfikir secara kritis dan kreatif keperluan untuk mengembang dan meningkatkan kemahiran berfikir di kalangan pelajar dirasakan penting untuk mewujudkan masyarakat yang mampu berfikir. Perkara ini melibatkan kesepaduan kemahiran berfikir dalam isu pengajaran.
Salah satu objektif KBSM adalah menjurus kapada perkembangan dan peningkatan intelek serta pemikiran yang rasional. KBSM (1992) ada menerangkan bahawa perkembangan daya intelek serta pemikiran yang rasional, kritis dan kreatif amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) (Lee Gwo Jiuh, 1993).
KBKK amat penting membantu pelajar bagi menghadapi kehidupan yang mencabar dalam dunia yang berteknologi tinggi masa kini. Di samping itu, KBKK dirasakan dapat membantu pelajar menyelesaikan masalah dalam pembelajaran mereka, memupuk pelajar yang berdaya fikir, memperkembangkan daya intelek pelajar dan membantu pelajar bagi mengelak berlakunya kesilapan semasa berfikir. KBKK perlu disebatikan dalam pengajaran harian guru supaya pelajar-pelajar dapat memikirkan apa yang telah dipelajari (Poh Swee Hiang, 2000).
Di samping itu juga, pembangunan sumber tenaga manusia amat diperlukan. Tun Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia pernah menekankan kepentingan membangunkan sumber tenaga manusia dalam kemahiran berfikir seperti berikut :
“ …amatlah jelas bahawa sumber yang paling utama bagi sesebuah negara adalah bakat, kemahiran, daya cipta dan daya usaha rakyatnya. Tenaga otak kita adalah sumber yang jauh lebih berharga daripada sumber alam. Rakyat adalah sumber kita yang utama. Tanpa ragu-ragu lagi, pada tahun 1990-an dan seterusnya, Malaysia mestilah memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap pembangunan sumber yang amat penting ini.” ( Lee Gwo Jiuh, 1993 )
Pernyataan bekas Perdana Menteri itu menekankan kepada pembangunan sumber tenaga manusia yang berteraskan kepada penggunaan otak iaitu akal atau minda. Dapat dilihat bahawa berfikir merupakan salah satu sumber dalam pembangunan negara. Penggunaan akal dapat melahirkan bakat, kemahiran, daya cipta dan daya usaha dalam melakukan sesuatu perkara seterusnya masyarakat yang berdaya saing dalam semua bidang khususnya bidang pendidikan bagi memenuhi kehendak FPK.
Bagi melahirkan insan atau masyarakat yang progresif, berdaya fikir yang tinggi, inovatif dan memandang jauh kehadapan, KPM (1997 ) telah menyarankan
penggunaan KBKK dalam proses P&P bagi semua mata pelajaran di peringkat pengajian di Malaysia.
Sebagaimana yang kita ketahui, pelajar tidak akan menjadi pemikir yang baik sekiranya mereka tidak dilatih dengan aktiviti-aktiviti yang menjurus ke arah untuk menjadi pemikir yang tinggi daya intelek dan mindanya. Penyoalan yang dirancang dengan baik merupakan teknik paling asas digunakan oleh guru untuk meransang pelajar berfikir. Aras soalan yang digunakan oleh guru akan mendorong pelajar berfikir pada tahap pemikiran aras rendah atau aras tinggi yang sepadan. Penggunaan soalan aras tinggi akan mendorong pelajar berfikir secara kritis dan kreatif manakala penggunaan soalan aras rendah akan menggalakkan pelajar mengingat sahaja.Disebabkan itu, guru memainkan peranan yang penting dalam usaha membentuk perkembangan intelek pelajar, maka adalah penting pengaplikasian kemahiran berfikir yang telah dirancang di dalam pengajaran dijalankan dengan sempurna.
Kajian yang dijalankan oleh Sufean (1995) ke atas mahasiswa yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana yang terdiri daripada guru-guru, pensyarah kolej dan guru-guru besar mendapati hasil kajian menunjukkan bahawa sekumpulan kecil mahasiswa yang keluar sebagai pendidik dari pusat pengajian tinggi masih kurang menguasai KBKK. Satu kajian sama yang telah dijalankan oleh Sufean (1995) mendapati bahawa kebolehan bakal guru siswazah tidak mencapai tahap kecemerlangan dari segi kebolehan mengkritik, kebolehan mengemukakan idea dan cadangan yang releven.
Kajian yang telah dijalankan oleh Chen Chew Fong (1999) ke atas pelajarpelajar tahun 6 dalam mata pelajaran Sains mendapati ramai pelajar yang masih belum menguasai KBKK dengan baik. Perkara ini adalah disebabkan oleh kelemahan guru untuk menguasai pengetahuan asas terhadap kompenen-kompenen KBKK. KBKK yang wujud dalam kurikulum sekolah telah dibuat secara implisit iaitu
kemahiran berfikir yang dipupuk secara tidak langsung melalui mata pelajaran yang diajar.
Melalui kajian yang telah beliau jalankan, jelas menunjukkan bahawa guru kurang memberi tumpuan terhadap komponen-komponen KBKK. Perkara ini adalah disebabkan guru-guru belum sedia dan tidak begitu yakin dengan kaedah mengajar yang menggunakan pendekatan KBKK. Salah satu dapatan kajian beliau ialah semasa di maktab perguruan, kurangnya penekanan terhadap KBKK diberikan bagi persediaan guru-guru menerapkan KBKK di dalam pengajaran mereka.
Kajian yang dijalankan oleh Nafsiah (1999) pula, mendapati kemahiran menterjemahkan kepada bahasa matematik adalah salah satu jenis kemahiran berfikir yang penting. Ia adalah asas kepada penyelesaian sesuatu masalah. Pelajar yang mahir menterjemahkan bahasa matematik didapati dapat memahami sesuatu permasalahan yang wujud dengan lebih mudah. Kajian yang beliau lakukan juga telah menunjukkan bahawa kebanyakan guru-guru bersetuju bahawa alat-alat berfikir dalam buku teks dapat membantu pelajar memahami sesuatu konsep terutama sekali pelajar-pelajar yang lemah dalam menguasai konsep-konsep asas matematik. Teknik penyoalan yang terancang juga dapat meransangkan minda pelajar ke arah penyelesaian sesuatu masalah.
Persoalannya sekarang sejauh manakah guru-guru atau bakal guru mendapat ilmu pengetahuan yang secukupnya dalam KBKK. Jika tiada pengetahuan dalam kemahiran berfikir, bagaimanakah ia dapat dilaksanakan di dalam pengajaran dan pembelajaran seperti mana yang telah disarankan oleh kerajaan. Selain itu sejauh manakah kurikulum kita menggalakkan aktiviti yang membawa ke arah tersebut dan sejauh manakah tanggungjawab para pendidik kita yang mendidik ke arah tersebut? Untuk menghasilkan pemikiran yang baik adalah dari proses pemikiran yang baik.
Datuk Seri Mohd Najib, ketika memegang jawatan Menteri Pendidikan pernah mengadakan sidang akhbar pada November 1999, berkata salah satu faktor kemerosotan keputusan peperiksaan adalah kerana peningkatan soalan yang bercorak KBKK bagi semua kertas. Selain itu Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah membuat analisis yang membawa kesimpulan bahawa ramai calon memberi jawapan salah bagi soalan bercorak KBKK ( Berita Harian, 1999). Perkara yang berlaku ini adalah merujuk kepada apakah kesemua guru telah diberikan atau menerima latihan yang secukupnya dari segi penerapan unsur KBKK dalam pengajaran serta dalam pembinaan soalan. Atau apakah guru-guru tidak melaksanakan KBKK dalam pengajaran dan pembelajaran mereka?
1.3
Pernyataan Masalah
KBKK memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan generasi yang mempunyai daya intelek yang tinggi, berinovatif dan berkecemerlangan dalam membina idea-idea yang bernas. Ini bermakna, para pendidik mestilah memainkan peranannya dalam pengajaran dan pembelajaran bagi melaksanakan KBKK di dalam setiap mata pelajaran. Sehubungan itu, perkara tersebut penyelidik ingin mengkaji pengaplikasian KBKK dalam pengajaran mata pelajaran Rekacipta di sekolah.
1.4
Objektif Kajian
Objektif am kajian ini adalah untuk melihat aspek pengaplikasian KBKK dalam pengajaran guru-guru Sekolah Menengah sekitar Negeri Johor. Manakala objektif khusus bagi kajian ini adalah seperti berikut :
1.4.1 Mengenalpasti sejauhmana pengaplikasian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam pengajaran Rekacipta di sekolah.
1.4.2 Mengenalpasti tahap penguasaan KBKK di kalangan guru-guru yang mengajar mata pelajaran Rekacipta di sekolah.
1.4.3 Mengenalpasti teknik-teknik penerapan KBKK dalam pengajaran guru Rekacipta semasa di dalam kelas.
1.5
Persoalan Kajian
1.5.1 Sejauh manakah pengaplikasian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran Rekacipta di sekolah?
1.5.2 Bagaimanakah guru mengaplikasikan KBKK dalam pengajaran sehariannya di sekolah?
1.5.3 Sejauh manakah guru Rekacipta menguasai KBKK ?
1.5.4 Adakah kursus-kursus yang berkaitan dengan KBKK yang pernah diikuti oleh guru membantu guru menguasai KBKK?
1.5.5 Adakah guru mata pelajaran Rekacipta menggunakan sepenuhnya Alat Berfikir dalam pengajarannya?