13 MEI DARIPADA CATATAN TUNKU ABDUL RAHMAN Bahagian 1 1. PENGENALAN Tulisan ini akan memaparkan analisis ke atas sebuah buku bertajuk “Sebelum dan Selepas 13 Mei” yang diterbitkan oleh Penerbitan Utusan Melayu Berhad, Kuala Lumpur, cetakan tahun 1969. Buku ini ditulis oleh Yang Teramat Mulia (AlMarhum) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Kedah (selepas ini diringkasnya sebagai TAR sahaja) yang mana merupakan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, dan Malaysia yang pertama. Kami berpendapat bahawa keterangan-keterangan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia itu sendiri, selaku orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut, mempunyai nilai yang amat tinggi dari segi sejarah untuk dikaji dan dianalisis, demi kebenaran yang cuba dipesongkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggung jawab dan berkepentingan ke atas sejarah hitam negara pada hari ini. Tulisan ini dibuat sebagai sumbangan dari penulis untuk mengimbau dan menjelaskan keadaan yang berlaku demi kebaikan negara kita sendiri; khsususnya perpaduan antara kaum atau rakyat berbilang dan seterusnya kesejahteraan negara; dari ancaman unsur-unsur yang tidak sihat yang cuba memainkan isu 13 Mei dan memutarbelitkannya demi kepentingan politik sempit mereka. Untuk makluman pembaca, tulisan ini dibuat secara spontan. Oleh itu sudah tentu banyak kesalahan taipan, ejaan, dan seumpamanya akan dikesan. Maklum dengan keadaan demikian, maka kami mengalu-ngalukan sebarang pembetulan daripaa para pembaca. 2. FAKTOR-FAKTOR DAN RENTETEN PERISTIWA YANG MEMBAWA KEPADA PERISTIWA HITAM 13 MEI, 1969 2.1 KEMPEN PILIHANRAYA UMUM 1969 TAR dengan jelas menyatakan bahawa terdapat banyak peristiwa yang berlaku yang mana pada akhirnya menimbulkan huru-hara pada 13 Mei, 1969. Menurut beliau, kesemua pilihanraya-pilihanraya yang telah dijalankan sebelumnya iaitu sejak kemerdekaan telah dapat dilaksanakan dengan baik, hatta Pilihanraya Umum (selepas ini diringkaskan sebagai PRU sahja) 1969. PRU 1969 jatuh pada hari Sabtu, 10 Mei, 1969 di Malaysia Barat berjalan dengan licin lagi lancar sebagaimana PRU-PRU sebelumnya.
Namun, semasa PRU 1969, kempen pilihanraya telah dijalankan dengan begitu buruk dengan perbuatan-perbuatan liar yang dilakukan dan ucapan-ucapan yang tidak bertanggung jawab daripada pihak pembangkang. 2.2 ANASIR-ANASIR KOMUNIS TAR berpendapat terdapat anasir-anasir komunis yang memainkan peranan dengan hujah beliau bahawa beliau, selaku Perdana Menteri yang menjaga keselematan negara, menerima pelbagai maklumat dan laporan-laporan sulit. Ini tidak dapat tidak kita percaya akan keterangan beliau kerana beliau adalah orang yang bertanggung jawab dalam hal yang berkenaan. Dalam buku berkenaan juga beliau, walaupun secara tidak terancang, telah mengemukakan beberapa bukti akan hakikat ini. 2.2.1 HARTAL DI PULAU PINANG Antara perkara yang disebutkan oleh TAR ialah peristiwa yang berlaku di Pulau Pinang pada 19 November, 1967 yang mana dibuat contoh oleh TAR sebagai bukti yang jelas anasir-anasir komunis telah bergerak secara terang-terangan atau secara sulit untuk melakukan sesuatu yang merosakkan kepentingan Malaysia. Dalam peristiwa di Pulau Pinang pada tahun 1967 ini, TAR melaporkan bahawa anggota-anggota China dalam Gerakan Belia Mao Tse-Tung telah mengambil kesempatan atas langkah kerajaan menurunkan nilai mata wang lama Malaysia sebagai alasan untuk melancarkan hartal. Lanjutan daripada hartal ini, pertempuran-pertempuran telah tercetus di mana orang-orang Melayu dan penyokong-penyokong setia kerajaan telah diserang. Beberapa orang terperangkap dalam kejadian yang berlaku juga telah terbunuh dan cedera. Perkara ini hanya dapat diredakan apabila pasukan-pasukan keselamatan berjaya mengembalikan ketenteraman dan mengenakan perintah berkurung, serta menangkap orang-orang yang disyaki. Menurut TAR, komunis bertujuan melancarkan hartal ke seluruh negara. Namun, rancangan mereka gagal kerana penduduk-penduduk di tempat lain tidak mengindahkan seruan mereka dan menjalankan perniagaan seperti biasa. 2.2.2 HUKUMAN GANTUNG KE ATAS KOMUNIS YANG BELOT SEMASA KONFRONTASI Pada bulan Jun tahun 1968, hukuman gantung hendak dilaksanakan ke atas sebelas (11) orang China yang menjadi anggota Parti Komunis Malaya (ringkasnya PKM) yang mana dihukum mati kerana membantu pihak Indonesia yang diketuai oleh Presiden Sukarno yang melancarkan kempen ”Ganyang Malaysia” dalam usaha mereka menyerang selatan tanahair, iaitu Johor.
Perintah hukuman gantung yang sama juga dikenakan ke atas dua (2) orang Melayu di Perak. Dr Tan Chee Khoon yang menjadi ahli Parlimen Parti Buruh bagi kawasan Batu, Selangor, telah membuat rayuan agar hukuman gantung itu tidak dilaksanakan. Beliau dan ahli-ahli Parti Buruh dan (yang disebutkan oleh TAR disertai bersama) penyokong-penyokong komunis telah melancarkan kempen besar-besaran, dari rumah ke rumah, atau dari pintu ke pintu (kedai) untuk memungut tandatangan dan menimbulkan tanda simpati orang ramai terhadap 11 orang yang dihukum sebagaimana yang diterangkan di atas. Menurut TAR, akhbar-akhbar juga memainkan peranan yang besar dalam kempen yang dilakukan ini. TAR mendakwa anasir-anasir yang pro-Komunis tersebut telah menghasut ibu bapa dan para waris pemuda-pemuda yang dihukum bunuh itu supaya mengadakan perjumpaan beramai-ramai untuk membantah. Akan tetapi, rayuan mereka tersebut telah ditolak oleh Sultan Johor dan Sultan Perak ketika itu. Menjelang tarikh perlaksanaan hukuman gantung itu, di luar penjara Pudu di Kuala Lumpur dan di sepanjang jalan menuju ke penjara itu telah berlangsung tunjuk-tunjuk perasaan secara liar di mana mereka membaling batu ke atas kendaraan yang lalu di situ dan menghalang lalu lintas. TAR menyatakan bahawa orang-orang yang melakukan tunjuk perasaan liar berkenaan sebagai ”belia-belia komunis.” Atas pendapat atau kebijaksanaannya untuk mengelakkan timbulnya pergaduhan di seluruh negara yang membawa kepada rusuhan antara kaum yang boleh menumpahkan darah, TAR telah menghadap Sultan Johor dan Sultan Perak ketika itu untuk membincangkan meringankan hukuman gantung berkenaan. Kedua-dua baginda Tuanku Sultan Johor dan Sultan Perak telah bersetuju lalu kesemua mereka yang terbabit diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup. Kita tidak boleh melihat ini sebagai satu kelemahan TAR dalam membuat keputusan atau mengendalikan keadaan, di mana logik TAR dalam hal ini dapat diterima. Beliau menyatakan bahawa sama ada tindakannya betul atau salah, tujuannya adalah untuk [ memetik kata-katanya ] ”menyelamatkan seribu jiwa dengan menyelamatkan sebelas komunis di Johor dan dua penderhaka di Perak dari hukuman gantung.” Kesan tindakan beliau itu adalah terhentinya tunjuk perasaan dan keamanan dapat dipulihkan.
13 MEI DARIPADA CATATAN TUNKU ABDUL RAHMAN Bahagian 2 Dalam Bahagian 1 sebelum ini, kita telah melihat 2 faktor utama yang dinyatakan oleh TAR yang menyumbang kepada peristiwa hitam 13 Mei 1969 iaitu:: 1) Kempen pilihanraya yang amat buruk dalam PRU 1969. 2)
Anasir-anasir Komunis mencetuskan huru-hara.
yang
memainkan
peranan
dalam
Kita juga telah memaparkan keterangan TAR akan faktor kedua iaitu peranan anasir-anasir Komunis tersebut sejak dari awal lagi iaitu sekitar tahun 1967. 2 peristiwa besar yang berlaku pada masa itu yang mana terbukti benar sebagaimana yang dijelaskan oleh TAR ialah 1) Hartal Pulau Pinang pada 19 November 1967 yang didalangi oleh anggota-anggota China dalam Gerakan Belia Mao Tse-Tung telah mengambil kesempatan atas langkah kerajaan menurunkan nilai mata wang lama Malaysia, dan 2) Perintah hukuman gantung yang dikenakan ke atas anggota komunis dan pengkhianat negara, iaitu ke atas sebelas (11) orang China yang menjadi anggota Parti Komunis Malaya di Johor dan dua (2) orang Melayu di Perak. Selain daripada dua (2) faktor di atas, faktor ketiga yang tidak kurang pentingnya yang menyumbang kepada peristiwa hitam 13 Mei 1969 adalah anasir-anasir daripada puak pelampau kiri atau golongan Sosialis. Dalam buku yang menjadi rujukan utama kita yang ditulis oleh TAR, beliau tidak membezakan anasir-anasir Komunis dan anasir-anasir puak pelampau kiri atau Sosialis ini. Kami pula mengkelaskan keduadua golongan ini kepada dua kategori yang berbeza kerana kami percaya matlamat Komunis ialah cuba merampas kuasa melalui jalan huru-hara. Sebaliknya golongan Sosialis cuba mendapatkan pengaruh atau kuasa (walaupun tanggapan secara zahirnya adalah) melalui perwakilan peti undi yang mesti diperolehi menerusi pilihanraya.
Dari tindak-tanduk mereka yang dijelaskan TAR, kita percaya bahawa mereka juga (iaitu golongan Sosialis) menggunakan kaedah dan pendekatan yang sama dengan golongan Komunis iaitu cubaan mengambil kesempatan melalui keadaan huru-hara. Sesungguhnya kedua-dua golongan ini kelihatan amat mesra dan membantu di antara satu sama lain kerana ideologi kiri mereka yang hampir sama bahkan lebih tepat lagi "kembar seiras" walaupun zat atau dirinya dan juga cirinya berbeza. Perkara ini akan kami cuba paparkan menerusi subtajuk sambungan, iaitu 2.3 di bawah. 2.3 GOLONGAN SOSIALIS ATAU PUAK PELAMPAU KIRI Golongan kiri yang dipanggil sebagai puak pelampau kiri oleh TAR pada masa itu boleh dikatakan diwakili oleh Parti Buruh. Parti Buruh di Malaysia mempunyai rakan di Singapura iaitu Barisan Sosialis Singapura. Dalam Parlimen Malaysia pula pada masa itu, Parti Buruh mempunyai dua orang wakil iaitu:: 1) Dr Tan Chee Koon, dan 2) Encik Lim Kean Siew. Selain daripada itu mereka mempunyai beberapa ahli di dalam DewanDewan Undangan Negeri. a) Pemulauan Pilihanraya 1969 Oleh Parti Buruh Kira-kira enam (6) minggu selepas peristiwa pembatalan hukuman gantung itu berlaku [ di mana sebelas (11) orang China anggota Parti Komunis Malaya, dan dua (2) orang Melayu pengkhianat yang disebutkan sebelum ini telah diringankan hukuman daripada hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara seumur hidup ], Parti Buruh, iaitu parti yang ahli-ahlinya terdiri dari golongan Sosialis, telah mengisytiharkan bahawa mereka akan memulaukan PRU 1969 yang hendak diadakan. Langkah Parti Buruh ini, menurut TAR, hanyalah semata-mata meniru taktik parti Barisan Sosialis Singapura yang enggan mengambil bahagian dalam pilihanraya. Akan tetapi di Singapura, Barisan Sosialis Singapura hanya menarik ahli-ahli mereka dari Dewan Undangan Singapura tanpa melakukan sebarang tindakan yang berunsur ugutan atau kekerasan. Pada hemat TAR, dan kita bersetuju dengannya, Barisan Sosialis Singapura bertindak demikian tanpa melakukan sebarang keganasan kerana Singapura dibawah pengaruh
dan kekuasaan pemimpin-pemimpin Cina, yang mana di dapati sesuai dengan tujuan mereka untuk mengekalkan negeri itu sebagai tapak kemasukan anasir-anasir subversif Komunis. Kami juga berpendapat, selain daripada faktor di atas, ahli-ahli Barisan Sosialis Singapura yang majoritinya terdiri dari kaum China itu sudah tentulah mereka lebih selesa atau dapat bertolak ansur dengan pemerintah Singapura yang juga terdiri daripada kaum China di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Dengan demikian amat mudah difahami akan tindak tanduk mereka itu, iaitu mereka tidak mahu menyusahkan antara satu sama lain. Juga, dengan berbuat demikian maka ianya akan mempermudahkan hasrat mereka sebagaimana yang disebutkan di atas tadi, iaitu untuk mengekalkan negeri itu sebagai tapak kemasukan anasir-anasir subversif Komunis tanpa tindakan keras dan pemantauan teliti diambil oleh pihak kerajaan Singapura di bawah pimpinan Lee Kuan Yew dan partinya PAP. Kami juga percaya bahawa pemerintah China di Singapura di bawah pimpinan Lee Kuan Yew itu sudah pasti tahu atau sekurang-kurangnya mendapat maklumat perisikan akan tindak-tanduk Barisan Sosialis Singapura ini. Akan tetapi mereka juga, yang mana mempunyai sejarah pahit dengan Malaysia di mana ditendang keluar pada tahun 1965, nampaknya seolah-olah mengiyakan atau menutup sebelah mata akan perkara tersebut yang mana amat membahayakan negara jiran. Kita amat faham akan perkara ini kerana sikap Lee Kuan Yew dan PAP serta kebanyakan orang China Singapura terhadap orang Melayu khususnya dan Malaysia amnya sejak tahun 1965 hingga sekarang tidak berubah-ubah. Mereka sentiasa bersikap mengambil kesempatan dan memanipulasikan negara-negara jiran di mana sahaja mereka mendapat peluang atau mendapat kesempatan. Salah satu bukti yang boleh kita bawa ialah tindakan kerajaan PAP di Singapura yang jelas menaikkan kadar faedah simpanan bank di negara mereka semasa seluruh Asia di landa krisis ekonomi pada tahun 1997. Tujuan mereka sudah pastinya adalah untuk mengambil kesempatan daripada anarki ekonomi yang berlaku dengan menggalakkan pengaliran dana keluar dari negara-negara yang bermasalah - khususnya Malaysia yang merupakan jiran terdekat dari segi lokasi dan amat dekat dari segi sejarah kenegaraan yang amat tidak selesa dengan mereka. Ini belum lagi diambil kira pelbagai perkara lain yang jelas menyebabkan masalah hubungan dua hala antara negara seperti masalah harga air mentah yang dibekalkan, tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura, ruang udara, dan pelbagai perkara lagi.
Dalam konteks persepsi dan pemikiran perdana generasi baru Melayu di Malaysia hari ini, kami dengan mudah akan dapat menyimpulkan bahawa besar kemungkinan sikap Singapura dalam hal ini juga menyumbang secara tidak langsung dalam melemahkan bahkan mungkin bertujuan menjatuhkan kerajaan Perikatan yang didominasi oleh parti Melayu UMNO di Malaysia menerusi segala kesempatan yang timbul, sebagaimana yang kami dapat saksikan sendiri semasa krisis ekonomi tahun 1997 – walaupun secara luaran atau dari segi diplomasinya mereka mungkin tidak bermaksud demikian. Apa yang jelas adalah sikap mereka yang amat gemar mengambil peluang untuk kepentingan sendiri dengan faedah-faedah yang bakal mereka perolehi sahaja dengan meletusnya masalah dan kekacauan di negara lain. Mereka terkenal dengan sikap mementingkan diri mereka sendiri dan oleh itu kesusahan negara jiran yang menghadapi masalah adalah satu keuntungan kepada mereka. Dengan keadaan dan peristiwa yang telah berlaku di Malaysia pada ketika itu, tidak mustahil bahawa mereka sendiri (iaitu kerajaan Singapura di bawah pimpinan pemimpin China Lee Kuan Yew dan parti chauvinis Chinanya PAP) kelihatan seolah-olah memberikan ruang yang mencukupi untuk anasir-anasir subversif berkenaan bergerak bersesuaian dengan matlamat atau hasrat dan tindakan Barisan Sosialis Singapura itu berjaya. Bahkan, sekiranya mereka mengambil tindakan ke atas golongan-golongan itu pun, golongan yang dimaksudkan itu akan melarikan diri ke Malaysia sebagai pilihan mudah destinasi yang hendak dituju dan dengan itu menimbulkan masalah di Malaysia pula. Sememangnya sikap kerajaan Singapura ketika itu dalam hal ini jelas dan boleh dicurigai akan hatibudi dan niat buruk yang berpunca dari sikap kiasu mereka itu yang kita amati daripada masa dahulu hinggalah pada masa sekarang. b) Perletakan jawatan ahli-ahli Parlimen dan DUN dari Parti Buruh Selain daripada tindakan pemulauan PRU 1969, parti Buruh juga membuat keputusan [ dalam bahasa TAR sendiri ] ”menarik keluar dengan serta-merta kesemua ahli-ahlinya dari Parlimen atau Dewan-Dewan Undangan Negeri.” Tindakan ini, menurut TAR, dibuat kerana mereka menganggap tindakan TAR yang mengisytiharkan bahawa kerajaan akan memenuhi tempoh perkhidmatan selama lima tahun sebagai satu muslihat. Berdasarkan keterangan TAR, mereka yakin bahawa TAR akan
melakukan sesuatu keputusan yang memeranjatkan iaitu perisytiharan PRU 1969 secara tergempar. Oleh itu, mereka jelas melakukan tindakan ( lebih tepat lagi cuba memaksa ) agar PRU 1969 dipercepatkan dengan melakukan tindakan meletakkan jawatan ahli-ahli Parlimen dan DUN dari parti mereka secara beramai-ramai. Tindakan ini dibuat enam (6) minggu selepas peristiwa tunjuk perasaan beramai-ramai membantah hukuman gantung ke atas komunis dan pengkhianat. Tunjuk perasan dan bantahan beramai-ramai yang didalangi oleh mereka juga nampaknya berjaya di mana jelas ”kelihatan” dapat memaksa TAR mengambil langkah untuk menyelesaikan keadaan huru-hara yang berlaku dengan memohon Sultan-Sultan Johor dan Perak mengampunkan mereka yang berkenaan dan meringankan hukuman yang sepatutnya mereka terima kepada penjara seumur hidup sahaja. Oleh itu mereka mungkin memikirkan bahawa kerajaan Perikatan di bawah pimpinan TAR dapat ”dipaksa” dalam melakukan sesuatu dan di sinilah juga punca awal tentangan orang Melayu di dalam UMNO kepada kepimpinan TAR yang dilihat kerapkali tunduk kepada kehendak dan tuntutan kaum Cina, sama ada chauvis, rasis ataupun bukan. Di sini kita amat jelas lagi yakin bahawa mereka cuba mengambil kesempatan dari ”mood” bantahan rakyat dalam perjuangan mereka yang begitu bersungguh-sungguh membela komunis dan pengkhianat yang ”berjaya” itu [ sedangkan kita maklum dan boleh menerima bahawa TAR berbuat demikian, sebagaimana yang dinyatakannya sebelum ini, adalah kerana sayangkan rakyat dan negara untuk mengelakkan mana-mana pihak daripada terbunuh dengan sia-sia dalam tunjuk perasaan dan bantahan yang dibuat secara ganas ]. Kali ini mereka cuba memaksakan agar PRU 1969 dipercepatkan dan oleh itu mereka dapat mengambil faedah daripada sokongan yang difikirkan akan berpihak kepada mereka. Ini disebabkan perisytiharan TAR bahawa kerajaan akan menghabiskan tempohnya yang mana dengan itu akan tamat menjelang bulan April 1969. Tempoh ini menjadikan PRU 1969 akan diadakan lambat lagi. Bagi mana-mana ahli politik hatta yang biasa sahaja sekalipun, tempoh ini amat perlu kerana mood anti-kerajaan di kalangan kebanyakan rakyat yang dapat dipengaruhi oleh mereka itu (yang mana terbukti dapat dipengaruhi oleh mereka melakukan bantahan dan tunjuk perasaan sebelumnya) akan jadi sejuk atau reda. Ahli-ahli politik dari pihak kerajaan sudah pasti dapat menilai akan emosi rakyat ini dan sudah
pasti mengambil tindakan-tindakan yang dapat meredakan suhu tentangan kepada kerajaan. c) Parti Gerakan dan Bekas Ahli-ahli Parti Buruh Pada bulan April tahun 1968, parti Gerakan ditubuhkan oleh segolongan daripada mereka yang menggelarkan diri sebagai cerdik pandai dan orang-orang terpelajar yang mana menurut TAR pendirian mereka tidak sesuai dan menentang dasar-dasar kerajaan Persekutuan. Penubuhan parti Gerakan pada ketika itu dilakukan sebelum perisytiharan hendak mengadakan PRU diumumkan lagi. Keputusan yang dibuat untuk memulaukan PRU 1969 oleh parti Buruh dan perletakan jawatan serta-merta ahli-ahli Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri dari parti itu telah menimbulkan keadaan kelam kabut dan perpecahan di kalangan ahliahli mereka sendiri. Encik Lim Kean Siew telah mengambil masa berminggu-minggu untuk membuat keputusan bagi mematuhi keputusan tersebut. Dr Tan Chee Koon pula telah membantah dan enggan menarik diri dari Parlimen lalu meninggalkan rakan-rakannya dari Parti Buruh dan memasuki Parti Gerakan yang baru ditubuhkan. Dalam parti barunya itu, Dr Tan Chee Koon telah dilantik menjadi Setiausaha Agong dan mendapat sokongan daripada ahli-ahli parti Buruh yang telah lumpuh dan memasuki parti Gerakan bersama-samanya. Bahagian ini amat penting disebutkan kerana adalah jelas antara pemain watak utama dalam peristiwa 13 Mei 1969 adalah bekas ahliahli parti Buruh yang memasuki parti baru itu iaitu Parti Gerakan. Perkara ini akan dihuraikan apabila tiba pada masanya nanti. ( Bersambung ke bahagain 3. InsyaAllah. )