Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
Mutakhir ini banyak pihak berminat untuk memberikan ulasan, komen dan dalam erti kala lain memberikan fatwa terhadap isu-isu dan permasalahan agama tanpa mengira mereka adalah orang awam, orang politik, profesional atau ahli akademik yang berlatar belakang pengajian agama atau sebaliknya.
Mereka dengan mudah tanpa segan silu dan rasa bersalah untuk memberikan jawapan terhadap perkara berbangkit dalam masyarakat. Asalkan saja soalah diajukan kepada mereka, maka dengan yakin mereka akan menjawab perkara ini adalah halal dan perkara itu adalah haram. Dengan mudah juga mereka mengatakan ini perupakan perkara yang tidak ada dalam Islam dan ini pula adalah bertepatan dengan syariat Islam.
Oleh sebab itu berlakulah konradiksi jawapan bagi permasalahan dan isu-isu agama dalam kalangan masyararakat. Kesanya masyarakat dari hari ke hari menjadi semakin keliru, yang mana satukan jawapan, komen dan fatwa yang betul dan benar-benar menepati syariat Islam.
Lebih mengelirukan lagi sekiranya jawapan tersebut diperolehi dari kalangan mereka yang ada ada latar belakang pengajian agama. Oleh itu timbullah persoalahan dalam benak pemikiran masyarakat, apakan itu fatwa dan kedudukan dalam Islam. Apakah di sana terdapat kriteria yang jelas bagi melayakkan seseorang menjadi mufti.
Fatwa Dalam Konteks Agama dan Amalan di Malaysia Perkataan fatwa merupakan perkataan Arab yang memberikan pengertian suatu perbuatan yang dilakukan oleh mufti mengenai sesuatu hukum, atau suatu keputusan hukum yang dikeluarkan oleh faqih.[1] Kamus Dewan meberikan maksud fatwa sebagai keputusan agama yang diberikan oleh alim ulama atau mufti mengenai sesuatu masalah.[2]
1 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
Dari sudut istilah syarak, banyak definisi fatwa telah dinyatakan oleh para ulama, antaranya menurut Jamāluddīn al-Qāsimī, fatwa bermaksud menjawab masalah yang menjadi kemusykilan di dalam hukum. Apabila seseorang menjawab sesuatu masalah yang diajukan kepadanya, jawapan yang diberikan itu merupakan fatwa.[3]
Mucjam lughah al-Fuqaha’ pula mendefinisikan fatwa sebagai hukum syarak yang dijelaskan oleh seorang yang alim dalam pengetahuan feqh, sebagai jawapan kepada orang yang bertanya tentang perkara tersebut.[4] Menurut Yusuf al-Qardāwī pula, fatwa bermaksud memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu masalah sebagai jawapan bagi sesiapa yang bertanya, baik secara bersendirian ataupun berjemaah.[5]
Fatwa juga bererti penjelasan berhubung dengan persoalan hukum syarak yang dibuat oleh seorang yang faqih bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan kepadanya.[6] Menurut al-Jurjanī, fatwa bererti menerangkan hukum bagi sesuatu masalah.[7] Adapun dalam konteks Malaysia, fatwa dikenali sebagai keputusan yang telah dikeluarkan oleh jabatan Mufti dan telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi proses penguatkuasaan undang-undang.[8]
Daripada apa yang telah disebutkan di atas, maka dapat dirumuskan bahawa fatwa merupakan suatu hukum syarak yang dijelaskan oleh seorang faqih berdasarkan dalil syarak untuk permasalahan yang diajukan. Ianya tidak mengikat seseorang sebagaimana mengikatnya sesuatu keputusan yang ditetapkan oleh mahkamah.
Dalam konteks amalan Malaysia, sesuatu keputusan hukum tidak dianggap sebagai fatwa selagi mana ianya tidak diwartakan oleh kerajaan negeri dan dikuatkuasakan sebagai undang-undang. Selagimana ianya tidak diwartakan, kesemua keputusan hukum adalah dianggap sebagai pendapat atau pandangan sahaja, sungguhpun ianya dianggap sebagai fatwa disisi syarak.
2 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
Sehubungan itu, apabila seseorang memberikan jawapan atau respont kepada pertanyaan yang diajukan kepadanya berkaitan agama, itu bermakna ia telah memberikan fatwa dari sudut syarak, sungguhpun ia dianggap sebagai pendapat dan pandangan dari sudut undang-undang di negara ini.
Perlu diingatkan bahawa fatwa mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam, dan sekiranya semua pihak bermudah-mudah untuk memberikan fatwa, ulasan dan komentar tanpa melihat kelayakannya untuk berbuat demikian, maka perbuatan tersebut akan mendatangkan keburukan lebih besar dari kebaikan dan akan mendatangkan risiko yang sangat besar kepada masyarakat dan agama.
Kedudukan Fatwa Dalam Islam Fatwa mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam. Oleh itulah tugas memberi fatwa dianggap sebagai tugas yang sangat besar bahayanya. Mufti dalam Islam merupakan orang yang betanggungjawab untuk menyampai, mengajar dan memberi peringatan kepada manusia berkaitan dengan hukum-hakam yang disyariatkan oleh Allah (s.w.t.) melalui nabi Muhammad (s.a.w.). Imam al-Nawāwī r.a. dala kitabnya menyebutkan:
Ketahuilah bahawa tugas memberi fatwa itu adalah tugas yang sangat besar bahayanya, besar kedudukannya dan banyak fadilatnya, kerana Mufti itu dikira sebagai pewaris para nabi a.s, ia memenuhi peranan fardu kifayah (yang mesti ada dalam sebuah masyarakat), tetapi ia sentiasa terdedah kepada kesilapan. Sehubungan dengan itu mereka (ulama) telah berkata: Mufti adalah seorang yang menandatangani urusan Allah (s.w.t.) [9].
Syarat Kelayakan dan Keahlian Berfatwa Tidak semua orang layak menjadi mufti kerana seseorang yang ingin menceburkan diri dalam
3 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
bidang fatwa hendaklah terlebih dahulu memastikan mereka mempunyai syarat dan kelayakan yang cukup berkaitan dengannya, agar dengan itu mereka dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya. Ulama telah bersepakat bahawa syarat-syarat yang melayakkan seseorang menjadi mufti[10]ialah Islam, mukalaf, adil dan mujtahid. i. Mufti hendaklah seorang Muslim [al-Islam] Syarat utama yang mesti pada seorang mufti ialah ia hendaklah seorang Muslim[11] yang beriman sepenuhnya kepada Allah (s.w.t.) dan rasulnya Muhammad (s.a.w.). serta syariat yang telah disampaikan.[12] Hal demikian kerana mufti merupakan orang yang diberi tanggungjawab untuk menerang dan menyampaikan hukum-hakam atau undang-undang yang telah disyariatkan oleh Allah (s.w.t.) selain berperanan mengaplikasikan hukum-hakam tersebut ke atas peristiwa yang berlaku. ii. Mufti hendaklah seorang mukalaf [al-Taklif] Disyaratkan bagi seorang mufti yang dapat di terima fatwanya ialah, ia hendaklah seorang yang mukalaf iaitu seorang yang telah baligh dan berakal. Hal demikina kerana dengan perkara tersebut, seseorang mufti akan dapat menguasai dan memahami khitāb Allah (s.w.t.) dengan kefahaman yang sahih dan sempurna, selain dapat merasakan kebesaran dan kepentingan fatwa.
Golongan kanak-kanak yang belum mumaiyiz dan orang gila tidak dimasukkam dalam kriteria mereka yang berkelayakan untuk berfatwa. Demikian disebabkan kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk memahami maksud khitāb Allah (s.w.t.) selain daripada mereka tidak termasuk dalam kalangan yang boleh dipertanggungjawabkan, dipersoalkan atau dikenakan hukuman terhadap setiap kesalahan yang dilakukan. Manakala kanak-kanak yang telah mumaiyiz, meskipun mereka dapat memahami perkara yang tidak dapat difahami kanak-kanak yang tidak mumaiyiz dan orang gila, mereka juga tidak diberikan kelayakan untuk berfatwa kerana mereka masih lagi dianggap tidak mampu untuk memahami atau menguasai maksud khitāb Allah (s.w.t.) dengan sempurna.[13] iii. Mufti hendaklah seorang yang adil [al-cadālah] Ulama telah mensyaratkan bagi seorang mufti yang boleh diterima fatwanya ialah mereka hendaklah merupakan seorang yang bersifat adil (al-cadālah).[14] Khatīb al-Baghdādī menyatakan bahawa ulama tidak berselisih pendapat mengenai fatwa yang dikemukakan oleh seorang yang fasid berkenaan agama tidak boleh di terima walaupun ia mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan dengannya.[15]
4 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
Sehubungan itu, maka mustaftī dianjurkan agar tidak meminta fatwa berkaitan sesuatu permasalahan agama melainkan terlebih dahulu mengenalpasti seorang yang akan ditanyakan tersebut, merupakan seorang yang benar-benar alim dan cadālah iaitu seorang yang sentiasa menjauhi kemaksiatan yang boleh mencederakan kepercayaan terhadapnya.[16] Menyentuh prihal peribadi seorang mufti al-Nawāwī menyatakan: Syarat seorang mufti hendakkanlah ia merupakan seorang mukalaf, Muslim, berkepercayaan, aman daripada sifat-sifat yang dicurigai, bersih daripada faktor-faktor kefasiqan, dan perkara-perkara yang mencarik maruah diri, jiwa. Mufti juga hendaklah seorang yang fakih, berfahaman sejahtera, berfikiran jernih, sahih urusannya dan cara istinbatnya, serta bersikap penuh kewaspadaan. Demikian adalah sama, sama ada mufti seorang yang merdeka, hamba, wanita, buta, dan juga yang bisu apabila ia menulis dan difahami isyaratnya[17].
Abū cAmrū bin Solāh pula menyatakan: Mufti hendaklah bersifat seperti seorang perawi hadis yang tidak akan terpengaruh dengan sebab tali persaudaraan atau permusuhan, mendapat manfaat atau mudarat dalam proses mengeluarkan fatwa. ini kerana mufti terangkum dalam hukum seorang yang menyampaikan hukum syarak yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan. [18]
Sehubungan itu, mufti yang juga merupakan seorang yang menandatangani dalam urusan Allah (s.w.t.) hendaklah seorang yang menjaga maruah dan bertakwa, menjauhi dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil, berkepercayaan, tidak terlalu mengambil mudah dalam urusan agama.[19]
Demikian itu penting kerana seorang yang melakukan dosa besar, mengambil mudah dalam soal agama, melakukan maksiat dan kesalahan yang boleh menjatuhkan maruah yang memberi kesan pada cadālah akan ditolak oleh manusia, ditolak fatwanya dan diragui akan ilmu dan takwanya.[20] iv. Mufti hendaklah seorang Mujtahid. Mujtahid ialah seorang yang berupaya mencurahkan semua kemampuan akalnya dalam mendapatkan hukum syarak dari dalilnya, sehingga ketahap merasa dirinya tidak mampu untuk
5 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
mencari lebih dari kemampuannya itu.[21] Mujtahid merupakan antara syarat mufti yang disepakati oleh para ulama.[22] Bagi mencapai ketahap mujtahid, terdapat tiga syarat yang mesti dikuasai:
1. Menguasai ilmu bahasa Arab dalam erti kata, menguasai bahasa Arab dan ilmu-ilmunya sehingga mampu memahami gaya percakapan orang Arab. 2. Menguasai ilmu berkaitan al-quran dan sunnah, serta isi kandungannya. 3. Menguasai ilmu berkaitan maksud-maksud syarak (maqasid al-syaric), tatacara kehidupun dan uruf manusia, serta apa yang baik dan buruk bagi mereka.[23]
Abu al-Hasan al-Basri (m.436.) menerangkan bahawa mufti ialah seorang yang mempunyai sifat-sifat untuk menjadi mujtahid; dan mufti yang hendak mengeluarkan fatwa untuk dirinya atau untuk orang lain, dan yang hendak menghukumkan sesuatu masalah mestilah mempunyai sifat-sifat yang tertentu, iaitu ia hendaklah terdiri dari kalangan orang yang boleh melakukan ijtihad; mestilah memahami betul-betul dalil-dalil yang termaktub di dalam al-Qur’ān dan hadis, serta dapat mengeluarkan hukum istimbat melalui fahaman zahir, atau melalui proses mengeluarkan hukum istidlal dengan jalan menggunakan al-qias.[24] al-Shāficī pula menyatakan:
Tidak harus bagi seseorang memberikan fatwa dalam agama Allah (s.w.t.) melainkan ia adalah seorang yang arif tentang kitab Allah (s.w.t.) , berkenaan nasikh dan mansuhnya, muhkam dan mutashabihnya, takwil dan tanzilnya, makkiyah dan madaniyyahnya, apa yang dikehendaki dengannya dan berkenaan apa yang telah diturunkan. Kemudian ia juga hendaklah sangat berilmu berkenaan dengan hadis Rasulullah (s.a.w.)., tentang nasikh mansukhnya dan mengetahui mengenai hadis apa yang ia ketahui daripada al-Qur’ān. Ia hendaklah seorang yang sangat mengetahui tentang lughah, sangat tahu tentang syair dan apa yang diperlukan untuk memahami Sunnah dan al-Qur’ān dan menggunakannya dengan penuh kesedaran. Setelah itu, ia juga hendaklah sangat mahir berkenaan dengan ikhtilaf mereka di kota-kota (pusat pengetahuan). Setelah itu, ia juga hendaklah mempunyai kesediaan diri untuk semua itu (dengan ketajaman akal dan selainnya). Apabila ia mempunyai sifat-sifat demikian maka bolehlah baginya untuk bercakap (berkenaan dengan pengetahuan) dan mengeluarkan fatwa (berkenaan sesuatu perkara sama ada) halal dan haram (dalam syariat berdasarkan kepada al-Qur’ān dan Sunnah), sekiranya ia tidak mempunyai sifat-sifat sedemikian maka boleh baginya untuk bercakap (berkenaan dengan pengetahuan) dan tidak boleh baginya untuk mengeluarkan fatwa. [25]
6 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
Sehubungan itu, al-’Asnawī menyatakan bahawa mufti hendaklah seorang yang mujtahid sama ada mujtahid mutlak, mujtahid mazhab atau mujtahid fatwa.[26] Wajar dijelaskan bahawa mujtahid mempunyai beberapa peringkat dan secara umumnya ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu sama ada mujtahid mustaqīl dan tidak mustaqīl yang terbahagi pula kepada empat bahagian. Peringkat dan bahagian tersebut adalah seperti berikut:
1. Mujtahid mustaqīl, iaitu seseorang yang menyusun kaedah-kaedah yang menjadi dasar dan pegagannya dalam menetapkan hukum-hukum feqh di luar kaedah-kaedah yang telah ditetapkan mazhab fiqh. Mujtahid yang termasuk dalam kumpulan ini ialah Imam Hanafī, Mālik, Shāficī dan Hambalī. 2. Mujtahid mutlak tidak mustaqīl, iaitu seorang yang mempunyai syarat-syarat ijtihad seperti yang dimiliki oleh mujtahid mustaqīl, akan tetapi ia tidak menyusun kaedah-kaedah khusus buat dirinya tetapi menerapkan kaedah-kaedah yang telah diterapkan oleh seorang imam mazhab feqh. Mujtahid seperti ini adalah mujtahid mutlak muntasīb bukan mujtahid mustaqīl dan bukan pula mujtahid muqayyad, kerana ia tidak bertaklid kepada imamnya akan tetapi mengikut metod ijtihad imam. Ulama yang bertaraf mujtahid muntasībini dalam madhhab Hanafī ialah seperti Abū yūsūf, Muhammad dan Zufar, dalam madhhab Syafici ialah seperti al-Buwaytī, al-Zacranī dan al-Muzanī. 3. Mujtahid muqayyad atau mujtahid takhrīj, iaitu seorang mujtahid yang terikat dengan mazhab imamnya, akan tetapi tidak terikat dalam menetapkan prinsip-prinsip dengan adil, namun demikian dalam dalil-dalilnya ia tidak melampaui prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah imamnya. Mujtahid pada peringkat ini mengelakkan hukum-hukum yang tidak disebukan oleh imam mazhab melalui metode takhrīj pada teks atau kaedah-kaedah yang diriwayatkan dari imam mazhab. Ulama yang bertaraf mujahid takhrīj dalam mazhab Hanafī ialah seperti al-Hasan bin Ziyād dan al-Tahāwī, dalam madhhab Malikī seperti ibn Abī Zayid, dan dalam madhab Shafi’i seperti Abū ‘Ishāq al-Shirāzī. 4. Mujtahid tarjih iaitu seorang yang mempunyai pengetahuan secara mendalam tentang mazhab imamnya, memelihara mazhab imamnya, mengetahui dan mampu menganalisis serta menetapkan dalil-dalilnya dan mampu mentarjih. Ulama yang bertaraf mujtahid tarjīh dalam mazhab Hanafī ialah seperti al-Quduri dan al-Mirghārī. 5. Mujtahid fatwa iaitu seorang yang menghafal, memelihara dan meriwayatkan mazhab serta memahami permasalahan dan penjelasan yang disebutkan dalam mazhab. Namun demikian mereka tidak berupaya untuk mendatangkan dalil-dalil serta membuat analisis terhadap qias yang dibawa oleh imamnya.[27]
Ulama bersepakat bahawa mujtahid mutlak boleh mengeluarkan fatwa mengikut hukum yang
7 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
diputuskan olehnya sendiri. Sekiranya ia mahir dalam beberapa masalah sahaja, dia juga boleh mengeluarkan fatwa mengikut hukum yang diputuskan melalui ijtihadnya tetapi terbatas dalam lingkungan aspek yang dikuasainya sahaja. Manakala mujtahid mazhab boleh mengeluarkan fatwa berdasarkan mazhab mujtahid yang dikuasainya tentang sumber pergambilan hukum.[28]
Menurut cAlī HasabaLlāh, harus bagi seorang muqallid yang tidak sampai peringkat mujtahid mengemukakan fatwa berdasarkan mazhab yang dihafalnya (daripada mazhab yang mashhūr), apabila ia beriktikad bahawa itu adalah pendapat yang sahih, memahami usul mazhab dan berupaya mengaplikasikan pendapat mazhab dengan sebaiknya. Sekiranya seorang al-cāmī (orang awam) mendapati mujtahid yang adil, maka tidak harus baginya mendatangi orang yang lain untuk mendapatkan fatwa. Mufti muqallid bukanlah seorang mufti yang sebenar, akan tetapi ia hanyalah orang yang menukilkan fatwa daripada siapa yang ia taklid. Justeru, wajib ke atas mufti muqallid apabila mengemukakan fatwa dengan pendapat seseorang imam atau mazhab, menyandarkan fatwa tersebut kepada mazhab atau imam yang menyatakannya.[29]
Fatwa Berdasarkan Mazhab Dalam mengemukan sesuatu fatwa, seorang mufti hendaklah menghindarkan dirinya daripada sifat fanatik terhadap mazhab, bertaklid buta dan beranggapan menuruti mazhab tertentu adalah suatu kewajipan. Mufti juga perlu senantiasa bersedia untuk memfatwakan sesuatu permasalahan dengan hakikat yang sebenar, walaupun menyalahi mazhabnya.[30] Mufti tidak seharusnya berpendirian jumud dalam mengambil fatwa-fatwa terdahulu kerana tidakan tersebut akan membawa kepada kesulitan dan kesusahan yang menyalahi matlamat syariat.[31]
Fanatik dan bertaklid buta bukanlah cara menghormati dan memuliakan para ulama terdahulu, tetapi caranya adalah dengan mengikut dan berjalan di atas dasar, asas dan kaedah-kaedah yang mereka pergunakan serta melaksanakan wasiat dan pesanan mereka agar tidak bertaklid dan mengambil keseluruhan ijtihad-ijtihad mereka dengan membuta tuli.
8 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
Membebaskan diri dari sikap taasub dan taklid ulama terdahulu tidak bermakna kita hendaklah menafikan dan mencampakkan ilmu feqh dan turath yang terhasil dari kajian dan ijtihad mereka, tetapi sebaiknya warisan pemikiran ilmiah tersebut kita jadikan rujukan dan pedoman yang sangat berfaedah untuk dewasa ini meskipun ianya bersumberkan dari pelbagai aliran mazhab yang berbeza.[32]
Sehubungan itu, adalah tidak wajar bagi seseorang mufti hanya berpegang dengan mazhab tertentu sahaja di dalam fatwanya, sebaliknya ia hendaklah membuat pertimbangan dan penilaian secara ilmiah di antara beberapa pendapat mazhab dan memfatwakannya berdasarkan pendapat yang paling kuat daripada mana-mana mazhab yang muktabar. Namun demikian, kesemua pendapat yang ditarjihkan tersebut tidak boleh diterima secara mutlak, melainkan setelah ia dilengkapi dengan beberapa syarat-syarat berikut.[33]
Mufti hendaklah seorang yang mempunyai kefahaman dan ilmu yang memungkinkannya melihat pendapat-pendapat yang berbeza, hujah-hujahnya dan berkeupayaan membuat pertimbangan antara beberapa hujah yang dikemukakan serta mampu menentukan pendapat yang paling kuat (rājih) daripadanya, berpandukan pemahaman para ulama terhadap dalil-dalil dan bagaimana mereka mengistinbatkan hukum berdasarkannya.[34]
Pemilihan antara beberapa pendapat tersebut hendaklah dilakukan berdasarkan kaedah pentarjihan yang sahih, bukannya berdasarkan kepada kehendak dan kemahuan hawa nafsu semata-mata.[35] Sekiranya beberapa pendapat tersebut didapati mempunyai persamaan pada kekuatan hujah dan dalilnya maka pendapat yang lebih memudahkan atau lebih mendatangkan manfaat kepada maslahat manusia hendaklah diutamakan.
Pemilihan tersebut hendaklah tidak mendedahkan kepada pengambilan pendapat yang paling
9 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
ringan dari beberapa mazhab (tatabbuc al-rukhas) dengan tujuan bermain-main. Sekiranya ia dilakukan dengan tujuan untuk mencari keringanan dan berkeinginan untuk melaksanakan tuntutan syariat maka itu adalah dibolehkan, kerana syariat Islam adalah syariat yang mudah dan Rasulullah (s.a.w.). sangat suka memberi keringanan terhadap umatnya dan sekiranya baginda memilih antara dua perkara maka Rasulullah (s.a.w.). akan memilih perkara yang paling mudah antara keduanya selama mana kemudahan tersebut tidak membawa kepada dosa. Sabda Rasulullah (s.a.w.).:
Dari cĀ’isyah isteri nabi (s.a.w.). bahawa ia berkata: Rasulullah (s.a.w.). tidak akan memilih antara dua pilihan melainkan memilih perkara yang paling mudah selagi mana ia tidak menimbulkan dosa. [36]
Tidak terikatnya mufti terhadap mana-mana mazhab, hendaklah tidak membawa kepada berlakunya al-talfīq antara beberapa pendapat mazhab dalam bentuk yang tidak diharuskan.[37]
Apabila orang yang meminta fatwa (mustaftī), tidak meminta mufti memfatwakan kepadanya berdasarkan kepada mazhab tertentu atau bertanyakan mufti mengenai pendapat seseorang Imam. Sekiranya mustaftī memohon kepada mufti agar memfatwakan kepadanya dengan berpandukan mazhab tertentu, mufti hendaklah memfatwakan kepada mustaftī berpandukan pendapat mazhab yang dipinta dan terikat dengan pendapat Imam tertentu sebagai mana permintaan mustaftī.
Fatwa Antara Kemudanan dan Kesulitan Sebagaimana dinyatakan, fatwa merupakan suatu perbuatan memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu masalah sebagai jawapan bagi sesiapa yang bertanya, baik secara bersendirian ataupun berjemaah dengan cara tidak 'ilzam. Ia mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam, serta mengandungi bahaya yang sangat besar.
10 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
Oleh itu, maka wajib bagi mereka yang mahu menyemukakan fatwa, memastikan mereka benar-benar berkelayakan, agar kewajipan tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Antara syarat penting bagi seorang mufti ialah, mereka hendaklah mempunyai ilmu yang tinggi berkaitan hukum-hukum syarak, bahkan ada sebahagian ulama mensyaratkan mereka adalah mujtahid, selain dari berkepercayaan, bersih dari faktor-faktor kefasikan dan perkara-perkara yang mencarik maruah diri.
Fatwa yang dikemukakan mufti hendaklah bertepatan dengan roh syariat Islam iaitu mempermudah dan meringankan bukan menyulitkan dan menyusahkan. Kemudahan dan keringanan tersebut tidak bermakna kita mempermainkan nas-nas syariat dengan mencampakkannya dan tunduk mencari pentafsiran dan pengertian mudah yang sesuai dengan keinginan orang atau mendatangkan syariat yang baru atau menggugurkan apa yang telah difardukan atau menghalalkan apa yang telah diharamkan atau membuat dan mereka-reka perkara baru dalam agama yang sama tidak diizinkan oleh Allah SWT..
Kemudahan dan keringanan yang dimaksudkan ialah wasatiyyah (pertengahan) dalam fatwa, mengutamakan yang lebih mudah (aysār) ke atas yang lebih berhati-hati (ahwat), Memudahkan fatwa pada ketika berlaku cumum al-balwa, meraikan rukhsah dan tidak berleluasa dalam mentaklifkan manusia dengan sesuatu hukum tanpa dalil yang sahih. Justeru itu, maka maslahat al-mutaqhayyirah, maslahat al-mustajiddah, maslahat al-casr, hendaklah diraikan oleh mufti dalam mencapai matlamat tersebut.
Fatwa dan Kebebasan Bersuara Berdasarkan kepada syarat bagi mufti di atas, dapat difahami bahawa tidak semua orang layak untuk bercakap, mengulas dan memberikan komentar atau jawapan berhubung permasalahan agama. Sebagai mana dalam disiplin ilmu yang lain, mereka yang tidak melalui proses pembelajaran secara formal dalam sesuatu bidang ilmu dan tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut adalah tidak layak memberikan ulasan, komentar dan jawapan bagi permasalahn yang ditimbulkan.
11 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
Sebagai contoh, orang yang pakar dalam bidang pertanian sesekali tidak layak untuk memberikan komentar, jawapan atau penyelesaian yang berhubung ilmu perubatan, dan demikian juga sebaliknya. Sekiranya kita dapat bersetuju dengan perkara tersebut kenapa kita tidak boleh bersetuju bahawa hak untuk memberikan jawapan, ulasan, komentar dan penyelesaian dalam permasalahan berkaitan agama ialah orang yang mempunyai kepakaran yang telah melalui proses pendidikan dan pembelajaran secara formal dalam bidang agama.
Sehubungan itu, mereka yang hanya mempelajari agama hanya dengan cara membaca beberapa buku tanpa dipandu oleh guru dan tidak mengikuti disiplin pembelajaran dalam bidang ilmu agama maka ia adalah tidak layak untuk memberikan komentar, ulasan dan fatwa dalam permasalahan agama kecuali dalam perkara yang jelas diketahui umum (maklum fi al-din bi al-dharurah) seperti wajib menunaikan solat, puasa, dan seumpamanya.
[1] Faqih ialah seorang yang berpengetahuan luas lagi mendalam dalam perundangan Islam. Ibn Manzūr, 1956, Lisān al-cArāb, Bayrūt, Dār al-Bayrūt, jld. 15, hlm. 147-148. [2] Kamus Dewan, 1989, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 323. [3] al-Qāsimī, 1986, Jamāl al-Dīn, Kitāb al-fatwā fī al-Islām, Bayrūt, Dār al-Kutub al-cIlmiyyah, hlm. 46-48. [4] Rawwas, Muhammad & Qasibi, Hasan Sadiq, 1985, Mucjam lughah al-Fuqaha’, Dar al-Nafa’is, hlm. 339. [5] al-Qaradāwī, Yūsuf, al-Fatwā bayn al-indibāt wa al-tasayyub, hlm. 7. [6] Qalcajī, Muhammad Rawwās, 1985, Mucjām Luqhāt al-Fuqahā’, Bayrūt, Dār al-Nafā’is, hlm. 339. [7] al-Jurjanī, 1405H., al-Tacrīfāt, Tahqiq Ibrāhīm al-Abyarī, Bayrūt, Dār al-Kitab al-cArabī, hlm. 49. [8] http://ii.islam.gov.my/e-fatwa/e-fatwa.asp. Lihat juga, http://www.e-fatwa.gov.my/e-fatwa.asp [9] al-Nawāwī, t.th., al-Majmūc Sharh al-muhazzab, Jaddah, Maktabat al-’Irshād, jld.1, hlm. 72; al-Nawāwī, 1999, Adāb al-fatwā wa al-muftī wa mustaftī, dlm al-Mawsūcah fī adāb al-fatwā, Jamcuhā, Hassūn, ‘Ahmad Badr al-Dīn, Bayrūt, Mu’assasah cAbd al-Hafīz al-Bassāt, hlm. 40. [10] Mufti ialah seorang faqih yang bertanggungjawab menjelaskan hukum Allah SWT pada setiap isu yang berlaku. al-Mallāh, Husayn Muhammad, 2001, al-Fatwā, Bayrūt, Maktabat al-cAshriyyah, hlm. 577. [11] al-Ashqar, 2004, Manhaj al-Ifta’ cInd al-Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, al-Urdun, Dar al-Nafa’is, hlm. 108. [12] Zaydān, Karīm, 1987, Usūl Dacwah, Misr, Mu’assasat al-Risālah hlm. 152; al-Mallāh, 2001, hlm. 579.
12 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
[13] al-Zuhaylī, 2001, jld. 2, hlm. 1157; al-Khatīb al-Baghdādī, Ahmad b. cAlī b. Thābit, 1996, al-Faqīh wa al-mutafaqqih, Tahqiq, cAdil b. Yusuf, al-Mamlakah al-cArābiyyah al-Sacūdiyyah, Dār Ibn al-Jawzi, jld.2, hlm. 330. [14] al-Nawāwī, 1997, hlm. 69; al-Khatīb al-Baghdādī, 1996, jld.2, hlm. 330. [15] al-Khatīb al-Baghdādī, 1996, jld. 2, hlm. 330; Ibn al-Salāh, t.th., 117: al-cAshqar, 2004, hlm. 104. [16] al-Zuhaylī, 2001, jld.2, hlm. 1167; Ibn Hamdan, t.th., hlm. 275; al-Khudārī Bīk, 1969, hlm. 382. [17] al-Nawāwī, 1999, hlm. 69; al-Nawāwī, t.th., jld. 1, hlm. 74. [18] al-Qāsimī, 1986, hlm. 62, al-Nawāwī, t.th., jld. 1, hlm. 74; Hasnan Kasan, 2001, Sejarah perkembangan fatwa, Kursus pembangunan dan perkembangan fatwa, anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Hal Ehwal Islam (ILIM), 21-24 Mei. hlm.14, [19] al-Mallāh, 2001, hlm.582; Zaydān, 1987, hlm. 153. [20] Imam Ghazālī menyatakan: “Hendaklah seorang mufti itu orang yang ada sifat cadālah menjauhi kemaksiatan yang mencederakan cadālahnya dan ini disyaratkan bagi membolehkan (orang) berpegang kepada fatwanya. Maka sesiapa yang tidak ada cadālah maka tidak diterima fatwanya. Adapun fatwa untuk dirinya sendiri, maka tidak (disyaratkan ada cadālah kerana ia adalah sekadar untuk ketepatan fatwa sahaja). Demikian kerana cadālah adalah merupakan syarat untuk diterima fatwanya bukannya syarat bagi sah ijtihadnya”. al-Ghazālī, al-Mustafā,1983, jld. 2, hlm. 350. [21] cAli HasabaLlāh, t.th., hlm.79. [22] al-cĀmidī, Abū al-Hasan cAlī b. Abī cAlī b. Muhammad, 1983, al-Ihkām fī Usūl al-ihkām, Bayrut, Dār al-Kutub al-cIlmiyyah, jld. 4, hlm. 255; al-cAshqār, 2004, hlm. 54; Ibn al-Himām, Muhammad b. cAbd al-Wāhid, t.th., Fath al-Qadīr, Misr, Dār al-Fikr, Ed. Ke-2, jld. 7, hlm. 256. [23] Sila lihat, cAli HasabaLlāh, t.th., hlm.94. [24] Abu al-Hasan al-Basri, 1965, kitab al-Mu’tamad fi Usul al-Fiqh, Bayrut, t.pt, jld.2, hlm. 929-930. [25] al-Khātib al-Baghdādī, 1996, hlm.332; al-Mallāh, 2001, hlm. 582. [26] al-Asnawī, 1345H, Nihāyat al-sūl fī cilm al-Usūl, al-Qāhirah, Jamciyyah Nayr al-Kutub al-cArābiyyah, jld.4, hlm. 579. [27] al-Nawāwī, t.th., jld. 1, hlm. 75-77; al-Zuhaylī, 2001, jld.2, hlm. 1079-1081; al-Zuhaylī, 1969, hlm.629-631; Zaydān, 1987, hlm. 154-156; Ibn al-Qayyim, t.th., 4, hlm. 173-175; al-Qaradawi, Yusuf, 2002, Ijtihad dalam syariat Islam, terjemahan, Selangor, Cresent News (KL) SDN. BHD, hlm. 99-101. [28] al-Nawāwī, t.th., jld. 1, hlm. 75-77. [29] cAli HasabaLlāh, t.th., Usūl tashric al-Islamī, hlm. 105; Ibn al-Qayyim, t.th., jld. 4, hlm. 158; al-Nawāwī, t.th., jld. 1, hlm. 78 & 80; Zaydān, cAbd Karīm, 1987, hlm. 161. [30] Ibn al-Qayyim, t.th., jld. 4, hlm. 144; al-Mallāh, 2001, hlm. 796. [31] al-Mallāh, 2001, hlm. 796. [32] al-Qaradāwī, 2003, hlm. 101. 72 cAbd al-Majīd Muhammad, 2001, hlm. 282-283. [34] al-Qaradāwī, 2003, hlm. 102. [35] al-Qaradāwī, 2003, hlm.101. [36] Muslim, t.th., Bab mubacadahtuhi Sallallah calayhi wasallam lil atham wa ikhtiyarihi min al-mubah ashalahu, no hadith. 20, jld. 7, hlm. 80. [37] al-Zuhaylī, 2001, jld.2, hlm. 1148-1150.
13 / 14
Fatwa Dalam Syariat Islam Written by Saturday, 08 October 2011 08:48
14 / 14