REPERTOIR RIJA: TRADISI PERSEMBAHAN RITUAL MASYARAKAT CAM DI VIETNAM Mohd Yuszaidy Mohd Yusoff
Pengenalan Masyarakat Cam1 yang mendiami di wilayah Ninh Thuan dan Binh Thuan, Vietnam, masih mengadakan persembahan repertoir Rija2 di dalam komuniti mereka. Ini adalah kerana repertoir Rija merupakan satu tradisi persembahan yang mempunyai hubungan rapat dengan ritual dan semangat. Ini menyebabkan tradisi persembahan repertoir Rija tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan mereka. Selain itu juga, masyarakat Cam sering mengaitkan kehidupan mereka dengan upacara ritual dan semangat. Selain itu juga masyarakat Cam masih berpengang teguh kepada kepercayaan terhadap semangat. Ini adalah kerana masyarakat Cam mempercayai bahawa semangat yang berada di dalam kehidupan mereka yang mempengaruhi dan menentukan setiap perjalanan kehidupan mereka. Oleh itu, masyarakat Cam mempercayai bahawa semangat yang terdapat dalam kepercayaan mereka sering mempengaruhi kehidupan mereka seperti di dalam aktiviti pertanian, pembinaan rumah, kelahiran bayi dan pengubatan penyakit. Oleh sebab itu, masyarakat Cam menjalankan upacara ritual dan repertoir Rija untuk mengimbangi kuasa semangat dalam kehidupan mereka. Ini telah menyebabkan masyarakat Cam mempercayai bahawa cara sedemikian dapat mengawal atau memujuk semangat yang berada di sekeliling mereka daripada membawa bencana kepada masyarakat mereka.
1
Masyarakat Cam tergolong dalam kumpulan Austronesian (Malayo-Polynesian) yang mempunyai hubungan budaya dan bahasa yang mirip dengan kumpulan Indonesia dan Melanesia (Lafont, 1996: 148-150; Mohd Yuszaidy, 2001: 64). 2 Dalam bahasa Cam, Rija bermaksud Raja. Rija merupakan panggilan kepada individu yang mewakili masyarakat Cam semasa upacara ritual itu. Rija akan bertindak sebagai pelaku atau pengantara dalam upacara ritual untuk menghubungi semangat. Selain itu, Rija akan membenarkan tubuhnya dimasuki semangat yang dipuja semasa upacara ritual itu. Rija yang diwakili oleh pelaku wanita dalam upacara ritual itu dipanggil Muk Rija. Sekiranya upacara ritual itu diwakili oleh pelaku lelaki dipanggil Kaing Rija.
65
Begitu juga kepercayaan kepada semangat yang sebati di dalam diri mereka adalah selari dengan kepercayaan Hindu. Ini adalah kerana sebahagian amalan-amalan yang terdapat pada kepercayaan animisme tidak jauh beza dengan kepercayaan Hindu. Ini menyebabkan kepercayaan terhadap pada semangat semakin kukuh dan sukar untuk dipisahkan di dalam masyarakat Cam. Oleh itu, masyarakat Cam yang menganuti kepercayaan Hindu dipanggil sebagai Cam Brahma. Masyarakat Cam Brahma masih mengamalkan beberapa amalan animisme dalam kehidupan seharian mereka seperti pembinaan rumah, pembukaan hutan, kelahiran bayi dan aktiviti pertanian. Di mana, setiap amalan yang dijalankan oleh masyarakat Cam Brahma turut menggunakan repertoir Rija sebagai pengantara untuk menghubungi semangat. Namun begitu, terdapat sebahagian besar daripada masyarakat Cam di wilayah Ninh Thuan dan Binh Thuan telah menganuti kepercayaan ajaran Islam. Di mana, masyarakat Cam yang menganuti kepercayaan ajaran Islam itu di panggil sebagai Cam Bani (Hassan Po Klong, 1995: 1239, Abdul Rahman, 1988: 202). Majoriti penempatan masyarakat Cam Bani lebih tertumpu di kawasan Phangrang di wilayah Ninh Thuan. Walaupun begitu, kepercayaan ajaran Islam yang dianuti oleh masyarakat Cam Bani bukan satu ajaran Islam yang tulen kerana telah disinkretikan dengan kepercayaan Hindu dan animisme (Abdul Rahman, 1988: 206-213). Ini menyebabkan, masyarakat Cam Bani masih mengamalkan amalan-amalan Hindu dan animisme di dalam kehidupan seharian mereka. Ini adalah kerana kepercayaan Hindu dan animisme yang terdapat pada diri mereka telah sebati dan sukar untuk dihapuskan. Oleh itu, masyarakat Cam Bani masih melakukan beberapa amalam Hindu seperti puja dewa-dewa Hindu semasa upacara buka pintu Candi. Misalnya, masyarakat Cam Bani turut serta dalam upacara buka pintu candi (Perayaan Katei) yang dirayakan oleh masyarakat Cam Brahma pada bulan tujuh Cam mengikut kalender Cam (Dharma, 1996: 148, Hassan Po Klong, 1995: 1249-51). Ini menyebabkan kepercayaan ajaran Islam yang dianuti oleh masyarakat Cam Bani tidak ada perbezaan yang ketara dengan kepercayaan Hindu yang dianuti oleh masyarakat Cam Brahmi. Ini adalah kerana, masyarakat Cam Bani masih menjalankan dan 66
mengekalkan amalan dan perbuatan kepercayaan Hindu dan animisme dalam kehidupan harian mereka.
Masyarakat Cam Bani Di Phang-Rang Dalam perbicangan ini akan memberi tumpuan kepada masyarakat Cam Bani yang mendiami di kawasan Phang-rang, wilayah Ninh Thuan. Masyarakat Cam Bani merupakan golongan majoriti di wilayah Ninh Thuan yang berjumlah kira-kira 50 ribu orang (Hassan Po Klong, 1995: 1239). Kebanyakan masyarakat Cam Bani mengusahakan pertanian penanaman padi sebagai sumber rezeki utama mereka. Selain itu juga, masyarakat Cam Bani turut melakukan kegiatan aktiviti menangkap ikan sebagai sumber rezeki sampingan. Masyarakat Cam Bani juga tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Sebaliknya ajaran Islam yang dianuti oleh masyarakat Cam Bani lebih kepada segi kepercayaan sahaja tanpa melakukan cara kehidupan Islam yang sepatutnya. Misalnya, solat hanya dilakukan oleh iman, puasa hanya dilakukan selama tiga hari pertama secara individu dan hari yang selebihnya dilakukan oleh iman sahaja dan tidak menunaikan haji di Makkah kerana Makkah tempat yang suci (DBP, 1995: 983). Masyarakat Cam Bani juga sering mengaitkan kegiatan pertanian penanaman padi dengan semangat. Ini adalah kerana masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa semangat yang memberikan mereka rezeki. Oleh itu, masyarakat Cam Bani tidak dapat memisahkan diri mereka dengan semangat. Ini menyebabkan masyarakat Cam Bani merasakan mereka perlu melakukan upacara ritual dan persembahan repertoir Rija untuk dipersembahkan kepada semangat sebagai tanda terima kasih. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa dengan mengadakan upacara ritual dan persembahan repertoir Rija dalam kehidupan mereka dapat memujuk dan mengimbangi semangat daripada menggangu mereka. Justeru itu, masyarakat Cam Bani menjalankan upacara ritual dan repertoir Rija dalam aktiviti pertanian padi. Ini adalah bertujuan untuk menenteramkan dan memujuk semangat tanah dan semangat padi daripada menganggu pertumbuhan 67
benih padi untuk tumbuh. Oleh itu, masyarakat Cam Bani akan mengadakan upacara ritual dan persembahan repertoir Rija terlebih dahulu sebelum aktiviti penanaman padi dilakukan di sawah padi. Selain itu juga untuk menenteramkan dan mengawal semangat, masyarakat Cam Bani menyediakan beberapa sajian untuk dipersembahkan kepada semangat. Sajian disediakan bertujuan untuk mejamu semangat sebagai tanda perhormatan dan berterima kasih kerana memberikan rezeki yang baik. Selain itu juga, sajian disajikan semasa upacara ritual dan persembahan repertoir Rija dengan bertujuan untuk memperolehi persetujuan daripada semangat. Ini adalah kerana persetujuan daripada semangat amat diperlukan supaya semangat tidak menganggu atau mengelakkan semangat terganggu daripada aktiviti-aktiviti yang mereka akan jalankan.
Jenis-Jenis Repertoir Rija Dalam Masyarakat Cam Bani Dalam masyarakat Cam Bani, repertoir Rija terbahagi kepada dua jenis. Jenis pertama, repertoir Rija yang dipersembahkan dalam upacara ritual yang diadakan secara besar-besaran. Manakala jenis kedua, repertoir Rija dipersembahkan dalam upacara ritual yang diadakan secara kecil-kecilan. Pembahagian ini berdasarkan mengikut keadaan atau suasana kejadian yang berlaku dalam masyarakat Cam Bani. Repertoir Rija yang dipersembahkan dalam upacara ritual yang diadakan secara besar-besaran dipanggil repertoir Rija Proang. Panggilan ini berdasarkan upacara ritual yang diadakan iaitu upacara ritual Rija Proang (Raja Besar). Upacara ritual Rija Proang adalah merupakan satu ritual yang dilakukan tujuh tahun sekali mengikut kalender bulan Cam. Proses upacara ritual itu mengambil masa selama tujuh hari dan tujuh malam untuk diselesaikan. Lazimnya, upacara ritual Rija Proang yang dilakukan membabitkan keseluruhan masyarakat Cam Bani di wilayah yang mereka didiami. Upacara ritual Rija Proang yang dijalankan oleh masyarakat Cam Bani bertujuan untuk memuja roh raja-raja Campa seperti Po Rome dan Po Kloang di samping semangat kampung (Abdul Rahman, 1988: 212). Ini adalah kerana masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa dengan mengadakan upacara ritual tersebut dapat memperolehi 68
rahmat dan pertolongan. Selain itu juga supaya kehidupan mereka tenteram dan baik di samping dapat mengelakkan berlakunya serangan penyakit. Manakala, repertoir Rija Proang dipersembahkan untuk melicinkan proses upacara ritual itu. Ini adalah kerana bunyi muzik yang dihasilkan daripada repertoir Rija itu dapat menarik roh rajaraja Campa dan semangat kampung menyerap masuk ke dalam upacara ritual tersebut. Selain itu, repertoir Rija Proang perlu menjalani upacara ritual yang lengkap sebelum dipersembahkan. Lazimnya, setiap kali sebelum persembahan repertoir Rija Proang diadakan perlu menjalani upacara ritual yang khusus. Begitu juga beberapa jenis sajian turut disertakan untuk dijamukan kepada semangat seperti seekor kerbau, seekor kambing jantan, buah-buahan dan kuih muih. Penyediaan sajian itu adalah sebagai tanda persetujuan dan penghormatan kepada semangat yang dipuja semasa upacara ritual itu. Manakala, repertior Rija yang dipersembahkan dalam upacara ritual yang dijalankan secara kecil-kecil terbahagi kepada tiga jenis. Ini adalah kerana upacara ritual yang djalankan masyarakat Cam Bani tidak membabitkan seluruh masyarakatnya. Sebaliknya hanya yang terbabit adalah penduduk kampung atau ahli keluarga sahaja. Oleh itu, repertoir Rija yang dipersembahkan dalam upacara ritual itu dipanggil repertoir Rija Nagar, Rija Hri dan Rija Dayop. Repertoir Rija Nagar dipersembahkan di dalam upacara ritual Rija Nagar. Manakala, repertoir Rija Hri dipersembahkan di dalam upacara ritual Rija Hri. Repertoir Rija Dayop pula dipersembahkan dalam upacara ritual Rija Dayop. Lazimnya, ketiga-tiga repertoir itu dipersembahkan berkaitan dengan semangat nenek moyang. Selain itu juga, setiap upacara ritual itu hanya dijalankan di kawasan atau halaman rumah sahaja. Begitu juga, repertoir Rija Nagar, Rija Hri dan Rija Gayop tidak memerlukan satu upacara ritual yang lengkap sebagaimana dengan repertoir Rija Proang yang dipersembahkan dalam Rija Proang. Repertoir Rija yang dipersembahkan dalam upacara ritual Rija Nagar dipanggil repertoir Rija Nagar. Upacara ritual Rija Nagar bermaksud upacara ritual menyambut tahun baru mengikut kalender bulan Cam pada bulan pertama (Bulan April-Mei). Lazimnya, 69
upacara ritual Rija Nagar hanya diadakan oleh kampung yang berkemampuan sahaja. Upacara ritual Rija Nagar diadakan bertujuan untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada penduduk kampung mereka yang mengadakan upacara ritual tersebut. Selain itu, upacara ritual Rija Nagar juga bertujuan untuk mengelakkan gangguan daripada semangat yang jahat atau penyakit yang bahaya kepada penduduk kampung. Pada waktu upacara ritual itu berlangsung diiringi persembahan repertoir Rija Nagar. Namun begitu, bentuk persembahan repertoir Rija Nagar tidak jauh berbeza dengan persembahan repertoir Rija Proang. Lazimnya, penduduk kampung akan mengadakan persembahan repertoir Rija Nagar dan upacara ritual di halaman rumah pihak yang mewakili penduduk kampung. Jenis kedua pula adalah repertoir Rija Hri (senja atau awal malam). Ini berdasarkan kepada upacara ritual yang dijalankankan oleh masyarakat Cam Bani iaitu upacara ritual Rija Hri. Upacara ritual Rija Hri adalah merupakan satu upacara ritual lanjutan daripada upacara ritual Rija Nagar. Lazimnya, upacara ritual Rija Hri dijalankan pada waktu senja selepas mengadakan upacara ritual Rija Nagar. Ini adalah merupakan upacara ritual pelengkap kepada upacara ritual Rija Nagar. Di mana hanya penduduk kampung yang berkemampuan sahaja akan mengadakan upacara ritual Rija Hri. Mereka akan mengadakan upacara ritual itu di dalam rumah masingmasing dengan diiringi repertoir Rija Hri. Ini adalah kerana, upacara ritual Rija Hri hanya membabitkan ahli keluarga sahaja. Upacara ritual Rija Hri bertujuan untuk memuja roh nenek moyang keluarga itu bagi menjaga keselamatan anak cucu mereka. Manakala, jenis ketiga iaitu repertoir Rija Dayop. Repertoir Rija Dayop dipersembahkan dalam upacara ritual pengubatan. Upacara ritual pengubatan itu dipanggil upacara ritual Rija Dayob. Upacara ritual Rija Dayop adalah merupakan upacara ritual yang berkaitan dengan proses mengubati penyakit yang disebabkan oleh semangat jahat. Biasanya, upacara ritual Rja Dayop dijalankan pada sebelah malam. Masyarakat Cam Bani mempercayai untuk memulihkan keadaan pesakit perlu mengadakan persembahan repertoir Rija. Ini adalah kerana alunan muzik yang dihasilkan daripada repertoir Rija dapat menarik semangat ke dalam alam manusia. Masyarakat Cam Bani percaya semangat yang menyerap masuk ke alam manusia dapat membantu mereka memulihkan 70
penyakit yang disebabkan oleh semangat jahat. Lazimnya, semangat yang puja dalam upacara ritual itu adalah semangat baik iaitu roh nenek moyang atau roh raja-raja Campa. Berdasarkan repertoir Rija yang dipersembahkan dalam upacara-upacara ritual masyarakat Cam Bani didapati bahawa repertoir Rija adalah repertoir yang penting dan dominan. Oleh itu didapati bahawa masyarakat Cam Bani mempercayai muzik yang dihasilkan daripada repertoir Rija dapat menarik semangat baik menyerap masuk ke dalam alam manusia. Ini adalah supaya semangat yang ditarik masuk itu dapat menolong atau membantu masyarakat Cam Bani dalam meneruskan kehidupan harian mereka.
Struktur Persembahan Repertoir Rija Dalam membincangkan mengenai struktur repertoir Rija akan merujuk kepada repertoir Rija Proang. Ini adalah kerana repertoir Rija Proang merupakan persembahan Rija yang mempunyai struktur persembahan yang lengkap. Ini adalah berbeza dengan jenis repertoir Rija yang lain. Struktur persembahan repertoir Rija Proang adalah terdiri daripada upacara berjamu, buka panggung, buka alat muzik dan tutup panggung. Repertoir Rija Proang sebelum dipersembahkan dalam upacara ritual tertentu, ia perlu menjalani satu upacara ritual yang khusus. Upacara ritual khusus yang dilakukan ke atas repertoir Rija Proang dipanggil upacara berjamu. Ini adalah merupakan upacara ritual yang pertama yang perlu dilalui oleh repertoir Rija Proang sebelum dibenarkan dipersembahkan. Upacara ritual berjamu merupakan ritual yang dilakukan untuk menjamu semangat atau roh nenek moyang sebelum persembahan. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa dengan mengadakan upacara ritual itu dapat memujuk dan menenteramkan semangat supaya dapat memperolehi persetujuan daripada semangat itu. Oleh itu, persetujuan daripada semangat diperlu untuk melicinkan persembahan repertoir Rija Proang. Selain itu dapat mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini semasa persembahan. Upacara ritual berjamu itu diketuai oleh Moduon atau 71
bomoh. Moduon akan bertindak sebagai ketua dalam upacara ritual itu. Moduon akan membaca jampi mantera sambil menyeru semangat atau roh nenek-moyang untuk datang menjamu ke atas sajian3 yang disediakan. Lazimnya, upacara ritual berjamu tidak mengambil masa yang lama untuk selesai. Upacara ritual itu berakhir apabila cahaya matahari telah terbit sepenuhnya. Selepas selesai upacara ritual berjamu, repertoir Rija Proang juga perlu menjalani satu upacara ritual yang khusus. Namun begitu, upacara ritual itu berkaitan dengan panggung yang digunakan semasa persembahan nanti. Upacara ritual itu dipanggil upacara ritual buka panggung. Upacara ritual buka panggung diperlukan untuk memperolehi persetujuan daripada semangat yang mendiami pada setiap penjuru panggung. Semangat itu perlu diminta kebenaran terlebih dahulu sebelum persembahan diadakan. Ini adalah supaya semangat itu tidak akan membawa sebarang masalah nanti. Selain itu, upacara ritual itu bertujuan memujuk semangat untuk membantu mereka menghasilkan persembahan yang menarik dan bermaya semasa persembahan nanti. Semasa upacara ritual buka panggung juga diketuai oleh Moduon. Lazimnya, Moduon akan membaca jampi mantera dalam bahasa Melayu. Ini adalah kerana masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam jampi mantera amat mujarab berbanding dengan bahasa Cam (Dharma, 1995: 248). Moduon akan menyeru semangat yang mendiami di setiap penjuru panggung itu untuk berdamai atau memujuk semangat tersebut. Semasa upacara ritual itu, Moduon berdiri dalam keadaan tegak di bahagian tengah panggung sambil menabur sedikit beras pada setiap penjuru panggung. Di mana, taburan beras pada setiap penjuru panggung dipercayai dapat menenteramkan atau memujuk semangat supaya tidak menganggu semasa persembahan nanti. Begitu juga, alat muzik yang digunakan dalam repertoir Rija Proang perlu menjalani satu upacara ritual yang khusus. Upacara ritual itu dipanggil upacara buka alat muzik atau puja alat muzik. Ini adalah kerana, masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa setiap alat 3
Sajian khusus terdiri daripada sekeping daging kambing, seekor ayam jantan berbulu putih, semangkuk bubur kacang, seikat daun pinang, anak pokok tebu panjang sebatang, sebakul buahbuahan dan sepasang pakaian.
72
muzik itu mengandungi semangat. Oleh itu, sebelum alat muzik dibenarkan digunakan dalam persembahan repertoir Rija Proang. Semangat itu perlu dipujuk atau didamaikan terlebih dahulu. Ini adalah kerana supaya semangat itu tidak membawa bencana atau merosakkan persembahan nanti. Selain itu juga, bertujuan memohon pertolongan daripada semangat untuk membantu menghasilkan bunyi yang menarik semasa persembahan nanti. Upacara ritual itu juga diketuai oleh Moduon. Moduon yang bertindak sebagai bomoh akan mengambil terlebih dahulu ginang untuk diasapkan. Ini adalah kerana ginang merupakan alat muzik utama dan penting dalam repertoir Rija Proang. Malah, ginang juga dianggap sebagai ketua dalam ensembel muzik repertoir Rija Proang. Moduon akan mengasapkan pada permukaan kulit ginang dengan asap kemenyan. Pada waktu yang sama, Moduon akan membaca jampi mantera kepada semangat yang mendiami ginang. Ini adalah bertujuan untuk memujuk atau berdamai dengan semangat supaya memperolehi persetujuan tidak akan menggangu semasa persembahan nanti. Proses upacara ritual itu berakhir apabila semua ginang dan alat muzik yang digunakan dalam ensembel muzik repertoir Rija Proang telah menjalani upacara ritual itu. Untuk menandakan upacara ritual itu telah selesai dan diterima oleh semangat, Moduon akan mengarahkan pemain ginang menabuh ginang beberapa kali. Lazimnya, pemain ginang akan memukul ginang dengan memainkan lagu-lagu seperti lagu Girat dan lagu Cai Asit. Oleh itu, masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa dengan mengadakan upacara ritual itu, ia dapat berdamai atau mengawal semangat yang mendiami ginang atau alat muzik lain daripada terganggu atau membawa bencana semasa persembahan nanti. Pada waktu yang sama, masyarakat Cam Bani akan menyediakan beberapa jenis sajian seperti sebakul buah-buahan, semangkuk kacang hijau, anak pokok tebu sebatang, semangkuk beras dan seekor ayam jantan berbulu putih. Kesemua sajian itu disediakan untuk dijamukan kepada semangat yang mendiami alat muzik. Oleh itu dipercayai bahawa dengan menyediakan sajian dapat mempercepatkan proses upacara ritual itu. Ini adalah kerana semangat itu dapat dipujuk supaya memberikan persetujuan untuk membantu mereka semasa persembahan nanti. 73
Begitu juga, setelah berakhir persembahan repertoir Rija Proang perlu diadakan satu upacara ritual yang khusus. Upacara ritual itu dipanggil upacara ritual tutup panggung. Upacara ritual tutup panggung diadakan bertujuan untuk mengembalikan kepada keadaan asal. Ini adalah kerana persembahan repertoir Rija Proang membabitkan semangat dan ia perlu dikembalikan semula ke tempat asalnya. Selain itu bertujuan mengelakkan berlaku keadaan yang tidak diingini kepada mereka yang terbabit dalam persembahan repertoir itu. Pada upacara itu, Moduon akan membaca jampi mantera menyeru semangat itu supaya kembali semula kepada tempat asal. Ini adalah kerana persembahan repertoir Rija Proang telah selesai. Di mana, semangat yang dipuja semasa persembahan itu perlu kembali semula ke tempat asalnya. Dengan cara Moduon akan melemparkan sedikit beras yang digenggam di setiap penjuru panggung. Malah, sedikit beras juga dilemparkan kepada mereka yang terbabit dalam persembahan repertoir itu terutamanya pemuziknya. Di mana, beras itu telah dijampi terlebih dahulu oleh Moduon sebelum dilemparkan di setiap penjuru dan mereka yang terbabit dalam persembahan repertoir itu. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa semangat padi yang mendiami beras itu akan membantu mereka mengembalikan semula semangat ke tempat asalnya.
Alat-Alat Muzik Dalam Repertoir Rija Alat-alat muzik yang digunakan dalam repertoir Rija boleh diklasifikasikan mengikut klasifikasi alat muzik yang dihasilkan oleh Curts Sachs dan E von. Hornbostel pada tahun 1914. Klasifikasi alat muzik itu dihasilkan bertujuan untuk menentukkan kedudukan setiap alat muzik (Arnold, 1995: 936-938). Klasifikasi alat muzik itu adalah terdiri daripada kumpulan alat membranofon, idiofon, erofon dan kordofon. Dalam repertoir Rija, alat membranofon terdiri daripada ginang. Ginang berfungsi sebagai peranan utama iaitu menghasilkan rentak dan tempo lagu. Alat idiofon pula terdiri daripada ceng. Ceng hanya bertindak sebagai memberi panduan kepada pemain alat muzik lain. Manakala, alat erofon terdri daripada sarinai. Sarinai berfungsi sebagai menghasilkan melodi. Alat kordofon yang digunakan dalam
74
ensembel muzik repertoir Rija dipanggil kanhi. Kanhi juga bertindak sebagai penghasil melodi dan sokongan kepada sarinai. Muzik repertoir Rija yang dimainkan oleh masyarakat Cam Bani lebih menekan kepada alat membranofon. Lazimnya, ensembel muzik repertoir Rija dimainkan atau memerlukan 5 hingga 6 orang pemuzik. Pada waktu persembahan, pemuzik-pemuzik akan duduk di atas pentas kecil yang disediakan di tepi pentas. Pemuzik yang menabuh ginang akan berkedudukan di hadapan pemuzik lain. Ini adalah kerana ginang merupakan ketua dalam ensembel muzik repertoir Rija. Oleh itu, ginang mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding dengan alatalat muzik lain. Dalam ensembel muzik repertoir Rija, ginang merupakan alat muzik yang utama dan penting. Ginang adalah alat muzik berbentuk tong panjang dan mempunyai dua muka kulit yang berlainan saiz. Namun begitu, ginang juga mempunyai bentuk bercembung dibahagian tengahnya. Muka kulit ginang biasanya diperbuat daripada kulit lembu atau kerbau. Kulit dipasang kepada baluh ginang dengan tali rotan atau tali nilon tebal. Kulit ditegangkan dengan cara menarik tali rotan atau tali nilon secara bentuk bersilang. Posisi ginang boleh dilakukan pelbagai cara mengikut keselesaan pemuzik yang menabuhnya. Lazimnya, ginang diletakkan secara mendatar di atas peha pemuzik. Kadangkala, ginang diletakkan dipermukaan lantai dengan disokong dengan kaki kiri atau kanan mengikut keselesaan pemuzik. Untuk menghasilkan timbre bunyi terhadap ginang, pemuzik akan menggunakan jari tangan. Justeru itu, ginang dipukul pada bahagian tepi, tengah atau di antara tengah dan tepi untuk menghasilkan timbre bunyi. Ginang menghasilkam tiga timbre bunyi apabila dipukul pada bahagian pukulan iaitu “dit”, “to’g”, dan “ding”. Lazimnya, persembahan repertoir Rija menggunakan dua buah ginang. Setiap ginang itu ditabuh dengan pola rentak tertentu. Pada waktu yang sama, kedua-dua pola rentak itu digabung dan membentukan struktur rentak yang lengkap dan menarik. Di mana, setiap satu ginang mempunyai fungsi tertentu dalam repertoir Rija. Ia bermaksud bahawa salah satu ginang akan berfungsi sebagai pembawa rentak. Manakala yang satu lagi akan berfungsi sebagai 75
peningkah. Oleh itu, pengabungan kedua-dua pola rentak itu akan menghasilkan rentak yang bertelingkah di samping bunyi yang menarik. Manakala, alat idiofon dalam ensembel muzik repertoir Rija dipanggil ceng. Alat ceng hanya dimainkan oleh seorang pemuzik sahaja. Alat ceng menghasilkan bunyi apabila permukaannya dipalu dengan kayu pemalu. Alat ceng merupakan alat yang diperbuat daripada campuran bahan tembaga dengan besi. Ceng mempunyai permukaan yang pipih dan mendatar tanpa mempunyai cembul atau busut dibahagian tengahnya. Namun begitu, ceng mempunyai fungsi sebagai panduan untuk pengulangan bagi lagu-lagu yang dimainkan dalam persembahan repertoir Rija. Ini adalah kerana, ceng hanya dipalu pada setiap dua bit pada segmen dalam rentak lagu yang dimainkan dalam repertoir Rija. Begitu juga, nadi bunyi paluan yang dihasilkan pada setiap paluan adalah sama iaitu pic “ceng”. Dalam ensembel muzik repertoir Rija, ceng digantung secara tegak pada sebatang kayu dan dipalu dengan menggunakan kayu yang berbalut yang diperbuat daripada kain atau getah. Selain itu, alat erofon yang digunakan dalam ensembel muzik repertoir Rija dipanggil sarinai. Sarinai diperbuat daripada kayu dan mempunyai batang yang berbentuk kon. Bahagian hujung berbentuk seakan-akan loceng yang berasingan daripada bahagian batang. Bahagian batang dan hujung sarinai biasanya dihiasi dengan ukiran. Lazimnya terdapat tujuh lubang jari dibahagian hadapan dan satu lubang jari di bahagian belakang batang sarinai. Untuk menghasilkan sebuah melodi pemain sarinai menggunakan cara pernafasan yang berterusan. Penggunaan cara pernafasan ini, udara ditiup daripada mulut pemuzik ke dalam sarinai melalui hujung alat tiupan. Apabila pemuzik yang meniup sarinai memerlukan udara akan menyedut udara melalui hidung dan pada masa yang sama pemuzik itu akan meneruskan meniup udara daripada mulut. Oleh itu, tiupan udara daripada mulut tidak berhenti dan melodi sarinai tidak berhenti atau terputus sehingga lagu selesai. Manakala, alat kanhi pula tergolong dalam alat kordofon. Kanhi dalam ensembel muzik repertoir Rija juga berfungsi sebagai melodi seperti dengan sarinai. Di mana, kanhi dibahagikan kepada dua 76
bahagian iaitu badan dan batang. Bahagian badan kanhi diperbuat daripada cengkerang kura-kura atau tempurung kelapa yang ditebuk pada bahagian tengahnya untuk dimasukkan sebatang kayu. Kayu ini merupakan batang yang bertindak sebagai fret dan tempat tali ditegangkan. Bunyi dihasilkan daripada tali nilon yang nipis bergetar akibat digesekkan keatasnya. Tali nilon dipasang pada badan kanhi dan ditegangkan dengan kuat. Di mana, dua tali nilon yang diikat dengan kuat dan ditegangkan pada pemengang (pemutar) di hujung batang alat itu. Manakala, alat pengeseknya diperbuat daripada sebatang kayu yang kedua-dua hujungnya diikat dengan tali yang diperbuat daripada pintalan sabut kelapa. Berdasarkan perbincangan itu didapati ensembel muzik repertoir Rija terdiri daripada alat membranofon, idiofon, erofon dan kordofon. Setiap alat muzik itu mempunyai fungsi dan peranan tersendiri di dalam repertoir Rija. Selain itu didapati bahawa alat membranofon merupakan alat muzik yang penting dan dominan dalam repertoir Rija.
Hubungan Repertoir Rija Dengan Ritual Hubungan repertoir Rija dengan ritual dalam masyarakat Can Bani amat berkaitan rapat. Ini adalah kerana masyarakat Cam Bani beranggapan bahawa repertoir Rija dan ritual memerlukan di antara satu sama lain supaya dapat menghasilkan sesuatu yang dikehendaki oleh masyarakat mereka. Oleh itu, masyarakat Cam Bani terutamanya di Phang-rang sering menggunakan repertoir Rija dan ritual sebagai pengantara untuk menghubungi semangat. Ini adalah bertujuan memperolehi persetujuan daripada semangat terhadap aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan. Selain itu, repertoir Rija yang dipersembahkan oleh masyarakat Cam Bani itu sendiri mengandungi unsur-unsur ritual di dalamnya. Ini menyebabkan repertoir Rija mempunyai hubungan yang rapat dengan ritual. Oleh itu sebelum dibenarkan dimainkan atau dipersembahkan kepada masyarakat mereka, repertoir Rija perlu menjalani beberapa upacara ritual. Upacara ritual yang terkandung dalam repertoir Rija adalah seperti upacara ritual kenduri, buka panggung, buka alat muzik dan tutup panggung. Setiap upacara ritual
77
itu mempunyai fungsi dan keistimewaan tersendiri dalam repertoir Rija. Dalam persembahan repertoir Rija didapati bahawa upacara ritual kenduri adalah yang terpenting. Oleh itu, upacara ritual kenduri perlu dilakukan sebelum persembahan repertoir Rija. Ini adalah kerana upacara ritual kenduri merupakan satu upacara untuk menghubungi semangat atau roh nenek moyang. Selain itu, upacara ritual kenduri merupakan proses pertama yang perlu dijalani oleh persembahan repertoir Rija. Lazimnya, upacara ritual kenduri dimulai pada waktu fajar menyinsing. Ini bermaksud pada awal pagi apabila matahari mula memacarkan atau menerbitkan cahaya. Ini adalah kerana mengikut kepercayaan masyarakat Cam Bani bahawa pada waktu itu semangat atau roh nenek moyang akan keluar daripada alam lain. Pada waktu yang sama, beberapa bahan sajian disajikan kepada semangat atau roh nenek moyang seperti seekor ayam jantan bebulu putih, semangkuk kacang hijau, beberapa patung-patung binatang yang diperbuat daripada tepung beras, sebakul buah-buahan dan sedulang kuih muih dalam pelbagai bentuk. Oleh itu, masyarakat Cam Bani beranggapan bahawa pada waktu itu amat sesuai untuk meminta pertolongan atau persetujuan daripada semangat atau roh nenek moyang. Begitu juga sebelum repertoir Rija dipersembahkan, ia perlu menjalani upacara buka panggung. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa mengadakan upacara ritual buka panggung akan mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini atau bencana semasa persembahan. Oleh itu, upacara ritual itu dapat mengelakkan persembahan repertoir Rija terganggu atau menganggu semangat atau roh nenek moyang mereka. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa persetujuan atau pertolongan yang diberikan oleh semangat atau roh nenek moyang yang diseru dan dipuja akan dapat menghasilkan mutu persembahan repertoir Rija yang menarik. Lazimnya, upacara ritual buka panggung itu diketuai oleh seorang bomoh yang dipanggil sebagai Moduon. Moduon akan membina satu tempat pentas khas semasa upacara ritual buka panggung. Pentas yang dibina itu menghadap kepada arah matahari naik iaitu disebelah timur. Ini adalah kerana Moduon mempercayai bahawa semangat atau roh nenek moyang akan keluar 78
daripada arah matahari naik. Di atas pentas itu disediakan beberapa batang lilin yang dinyalakan dan beberapa bentuk patung yang dibentuk daripada tepung beras dalam pelbagai warna seperti patung manusia dan binatang. Selain itu terdapat bahan sajian lain seperti sebakul buah-buahan, anak pokok tebu sebatang, semangkuk bubur kacang hijau dan seekor ayam jantan berbulu putih. Kesemua bahan sajian itu akan dijamukan kepada semangat atau roh nenek moyang yang dipuja dalam upacara ritual itu. Semasa upacara ritual buka panggung berlansung, Moduon akan membaca jampi mantera dalam bahasa Melayu. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa jampi mantera dalam bahasa Melayu lebih mujarab berbanding dengan bahasa Cam sendiri (Dharma, 1988: 148149). Moduon akan mengambil sedikit beras dan melemparkan sedikit beras di setiap penjuru panggung sebagai tanda menghormati semangat yang mendiami penjuru itu. Lazimya, upacara ritual itu mengambil masa selama dua jam baru diselesaikan. Upacara ritual buka panggung diakhiri dengan semua sajian dijamukan kepada mereka yang terbabit dalam upacara ritual itu sebagai tanda telah dipersetujui oleh semangat tersebut. Selain itu juga, sebelum persembahan repertoir Rija dipersembahkan kepada masyarakat atau tujuan tertentu perlu menjalani satu upacara ritual yang khusus untuk alat muzik yang digunakan dalam repertoir itu. Upacara ritual khusus alat muzik dalam masyarakat Cam Bani dipanggil upacara ritual puja atau buka alat muzik. Ini adalah kerana semua alat muzik yang digunakan dalam persembahan repertoir itu dipercayai mengandungi unsur semangat. Ini terutama kepada ginang yang diperbuat daripada bahan kulit binatang dan kayu yang dipercayai mengandungi semangat. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa dengan mengadakan upacara ritual itu dapat memujuk semangat yang mendiami setiap alat muzik itu. Oleh kerana itu, masyarakat Cam Bani juga mempercayai semangat yang dipujuk dalam upacara ritual itu dapat membantu menghasilkan persembahan yang menarik. Selain itu dengan mengadakan upacara puja alat muzik dipercayai juga dapat mengelakkan berlakunya bencana kepada pemuzik semasa persembahan.
79
Dalam upacara ritual puja alat muzik juga diketuai oleh Moduon. Moduon akan mengumpulkan setiap alat muzik untuk di susun dalam bentuk bulatan. Pada waktu yang sama, Moduon akan duduk di dalam bulatan itu sambil memenggang bara kemenyen yang berasap. Maduon akan mulakan upacara ritual itu dengan mengambil ginang terlebih dahulu. Ini adalah kerana ginang merupakan ketua dalam ensembel muzik repertoir Rija. Upacara ritual itu bermula dengan Moduon mengasap pada permukaan kulit ginang sambil membaca jampi mentera. Asap kemenyan itu diasapkan pada setiap keliling permukaan kulit itu yang bertujuan supaya semangat yang mendiami alat itu dapat dipujuk. Selain memujuk semangat, persetujuan daripada semangat diperlukan supaya ia dapat membantu menghasilkan bunyi yang menarik. Selepas selesai setiap ginang yang digunakan di dalam repertoir Rija diasap barulah diikuti alat muzik lain seperti kanhi, ceng dan sarinai. Untuk menyatakan upacara ritual puja alat muzik telah selesai. Moduon akan memberi isyarat kepada pemuzik yang menabuh ginang untuk memukul beberapa kali pada permukaan kulit ginang. Pukulan itu menandakan bahawa semangat yang mendiami alat muzik itu telah merestui dan memberikan persetujuan boleh digunakan untuk dimainkan dalam persembahan repertoir Rija. Begitu juga setelah berakhir persembahan repertoir Rija perlu menjalani satu upacara khusus sebagai menandakan persembahan itu telah tamat. Di mana, upacara ritual itu dipanggil upacara ritual tutup panggung. Dalam upacara ini hanya dilakukan oleh Moduon sahaja. Moduon akan membaca jampi mantera supaya semangat yang dipuja sebelum itu kembali semula ke tempat asal. Pada waktu itu, Moduon akan mengenggamkan sedikit beras dan ditaburkan beras kepada setiap penjuru panggung. Moduon juga memasukkan sedikit beras ke dalam mulutnya dan menyemburkan beras itu ke arah pemuzik repertoir Rija. Lazimnya, Moduon mengambil masa tidak lama untuk menyelesaikan upacara ritual tutup panggung. Upacara ritual tutup panggung bertujuan untuk mengembalikan semangat kepada tempat asal dan juga kepada semangat pemuzik kembali daripada keadaan kelupaan kepada keadaan sedia asal. Selain itu untuk mengelakkan berlaku keadaan yang tidak diingini selepas
80
persembahan seperti gangguan atau membawa bencana kepada penonton seperti penyakit. Selain itu juga, persembahan repertoir Rija memerlukan upacara ritual untuk mengimbangi semangat yang terdapat pada repertoir Rija dengan semangat yang mendiami dunia ghaib. Ini adalah kerana semangat yang terdapat pada repertoir Rija telah dipujuk dan ditenteramkan sebelum persembahan. Oleh itu, ritual diperlukan semasa persembahan Rija bagi mengawalkan atau memujuk semangat luar supaya berkeadaan baik. Lazimnya, Moduon akan membaca terlebih dahulu jampi mantera bagi berdamai dengan semangat luar. Ini bermaksud, semangat luar yang dipuja atau diseru semasa upacara ritual kenduri dan buka panggung perlu dikawal untuk mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini semasa persembahan repertoir Rija. Selain itu bertujuan untuk mengelakkan berlaku pertembungan di antara semangat yang terdapat pada repertoir Rija dengan semangat luar yang dipuja untuk sesuatu tujuan. Oleh sedmikian, masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa dengan mengadakan upacara ritual ke atas repertoir Rija dapat memujuk atau mengimbangi semangat yang terdapat pada repertoir Rija dan semangat luar berdamai. Ini adalah kerana kedua-dua semangat itu diperlukan oleh masyarakat Cam Bani untuk digunakan dalam kehidupan harian mereka. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa untuk menarik semangat luar ke dalam alam manusia memerlukan repertoir Rija dan upacara ritual. Ini adalah kerana gabungan repertoir Rija dan ritual dipercayai dapat menarik semangat luar masuk ke alam manusia untuk sesuatu tujuan. Ini bermaksud, upacara ritual merupakan elemen yang digunakan oleh manusia sebagai satu aktiviti untuk menarik semangat luar ke dalam aktiviti mereka. Manakala, repertoir Rija pula adalah alat yang digunakan sebagai pengantara untuk menghubungi semangat yang dipuja dalam upacara ritual. Oleh itu, semangat yang dipuja dalam upacara ritual itu dapat ditarik dengan iringi muzik yang dihasilkan daripada repertoir Rija. Malah, repertoir Rija juga berkemampuan untuk menarik semangat luar melalui persembahan di dalamnya. Misalnya, hubungan repertoir Rija dengan ritual dapat dilihat pada puja semangat padi. 81
Di mana, puja semangat padi yang dilakukan oleh masyarakat Cam Bani dijalankan dalam upacara ritual dan diiringi repertoir Rija. Pada waktu upacara ritual puja semangat padi, Moduon akan memuja semangat padi dengan mengambil anak benih padi untuk dipuja. Moduon akan memuja semangat padi sehingga mengalami kelupaan. Ini adalah kerana semangat padi telah menyerap masuk ke dalam tubuh Moduon untuk menyatakan persetujuan mengenai upacara ritual itu. Ini adalah kesan daripada muzik yang dihasilkan daripada repertoir Rija. Oleh demikian, semangat padi yang menyerap masuk ke dalam tubuh Moduon telah dapat dipujuk dan ditenteramkan. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa dengan persetujuan semangat padi itu dapat memberikan hasil padi yang baik. Ini adalah kerana pertumbuhan pokok padi tidak terganggu kerana telah dipelihara oleh semangat padi. Begitu juga proses pengubatan yang berkaitan gangguan semangat jahat diamalkan oleh masyarakat Cam Bani turut membabitkan ritual dan repertoir Rija. Masyarakat Cam Bani percaya bahawa untuk memulih penyakit yang disebabkan oleh gangguan semangat jahat perlu menjalani satu upacara ritual khusus. Upacara ritual khusus itu dipanggil ritual Dayop. Lazimnya, proses pengubatan itu diiringi muzik daripada repertoir Rija. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa alunan muzik yang dihasilkan daripada repertoir Rija dapat membantu mereka untuk mengubati penyakit yang berkaitan dengan gangguan semangat jahat. Ini adalah kerana muzik yang dihasilkan daripada repertoir Rija dapat menarik semangat baik untuk memasuki ke dalam alam manusia. Oleh itu, semangat baik ditarik masuk ke alam manusia dengan bertujuan untuk mengubati penyakit yang disebabkan oleh gangguan semangat jahat. Semasa proses pengubatan dijalankan telah diketuai oleh Moduon. Pada waktu yang sama Moduon akan mengesekkan kanhi sambil membaca jampi mantera. Jampi mantera dibaca dengan tujuan untuk memanggil semangat baik terutamanya roh raja-raja Campa dan roh nenek moyang. Semangat itu diperlukan untuk membantukan memulihkan penyakit daripada gangguan semangat jahat. Dalam upacara ritual itu, Moduon dibantu oleh seoarang pelaku. Pelaku yang membenarkan tubuh dimasuki semangat yang dipuja oleh Moduon. Selain itu, pelaku dijadikan pengantara supaya semangat baik dapat berintraksi dengan Moduon. Proses kemasukan semangat itu berlaku 82
semasa pelaku mengalami keadaan kelupaan akibat kesan daripada alunan muzik yang dihasilkan daripada repertoir Rija. Dengan cara begini, ia memudahkan Moduon berintraksi dengan semangat baik untuk mengetahui jenis penyakit yang dialami oleh seseorang pesakit. Oleh itu didapati bahawa ritual dan repertoir Rija tidak dapat dipisahkan kerana diperlukan oleh masyarakat Cam Bani untuk mengubati panyakit disebabkan oleh gangguan semangat jahat. Selain itu, ritual dan repertoir Rija juga diperlukan oleh masyarakat Cam Bani semasa membina rumah. Dalam komuniti masyarakat Cam Bani masih mengekalkan tradisi membina rumah yang menggunakan ritual tertentu dan diiringi muzik repertoir Rija. Sebelum tiang seri dinaikkan ditapak rumah yang hendak didirikan. Masyarakat Cam Bani mengadakan ritual berjamu untuk dipersembahkan kepada semangat tanah. Ini adalah bertujuan untuk memujuk atau berdamai dengan semangat tanah supaya tidak menganggu penghuni rumah itu nanti. Pada waktu yang sama muzik repertoir Rija dimainkan untuk melicinkan proses ritual tersebut. Selepas ritual berjamu selesai, tiang seri dinaikkan oleh mereka dengan diiringi muzik repertoir Rija. Masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa semangat tanah yang mendiami pada tapak rumah yang didirikan akan mendiami pada tiang seri nanti. Oleh itu, masyarakat Cam Bani percaya semangat tanah itu tidak akan menganggu mereka kerana telah disediakan satu tempat khas untuk didiami. Setelah upacara ritual itu selesai, barulah tiang di setiap penjuru dinaikan dan kerja mendirikan rumah diteruskan. Kini, tradisi menggunakan upacara ritual dan repertoir Rija untuk mendirikan rumah masih diamalkan oleh masyarakat Cam Bani. Berdasarkan perbincangan mengenai hubungan repertoir Rija dengan ritual didapati kedua-duanya memerlukan di antara satu sama lain. Ini adalah kerana repertoir Rija sendiri mempunyai upacara ritual tersendiri didalamnya. Begitu juga upacara ritual yang memerlukan repertoir Rija untuk menjayakan proses pemujaan. Oleh itu, gabungan repertoir Rija dan upacara ritual dapat menghasilkan sesuatu yang diperlukan oleh masyarakat Cam Bani dalam kehidupan seharian mereka.
83
Kesimpulan Masyarakat Cam telah menerima pelbagai kepercayaan di dalam masyarakat mereka. Kepercayaan pertama yang dianuti oleh masyarakat Cam iaitu animisme. Kepercayaan yang lebih tertumpu kepada puja semangat yang mendiami pokok besar, batu besar, sungai dan gunung. Namun begitu, kepercayaan animisme yang dianuti oleh masyarakat Cam telah beralih kepada kepercayaan Hindu. Walaupun begitu, kepercayaan animisme masih diamalkan oleh sebilangan masyarakat Cam. Kepercayaan Hindu yang dianuti oleh masyarakat Cam tidak jauh beza dengan kepercayaan animisme yang diamalkan sebelum itu. Ini adalah kerana kepercayaan Hindu juga berkaitan dengan semangat iaitu memuja dewa-dewa dan dewi-dewi Hindu. Oleh itu didapati kepercayaan Hindu telah disinkrektik dengan kepercayaan animisme oleh masyarakat Cam. Ini telah menyebabkan masyarakat Cam telah mengubahkan pemujaan dewa-dewa Hindu kepada memuja roh rajaraja Campa dan roh nenek moyang mereka. Selepas itu, masyarakat Cam telah menganuti kepercayaan Islam. Namun begitu kepercayaan Islam yang dianuti oleh masyarakat Cam juga turut disinkretik dengan kepercayaan animisme dan Hindu oleh mereka yang berdasarkan pemikiran mereka. Daripada penerimaan pelbagai kepercayaan itu telah melahirkan masyarakat Cam kepada tiga kumpulan iaitu Cam Hroi yang menganuti kepercayaan animisme, Cam Brahma mengamalkan kepercayaan Hindu dan Cam Bani pula memeluk ajaran Islam. Masyarakat Cam Bani merupakan masyarakat majoriti dan memeluk ajaran Islam tetapi bukan ajaran Islam yang tulen. Oleh demikian, masyarakat Cam Bani masih mengamalkan beberapa amalan daripada kepercayaan animisme dan Hindu dalam kehidupan mereka. Ini adalah kerana kepercayaan animisme dan Hindu sukar untuk dihapuskan kerana ia telah sebati dalam diri mereka. Selain itu juga, ajaran Islam yang dianuti oleh masyarakat Cam Bani telah disinkretikan dengan kepercayaan animisme dan Hindu dalam kehidupan harian mereka. Oleh itu, masyarakat Cam Bani masih mengadakan persembahan repertoir Rija bersama dengan upacara ritual. 84
Masyarakat Cam Bani masih mempercayai bahawa kehidupan mereka di bawah kawalan semangat. Justeru itu, masyarakat Cam Bani sering mengadakan persembahan repertoir Rija dan upacara ritual untuk tujuan mengimbangi atau memujuk semangat daripada menganggu kehidupan mereka. Ini adalah kerana masyarakat Cam Bani mempercayai bahawa persembahan repertoir Rija dan upacara ritual dapat mengawal semangat daripada membawa bencana atau gangguan kepada mereka. Ini menyebabkan repertoir Rija yang dipersembahkan oleh masyarakat Cam Bani sehingga kini masih mengekalkan tradisi ritual di dalamnya.
Bibliografi Abdul Rahman Al-Ahmadi (ed). (1988) Alam Melayu: Sejarah dan Kebudayaan Campa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dewan Bahasa dan Pustaka. (1999) Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dharma, Po. (1996) “Kerajaan Campa”. di dalam P. B. Lafont (ed). Terjemahan. Mohd Azam Musa. Semenanjung Indocina: Satu pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dharma, Po. (1988) “Peranan Tamadun Melayu dalam Masyarakat Campa”. di dalam Ismail Hussein, Aziz Deraman dan Po Dharma (ed). Tamadun Melayu. Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hassan Po Klong. (1995) “Masyarakat Islam di Campa”. di dalam Ismail Hussein, Aziz Deraman dan Po Dharma (ed). Tamadun Melayu. Jilid 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd Yuszaidy Mohd Yusoff. (2001) “Alat-alat muzik dan bentuk muzik masyarakat Cam di Vietnam”. di dalam Mohd Anis Md. Nor (ed). Tirai Panggung. Jilid 4. Kuala Lumpur: Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya.
85