ISLAM DALAM DASAR PENDIDIKAN NEGARA DI MALAYSIA Saiyah Naharani @ Aloi & Ibnor Azli Ibrahim
Abstrak Sejarah kewujudan sistem pendidikan perlu diketahui bagi menyedarkan masyarakat betapa pentingnya sistem pendidikan terutama pendidikan Islam bagi membentuk sebuah negara yang maju tanpa mengenepikan nilai keinsanan. Kemerosotan ketamadunan sesebuah negara itu lenyap apabila pendidikan mereka tidak mengutamakan nilai kerohanian dan akhlak. Pendidikan di Malaysia meletakkan falsafah pendidikan Islam sebagai teras kepada sistem pendidikan di Malaysia. Objektif kertas kerja ini adalah untuk meninjau perkembangan Dasar Pendidikan Negara sehingga terbentuknya satu sistem pendidikan yang boleh membangunkan modal insan berteraskan sistem pendidikan Islam. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah kajian kepustakaan yang mana pencarian maklumat adalah melalui dokumen-dokumen bertulis dan bercetak seterusnya ia dianalisis. Kajian ini mendapati bahawa sistem pendidikan di Malaysia mengalami beberapa tranformasi bagi mengisi kelompangan yang perlu kepada penambahbaikan bagi memenuhi keperluan masyarakat dan juga negara yang berhasrat melahirkan rakyat Malaysia yang berteraskan kepada pembangunan modal insan.
Pengenalan Islam adalah agama yang cukup sempurna dalam segala aspek sama ada dalam ibadah, sahsiah, ekonomi, perundangan, politik dan juga pendidikan. Islam menuntut umatnya melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangannya. Namun kesempurnaan Islam bukan sahaja terletak kepada amalan semata-mata malahan ianya memerlukan kepada kesedaran dan penghayatan kepada kehidupan beragama. Islam amat menitik beratkan soal pendidikan sehinggakan di dalam al-Quran sebanyak 1404 ayat atau hampir 25 peratus daripada semua ayat-ayat al-Quran menyentuh tentang pendidikan.1 Keadaan ini menjelaskan bahawa kepentingan pendidikan amat ditekankan di dalam Islam untuk membentuk manusia ke tahap yang maksimum berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai pegangan kehidupan seharian. Oleh itu, Islam meletakkan kedudukan pendidikan ini sebagai suatu yang suci dan ianya amat penting sekali sehinggakan ianya menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari Islam dan merupakan satu ibadah yang besar bagi mereka yang
1
Kamarudin Hj Kachar. 1989. Strategi penerapan nilai-nilai Islam di Institusi Pendidikan. Kuala Lumpur: Terbitan Teks Publishing Sdn.Bhd, hlm. 28
107 mematuhi tuntutan ini.2 Kedudukan dan kepentingan pendidikan ini amat jelas apabila Allah s.w.t menurunkan ayat al-Quran yang pertama ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Ianya tidak dimulai dengan perintah yang berhubung dengan perkara lain seperti ibadat, tetapi sebaliknya ia dimulakan dengan perintah yang berhubung dengan soal pendidikan.3 Firman Allah s.w.t: 4
Maksudnya: Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk), Ia mencipta manusia dari sebuku darah beku, bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.5 Wahyu ini merupakan perintah Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya mengisytihar dan menyebarkan Islam kepada semua umat manusia. Wahyu pertama ini mengandungi perintah yang menyuruh manusia belajar mengenal Tuhan, memahami fenomena alam, diri sendiri serta menghayati bahawa cara hidup yang baik adalah tergolong dalam prinsip akidah, ilmu dan amal. Ketiga-tiga perkara ini pula dianggap sebagai teras kepada Falsafah Pendidikan Islam.6 Definisi Pendidikan Islam Pendidikan adalah proses pengajian sepanjang hayat, selaras dengan ungkapan Melayu yang sering disebut, iaitu menuntut ilmu bermula sejak di dalam buaian hinggalah ke liang lahad. Oleh itu, keadaan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendidikan amat penting kepada seseorang individu, masyarakat dan juga negara. Oleh yang demikian ia menjadi salah satu agenda utama dalam perancangan pembangunan negara. Hasil kepada proses pendidikan yang berpanjangan, maka akan wujud sebuah ketamadunan yang dapat berdiri megah dengan berpaksikan pendidikan bersifat universal. Definisi pendidikan dari aspek Etimologi boleh dibahagikan kepada bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.Menurut tatabahasa Melayu, perkataan pendidikan
2
Ahmad Mohd. Salleh. 1997. Pendidikan Islam: Falsafah, Pedagogi dan Metodologi, Shah Alam: Terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd, hlm. 1 3
Ahmad Mohd. Salleh, 1997. hlm. 1
4
Al-Quran, Surah al-Alaq 96:1-4
5
Semua Terjemahan ayat al-Quran dalam tulisan ini berdasarkan daripada Tafsir Pimpinan al-Rahman, edisi 12, 2001. Kuala Lumpur: Darulfikir di bawah kawalan JAKIM, JPM 6
Asiah Ali. 1999. Peranan Ulama dalam bidang Pendidikan Islam di Negeri Kelantan:Suatu Kajian Khusus di antara tahun 1940-1990, Kuala Lumpur : Terbitan Universiti Malaya, hlm. 19
108 adalah asal daripada perkataan didik yang dikategorikan sebagai kata kerja.7 Perkataan didik dalam bentuk kata kerja ini bermaksud pelihara, menjaga dan ajar.8 Apabila ia diubah menjadi kata terbitan dengan penambahan awalan pen- dan akhiran –an, ia menjadi pendidikan yang bermaksud perhal mendidik, pengetahuan mendidik, didikan, latihan dan ajaran.9 Istilah pendidikan dalam bahasa Inggeris pula dikenali sebagai education yang bererti pendidikan atau latihan.10 Manakala dalam bahasa Arab istilah ini dikenali sebagai tarbiah yang bererti pemeliharaan, asuhan dan didikan.11 Dalam mentafsirkan istilah pendidikan tersebut, beberapa tokoh ilmuan dan sarjana sama ada dari Barat atau Islam telah mengemukakan pendapat mereka masingmasing. Mok Soon Sang seorang tokoh ilmuan tempatan dan pakar dalam bidang pendidikan telah mengemukakan pendapat seorang tokoh ilmuan Barat iaitu John Dewey (1859-1952) yang merupakan seorang pakar pendidikan dari Amerika Syarikat, mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses perkembangan individu. Beliau berpendapat bahawa pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan bagi menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang sedia ada supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan selamat.12 Menurut Abdullah Ishak pula, pendidikan bermaksud proses melatih akal, fizikal, moral, perasaan dan kemasyarakatan untuk menjadi manusia yang baik dan warganegara yang baik. 13 Manakala menurut pandangan Daulay, pendidikan secara teorinya ialah suatu perkara yang lahir hasil daripada pemindahan ilmu, nilai dan tingkahlaku. Ianya berlaku sama ada melalui pendidikan formal dan tidak formal.14 Daripada beberapa pengertian pendidikan yang dikemukakan oleh para ilmuan, dapat disimpulkan bahawa pendidikan membawa pengertian yang sangat luas dan ianya berlaku secara tidak lansung di antara individu dengan individu yang lain melalui perhubungan dan komunikasi dan proses pemindahan ilmu berlaku daripada seseorang yang memilikinya kepada seorang yang belum memilikinya untuk diterjemahkan dalam membentuk kehidupan harian mereka.Sehubungan dengan itu, apabila perkataan pendidikan disandarkan kepada Islam, ia merupakan dua kalimah yang digabungkan untuk membentuk satu istilah yang membawa maksud subjek yang
7
Abdullah Ishak.1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 4 8
Teuku Iskandar. 2007. Kamus Dewan, Edisi keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.350 9
Kamus Dewan. Edisi 4, hlm.350
10
Hawkins, Joyce M. 2001. Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, hlm. 121 11
Muhammad Idris al-Marbawi.1998. Kamus Idris al-Marbawi Arab-Melayu, Kuala Lumpur: Dar alNu,man, hlm. 225 12
Mook Soon Sang. 2012. Falsafah dan pendidikan di Malaysia. Selangor: Multimedia Sdn. Bhd, hal.226 13 14
Abdullah Ishak. 1995. hlm. 12
Haidar Putra Daulay. 2009. Dinamika Pendidikan Islam di Asia Tenggara. Jakarta: PT Rineka Cipta. hlm. 2
109 menjadi alat untuk mendidik manusia kepada ajaran Islam.15 Ini membawa maksud bahawa pembinaan dan pembentukan manusia yang sempurna terbentuk daripada pendidikan Islam. Oleh yang demikian pendidikan Islam perlu dititik beratkan dalam mendidik anak-anak agar menjadi insan yang kamil dan sempurna serta seimbang dengan keperluan akademik, agama dan kerohanian. Fenomena ini merupakan agenda utama dalam Dasar Pendidikan Negara untuk melahirkan modal insan yang seimbang dalam akademik dan agama. Oleh yang demikian, terdapat kepelbagaian definisi Pendidikan Islam yang diutarakan oleh para ilmuan dan sarjana Islam. Walaupun terdapat perbezaan daripada segi definisi tetapi ia membawa maksud yang sama kerana daripada pengertian pendidikan Islam itu sendiri membawa erti tunduk kepada tuntutan akidah, syariat dan akhlak Islam. Keadaan ini sudah jelas menunjukkan keunikan Islam itu sendiri. Oleh itu, untuk menggambarkan pengertian pendidikan Islam, dikemukakan beberapa definisi yang dikemukakan oleh para sarjana Islam.Hasan al-Sharqawi merupakan seorang tokoh ilmuan Islam menyifatkan bahawa pendidikan Islam sebagai satu kefahaman terhadap ajaran Islam yang membawa seorang manusia kepada menjauhi diri dari sifat-sifat tercela dan mendekatkan diri dengan sifat-sifat terpuji. Semuanya ini akan dapat mencerdikkan akal, menguatkan tubuhbadan, membersihkan diri dan menyucikan hati tanpa menjadikan salah satu daripadanya melemahkan yang lain. Baginya, pendidikan Islam ialah satu usaha untuk menyeimbangkan dan menyamakan di antara kekuatan yang ada pada tubuh badan dan antara kekuatan diri dan hubungannya dengan Allah s.w.t, kejadian sekeliling dan manusia seluruhnya.16 Manakala menurut Fathi Yakan bahawa pendidikan Islam ialah proses membentuk individu dan masyarakat berdasarkan paksi Islam sama ada dalam aspek pegangan, pemikiran mahupun perbuatan. Proses pendidikan dalam Islam ialah bermatlamat untuk membina individu dan masyarakat berdasarkan kefahaman Islam yang sempurna tanpa campur tangan unsur-unsur yang lain. Hasilnya akan wujud pembinaan individu muslim yang sempurna, seimbang dan terkawal.17 Ahmad Mohd Salleh telah memetik pendapat daripada Yusuf al-Qardhawi, bahawa pendidikan Islam adalah sebagai pendidikan bagi keseluruhan hidup termasuk akal dan hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkah laku. Kerana tujuannya ialah untuk menyediakan manusia bagi menghadapi hidup, baik dalam keadaan senang atau susah, dalam keadaan damai atau perang, disamping menyediakan mereka untuk menghadapi masyarakat yang sering menghadapi kebaikan dan kejahatannya, kemanisan dan kepahitan.18 Berdasarkan kepada definisi pendidikan Islam yang dikemuka, dapatlah disimpulkan bahawa pendidikan Islam merupakan proses mendidik dan melatih aqliah, jasmaniah
15
Kamarul Azmi Jasmi & Ab. Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam: Kaedah pengajaran dan pembelajaran. Johor: Universiti Teknologi Malaysia(UTM), hal.1 16
Hasan al-Sharqawi. 1983. Nahw Tarbiah Islamiah. Iskandariah: Muassasah Thiyab al-Jami’ah, hlm.13 17
Fathi Yakan. 1997. Al-Tarbiyah al-Wiqaiyyah fi al Islam. Beirut: Muassasah al-Risalah, hlm. 20
18
Ahmad Mohd. Salleh. 1997. hlm.10 & 11
110 dan rohaniah manusia berasaskan nilai-nilai Islamiyah yang bersumberkan wahyu alQuran dan al-Sunnah bagi melahirkan manusia yang bertakwa dan mengabdikan diri semata-mata kerana Allah s.w.t. Sesungguhnya pendidikan Islam merupakan suatu pendidikan yang mempunyai hubungan yang erat dengan Pencipta (Allah s.w.t). Ianya bukanlah merupakan pendidikan yang dibina berdasarkan kepada pemikiran dan kenyataan-kenyataan yang berlaku di sekeliling manusia semata-mata. Malah ianya adalah pendidikan yang mengembalikan manusia kepada penciptanya, bertujuan untuk kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.19 Matlamat Pendidikan Dalam Islam Sebagaimana yang diketahui umum, pendidikan merupakan tunjang kepada ketamadunan dan kemajuan sesebuah negara, namun dalam Islam kesepaduan ilmu dalam pendidikan amat penting untuk melahirkan generasi muslim yang seimbang untuk memenuhi keperluan dunia dan akhirat. Oleh yang demikian pendidikan dalam Islam bukan sahaja memerlukan tahap seseorang itu boleh membaca, menulis, memahami, bahkan menghubungkan maklumat yang diperolehi sehingga memahami kedudukan mereka di dunia dan Pencipta.20 Maka, matlamat utama pendidikan Islam ialah untuk membina insan yang berilmu, berakhlak dan beketrampilan. Lantaran itu pendidikan di dalam Islam menuntut umatnya agar mengenal siapa Tuhannya, siapa dirinya dan ke mana halatuju kehidupannya.21 Oleh yang demikian matlamat pendidikan Islam adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa kepada Allah s.w.t dan juga Rasul-Nya serta mengabdikan diri kepada-Nya. Justeru itu, pendidikan Islam dapat melahirkan insan yang kamil dan berakhlak mulia. Ini adalah kerana kemuliaan akhlak memberi impak yang besar dalam kehidupan seseorang di dunia dan di akhirat. Akhlak yang baik terpancar daripada kekuatan akidah dan penghayatan syariat. Malahan akhlak merupakan pelengkap kepada kehidupan manusia.22 Oleh itu al-Quran dan al-sunnah menjadi landasan untuk mencapai matlamat tersebut. Dasar Pendidikan Negara Pendidikan di Malaysia terutama dalam pendidikan Islam bermula dengan kedatangan Islam ke Melaka sekitar abad ke 14 dan pengislaman Parameswara selaku raja atau pemerintah di Melaka pada waktu itu.23 Oleh itu, Islam mula diajar dan menjadi satu pendidikan bermula di rumah tok guru atau imam dan berkembang menjadi sekolah
19
Ahmad Mohd. Salleh. 1997. hlm.12
20
Suzalie Mohamad.2003. Memahami isu-isu pendidikan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). hal. 80 21
Suzalie Mohamad. 2003. hal. 277
22
Mohd Hairudin Amin dan Kamarul Azmi Jasmi. 2011. Sekolah Agama penjana generasi berakhlak. Johor: Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hal.141 23
Abdul Halim Hj Mat Diah. 1989. Pendidikan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia, hlm. 7
111 pondok serta diperkemaskan menjadi madrasah atau sekolah agama. Walaupun penjajaah mula menjajah Tanah Melayu, namun pendidikan Islam terus berjalan sehingga kedatangan Inggeris menyebabkan pendidikan Islam mula mengalami perubahan dan penduduk di Malaysia mempunyai pendidikan berbentuk agama dan sekular. Selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu, kerajaan Inggeris cuba memperbaiki sistem pendidikan di Tanah Melayu tetapi sudah terlambat kerana masyarakat Melayu mulai sedar tentang penting mengwujudkan satu pendidikan tersendiri dan mempunyai negara sendiri. Oleh yang demikian apabila Malaysia mencapai kemerdekaan, kerajaan Malaysia merangka satu sistem pendidikan tersendiri. Sistem pendidikan merupakan asas penting bagi membangunkan masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik. Oleh yang demikian dasar pendidikan negara perlu wujud dalam sistem pendidikan kerana ia menjadi asas kepada pembentukan sistem pendidikan bahkan menjadi panduan yang amat penting dalam melaksanakan sistem pendidikan. Tanpa dasar yang jelas, sudah tentulah sistem dan pelaksanaannya tidak akan teratur. Catatan sejarah telah menjelaskan bahawa sebelum penjajahan Inggeris di Tanah Melayu sehingga pra kemerdekaan tidak terdapat dasar pendidikan yang khusus dalam sistem pendidikan. Pendidikan berjalan mengikut kaum masing-masing berdasarkan kurikulum yang mereka bina sendiri tanpa sebarang penyelarasan dan pemantauan daripada pihak Inggeris. Selepas Perang Dunia Kedua, pihak Inggeris cuba menyusun semula sistem pendidikan di Tanah Melayu dengan memperkenalkan Rancangan Cheeseman, Laporan Barnes, Penyata Feen-Wu dan Ordinan 1952. Tetapi rancangan yang dirancang itu tidak berjaya dilaksanakan kerana terdapat pelbagai halangan dan pada waktu itu juga kerajaan Inggeris sibuk membaik pulih semula sekolah yang rosak akibat peperangan tentera Jepun. Kenyataan ini menjelaskan bahawa sebelum kemerdekaan tiada dasar pendidikan yang diwujukan di Tanah Melayu bagi mengatur sistem pendidikan yang seragam bagi semua kaum walaupun pelbagai langkah dan strategi yang dijalankan oleh orang Inggeris untuk memperbaiki sistem pendidikan di Tanah Melayu. Atas sikap kesedaran yang menebal dalam kalangan orang Melayu untuk mengwujudkan sistem pendidikan sendiri tanpa campurtangan daripada pihak penjajah, akhirnya apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah bagi menyusun semula sistem pendidikan di Tanah Melayu. Satu dasar pendidikan kebangsaan telah dirangka.24 Bertitik tolak daripada peristiwa ini, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji sistem pendidikan di Tanah Melayu. Penyata Razak 1956 telah dibentuk dan dilaksanakan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada tahun 1957. Penyata Razak ini merupakan satu usaha ke arah mengwujudkan rakyat Tanah Melayu yang bersatu padu. Walaupun penyata ini diterima sepenuhnya oleh masyarakat di Tanah Melayu namun timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu terutama guru-guru Melayu kerana pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak begitu tegas. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah
24
Yusof Ismail. 2008. Dasar-dasar Utama Kerajaan Malaysia, Kuala Lumpur: A.S. Noordeen. hlm. 120
112 menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji pelaksanaan Pernyata Razak 1956. Penyata Rahman Talib 1961 telah dibentuk bagi memperkemaskan lagi dasar dan sistem pendidikan yang terkandung dalam Penyata Razak. Cadangan dan syor yang terkandung dalam Penyata Rahman Talib ini telah diterima oleh kerajaan. Namun begitu, penyata ini telah digubal semula pada tahun 1961 dan dinamakan Akta Pendidikan 1961.25 Jelasnya di sini dasar pendidikan yang termaktub dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah berdasarkan Penyata Razak , Penyata Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961. Oleh itu, Dasar Pendidikan Negara ini sentiasa dikaji dan disusun semula bagi menyesuaikan negara dengan perkembangan zaman lebih-lebih lagi di zaman globalisasi. Laporan Kabinet 1979 adalah permulaan kepada pembentukan Falsafah pendidikan Negara yang lebih jelas. Laporan Kabinet ini lebih menumpukan kepada corak pendidikan kerohanian dan kurikulum ala Malaysia. Zaman globalisasi atau pensejagatan sehingga semua maklumat diketahui melalui hujung jari merupakan satu cabaran baru dan hebat bagi sistem pendidikan di negara kita yang menyebabkan kerajaan mengkaji dasar pendidikan agar ianya selari dan mampu bersaing dengan negara luar serta mengatasi masalah sosial yang melanda negara. Akhirnya lahir Akta Pendidikan 1996 tanpa mengenepikan atau menghapuskan Penyata Razak, Penyata Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1961. Bermula daripada Akta Pendidikan 1996 sistem pendidikan sentiasa menerima perubahan dan penambahbaikan. Pendidikan Islam dijadikan teras dalam dasar dan falsafah pendidikan negara untuk membentuk masyarakat yang berilmu pengetahuan dan melahirkan modal insan yang berakhlak mulia dan sentiasa berpegang teguh kepada agama serta menjadi warga negara yang syumul. Oleh itu pada masa kini Dasar Pendidikan Negara yang digubal merupakan satu gambaran aspirasi kerajaan dalam menentukan hala tuju pendidikan negara. Dasar yang digubal akan menjadi teras serta sumber rujukan dalam setiap program yang akan dirancang dan dilaksanakan. Dasar yang dirangka ini meliputi kesinambungan daripada dasar yang sedia ada serta dasar baru yang akan dilaksanakan agar sistem pendidikan di negara ini sentiasa relevan dengan sistem pendidikan dunia lebih-lebih lagi di zaman era 2020 yang mana Malaysia menuju ke arah negara maju. Pengemaskinian dan penambahbaikan terhadap Dasar Pendidikan Negara adalah wajar dilakukan kerana hasrat kerajaan untuk menuju zaman wawasan 2020 yang mana zaman yang penuh dengan cabaran dan perlunya satu sistem pendidikan yang mampu menangani dan bergerak selari dengan arus kemodenan dan arus globalisasi. Kesan daripada hasrat kerajaan ini wujud dasar baru iaitu Pelan Tranformasi Negara, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dan yang terkini Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Kesemua dasar yang digubal ini adalah bertujuan untuk membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia, di samping memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara. Kementerian Pelajaran Malaysia menetapkan matlamat,
25
Ismail Said. 2010. Perkembangan Sejarah Negara. Selangor: Multimedia Sdn. Bhd. hlm.164-168
113 iaitu melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia, bersatupadu, beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan, sejahtera, menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara dan memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara.26 Falsafah Pendidikan Kebangsaan Falsafah Pendidikan Negara merupakan tunjang kepada sistem pendidikan di Negara Malaysia. Falsafah ini digubal atas kesedaran bahawa perlunya satu sistem pendidikan yang mengikut acuan sendiri serta mempunyai satu hala tuju dan matlamat yang jelas untuk merubah masyarakat Malaysia yang mempunyai pendidikan yang tinggi setaraf dengan negara-negara maju. Apabila ditinjau dari sudut sejarah, Falsafah Pendidikan Negara lahir daripada proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan bangsa dan juga negara iaitu merdeka lagi. Kewujudan Akta Pendidikan 1961 yang dilaksanakan berdasarkan kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib adalah titik permulaan kepada kelahiran Falsafah Pendidikan Negara. Namun begitu ianya tidak luas dan hanya sesuai dengan zaman pembangunan pada tahun tahun 1970an dan 1980an. Falsafah Pendidikan Negara dilahirkan semula apabila terbentuknya satu jawatankuasa yang menyemak dan memperbaiki dasar pendidikan pada masa itu. Kerajaan menyedari pada ketika itu, perlunya satu falsafah pendidikan yang lebih jelas dan berfokus. Oleh yang demikian, akhirnya Laporan Kabinet 1979 terbentuk dan merupakan sejarah bermulanya Falsafah Pendidikan Negara. Sebahagian ciri-ciri Laporan Kabinet 1979 lebih banyak menumpukan kepada penegasan pendidikan asas 3M (membaca, menulis dan mengira), pendidikan kerohanian dan kurikulum ala Malaysia. Laporan jawatankuasa Kabinet 1979 dibentuk hasil daripada maklum balas dan laporan daripada Jawatankuasa Kabinet 1974. Pembentukan Jawatankuasa 1974 adalah kerana berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969, pembentukan Rukunegara (1970) dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru (1970). Peristiwa-peristiwa tersebut telah mendorong kerajaan mengkaji semula dasar pendidikan. Oleh yang demikian, berdasarkan Jawatankuasa Kabinet 1979, peranan pendidikan tidak hanya tertumpu kepada perpaduan negara dan pengeluaran sumber tenaga manusia, tetapi pendidikan turut ditumpukan kepada pembentukan peribadi insan selaras dengan pembangunan manusia. Oleh itu, pada tahun 1988 secara rasminya Falsafah Pendidikan Negara dijelmakan dalam dasar pendidikan di Malaysia. Namun begitu, menurut Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Negara yang dijelmakan pada tahun 1988 telah ditukarkan istilahnya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996.27 Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dimantapkan lagi dengan ketetapan matlamat pendidikan negara dengan lebih jelas iaitu pendidikan
26
Mior Khairul Azrin Bin Mior Jamaluddin, 2011, Sosio Humanika, 4(1): Sistem Pendidikan di Malaysia:Dasar, Cabaran dan Pelaksanaan ke arah Perpaduan Nasional, hlm. 37 27
Anon. 2011. Pendidikan Islam Malaysia:Membangun Gagasan Baru, Edisi 2. Selangor: Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor. hlm. 34
114 ke arah melahirkan insan, masyarakat dan warganegara yang baik. Falsafah Pendidikan Kebangaan berbunyi: Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Jelasnya disini, bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dahulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara telah digubal berdasarkan tiga ideologi iaitu Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (RMK 3) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.28 Manakala Falsafah Pendidikan Kebangsaan digubal oleh pakar-pakar pendidikan secara teliti dengan mengambil berat keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara serta tidak mengenepikan atau meminggirkan ideologi yang terdapat dalam falsafah Pendidikan Negara. Oleh yang demikian, pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan menegaskan bahawa sistem pendidikan di Malaysia memberi penekanan terhadap perkembangan potensi individu secara bersepadu dan menyeluruh ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepada kepercayaan, keyakinan dan kepatuhan kepada Tuhan. Ini bermakna Falsafah Pendidikan Kebangsaan berhasrat melahirkan insan yang berpegang teguh kepada agama. Malah keseluruhan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah berpaksikan kepada ketuhanan. Bagi merealisasikan hasrat yang terkandung dalam falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan Islam memainkan peranan yang penting untuk membentuk dan melahirkan insan yang patuh dan percaya kepada Allah s.w.t atau dalam erti kata yang lain pendidikan Islam mampu melahirkan modal insan. Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) untuk merealisasikan nilai dan ketinggian ilmu yang terdapat dalam ajaran Islam yang mana akhirnya telah terbentuk Falsafah Pendidikan Islam.29 Oleh yang demikian, kedudukan Pendidikan Islam dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dianggap sebagi regu untuk mencapai suatu matlamat. Jesteru itu, Pendidikan Islam tidak boleh dilihat sebagai satu mata pelajaran sahaja. Sebaliknya Pendidikan Islam sebenarnya mempunyai peranan yang penting untuk memberi pengisian kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang
28
Anon. 2011. Pendidikan Islam Malaysia:Membangun Gagasan Baru, Edisi 2. hlm. 34
29
Kamarul Azmi Jasmi dan Ab. Halim Tamuri. 2007. hlm 23
115 seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani dan emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepatuhan dan kepercayaan kepada Tuhan.30 Falsafah Pendidikan Islam Pendidikan Islam merupakan salah satu kompenan penting dalam sistem pendidikan kebangsaan dan menjadi mata pelajaran teras dalam Kurikulum Kebangsaan. Falsafah Pendidikan Islam menyatakan bahawa: Pendidikan Islam ialah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian mulia dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membantu diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.31 Oleh yang demikian, matlamat pendidikan Islam terutama di sekolah agama di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk membentuk insan seimbang berteraskan kekuatan ilmu, iman dan amal berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dan berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran mazhab al- Syafie. Falsafah Pendidikan Islam (FPI) dibina selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Falsafah Pendidikan Islam memberi pengisian intrinsik kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam sistem pendidikan. Falsafah Pendidikan Islam menggarap tiga eleman Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu rohani, intelek dan emosi. Ini adalah kerana pendidikan Islam yang berteraskan kepada al-Quran dan alSunnah memberi kekuatan dalaman kepada murid-murid untuk menentukan matlamat, membentuk sikap, kemahiran dan pandangan hidup dalam membangun diri dan masyarakat.32 Dasar dan teras utama dalam sistem pendidikan Islam adalah berdasarkan konsep tauhid al-Quran dan al-Sunnah. Antara perkara penting yang difokuskan oleh Pendidikan Islam ialah pendidikan Aqidah. Ibadah Akhlak, Jasmani, Rohani, keterampilan, keibubapaan, kemasyarakatan dan kepimpinan. Oleh itu output pendidikan Islam ialah melahirkan muslim yang memelihara hablun min al-nas dan hablun min Allah. Manakala outcome yang dijangkakan ialah setiap warganegara yang melalui sistem pendidikan Islam dapat mengenali peranannya sebagai manusia dan hamba Allah s.w.t.33
30
Wan Mohd Zahid Bin Mohd Nordin, 2003, Peranan Pendidikan Islam dalam Falsafah Pendidikan Negara (Memahami isu-isu Pendidikan di Malaysia). Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hlm. 15 31
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2012. Dasar Pendidikan Kebangsaan. Putrajaya: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM. hlm. 26 32
Abdullah Bin Md Din, t.th, Mengarusperdanakan Pendidikan Islam di Malaysia: Cabaran dan masa depan. Putrajaya: Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia, hlm. 2 33
Mohd Kamal Hassan. 2012. Membangun Modal Insan Melayu dalam Pendidikan Islam. Kertas kerja yang dibentangkan semasa perbincangan meja bulat Mengarusperdanakan sistem pendidikan di Malaysia. Anjuran Dewan Amal Islami (Damai), Kuala Lumpur. 5 jun, hlm.4
116 Penutup Kepentingan pendidikan Islam dapat dilihat sejak bermulanya penyebaran agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Penurunan wahyu yang pertama jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendidikan merupakan titik tolak kepada perubahan ketamadunan manusia daripada zaman jahiliah kepada zaman keislaman yang lebih kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t berpandukan al-Quran dan alSunnah. Penghijrahan secara besar-besaran telah membuka ruang kepada penyebaran agama Islam secara meluas keseluruh dunia yang mana Malaysia (Tanah Melayu) merupakan salah satu destinasi penyebaran Islam yang dibawa oleh pedagangpedagang dari Tanah Arab dan di sekitar Tanah Melayu. Bermula daripada peristiwa itu, pendidikan Islam mula dilaksanakan di Tanah Melayu tetapi ianya berjalan secara tidak formal yang mana mereka belajar dan datang sendiri ke rumah tok guru. Pengajarannya pula lebih tertumpu kepada al-Quran dan Fardhu Ain. Pendidikan yang bermula di rumah, kemudiann terus berkembang ke kelas-kelas dan halaqah di masjid dan surau sehingga wujudnya sekolah pondok.34 Bertitik tolak daripada sistem pondok, pendidikan Islam diperkemaskan lagi melalui sistem madrasah atau sekolah agama yang jauh lebih baik dari segi infrastruktur berbanding dengan sekolah pondok.35 Oleh itu, sejarah perkembangan pendidikan di Malaysia dipenuhi dengan perjuangan ulama’ Islam yang berpanjangan dalam usaha memajukan masyarakat Islam di Malaysia. Kesedaran umat Islam dalam pendidikan Islam sewaktu kedatangan penjajah mengakibatkan wujudnya beberapa dasar pendidikan untuk memajukan pendidikan terutama pendidikan Islam. Namun dasardasar tersebut hanya di atas kertas sahaja yang mana ianya tidak dilaksanakan sebagaimana yang termaktub dalam dasar tersebut. Namun melalui Akta Pendidikan 1996 telah mengubah sistem pendidikan Islam yang mana ianya berkembang baik sehinggalah ke hari ini. Kepincangan dalam sistem pendidikan di Malaysia terutama di awal kemerdekaan menyebabkan kerajaan telah mengubal Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi membentuk sistem pembelajaran yang tersendiri bagi mengenepikan ideologi yang dibawa oleh penjajah terutama orang Inggeris. Namun begitu, ianya tidak begitu menyerlah dan membawa perubahan kepada sistem pendidikan dan akhirnya berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Rentetan daripada peristiwa ini dasar pendidikan telah berubah dan akhirnya lahir Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988 tetapi falsafah ini dimurnikan lagi pada tahun 1996 sehingga bertukar istilah kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kemajuan negara telah menimbulkan pelbagai masalah sosial dan pendidikan agama atau Islam yang mampu menangani permasalah tersebut. Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia menyakini bahawa Pendidikan Islam merupakan tunjang kepada
34
Abdullah Bin Md Din, t.t, Mengarusperdanakan Pendidikan Islam di Malaysia: Cabaran dan masa depan, Kuala Lumpur, Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia, hlm. 1 35
Ghazali Darussalam. 2004. Pedagogi Pendidikan Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors. hlm. 122
117 pembentukan akhlak malah dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ada menjelaskan tentang keagamaan. Oleh yang demikian lahirlah Falsafah Pendidikan Islam bagi merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kesinambungan kedua-dua falsafah pendidikan ini memberi gambaran menyeluruh terhadap ketinggian falsafah pendidikan yang ingin dicapai oleh negara Malaysia.36 Walaubagaimanapun kita tidak mengetahui bahawa hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membawa arus perubahan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan masa kini beroleh kejayaan atau sebaliknya. Tambahan pula, masyarakat moden kini terutama yang duduk di kawasan bandar dan merupakan golongan Kelas Menengah mulai bertambah tegas untuk merubah masa depan anak-anak mereka keadaan yang lebih sempurna berlandaskan kepada pegangan Agama. Rujukan Al-Quran Abdul Halim Hj Mat Diah. 1989. Pendidikan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia Abdullah Ishak.1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Abdullah Bin Md Din, t.th, Mengarusperdanakan Pendidikan Islam di Malaysia: Cabaran dan masa depan. Putrajaya: Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia Ahmad Mohd. Salleh. 1997. Pendidikan Islam: Falsafah, Pedagogi dan Metodologi, Shah Alam: Terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd Anon. 2011. Pendidikan Islam Malaysia:Membangun Gagasan Baru, Edisi 2. Selangor: Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor Asiah Ali. 1999. Peranan Ulama dalam bidang Pendidikan Islam di Negeri Kelantan:Suatu Kajian Khusus di antara tahun 1940-1990, Kuala Lumpur : Terbitan Universiti Malaya Fathi Yakan. 1997. Al-Tarbiyah al-Wiqaiyyah fi al Islam. Beirut: Muassasah alRisalah Ghazali Darussalam. 2004. Pedagogi Pendidikan Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Haidar Putra Daulay. 2009. Dinamika Pendidikan Islam di Asia Tenggara. Jakarta: PT Rineka Cipta Hasan al-Sharqawi. 1983. Nahw Tarbiah Islamiah. Iskandariah: Muassasah Thiyab alJami’ah
36
Kamarul Azmi Jasmi & Ab. Halim Tamuri. 2007. hlm. 25
118 Hawkins, Joyce M. 2001. Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd Ismail Said. 2010. Perkembangan Sejarah Negara. Selangor: Multimedia Sdn. Bhd Kamarudin Hj Kachar. 1989. Strategi penerapan nilai-nilai Islam di Institusi Pendidikan. Kuala Lumpur: Terbitan Teks Publishing Sdn.Bhd Kamarul Azmi Jasmi & Ab. Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam: Kaedah pengajaran dan pembelajaran. Johor: Universiti Teknologi Malaysia(UTM) Kementerian Pelajaran Malaysia. 2012. Dasar Pendidikan Kebangsaan. Putrajaya: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM Muhammad Idris al-Marbawi.1998. Kamus Idris al-Marbawi Arab-Melayu, Kuala Lumpur: Dar al-Nu,man Mohd Kamal Hassan. 2012. Membangun Modal Insan Melayu dalam Pendidikan Islam. Kertas kerja yang dibentangkan semasa perbincangan meja bulat Mengarusperdanakan sistem pendidikan di Malaysia. Anjuran Dewan Amal Islami (Damai), Kuala Lumpur Mior Khairul Azrin Bin Mior Jamaluddin, 2011, Sosio Humanika, 4(1): Sistem Pendidikan di Malaysia:Dasar, Cabaran dan Pelaksanaan ke arah Perpaduan Nasional Mohd Hairudin Amin dan Kamarul Azmi Jasmi. 2011. Sekolah Agama penjana generasi berakhlak. Johor: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mook Soon Sang. 2012. Falsafah dan pendidikan di Malaysia. Selangor: Multimedia Sdn. Bhd Suzalie Mohamad.2003. Memahami isu-isu pendidikan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Tafsir Pimpinan al-Rahman, edisi 12, 2001. Kuala Lumpur: Darulfikir di bawah kawalan JAKIM, JPM Teuku Iskandar. 2007. Kamus Dewan, Edisi keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Yusof Ismail. 2008. Dasar-dasar Utama Kerajaan Malaysia, Kuala Lumpur: A.S. Noordeen Wan Mohd Zahid Bin Mohd Nordin, 2003, Peranan Pendidikan Islam dalam Falsafah Pendidikan Negara (Memahami isu-isu Pendidikan di Malaysia). Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).