BAB I
PENDAHULUAN
1.1
Pengenalan
ICT ( Information and Communication Technology) telah banyak membantu manusia dalam aktiviti kehidupan yang menjadikan kerja-kerja mereka lebih efektif dan boleh dipercayai. Di antara aktiviti yang telah mendapat manfaat ICT adalah aktiviti perniagaan, perbankan, pentadbiran, kejuruteraan, seni bina, pendidikan, pertahanan negara dan banyak lagi. Tidak ketinggalan pula aktiviti-aktiviti sebaran am seperti menyampaikan dakwah dan ilmu-ilmu Islam yang amat luas kepada masyarakat sejagat melalui kemudahan ICT.
Segala jentera media yang ada, termasuklah ICT dan sebagainya. Kebelakangan ini menempuh suatu gelombang atau perkembangan yang amat pesat sekali dalam bidang teknologi maklumat. Gelombang yang dimaksudkan ini ialah ledakan digital dalam dunia penyaluran maklumat (informasi). Ia membawa kita ke suatu dunia yang serba kompleks. Gelombang tersebut menggantikan dua revolusi yang telah lama manusia tinggalkan, iaitu dunia berasaskan pertanian (revolusi pertanian) dan era dunia yang berasaskan kepada
2 perindustrian (revolusi perindustrian). Dalam era ini, kehidupan manusia banyak dikawal oleh perkakasan digital yang berasaskan maklumat, bermula dengan urusan rumah tangga hinggalah kepada sistem pertahanan negara. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana penggunaan teknologi maklumat yang optimum telah banyak memberi kesan kepada kehidupan manusia, terutamanya dari segi pengurangan kos dan masa dalam urusan menerima, memproses, menyimpan dan menyalurkan maklumat (Norhayati, 2000). Semua proses kehidupan moden ini banyak didasari oleh penggunaan perkakasan sistem maklumat dan saluran komunikasi. Ini menunjukkan teknologi maklumat dan komunikasi telah membawa perubahan yang besar kepada kehidupan masyarakat kini.
Dunia media yang selama ini hanya berasaskan media cetak dan elektronik turut tidak ketinggalan mengalami perubahan digital tersebut. Manusia kini dapat mengetahui segala yang berlaku di dunia hanya dengan satu sentuhan di hujung jari. Begitu juga dengan bahan-bahan rujukan dan bacaan umum yang selama ini amat sinonim dengan buku-buku, jurnal, ensiklopedia, majalah dan juga saluran yang berbentuk program seperti bengkel, seminar, kursus dan sebagainya mula diambil alih oleh teknologi multimedia.
Multimedia merujuk kepada kemampuan sesuatu komputer untuk memaparkan pelbagai persembahan dalam bentuk teks, grafik, bunyi, animasi dan persembahan video serta pelbagai kesan yang lain. Hal ini amat berbeza dengan keupayaan komputer pada suatu ketika dahulu yang hanya berfungsi untuk memaparkan suatu persembahan dalam bentuk tulisan atau teks sahaja. Fenomena ini dikenali sebagai media tunggal (mono media). Kini segenap lapisan masyarakat mula tertumpu kepada teknologi multimedia dan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa perkembangan hari ini membuktikan bahawa teknologi multimedia sudah mula diterima umum.
Penurunan harga set komputer pula di samping peningkatan kelajuan pemprosesan data menjadi faktor penggalak penggunaan komputer secara
3 maksimum. Perkara ini menyebabkan pemilikan komputer dianggap sebagai suatu keperluan dalam kehidupan yang hampir seluruhnya akan dimonopoli dengan alat elektronik.
Fungsi komputer dalam bidang pendidikan pula secara umumnya boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, pembelajaran tentang komputer itu sendiri (seperti pelajaran literasi komputer). Kedua, komputer digunakan sebagai alat (tool) untuk menyimpan dan memproses maklumat. Ketiga, komputer sebagai medium dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berbantukan komputer, dengan kewujudan komputer, sistem P&P di bilik darjah telah mencapai tahap ke arah peningkatan kualiti pengajaran berorientasikan P&P dilakukan berdasarkan kemampuan pelajar.
Secara amnya, boleh dikatakan bahawa kesan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mencetuskan penggunaan aplikasi multimedia dalam bidang pendidikan dan juga sebaran am. Penggunaan komputer dalam bidang pendidikan semakin meluas dan faktor ini ditambah lagi dengan sokongan padu dari pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan. Diharapkan penggunaan komputer yang meluas dalam bidang pendidikan pada masa sekarang menjadi langkah pertama untuk mewujudkan masyarakat berteknologi selari dengan objektif Wawasan 2020.
Untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam era teknologi maklumat, umat Islam yang mempunyai kepakaran dalam bidang multimedia perlulah mengambil langkah positif untuk menggembleng kepakaran yang ada dalam bidang seperti pembangunan perisian, dan seterusnya bergerak mempelopori bidang ini. Peranan ini telah pun dimainkan oleh gabungan ulama dan teknokrat Muslim yang telah mula menghasilkan perisian-perisian yang berunsurkan keislaman. Walaupun produk ini masih berada di tahap minimum, tetapi perisian-perisian seperti ini mula tumbuh seperti cendawan selepas hujan di pasaran dengan mendapat sambutan yang menggalakkan.
4 1.2
Latar Belakang Masalah
Grafik merupakan antara media yang paling utama dan popular digunakan bagi memperlihatkan keterampilan sesebuah paparan visual sama ada secara tradisi mahupun elektronik. Grafik juga memberikan maksud penggunaan visual untuk menerangkan sesuatu konsep yang tidak dapat atau sukar diterangkan melalui penggunaan teks semata-mata.
Dengan perkembangan teknologi komputer masa kini, kegunaan serta keupayaan sesuatu paparan grafik semakin berkembang pesat dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Penggunaan komputer grafik semakin berkembang hasil permintaan serta sokongan individu atau kumpulan yang memerlukan keupayaan grafik dalam kerja-kerja seharian mereka seperti jurutera, arkitek, pereka bentuk, pembangun perisian, pendidik, pelajar dan sebagainya. Mereka mendapati bahawa gabungan teknologi komputer dan teknologi grafik menjanjikan peningkatan dalam kualiti kerja serta membolehkan mereka lebih kreatif dan produktif. Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa menukar atau meminda sesebuah imej pada sesebuah skrin komputer lebih mudah serta efektif berbanding dengan mengubah imej pada sehelai kertas lukisan. Hasil perkembangan ini, pelbagai jenis perisian grafik muncul di pasaran dengan segala macam kelebihan serta kemudahan yang ditawarkan.( Azizan Azizi, 2002)
Seperti yang kita ketahui, perkembangan dunia sekarang yang begitu pantas terutamanya dari segi perkembangan teknologi maklumat menuntut kita semua turut mengikut rentaknya. Oleh itu wujudlah kemahuan manusia alaf ini ke arah sesuatu yang berbentuk lebih baik, murah dan pantas (better, cheaper and faster).
Oleh itu, perisian yang dibina cuba menepati sebanyak mungkin kehendak pasaran, dunia pendidikan dan tahap pemikiran kumpulan sasaran.
5 Apa yang ingin ditekankan oleh pembangun perisian dalam perisian ini ialah pembelajaran dan pemahaman secara kendiri. Ini bermaksud, individu boleh menggunakan perisian ini untuk menimba pengetahuan baru bagi aktiviti pembelajaran.
Multimedia merujuk kepada suatu proses komunikasi interaktif berasaskan komputer yang merangkumi penggunaan teknologi media seperti teks, grafik, audio, video dan animasi. Ia seterusnya membolehkan seseorang menghasilkan suatu persembahan atau teknik penyaluran maklumat lebih menarik, meyakinkan serta berkesan dari pelbagai sudut pandangan.
Ciri yang sewajarnya dimiliki oleh sesebuah sistem multimedia berkualiti ialah ia perlu interaktif serta menyediakan suatu sistem capaian informasi yang mampu dicapai secara tidak linear. Tidak linear dimaksudkan kemampuan sesebuah aplikasi dalam membenarkan pengguna mencapai sesuatu maklumat tanpa perlu mengikut laluan yang telah ditetapkan seperti lembaran buku.
Ciri ini juga sering dikenali sebagai sistem hipermedia yang mana ia menghubungkan pelbagai media dalam suatu sistem penyaluran maklumat yang lebih berkesan. Hipermedia membolehkan seseorang pengguna mencapai maklumat mengikut minat, keupayaan atau kehendak hati mereka sendiri. Kebolehan hipermedia ini menggalakkan seseorang pengguna untuk terus mendalami isi kandungan seberapa lama atau kerap yang mereka perlukan tanpa terikat dengan sistem pencarian maklumat secara tradisi.
Kaedah penyampaian secara multimedia dilihat sebagai medium terbaik memandangkan masyarakat zaman sekarang lebih terdedah kepada teknologi interaktif, antaranya komputer sebagai persiapan diri untuk menghadapi zaman mendatang, para guru, pendakwah dan juga jentera media Muslim perlulah
6 melibatkan diri secara aktif dalam penggunaan teknologi canggih bagi proses P&P, penyebaran dakwah dan juga maklumat. Ini kerana media pada masa akan datang tidak dapat lari dari mendedahkan teknologi maklumat dan multimedia kepada individu.
Seiring dengan perkembangan era siber, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin menyarankan agar negara Islam dapat mengeksploitasi penggunaan multimedia dalam usaha menyebarkan dakwah, selain dapat memantau laman web dan bahan-bahan multimedia yang menyelewengkan penggunaan Islam dan ayat al-Quran daripada ajaran Islam sebenar.
“Kelemahan umat Islam menguasai bidang berkenaan boleh menjurus kepada kerapuhan dalam usaha menyebarkan dakwah terutama pada era siber. Usaha meningkatkan ilmu dalam bidang multimedia perlu diperluaskan, misalnya mengadakan laman web yang boleh mengumpul fatwa yang pernah dikeluarkan oleh negara Islam bagi memudahkan masyarakat membuat rujukan.” (Abdul Hamid, 2003 )
Satu lagi kelemahan perisian interaktif yang dapat dilihat iaitu dari aspek penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Bahasa Melayu semakin terpinggir selari dengan kepesatan perkembangan ICT. Ini boleh dilihat dari aspek kurangnya pembangunan perisian dari golongan pendidik yang menggunakan bahasa Melayu. Bukanlah hal ini menjadi masalah utama dalam penghasilan perisian, tetapi sewajarnya bahasa Melayu menjadi keutamaan dalam perkembangan ICT di Malaysia khasnya dalam usaha penyebaran ilmu, dakwah dan maklumat. Penggunaan bahasa Inggeris yang banyak dalam penghasilan perisian menyebabkan beberapa bidang seperti panduan fardu ain dan fardu kifayah kurang diberi perhatian dalam penghasilan perisian-perisian untuk bidang berkenaan. Tambahan pula, bidang fardu ain dan bimbingan ibadah ini lebih mudah difahami oleh masyarakat umum dalam bahasa Melayu.
7 Andainya kelemahan ini terus berlaku, mungkin wujud ketidakseimbangan dalam penyebaran ilmu melalui medan multimedia dan kesannya tidak lain tidak bukan kepada umat Islam itu sendiri.
Perkembangan perisian-perisian yang berbentuk keislaman amat menggalakkan di pasaran yang kebanyakan menggunakan bahan multimedia dan interaktif telah membuka minda masyarakat terhadap penggunaan komputer dalam aspek penyebaran ilmu dan dakwah. Sebahagian masyarakat melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif, ia perlu diperluaskan di semua peringkat dan bidang dalam ilmu Islam termasuk akidah, syariah, akhlak, ibadat, munakahat, jinayat dan sebagainya. Hal ini jika dibangunkan secara kolektif, ia secara tidak langsung akan merealisasikan generasi al-Quran yang berilmu, berinovasi, berketerampilan dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi dan berpandangan jauh. Seterusnya merealisasikan budaya maklumat dan teknokrat sebagai satu pendekatan, penyampaian ilmu dan pembangunan multimedia berteraskan Islam.
Dewasa ini, para teknokrat Muslim mula mengorak langkah mengembangkan perjuangan mata pena ulama dengan menghasilkan karya-karya ilmiah dalam bentuk perisian seperti Holy Quran, CD Zuriat Soleh, CD Jawi Word Processing, CD Panduan Haji dan Umrah dan sebagainya. Tetapi, jika ditinjau dalam pasaran, perisian yang berkaitan dengan pendidikan Islam masih dianggap kurang berbanding perisian pendidikan yang lain. Permintaan yang kurang menggalakkan serta kurangnya pembangun perisian dalam pendidikan Islam menyebabkan hal ini berlaku. Tambahan pula, kurikulum sekolah dan institut pengajian tinggi yang lebih menekankan kepada mata pelajaran aliran sains. Oleh itu, pembinaan perisian untuk mata pelajaran seperti Pendidikan Islam seharusnya diperbanyakkan supaya dapat merangkumi kesemua mata pelajaran dalam sukatan.
8 Salah satu bidang yang mula diabaikan oleh sebilangan generasi muda ialah menguruskan jenazah. Fenomena yang biasa dilihat di mana-mana majlis mengendalikan jenazah adalah terdiri dari orang-orang yang telah tua. Ke manakah perginya golongan muda? Mengapa masyarakat keliling atau jiran tetangga tidak mengambil berat dan prihatin apabila berlaku sesuatu kematian? Ini berlaku kerana tidak boleh dan takut hendak mengendalikan jenazah. Kebanyakan orang tidak boleh mengendalikan jenazah atas beberapa alasan, di antaranya ialah: kurang minat untuk terlibat, tidak tahu cara mengendalikan jenazah, kejahilan dalam agama dan masyarakat keliling tidak prihatin.
Tidak ramai umat Islam yang berminat untuk terlibat dalam pengurusan jenazah. Apatah lagi bidang ini adalah suatu bidang yang amat mencabar. Ia bukan sahaja menuntut orang-orang yang mengendalikannya arif dengan bidang ini tetapi ia menuntut orang yang sabar, kuat iman, cekal dan tabah menanganinya. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa menghadapi pelbagai bentuk kematian seperti jenazah yang kemalangan, mati lemas, mayat yang terbakar, mayat yang tidak cukup anggota dan seumpamanya. Tegasnya, tidak ramai yang mampu berhadapan dengan situasi sedemikian.
Pandangan atau anggapan bahawa sudah ada golongan yang terlibat iaitu ‘fardu kifayah’ menyebabkan tanggungjawab tersebut dirasakan sudah ringan kerana sudah ada orang yang akan menguruskannya. Maka terjadilah keadaan di mana hanya orang-orang tua atau ahli jawatankuasa masjid, atau pengurus khairat kematian yang menguruskan hal-hal kematian di sesebuah tempat.
Menguruskan jenazah memerlukan seorang yang cekap dan berilmu. Meskipun sekarang ini ramai di kalangan orang –orang Islam mendapat pendidikan agama yang secukupnya, namun begitu tidak ramai yang benar-benar mahu terlibat dalam bidang tersebut. Ini menyebabkan tidak ramai yang tahu dan mahir untuk menguruskan jenazah. Ilmu yang ada hanya tersimpan di dada mereka tetapi tidak pula diamalkan.
9 Sedalam mana atau setinggi mana pun ilmu yang dimiliki oleh seorang insan pasti tidak berguna kiranya ia tidak diamalkan. Bagaimanapun, kenyataan ini adalah antara penyebab tiadanya pelapis-pelapis yang lahir untuk menggantikan golongan yang telah tua. Dalam hal ini, pihak jawatankuasa masjid atau orang-orang tua yang memiliki ilmu dan kemahiran menguruskan jenazah haruslah mencari suatu kaedah bagi menarik minat generasi muda mendalami bidang ini.
Kursus-kursus pengurusan jenazah hendaklah selalu dilakukan. Latihan teori dan praktikalnya harus disusun dengan lebih teliti dan menarik minat golongan ini. Insya Allah diharapkan dari situ nanti akan lahirlah anak-anak muda yang benar-benar boleh mewarisi ilmu dan akhirnya mahir untuk menguruskan jenazah di tempat tersebut. Sewajarnya golongan muda atau ‘rakan muda Islam’ atau mana-mana pertubuhan turut terlibat sama dengan pengurusan jenazah. Mereka hendaklah didedahkan dengan hal-hal pengurusan jenazah supaya nanti lahirlah generasi pelapis kepada generasi tua yang pastinya suatu masa kelak mereka juga akan meninggalkan dunia ini.
Sekiranya ahli keluarga tahu serba sedikit ilmu menguruskan jenazah, sekurang-kurangnya hal-hal pengurusan jenazah di kalangan keluarga dapat diatasi sendiri. Setidak-tidaknya dapat juga membantu dan meringankan tanggungjawab berat yang sedia dipikul oleh orang-orang yang menguruskan jenazah.
Kejahilan dalam agama juga menjadi salah satu punca mengapa ramai orang Islam tidak boleh menguruskan jenazah. Pengabaian didikan agama kepada anak-anak sejak kecil lagi menyebabkan mereka kurang peka atau sensitif dengan persoalan seperti ini. Bagaimana orang yang tidak lulus fardu ainnya boleh diserahkan tugas berkaitan fardu kifayah?
10 Kadang-kadang bila berlaku kematian dalam keluarga, anak-anak tidak tahu langsung hendak buat apa. Belum lagi menyebut soal hendak memandikan, mengapankan atau yang lain-lain; soal hendak menyembahyangkan jenazah ibu atau ayahnya pun kadang-kadang mereka tidak tahu. Mereka hanya tahu menghubungi jabatan agama untuk mengendalikannya. kejahilan ini hanya boleh diatasi dengan kesedaran untuk menuntut ilmu dan membetulkan pandangan yang salah.
Arus kemodenan kadangkala menyebabkan sifat kasih sayang antara sesama jiran semakin berkurangan malah jika tidak disuburkan akan terus luput begitu sahaja. Hiduplah masyarakat hari ini termasuk di kalangan umat Islam sendiri secara individualistik sehingga jiran di sebelah pagar pun tidak bertegur sapa. Tidak tahu dia berasal dari mana dan bagaimana keadaan keluarganya.
Apabila berlaku sesuatu kematian tidak mustahillah jiran-jiran di keliling pun tidak peduli. Sedangkan menurut ajaran Islam antara hak kita sesama jiran bukan sahaja saling hormat-menghormati malah kita perlu menghulurkan bantuan di saat dia ditimpa musibah atau kesusahan.
Dalam hal-hal kematian yang menimpa jiran di sekeliling, sewajarnya kita dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya. Contohnya menyediakan makanan untuk keluarga si mati sekurang-kurangnya untuk sehari semalam adalah disunatkan. Ini dapat meringankan kesedihan yang ditanggung oleh keluarga si mati. Bantuan yang diberikan itu bukan sahaja dapat menghibur dan menyenangkan hati mereka, malah kita juga akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T.
Namun malangnya keadaan sebaliknya sering berlaku, orang-orang Islam berduyun-duyun ke rumah orang yang baru kematian ahli keluarga mereka untuk makan kenduri arwah. Perbuatan ini bukan sahaja makruh bahkan jatuh kepada
11 hukum bidaah kerana berkumpul di sisi keluarga si mati kemudian makan bersama setelah mayat ditanam adalah sebahagian dari tatapan yang memberatkan keluarga si mati.
Atas kesedaran inilah penyelidik memilih tajuk pengurusan jenazah sebagai bidang kajian yang ingin dibangunkan secara multimedia dalam bentuk perisian. Sebagai langkah pertama, penyelidik ingin membina sebuah perisian yang berasaskan kepada modul kursus pengurusan jenazah anjuran Masjid Sultan Ismail ( MSI ), Universiti Teknologi Malaysia.
1.3
Pernyataan Masalah
Perkembangan teknologi komputer dan multimedia memberi impak yang besar terhadap dunia sebaran media. Perkembangan ini turut berlaku dengan pesat di negara kita, umat Islam seharusnya mengorak langkah menguasai semaksimum mungkin perkembangan teknologi ini dalam proses penyampaian maklumat terutamanya maklumat yang berunsur dakwah dan ilmu-ilmu Islam yang amat kurang terutamanya tentang panduan ibadah.
Salah satu bentuk bahan rujukan ini ialah perisian interaktif, seperti perisian panduan pengurusan jenazah. Aspek pengurusan jenazah ini dipilih berikutan hasil tinjauan umum penyelidik yang mendapati perisian ini masih belum terdapat di pasaran berbanding dengan panduan ibadah yang lain seperti perisian panduan solat, wuduk, haji dan umrah dan juga bacaan al-Quran.
Pengurusan jenazah juga dilihat sebagai satu bidang yang lebih banyak menggunakan aplikasi praktikal berbanding dengan teori, penyelidik melihat
12 proses penyampaian ilmu ini masih dikekalkan secara tradisional. Sehubungan dengan itu, penyelidik ingin membuat satu anjakan paradigma dalam proses penyampaian ilmu ini iaitu menggunakan teknologi media seperti teks, grafik, audio, video dan animasi. Ia seterusnya membolehkan ilmu ini dipersembahkan dengan lebih menarik, meyakinkan serta berkesan dari pelbagai sudut pandangan dan kekurangan perisian seperti ini perlu diatasi dengan segera.
Sehubungan dengan itu, penyelidik (pembangun perisian) ingin membina sebuah perisian yang menepati modul kursus ibadah pengurusan jenazah yang masih belum berada di pasaran serta dapat membimbing individu menimba pengetahuan secara sendirian (pembelajaran kendiri) dengan lebih berkesan.
1.4
Objektif Projek
Objektif kajian adalah merupakan projek dalam bentuk perisian. Projek ini dilaksanakan untuk mencapai objektif pada akhir proses pembinaan perisian,
1.
Membina satu perisian berdasarkan kepada modul kursus pengurusan jenazah
2.
Menambah kefahaman dalam aspek pengurusan jenazah
3.
Untuk diusahakan di peringkat pasaran jika berjaya mendapat kelulusan pihak yang berkenaan.