5
Pengurusan: Definisi, Sejarah dan Konsep Siri 1
January 7, 2008 Oleh: Mohammad Fauzi Pendahuluan Dalam dunia yang serba moden ini, aspek pengurusan adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan dari manusia. Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan komuniti disekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dari pengurusan sebuah keluarga, komuniti atau organisasi hinggalah kepada pengurusan sebuah negara. Pengurusan sering dikaitkan dengan pentadbiran dan apabila memperkatakan tentang konsep pengurusan pasti mencakupi 3 elemen utama iaitu pengurus , organisasi dan tatacara atau garis panduan pengurusan. Ketiga-tiga elemen ini bergantung antara satu sama lain dan mempunyai hubungkait yang seimbang. Pengurusan dikendalikan oleh pengurus yang adakalanya bertindak sebagai ‘master-mind’ dan pada satu keadaan yang lain pengurus juga bertindak sebagai pelaksana. Sebagai ‘master-mind’, pengurus bertindak memimpin kelompok subordinat yang bertindak menterjemah segala visi, misi dan objektif dalam bentuk perlaksanaan yang akan dijalankan mengikut jadual perancangan yang digariskan. Usaha untuk mengarah dan memantau perkembangan proses perlaksanaan dikendalikan oleh pengurus dengan dengan pendekatan yang subjektif berdasarkan gaya kepimpinan dan kemampuan memanipulasikan kebolehan berkomunikasi yang unik dan tersendiri. Sebagai pelaksana pula, pengurus bertindak membimbing dan pada masa yang sama bergerak seiring bersama subordinat untuk melaksanakan visi, misi dan objektif yang telah ditetapkan. Sama ada sebagai ‘master-mind’ mahupun pelaksana pengurus harus bertindak berdasarkan tatacara dan garis panduan yang ditetapkan. Garis panduan atau tatacara berkenaan sama ada berasaskan contoh dan garis panduan dari organisasi lain, mahupun idea pengurus itu sendiri, ataupun ia digubal dengan persetujuan kolektif antara pengurus dan subordinat. Pengurus biasanya mempunyai kuasa bagi membolehkannya melaksanakan tanggungjawabnya mengemudi organisasi di samping menjalankan fungsinya mengetuai subordinatnya. Kuasa diperolehi samada sumber perundangan sepertimana yang ditetapkan oleh perlembagaan yang digubal semasa organisasi ditubuhkan atau kuasa diberikan dengan persetujuan kolektif semua ahli dalam organisasi tersebut. Kuasa yang ada pada pengurus secara idealnya dibayangi oleh etika yang sekiranya dikendalikan dengan baik dan menghormati ‘the spirit of ethic’ akan menjadikan pengurus dilihat mengemudi organisasinya dengan adil, penuh hormat dan berwibawa. Definisi
Secara umumnya pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang melalui dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu. Kata kerja mengurus (management) berasal dari bahasa Itali ‘maneggiare’ iaitu ‘menangani’ dan kata nama ini diterbitkan daripada perkataan Latin – ‘manus’ (tangan). Perkataan bahasa Perancis ‘mesnagement’ telah banyak mempengaruhi perkembangan maksud perkataan Bahasa Inggeris ‘management’ pada abad-abad ke 17 dan 18. Merujuk kepada Ensiklopedia Bebas Wikipedia, ‘pengurusan terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih orang atau entiti untuk tujuan menyelaraskan dan mengharmonikan kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia seringya merangkumi sumber – sumber manusia, kewangan, teknologi serta juga sumber semula jadi. Pengurusan juga boleh merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan’. Mary Parker Follet (1868 -1933) menyatakan bahawa pengurusan ‘adalah sebagai seni untuk mencapai sesuatu melalui orang lain’. Free-Content Encyclopedia Wikipedia menyatakan pengurusan boleh ditakrifkan berdasarkan fungsinya sebagai ‘tindakan untuk mengukur sesuatu kuantiti pada tempoh-tempoh yang tetap dan berdasarkan kepentingan, mengubahsuai rancangan asal ataupun tindakan untuk mencapai maklumat yang dirancang’. James A.F Stoner & Charles Wienkel menyatakan bahawa ‘pengurusan adalah proses merancang, mengorganisasi , memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yang ditetapkan’. Wan Azmi Ramli merumuskan pengurusan adalah aktiviti perancangan dan pergerakan atau panduan oleh sesuatu perusahaan atau organisasi berhubung dengan segala kaedahkaedah, peraturan-peraturannya, juga tanggungjawab dan tugas-tugas kakitangannya itu. Sejarah Awal Pengurusan Secara umumnya sejarah pengurusan bermula seiring dengan perkembangan manusia dari sebuah keluarga yang besar dan membentuk sebuah perkampungan dan komuniti yang melibatkan pengurusan kawasan setempat dan akhirnya pembentukan dan pengurusan sebuah negara bangsa. Mana-mana tamadun yang wujud di dunia pasti dikaitkan dengan sistem pentadbiran dan kaedah pemerintahan yang membolehkan ketua negara dan dinastinya meneruskan kesinambungan sebuah tamadun hingga ke saat akhirnya. Dengan adanya sistem pengurusan mereka mampu menguruskan perbendaharaan serta mengawal hasil mahsul negara, mengekalkan keadilan dengan pengurusan sistem dan badan kehakiman dan pengurusan ke atas upacara keagamaan atau adat istiadat rasmi di istana. Seawal 8000 SM para paderi dari Ur telah menyimpan rekod aktiviti perniagaan, rekod lain dan peraturan pengurusan di atas kepingan tanah liat yang dibakar. Tamadun Sumeria mempunyai sistem demokrasi yang amat tersusun berdasarkan teks-teks yang ditemui di Telloh (Lagash) dab Fara (Shurappak). Sumber tenaga kerja didaftarkan dan kemudian dibahagibahagikan dalam pelbagai badan awam. (Sivachandralingam & Ayadurai)
Raja Hammurabi dari Babylon pula memperkenalkan kod Hammurabbi yang mengandungi 285 undang-undang yang turut merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan pengurusan, perdagangan dan kewangan. Di Mesir, dinasti yang memerintah kerajaan Mesir Tua dengan diketuai oleh Fir’aun dan pembesar-pembesarnya menyimpan rekod pengurusan pembinaan pyramid, sphinx dan pelbagai kompleks makam mereka di atas daun papyrus yang telah diproses. Pembinaan piramid setinggi 20 hingga 25 tingkat dengan 2.5 juta blok batu ini memerlukan sistem pengurusan yang cekap dan sistematik untuk menguruskan kira-kira 100 000 orang pekerja setiap masa. Sistem pengurusan Negara kota dalam Tamadun Yunani pula mempamerkan sistem pentadbiran Negara yang tersusun. Plato mengutarakan pendapatnya dalam bukunya ‘Law’, bahawa setiap kota secara idealnya mempunyai 5040 orang. Athens yang merupakan salah satu negara kota Yunani yang terkenal ditadbir berdasarkan sistem ala republik. Pemerintahan Athens dikendalikan oleh 3 buah institusi iaitu Dewan Perhimpunan, Majlis, Majistret & Juri. (Sivachandralingam & Ayadurai) Maharaja Diolectian dari Rom (248M) telah menyusun semula pentadbiran Rom bagi membolehkannya mengawal keseluruhan empayar Rom yang luas dan terbentang dari Asia Barat hingga ke Eropah. Melalui kaedah pengurusannya, beliau membahagi-bahagikan empayarnya kepada beberapa daerah dan diketuai oleh seorang gabenor. Gabenor ini diberikan kuasa pemerintahan yang melibatkan hal-ehwal awam kecuali kuasa ketenteraan dan model Diolectian ini mirip sistem organisasi dan kerajaan berpusat. (Jaafar, Mohd Hizam & Zafir) Tokoh-Tokoh Pemikir Dalam Bidang Pengurusan Tokoh-tokoh awal yang menyumbang idea tentang pengurusan dengan mengutarakan pendapat yang menyatakan bahawa menjadi satu perkara yang umum bagi mana-mana pemimpin pada zaman itu memimpin organisasi mereka secara autokratik. Misalnya Adam Smith dalam bukunya ‘The Wealth of Nation (1776) memberikan sumbangan dan pandangannya terhadap konsep pengurusan ekonomi dan sains politik. Charles Babbage memperkenalkan prinsip pembahagian dan pengkhususan kerja melalui pengeluaran produk melalui jabatan-jabatan yang dikhususkan dengan fungsi tertentu dan mengutarakan idea penubuhan ‘line of production’ dengan penetapan fungsi kerja yang rutin. Para pengkaji bidang pengurusan pasti biasa dengan seorang tokoh bernama Frederick Taylor yang digelar bapa pengurusan saintifik. Antara karya Frederick Taylor mengenai pengurusan yang terkenal adalah Shop Management (1912), Principles of Scientific Management dan pernah membentangkan testimoninya di hadapan Jawatankuasa Dewan Khas pada tahun 1912 (Harold Koontz & Heinz Weirich). Frederick Taylor memperkenalkan sistem ganjaran bagi pekerja yang telah memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh organisasi masing-masing. Melalui konsep pengurusan yang diperkenalkan oleh Frederick Taylor, pekerja yang tidak memenuhi piawaian dan sasaran yang ditetapkan akan disingkirkan dari sistem kitaran kerja setelah berada dibawah pengawalan dalam jangka masa tertentu . Frederick Taylor turut memperkenalkan sistem waktu rehat berjadual bagi membantu mengurangkan kepenatan bekerja.
Henry Gantt pula membuat kajian ke atas teori yang diperkenalkan oleh Frederick Taylor dan mendapati teori ini kurang memberikan penekanan terhadap aspek kemanusiaan. Henry Gantt yang terkenal dengan sistem Carta Gantt memberikan penekanan terhadap perincian dalam jadual tugasan dan amat relevan hingga kini bagi membolehkan pengurusan menetapkan sasaran dan tarikh akhir (date-line) bagi setaip tugasan. Henry Gantt turut memperkenalkan sistem bonus bagi pekerja yang melepasi sasaran tugasan yang ditetapkan secara harian. Beliau turut menekankan kepentingan latihan dala memahirkan kakitangan dalam menjalankan tugas. Frank & Lillian Gilbreths pula banyak memberikan sumbangan dalam kajian tentang gerakan pengurusan saintifik. Melalui buku tulisan mereka bertajuk ‘The Psychology of Management’ (1912), Lilian telah memberikan penekanan tentang aspek kebajikan pekerja secara individu selain hasil hipotesis atas kajiannya tentang ‘kelesuan dan gerakan kerja’. Frank memberikan tumpuan ke atas kajian yang menjurus kepada teknikl yang sesuai untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kelesuan dikalangan pekerja akibat tekanan dan tempat kerja yang tidak kondusif. Henry Fayol dianggap sebagai pemikir Teori Pengurusan Moden dan antara karya beliau yang terkenal adalah ‘Administration Industrielle et Generale (1916). Beliau memberikan penekanan kepada fungsi organisasi. Menurutnya fungsi organinasi ini haruslah mantap dan berkemampuan untuk menggerakkan organisasi untuk mencapai objektif yang ditekankan. Henry Fayol memperkenalkan 14 prinsip pengurusan yang wujud dalam sesebuah organisasi seperti berikut:1. Pembahagian Kerja 2. Autoriti & Kewibawaan 3. Disiplin 4. Penyelarasan Arahan 5. Seorang Ketua Bagi Satu Organisasi 6. Mementingkan Kehendak Masyarakat Daripada Kehendak Individu 7. Ganjaran Berbentuk Gaji 8. Pemusatan Kerja/Kuasa 9. Hirarki 10. Kebolehan Sesuai Dengan Tugas 11. Persamaan 12. Kestabilan Kerja 13. Inisiatif @ Daya Usaha
14. Espirit De’ Coup
http://uniprof.wordpress.com/2008/01/07/pengurusan-definisi-sejarah-dan-konsep-siri-1/ accessed: 4/7/2012
date