PRINSIP ʽSIRI’ DALAM PERKAHWINAN MASYARAKAT BUGIS DI JAMBI INDONESIA
MAKMUR HAJI HARUN MUHAMMAD YAHYA SIBE BUCHARI KATUTU
Fakulti Bahasa dan Komunikasi UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI) 35900, TANJONG MALIM, PERAK DARUL RIDZUAN
2015
0
PRINSIP ʽSIRI’ DALAM PERKAHWINAN MASYARAKAT BUGIS DI JAMBI INDONESIA Makmur Haji Harun,1 Muhammad Yahya Sibe & Buchari Katutu 1
Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan, Malaysia. Email:
[email protected], Telefon: +6016 365 6350.
Abstrak Prinsip hidup masyarakat Bugis dimana pun mereka berada termasuk di Jambi iaitu memiliki satu falsafah teguh dalam kehidupan mereka sehari-hari dikenal sebagai ʽsiri, pesse dan ade’ diwariskan turun-temurun sebagai prinsip hidup. Prinsip ini berdampak kepada agama, sosial, budaya, masyarakat dan pelbagai aspek lainnya termasuk dalam perkahwinan. Majelis kenduri kahwin bagi orang Bugis memilih pelbagai cara, adat dan tradisi tertentu yang perlu terus dijaga sebagai falsafah “siri”. Metodologi kajian ini menggunakan kajian lapangan dalam masyarakat Bugis di Provinsi Jambi Indonesia. Objektif kajian pula ingin memperdalam prinsip Bugis mengikut adat istiadat, pemali, pantangan, tolak ansur dan persaudaraan Islam sebagai keyakinan hidup mereka. Dapatan kajian berdampak kepada adat, budaya dan tradisi serta kebiasaan seharian. Selain berpengaruh kepada aksara, sastera, lagu, jiwa, seni dan budaya. Melalui tulisan ini, penulis ingin mengungkap prinsip ʽsiri’ dalam masyarakat Bugis sebagai satu falsafah hidup mereka melalui perkahwinan yang khas dan unik di mana sahaja mereka berada termasuk di Jambi. Perbahasan ini diharapkan juga mampu menjadi wacana ilmu untuk mengungkap warisan khazanah budaya perantau Bugis bersama suku etnik pribumi lainnya di tempat kajian. Kata kunci: Prinsip siri’, Perkahwinan masyarakat Bugis dan Jambi Indonesia.
Pengenalan Provinsi Jambi adalah salah sebuah wilayah dalam pulau Sumatera Indonesia yang terletak di bahagian tengah. Provinsi tersebut bersempadan dengan Riau, Sumatera Barat dan Sumatera Selatan. Jambi mempuyai kepelbagaian suku bangsa yang menjadikan ciri khas tersendiri dalam keberagaman etnik serta kaya dengan sumber daya alam, seni, budaya dan warisan. Suku Bugis adalah antara suku etnik yang mendiami bahagian pesisir pantai provinsi ini, mereka hidup dan bermasyarakat hampir di keseluruhan wilayah Tanjung Jabung Timur dan Barat. Bugis dimana pun mereka berada termasuk di Jambi ini selalu memiliki satu falsafah teguh dalam kehidupan mereka sehari-hari yang dikenal sebagai prinsip siri, pesse dan ade’ yang diwariskan secara turun-temurun sebagai pengangan hidup mereka. Prinsip ini berpengaruh kepada agama, sosial, budaya, masyarakat dan pelbagai aspek lainnya termasuk dalam perkahwinan. Majlis kenduri kahwin bagi orang Bugis memilih pelbagai cara, adat dan tradisi tertentu yang perlu terus dijaga sebagai falsafah yang tetap memegang adat nenek moyang mereka secara turun temurun. Prinsip siri’ dalam masyarakat Bugis merupakan suatu adat yang mempunyai keunikan tersendiri kerana dapat mempengaruhi keperibadian dan kemasyarakatnya mereka sebagai perantau. Hal ini menarik untuk dibincangkan kerana perkataan siri’ ini sukar dibezakan antara ʽsiri’ dan ‘malu’. Falsafah ini 1
boleh mencakupi semua aspek kehidupan yang seakan-akan berlandaskan kepada ʽsiri’ bahkan merupakan faktor yang sangat dominan dalam menentukan kehidupan mereka untuk melayari bahtera kehidupan seharia dari masa ke masa. Perantauan Bugis ini ke mana pun mereka berada masih lagi mengekalkan pengaruh kehidupan mereka yang saling berhubung dan berkomunikasi serta persaudaraan erat antara satu dengan lainnya. Amalan cara hidup mereka masih mengamalkan landasan hukum adat istiadat yang kental, pemali dan pantangan. Masyarakat Bugis kebanyakan menganut agama Islam sebagai keyakinan hidup, di samping mereka tetap mewariskan falsafah ʽsiri’, pesse dan ade’ secara turun temurun kepada keturunannya agar dapat menjalani kehidupan mereka dengan baik, walau mesti mereka hadapi dengan pelbagai cabaran dan penuh tantangan. Selain kebiasaan suku Bugis di atas, penulis juga ingin mencuba mengetengahkan prinsip ʽsiri’ dalam perkahwinan masyarakat suku ini di Jambi Indonesia sebagai satu suku bangsa yang hidup dan berkembang di wilayahnya. Mereka mengembangkan prinsip yang khas dan unik ini, dalam hal praktiknya memiliki kriteria dan corak kehidupan mereka yang menunjukkan falsafah hidup mereka sangat mendalam terutama dalam sistem perkahwinan. Perbahasan ini diharapkan juga mampu menjadi salah satu langkah melihat pegangan hidup suku Bugis yang menyatukan warisan khazanah di daerah mereka tempati sehingga meluas hampir ke seluruh wilayah Nusantara.
Pengertian dan Istilah Bugis Istilah Bugis menurut Kamus Dewan (2010: 212) bermakna suku bangsa yang berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia yang terkenal sebagai pelaut. Suku ini juga merupakan bahagian dari suku etnik lainnya yang tinggal di wilayah Sulawesi dan termasuk kelompok suku bangsa Toraja, Mandar dan Makassar. Bugis kini dengan populasinya mencapai 4 (empat) juta orang yang mendiami hampir kesemua kawasan Sulawesi Selatan dimana kebanyakan agama yang dianut oleh mereka adalah agama Islam. Masyarakat ini merupakan suku bangsa yang menyebar dan merantau hampir ke seluruh kawasan pesisir pantai kepulauan Nusantara Indonesia, termasuk menyebar sehingga ke kepulauan Sumatera termasuk Jambi. Bugis menurut Thomas Stamford Raffles dan menggelarkan tanah asal mereka adalah Celebes (Sulawesi), Bugis menurutnya adalah negara maritim dan pusat perdagangan yang besar di kepulauan ini, sedangkan orangnya bersosok tubuh yang perawakannya tidak terlalu tinggi dan mereka termasuk orang pemberani, paling petualang, punya semangat usaha tinggi di antara bangsa-bangsa di timur dan terutama sekali mereka amat gemarkan kehidupan menantang (A. Rahman Rahim, 2011: 4). Semenjak penaklukan Belanda pada kurun abad ke-17 menyebabkan sebahagian dari suku ini berpindah dan bercampur dengan suku bangsa lainnya di pelbagai wilayah seperti Sumatera, Kalimantan, Jawa, Maluku, Papua, negeri-negeri Melayu, Borneo, sehingga ke Afrika Selatan dan kepulauan Madagaskar. Bugis pada zaman dahulu merupakan pembuka terulung terhadap hutan-hutan belantara dan perkampungan bagi tujuan penanaman padi atau untuk membangun perkampungan baharu maka untuk ditempati. Aktiviti pembukaan perkebunan baharu ini, biasanya dilakukan dengan seluas yang mereka mampu dengan tujuan untuk mendapatkan kediaman dan perkampungan selesa di samping akan menghasilkan tuaian tanaman padi atau perkebunan kelapa yang lebih banyak. Tanggapan ini bagi masyarakat suku Bugis, barang siapa yang dapat menghasilkan 2
tuaian padi lebih banyak atau kebun yang luas, maka dia merupakan seorang yang boleh dianggap kaya dan bahkan boleh dipandang tinggi, pandai, rajin dan kaya raya. Justeru itu, Bugis ini pernah dianggap sebagai salah satu masyarakat terkenal dengan penanaman padi dan pekebun kelapa yang ulung di Sumatera, Kalimantan, negeri-negeri Melayu termasuk Sabah.
Sejarah Panjang Masyarakat Bugis Pada akhir abad ke-15, Luwuk boleh dianggap sebagai ketua bagi komuniti suku Bugis, hal ini mendominasi kebanyakan kawasan di Tana Ugi termasuklah tebing Danau Besar, sepanjang sungai Welennae sebagai tanah pertanian di sebelah timur, sepanjang pesisir pantai yang menghadap Teluk Bone, Semenanjung Bira, Pulau Selayar dan Tanjung Bataeng di Sulawesi Selatan. Walau bagaimanapun, kerajaan ini mulai menghadapi penentangan sesama sendiri dari kerajaan-kerajaan lain di sekitarnya. Maka pada awal abad tersebut Luwuk dapat menguasai sungai Cenrana yang menghubungi danau Besar. Penempatan Luwuk pula terletak di muara sungai Cenrana, sedangkan di hulu-hulu sungai pula terdapat beberapa kerajaan kecil. Kerajaan Luwuk ini cuba ingin mengekalkan pengaruhnya di bahagian barat, di jalan perhubungan antara selat Makassar dan sungai Cenrana melalui Tasik Besar, untuk mengawal perdagangan sumber-sumber alam di sebelah barat, air minum dari pegunungan Toraja dan sumber pertanian sepanjang sungai Welennae. Walau bagaimanapun, Sidenreng yang terletak di bahagian barat danau Besar telah memilih untuk berlindung di bawah kekuasaan Soppeng. Pada masa yang sama, Sawitto', Alitta, Suppa', Bacukiki', dan Rappang juga terletak di sebelah barat yang telah membentuk satu kesatuan konfederasi dinamakan Aja'tappareng (tanah di sebelah barat danau), hal ini sekali gus menyebabkan Luwuk semakin hilang pengaruhnya ke atas kawasan-kawasan tersebut. Keadaan ini malahan terjadi di sesetengah penempatan wilayah Bugis mula enggan berada dibawah pemerintahan Luwuk. Di hulu sungai Cenrana pula, kerajaan Wajo' sedang membangun dan mulai menyebarkan pengaruhnya untuk mengawal kawasan sekitarnya. Manakala pemerintah di kawasan sekeliling Wajo' pula di gelar Arung Matoa bermaksud ketua pemerintahan. Kemudian sekitar tahun 1490, salah seorang dari pemerintahan ini membuat perjanjian dengan Wajo', dan sekali gus meletakkan Luwuk di bawah pengaruh Wajo'. Pada tahun 1498 pula, penduduk Wajo' melantik Arung Matoa Puang ri Ma'galatung sebagai seorang pemerintah yang disegani oleh orang Bugis, dan berjaya menjadikan Wajo' sebagai salah satu kerajaan utama dalam kalangan masyarakat Bugis. Kerajaan Kerrampelua Bone di sebelah selatan Bone sedang diperintah di bawah pemerintahan Raja Kerrampelua, sedang meluaskan sempadannya di kawasan pertanian sekali gus membantu pengembangan ekonomi Bone, menambahkan kekuatan kaum buruh dan tentara mereka. Penempatan Bugis yang disebut La Galigo kini terletak di bawah pengaruh kerajaankerajaan yang sedang membangun. Soppeng pula terkurung di antara kekuasaan Sidenreng, Wajo' dan Bone, manakala penempatan di tanah tinggi mencuba keluar daripada pengaruh Luwuk dan masa yang sama, ingin mengelakkan pengaruh kerajaan yang sedang membangun. Adanya tempoh antara 1500 dan 1530 telah menyaksikan kerajaan Luwuk dimana pengaruhnya mulai merosot. Ketika itu, Luwuk diperintah oleh Dewaraja iaitu seorang pahlawan hebat dan berani. Di dalam pertemuan antara Dewaraja dan Arung Matoa Puang ri Ma'galatung pada tahun 1508, Dewaraja bersetuju untuk menyerahkan kawasan-kawasan di 3
sepanjang sungai Cenrana kepada Wajo' sebagai pertukaran agar Wajo' hendak membantu Luwuk menguasai Sidenreng di mana Sidenreng berjaya dikuasai oleh Luwuk, selanjutnya Sidenreng terpaksa menyerahkan kepada Wajo' di kawasan timur laut dan utara Tasik Besar. Kerajaan Wajo, pada tahun 1509 Luwuk berjaya menyerang Bone untuk menghalang kekuasaan Bone, tetapi ketika itu Bone sudah pun menjadi sebuah kerajaan kuat dan tentera Luwuk mengalami kekalahan. Bahkan Dewaraja, walaupun berjaya melarikan diri, tetapi hampir dibunuh jika tidak kerana amaran pemerintah Bone kepada tentaranya untuk tidak 'menyentuh' ketua musuh Bone tersebut. Walau bagaimanapun, Payung Merah milik Luwuk yang menjadi simbol kerajaan tertinggi telah berjaya dimiliki oleh Bone, sekali gus mengakhiri kekuasaan Luwuk di negeri-negeri Bugis. Selain itu, kekuasaan Luwuk masih disanjung tinggi dan dihormati oleh kerajaan-kerajaan lain di Sulawesi Selatan. Apabila penggantinya Dewaraja mangkat, Wajo' akhirnya menyerang Luwuk lalu meluaskan pengaruhnya ke daerah-daerah Luwuk. Hal inilah yang membolehkan Wajo' sehingga dapat menguasai beberapa kawasan strategik. Pada masa yang sama, berlaku peristiwa-peristiwa penting di sebelah barat dan selatan Sulawesi. Siang ketika itu masih lagi menjadi kekuatan utama di pesisir barat Makassar dan Bantaeng (ketika itu di bawah pengaruh Luwuk) di sebelah selatan pula terdapat dua penempatan Makassar iaitu Gowa dan Tallo yang mula membangun dan meluaskan pengaruh mereka. Mengikut sumber yang diragui kesahihannya, Gowa dan Tallo pada mulanya adalah satu negeri. Pada sekitar abad ke-15 Raja Tunatangka'lopi membahagikan kawasan tersebut kepada dua bahagian lalu diserahkan kepada dua orang puteranya menjadi Gowa dan Tallo. Pada tahun 1799, Belanda telah menguasai seluruh Sulawesi Selatan. Dalam tempoh pemerintahan Belanda, pelbagai unsur baharu diperkenalkan, seperti sistem cukai dan buruh paksa. Berlanjut penjajahan Jepun, dimana pengurusannya tahun 1942 mengubah pemikiran rakyat Sulawesi Selatan terhadap Belanda. Tahun 1945 selepas pengunduran penjajah Jepun, Presiden pertama Republik Indonesia Sukarno telah mengumumkan kemerdekaan RI tanpa pengakuan daripada Belanda. Hal ini mencetuskan pertumpahan darah dimana-mana hampir seluruh wilayah di Indonesia. Belanda kemudiannya terpaksa berundur dari negara ini selepas komuniti dunia mengakui kemerdekaannya. Walau bagaimanapun, pada abad ke-15 telah berlakunya perubahan di dalam sosio-politik, ekonomi dan agama yang menyebabkan berlakunya migrasi penduduk ke pesisiran pantai sehingga ke tengah hutan belantara untuk membuka penempatan baharu di pelbagai kawasan hampir di semua pesisir pantai Nusantara. Hal ini juga mempengaruhi penghijrahan orang-orang Bugis ke pelbagai tempat pesisir pantai hampir di seluruh wilayah Sumatera dan negeri-negeri Melayu. Sedangkan kedatangan orang Bugis ke negeri-negeri Melayu ini sedikit sebanyaknya dipengaruhi adanya keturunan Opu Tenriburong yang memainkan peranan penting dimana mereka membuat penempatan di Kuala Selangor dan Klang, kemudian keturunan ini juga turut dimahkotakan sebagai Sultan Selangor dan Sultan Johor. Malahan, kelima-lima anak Opu Tenriburong memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban Bugis di kawasan negeri-negeri Melayu sehingga ke kepulauan Borneo. Daeng Marewah misalnya menjadi Yang Dipertuan Riau, Daeng Parani berkahwin dengan puteri Johor, Kedah dan Selangor, ayahanda kepada Opu Daeng Kamboja (Yang Dipertuan Riau ke-tiga), Opu Daeng Menambun (menjadi Sultan Mempawah dan Matan), Opu Daeng Cella' (berkahwin pula dengan Sultan Sambas dan keturunannya menjadi raja di sana). 4
Kemudian keturunan inilah yang seterusnya memperluaskan pengaruhnya hampir ke seluruh wilayah di bahagian pesisir Sumatera termasuk Jambi, Riau, Kepulaun Riau dan negeri-negeri di Alam Melayu. Adanya asimilasi ini, banyak mengakibatkan penyatuan sosio-politik masyarakat suku Bugis dengan masyarakat setempat. Selain itu, akibat penyatuan tersebut yang datang dan memilih daerah-daerah ini sebagai tempat akhir mereka menetap, selain tempatnya cukup strategis yang lokasinya sangat menjanjikan kerana berhadapan langsung dengan Laut Cina Selatan dan Laut Pasifik. Ada juga versi lain yang menyatakan bahawa, sejarah Bugis di Alam Melayu memainkan peranan sangat penting dalam sejarah dan juga mempengaruhi penempatan orang-orang Bugis di pelbagai wilayah di sekitarnya termasuk di Sumatera. Mereka terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam politik dan pembentukan negeri-negeri Melayu ketika itu, terutama sekali negeri Johor. Ia bermula apabila Daeng Loklok ingin memerintah Johor, tetapi tidak dipersetujui oleh pemerintah negeri Johor-Riau-Lingga ketika itu iaitu Raja Kechil. Hal ini menyebabkan Daeng Loklok atau Bendahara Husain meminta bantuan Raja-Raja Bugis untuk menumpaskan Raja Kechil. Bermula dari sinilah campur tangan orang Bugis semakin kuat di Sumatera dan Tanah Melayu. Jika sejarah membuktikan peranan dan pengaruh Bugis begitu kuat dalam masyarakat Jambi di Sumatera yang mengakibatkan sebahagian mereka mempunyai darah keturunan Bugis sehingga ke hari ini. Namun pada masa sekarang ini kewujudan Bugis asli masih kekal di wilayah asalnya Sulawesi Selatan walaupun kewujudan identiti dan budayanya tidak seperti Bugis yang wujud dalam sejarah Sumatera dari ratusan tahun dahulu. Komuniti mereka sekarang wujud sebagai rakyat Indonesia yang teguh mengamalkan prinsip Pancasila, namun tetap kekal sebagai orang Bugis yang masih mengamalkan adat-istiadat Bugis asli dengan bertutur dalam bahasanya tersendiri bicara ugi walaupun sudah dipisahkan mengikut daerahnya di sana seperti Bone, Pangkep, Barru, Sinjai, Wajo’, Soppeng, Pinrang, Pare-pare, Bulukumba, Enrekang, Maros, Rappang dan sebagainya (Iswanto, 2008: 31). Sementara masyarakat Bugis di wilayah Jambi pula, merupakan rakyat Indonesia berketurunan Bugis yang telah menjadi penduduk tetap dan bekerja dari generasi ke generasi di kabupaten Tanjung Jabung Timur dan Barat provinsi ini. Jika dihitung dari statistik terkini, suku Bugis dari daerah asalnya Sulawesi Selatan adalah yang menduduki jumlah terbesar penduduk yang ada di Kabupaten Tanjung Jabung Timur jika dibandingkan dengan suku-suku lainnya dari Indonesia. Mereka adalah tulang belakang kepada kemajuan pertanian, perkebunan dan ekonomi daerah ini pada masa sekarang. Tidak dapat dinafikan bahawa wilayah ini sangat memerlukan sumbangan dan tenaga kerja Bugis tersebut sehingga kini. Ketergantungannya diperkirakan akan terus kekal sehingga beberapa puluh tahun akan datang, dan mungkin ianya tidak akan berubah sama sekali sehingga bila-bila masa.
Penerapan Prinsip Siri’ dalam Kehidupan Masyarakat Bugis Aspek-aspek yang menonjol dalam prinsip siri’ bagi masyarakat Bugis di daerah-daerah tempat kediaman mereka didapati mempunyai banyak corak dan bentuknya. Hal ini, dapat mempengaruhi prinsip individu dan golongan masyarakat yang menerapkannya. Aspek-aspek tersebut dapat dilihat dalam beberapa contoh yang sering terjadi dalam kehidupan mereka masing-masing. Sementara prinsip Ade’ suku Bugis menurut Mattulada (2011: 188) dicatat dalam lontara’-lontara’ Makassar dan Bugis yang dinyatakan secara asas, bahawa hidup politik 5
adalah hidup moral itu sendiri, dengan seluruh adat sebagai sistem pada dasarnya ajaran moral, suatu moraliti dengan meliputi segala segi kehidupan manusia selaku individu dan antara warga dengan negaranya. Hal tersebut juga terjadi dalam masyarakat Bugis di Jambi yang memiliki budaya khas dan unik dengan menggabungkan budaya Melayu setempat sebagai latar belakang kebanyakan menganut agama Islam. Oleh sebab itu, pengaruh budaya Islam sangat terlihat pada kebudayaan Bugis ini di manapun mereka berada. Walaupun tidak dapat disangkal bahawa ada juga pengaruh agama-agama lain seperti Hindu dan Budha yang masih berasimilasi dengan adat tradisinya seperti pemberian sesaji, membakar kemenyan, bentuk stupa candi dan pelbagai bentuk upacara adat lainnya yang mempercayai adanya dewa dan lain-lain. Selai itu, prinsip ini dapat ditemui dalam beragam kehidupan, seperti: •
Sosialisasi Prinsip Siri’ dalam Adat dan Tradisi
Upacara tradisional atau perayaan adat merupakan upacara yang dilaksanakan sesuai dengan adat istiadat masyarakat setempat. Dalam hal ini, adat istiadat yang diamalkan masyarakat Bugis di Jambi tidak boleh dipisahkan dengan agama dan kepercayaan yang dianut oleh masyarakat Melayu Jambi. Adat dan tradisi Bugis dapat dibezakan dalam dua cara, iaitu upacara yang berhubungan dengan lingkaran hidup dan upacara yang berhubungan dengan aktiviti hidup masyarakat dan lingkungan alam. Bahagian Pertama, upacara lingkaran hidup manusia ini dimulai daripada kelahiran sampai dengan masa kematian. Tiap jenjang hidup ini diadakan upacara adat dan tradisi yang berbeza-beza. Secara umumnya penyelenggaraan upacara adat tersebut terbahagi kepada upacara masa kehamilan, kelahiran, dewasa, perkahwinan dan kematian. Pada masa kehamilan tujuh bulan, adat suku Bugis ini biasanya melaksanakan satu upacara kesyukuran dan kenduri sebagai bentuk pemberitahuan rasmi kepada keluarga dan jiran agar semua pihak siap menolong dan siap memberikan bantuan ketika kelahiran nantinya. Setelah kelahiran pada hari ketujuh diadakan upacara aqiqah atau orang Bugis mengenalnya dengan mappenre tojang, pada upacara ini bayi dimandikan, dicukur jambulnya, lalu diberikan nama. Biasanya upacara ini bagi anak lelaki akan mengorbankan dua ekor kambing dan bagi anak perempuan akan dikorbankan seekor kambing sahaja seperti yang telah disyariatkan dalam Islam sebagai tanda syukur. Kebiasaannya akan dihadiri oleh semua ahli keluarga, alim ulama, cerdik pandai atau panrita, tua-tua tengganai dan sebagainya. Ketika sudah menginjak umur kanak-kanak pula, bagi anak lelaki berumur 5-10 tahun akan diadakan upacara massunna’. Upacara yang juga disebut berkhitan, sebelum berkhitan anak-anak terlebih dahulu dimandikan dan bomoh atau mantri menggunakan sebilah sembilu dan ubat dari ramuan alami, walaupun amalan ini sedikit demi sedikit sudah terhakis dengan perubatan moden yang ditangani seorang dokter atau seorang yang pakar dibidangnya. Massunna’ ini merupakan tanda kedewaasaan dan pengi-Islaman kanak-kanak mereka. Pada usia yang sama, seorang wanita pula melakukan upacara disebut matteddo atau disebut juga bertindik iaitu upacara melubangi daun telinga untuk dipasangkan anting-anting di kemudian hari. Tradisi ini bagi masyarakat Bugis juga biasanya diikuti acara khatam al-Quran sama ada secara individu mahupun secara beramai-ramai. Upacara selanjutnya ketika menginjak dewasa adalah masa untuk berkahwin yang diikuti dengan rangkaian upacara adat 6
tertentu bermula dari proses massuro atau masa merisik sehingga berlangsungnya acara ade’ massandeng sehingga proses kehidupan berumah tangga yang dijalaninya mesti sesuai dengan adat dan tradisi yang sudah digariskan oleh ahli keluarga mereka masing-masing. Proses terakhir adalah kematian, bagi masyarakat Bugis di Jambi, kematian adalah akhir dari segalanya. Oleh itu, kematian ini mesti dihantarkan sebaik dan semaksimal mungkin dari semua pihak. Biasanya kalau ada kematian dalam masyarakat mereka, khabar ini cepat disebar luaskan sehingga kesemua mengetahuinya. Segala aktiviti keseharian ditunda, dan semua akan berkumpul di rumah yang menghadapi kematian dengan membawa barangan asas seperti gula, beras, wang dan lain-lain guna disumbangkan untuk meringankan beban keluarga berduka. Kemudian prosesi upacara kematian akan dilaksanakan sesuai syariat Islam bermula dengan dimandikan, dikafankan, disolatkan kemudian dikuburkan. Disamping itu, bagi ahli keluarga akan menjemput semua masyarakat untuk menghatamkan al-Quran bagi si mayit selama tiga malam, atau tujuh malam selagi ahli keluarga memerlukannya amalan ini sudah banyak yang tidak diperaktikan lagi dalam masyarakat Bugis di Jambi sehingga sekarang kerana pergeseran nilai-nilai adat dan tradisi budaya setempat. Bahagian kedua, upacara berhubungan aktiviti hidup masyarakat dan lingkungan alam sangat banyak. Namun sudah banyak juga yang melebur dengan masyarakat Melayu Jambi, seperti satu tradisi yang sudah banyak ditinggalkan sekarang iaitu mattaneng atau biasa juga disebut merase ini merupakan upacara yang berhubungan aktiviti pertanian. Upacara ini dilaksanakan setahun sekali ketika memulai kegiatan bersawah, rangakaian dimulai ketika musim hujan tiba, meliputi proses mabbolakara (membuka lahan), mattugala (menabur benih), mappattaneng (menanam padi), maddongi (menjaga hama padi termasuk burung dan tikus atau pemusnah tanaman lainnya), mappasangki atau dulu lebih dikenal istilah minggala (menuai padi), inilah proses akhir sehingga dapat dikecapi hasil pertanian yang telah mereka usahakan dalam setahun sekali. Selain upacara dan tradisi tersebut di atas, ada lagi beberapa adat tradisional lain masyarakat Bugis di beberapa wilayah Indonesia yang juga dibawa ke Jambi, yakni satu kebiasaan orang Bugis yang juga tidak terlalu dikembangkan lagi iaitu membuat ‘lopi’ atau kapal-kapal kecil sehingga kapal-kapal besar untuk dijadikan sebagai kendaraan, perhubungan, dan pengangkutan laut yang dapat menghubungkan satu kawasan dengan pelbagai wilayah lainnya. Proses pembuatan perahu pinisi ini masih diwarnai serangkaian upacara ritual seperti proses pembuatannya mesti ditetapkan hari baik untuk mencari kayu, upacara mengusir roh penghuni kayu, pemasangan papan pengapit lunas dan upacara peluncuran perahu yang sudah selesai dibuat. Selain jenis pinisi ini, ada juga jenis perahu lain yang sering dibuat oleh pengrajin perahu Bugis, seperti Lambo palari, Lambo calabai, Jarangka, Jongkong, Lopi, Somppe, Pajjala dan sebagainya. •
Realisasi Prinsip Siri’ dalam Keperibadian dan Kekeluargaan
Bentuk tradisional prinsip siri’ bagi masyarakat Bugis didapati mempunyai makna mendalam kerana selain seni, budaya dan bahasa, ada juga tradisi dan prinsip keperibadian mengakar dalam jiwa mereka lalu dikekalkan kemudian diterapkan ke manapun mereka berada. Hal tersebut dapat dilihat melalui dua jalan. Pertama, jalinan kekeluargaan melalui hubungan darah yang disebut dengan sejing. Kedua, wujudnya hubungan kekeluargaan disebabkan ikatan perkahwinan yang disebut juga siteppa-teppa. Hubungan kekeluargaan sejing sangat besar 7
peranannya dalam kehidupan masyarakat mereka sehari-hari. Orang-orang yang berhubungan sejing akan saling membantu dalam menguruskan segala hal yang diperlukan, termasuk masalah perkahwinan atau dalam acara kekeluargaan lainnya. Selain itu, mereka juga berkewajiban menegakkan dan membela serta mempertahankan prinsip “siri” berupa martabat dan harga diri keluarga. Keluarga sejing tersebut juga bertanggungjawab menyelenggarakan pelbagai upacara adat dan tradisi yang senantiasa diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat seperti kelahiran, perkahwinan, kematian dan sebagainya (Iswanto, 2008: 32). Sebenarnya istilah siri’ secara harfiah diertikan juga dengan “malu” namun erti hakekat dari prinsip siri’ bermakna lebih luas, kerana dapat menyangkut segala segi kehidupan masyarakatnya. Menurut Haji Andi Ghalib salah seorang bekas raja (suku Bugis) terakhir memerintah pada zaman kerajaan Soppeng yang diikuti papaseng yang menjadi tuturan turun-temurun dikenal ungkapan yang menyatakan bahawa: Siri’ adalah suatu adat yang melekat dan paling peka bagi suku Bugis, kerana bagi suku Bugis ada petuah yang mengatakan, “siri’ nami nato tau” yang ertinya kalau masih punya siri’ maka itu manusia, atau sudah tidak punya siri’ maka bukan lagi manusia. Kemudian dikemukan juga, “Madareka tau Wajo’ ade’na napu puang”, yang ertinya bahawa merdeka orang Wajo’ adatnya yang dijadikan raja” (Zohra Andi Baso, 1979: 5). Sementara Rusli Effendi (1976: 9) memberikan pengertian siri’ seperti yang dipetik oleh Muhammad Yahya Sibe, seperti berikut: Menyangkut soal siri’ ini merupakan suatu etos kultur pandangan hidup dan dunia yang melekat pada sistem nilai yang terjalin dalam sistem budaya sosial, keperibadian masyarakat dalam wujud kebudayaan pangadereng (Bugis), pangadakan (Makassar), penggada (Toraja) dan panggadarang (Mandar). Jadi siri’ merupakan suatu adat budaya yang melekat di masyarakat Sulawesi Selatan. Sehingga kalau dianggap tersinggung siri’nya boleh menimbulkan suatu tragedi berdarah, misalnya jika anak gadisnya dibawa lari oleh lelaki lain, bahkan boleh terjadi tragedi berdarah kerana tersinggung, haiwan peliharaannya dipukul oleh orang lain, kerana dianggap pemiliknya yang dihina. Itulah suatu sistem nilai yang berkembang dari dulu sehingga sekarang dalam masayarakat suku Bugis. Sedangkan La Sibe, memberikan penjelasan panjang mengenai siri’ seperti yang dirakam oleh Muhammad Yahya Sibe (1979: 11) dalam hubungannya melalui kehidupan masyarakat Bugis, seperti berikut: Taroi siri’ alemu, siri’ta mi nato tau. Padecengi sifa’mu, sifa’e mi nato tau. Padecengi ampeemu, ampeemi nato arung. Falsafah ini merupakan ungkapan yang bererti siri’ harus melekat pada dirimu, kerana tanpa siri’ kita bukan lagi manusia. Perbaikilah sifatmu, kerana sifat itu yang dapat membezakan manusia dengan haiwan, dan perbaikilah kelakuanmu, kerana kelakuan yang baik itu dapat menandakan seseorang itu adalah bangsawan.
8
Satu pappaseng lagi yang sangat kuat memotivasi masyarakat Bugis dalam kehidupan seharian mereka agar siri’ tetap kekal terpelihara dalam masyarakatnya, dengan menyatakan bahawa “Siri’ emmi rionrroang lino, utettong ri ade’e, najagainnami siri’ta, naiyya siri’e sunge naranrreng, nyawa nakira-kira.” Maksudnya adalah bahawa “Hanya dengan siri’ kita hidup berharga di dunia, aku setia kepada adat kerana adat menjaga siri’ kita, kerana siri’ jugalah jiwa menjadi taruhannya kerana dalam mempertaruhkan nyawa kematian boleh menjadi hujungnya” (Nurnaningsih Nawawi, 2013: 146). Kamus besar bahasa Indonesia mengertikan siri’ sebagai sistem nilai sosiokultural keperibadian yang merupakan pranata pertahanan harga diri dan martabat manusia sebagai individu dan anggota masyarakat dalam masyarakat Bugis. Interprestasi nilai siri’ dalam masyarakat Bugis pada dasarnya tidak persis sama. Masyarakat Bugis Bone (salah satu sub etnik) menginterprestasikan siri’ sebagai nilai luhur yang harus dijunjung tinggi, sebagai ekspresi penghargaan terhadap nilai orang (Mattalatta, 2002). Huraian-huraian mengenai siri’ di atas mencerminkan bahawa prinsip ini mempunyai erti tersendiri dengan nilai yang tinggi meliputi segala sisi kehidupan masyarakatnya secara keseluruhan di manapun mereka berada, setelah sekian lama merantau dan menetap di pelbagai wilayah, termasuk juga masyarakat Bugis yang ada di Jambi. Prinsip ini kekal diperaktikkan sebagai adat, budaya dan prinsip. Siri’ juga termasuk prinsip kebijakan dalam pemerintahan bersifat benar, tepat dan ke hadapan, sebab dalam persoalan kenegaraan suatu pemerintah yang baik siri’ mempunyai falsafah tersendiri, bahkan dijadikan sebagai pendorong untuk bertindak lebih hati-hati bagi sesiapa yang memegang pucuk kepimpinan dalam masyarakatnya, demikian pula sebaliknya di mana masyarakat perlu memperlihatkan ketaatan kepada pemimpinnya, hal inilah yang telah dikenal lama oleh orang Bugis sejak zaman ke zaman. Dari pelbagai ungkapan di atas, siri’ dapat memberikan suatu petunjuk adat dan budaya mendalam yang melekat pada masayarakat Bugis bahkan menjadi satu kultur pandangan hidup mereka dengan menyangkut segala segi kehidupan mereka secara keseluruhannya. Selain siri’ juga memegang peranan penting yang dapat berlaku atau diterapkan terhadap segala kehidupannya, sama ada mengarah kepada sesuatu yang baik mahupun yang kurang baik. Tetapi pada prinsipnya penerapan siri’ ini selalunya diterjemahkan kepada kebaikan walaupun dampaknya adalah keburukan.
Aplikasi Prinsip Siri’ dalam Keagamaan dan Kemasyarakatan
Kenyataan prinsip ini telah mewarnai kehidupan keagamaan dan kemasyarakatan orang Bugis dalam banyak hal, seperti Sifat penghormatan, adat tradisi siri’ yang mengakar dalam kehidupan masyarakat Bugis, seperti tradisi penghantaran mayat ke pemakaman, di mana mengikut adat semua orang yang datang dari arah berlawanan dengan mayat, maka haruslah berhenti dan baru boleh melanjutkan perjalanan tersebut setelah mayat dan pengantarnya berlalu, begitu juga yang datang dari arah sebaliknya tidak boleh melebihi posisi mayat. Barang siapa yang tidak berhenti atau melampaui mayat, maka akan dipukul beramai-ramai oleh pengantar mayat tersebut dan bahkan orang-orang yang kebetulan berlalu di tempat tersebut juga ikut memukulnya kerana tidak mentaati adat atau ia dianggap “ipakasiri” (dipermalukan) sebab dianggap telah menghina yang sedang berduka dalam kematian tersebut.
9
Pengaruh ideologi, tidak semua penerapan siri’ dapat dipertahankan kerana banyak juga bertentangan prinsip keperibadian bangsa, agama dan negara. Namun tidak dapat disangkal bahawa falsafah siri’ ada yang justeru menyokong berlaku ideologi yang dianut oleh masyarakatnya sesuai dengan falsafah dan dasar negara atau agama yang dipegangnya. Ada juga prinsip siri’ perlu tetap dikekalkan sebab dapat menyokong pembangunan syahsiah seseorang, seperti istilah “malaweng” atau main serong dengan lelaki lain, maka orang tersebut ke manapun ia pergi tiada orang yang mahu menerimanya untuk memberi tumpangan atau biasanya si perempuan dan lelaki berkenaan akan dikejar ke mana sahaja mereka pergi oleh keluarganya sebab telah mencoreng nama baik keluarga, perbuatan ini dianggap “mappakasirisiri” (mempermalukan) keluarga dan juga telah melanggar norma-norma agama kerana telah berbuat zina yang sangat dilarang dalam agama Islam, bahkan ganjarannya harus dibunuh (direjam) sampai mati. Prinsip hidup, hal ini sering berdampak kepada peribadi berupa dendam, dalam masyarakat Bugis perkara ini kerap berakibat pembunuhan kerana isu siri’ yang terpengaruh daripada perasaan dendam kesumat. Sebagai contoh apabila ada seorang lelaki melarikan anak gadis dari keluarganya tanpa ada proses lamaran secara ade’ sebelum adanya ikatan sah perkahwinan, maka di sinilah akan terjadi awal timbulnya dendam. Kemudian lelaki tersebut walaupun sudah melangsungkan perkahwinan secara rasmi di kampung halamannya sehingga mempunyai anak sekalipun, biasanya mereka tidak akan diterima oleh keluarga perempuan ketika akan kembali ma-deceng atau kembali rujuk atau berdamai kepada keluarga perempuan. Bahkan tidak jarang akan terjadi pembunuhan bahkan mungkin berakibat tragedi berdarah dalam keluarga dan masyarakatnya kerana peristiwa tersebut dianggap sangat memalukan. Hal ini juga menjadi satu pembelajaran bermakna dalam kehidupan masyarakat Bugis agar berhatihati dan tetap selalu menjaga siri’ keluarganya, jangan sampai terjadi lari bersama atau melarikan anak gadisnya sebab ia sangat melanggar adat. Corak kepimpinan, prinsip siri’ juga dapat menjadi simbol kepimpinan dalam kehidupan masyarakat Bugis. Satu tradisi keturunan raja atau arung di Sulawesi Selatan yang memiliki garis kepimpinan bermula daripada anak paling sulung, anak dan keturunan berikutnya akan menunggu giliran secara bergantian, proses inilah yang berlaku dari generasi ke generasi berikutnya, tetapi ada satu ketetapan dibolehkan keturunan berikutnya untuk melanjutkan teradisi memimpin sebagai raja atau arung, tetapi mesti mencari wilayah lain sebagai wilayah kekuasaan untuk dipimpinnya, dengan dibekalkan sebanyak 50 ahli keluarga atau pasukan untuk dibawa serta. Gelombang inilah yang terjadi ketika perpindahanan garis kerabat diraja ke daerah dan wilayah hampir ke seluruh Nusantara sehingga sampai ke kepulauan lain yang dapat mengekalkan garis keturunan mereka menjadi raja. Proses ini terjadi kerana ada keturunan raja tersebut “me siri’ (merasa malu) kalau tidak memegang kekuasaan padahal ia merupakan anak keturunan raja yang berdaulat. Cara penghormatan, prinsip siri’ juga dapat tercermin melalui adat seperti penghantaran surat jemputan kahwin atau jemputan kenduri lainnya, maka penjemput tersebut yang bertugas harus memakai pakaian sesuai adat dan merupakan pantangan untuk menyuruh kanak-kanak untuk menghantarkannya sebagai penghormatan yang diundang. Penghantar surat jemputan tersebut minimal dua orang dan apabila yang akan dijemput adalah golongan bangsawan atau pemuka masyarakat, maka harus memakai baju bodo dan berkain sarung Bugis (kain sutera) bagi wanita, dan lelaki memakai kot dan bersongkok dengan berkain sarung sabbe. 10
Sekiranya menyalahi adat tersebut, maka orang yang menerima surat jemputan tersebut merasa “ri pakasiri” atau “de’ nipakatau” dan boleh berakibat orang tersebut tidak akan hadir dalam undangan tersebut, dan bahkan kesannya surat jemputan tersebut boleh ditolak bahkan akan dikembalikan kepada pemiliknya. Simbol kepahlawanan, hal ini dapat terlihat melalui sistem kerajaan yang berlaku di Sulawesi Selatan seperti kerajaan Wajo’ dahulu dimana siri’ harus dijaga oleh raja, kerana ia merupakan simbol kekuatan dan kepahlawanan yang harus dipertaruhkan oleh seorang raja atau arung. Pertaruhan ini menjaga nama baik, kehormatan dan harkat, serta martabat keluarganya. Dan raja yang melanggar janji atau sumpah daripada rakyatnya akan diragui asal-usulnya, bahkan tidak menutup kemungkinan akan dianggap bukan keturunan “to manurung” (raja yang turun daripada langit). Dalam hal ini dapat dilihat bahawa betapa siri’ ini mempunyai tempat tersendiri bagi kehidupan masyarakat Bugis yang meliputi segala segi kehidupan mereka sesuai dengan pepatah Bugis “De’pa na engka nalabu matanna esso’e ritenggana bitara’e”, dalam bahasa Bugis Makassar juga dikenal dengan istilah “Paccena siri’ atau Eja tompi nadoang.” Demikianlah beberapa huraian dan contoh prinsip siri’ yang berlaku dalam kehidupan masyarakat Bugis telah menyentuh segala segi kehidupan mereka, sama ada lapisan rakyat biasa sehingga kepada raja, mulai dari sisi masyarakat bawahan sehingga atasan, mulai masalah sosial sehingga ekonomi, mulai daripada persoalan individu sehingga kumpulan, dan bahkan mulai daripada peraturan sehingga hukuman dan sebagainya yang dapat menggambarkan betapa uniknya prinsip dan adat masyarakat Bugis tersebut yang terus diabadikan dalam kehidupan mereka dari masa ke masa sehingga ke hari ini.
Adaptasi Prinsip Siri’ dalam Sistem Perkahwinan Masyarakat Bugis Penyelenggaraan pernikahan merupakan suatu institusi sosial yang sangat penting dalam adat istiadat masyarakat Bugis termasuk Bugis Jambi. Bagi masyarakat Bugis hubungan intim antara lelaki dan perempuan tanpa didahului oleh penyelenggaraan majelis perkahwinan adalah merupakan perbuatan yang tidak bermaruah, bahkan menjadi acara yang sangat memalukan (mappakasiri’-siri’) kalau tidak disempurnakan dengan baik. Pelaksanaan majelis ini merupakan sesuatu hal yang penting bagi orang Bugis bukan hanya dirasakan sebagai beban moral keluarga bersangkutan, tetapi juga merupakan aib dan maruah (siri’) yang perlu dipertanggungjawabkan oleh seluruh ahli kerabat dekat atau jauh yang termasuk dalam kelompok siassirikeng siappessei (satu kelompok harga diri dan solidariti bersama) (Mahmud Tang, 2003). Kenyataan ini tercermin dalam kehidupan mereka, seperti prinsip berikut ini: Dalam hubungan antara pria dan wanita di kalangan Bugis dan Makassar, perkara siri’ ini sangat menonjol. Di zaman penjajahan Belanda, tidak pantas seorang wanita atau gadis berjalan sendiri tanpa pengawal. Kalau terpaksa bepergian, ia harus dikawal oleh seorang pallapi siri’ (pengawal kehormatan). Pengawal kehormatan ini selalu memegang hulu senjatannya siap sedia membela dan mempertahankan kehormatan orang yang dikawalnya (Mattalatta, 2003). Prinsip siri’ merupakan kebanggaan atau keagungan harga diri bahkan menjadi maruah terpenting bagi orang Bugis yang telah diwariskan oleh leluhur mereka untuk menjunjung tinggi adat istiadat yang di dalamnya terpacak dalam hati nurani mereka. Seiring dengan perkembangan teknologi saat ini semakin merubah setiap sudut kehidupan, maka perubahan11
perubahan juga belaku dalam kehidupan masyarakatnya. Kuatnya siri’ yang dimiliki oleh masyarakat Bugis sangat jelas terlihat jika harkat dan martabatnya dilanggar oleh orang lain, maka orang yang dilanggar harkat dan martabatnya tersebut akan berbuat apa sahaja untuk membalas dendam dan memperbaikinya demi nama besar keluarganya di tengah-tengah masyarakat mereka. Begitu pula bila terjadi dengan kahwin lari yang oleh masyarakat ini telah dianggap sebagai perbuatan yang menimbulkan siri’ unsur ma pakasiri’-siri’. Oleh sebab perkahwinan merupakan salah satu hal yang berhubungan dengan masalah siri’. Maka apabila terjadi pinangan seseorang ditolak, pihak peminang boleh merasa kehilangan harga diri (mate siri’) sehingga terpaksa menempuh jalan silariang (kahwin lari) untuk menghidupkan kembali harga dirinya. Bahkan zaman dahulu apabila ada seseorang hamil di luar nikah, maka perempuan tersebut akan menjadi bahan pembicaraan dalam masyarakatnya. Sebahagian dari perempuan tersebut akan memilih lari bersama pasanganya dan menikah di luar kampung halamannya untuk menghilangkan rasa ma siri’. Selain itu, siri’ merupakan bangunan adat dan moral yang tersusun kukuh dalam kehidupan keluarga dan masyarakat Bugis, maka ketika seseorang melakukan perilaku menyimpang, sama ada dilihat dari perspektif adat yang dilandasi peneguhan harga diri individu mahupun masyarakat Bugis. Watak keras menjadi salah satu ciri khas dari masyarkat Bugis. Hal ini dipertegas oleh Shelly Errington, untuk orang Bugis Makassar, tidak ada tujuan atau alasan hidup yang lebih tinggi selain daripada menjaga siri’-nya. Masyarakat Bugis ketika tersinggung atau dipermalukan (nipakasiri’) lebih memilih mati dengan perkelahian demi untuk memulihkan siri’-nya tersebut daripada hidup tanpa siri’. A. Zainal Abidin Farid (Mattalatta, 2002) telah membahagikan pembahagian siri dalam dua jenis kategori, iaitu: Siri’ Nipakasiri’, iaitu yang terjadi bilamana seseorang dihina atau diperlakukan di luar batas kemanusiaan, maka ia (atau keluarganya bila ia sendiri tidak mampu) harus menegakkan siri’-nya untuk mengembalikan haknya yang telah dirampas sebelumnya. Jika tidak ia akan disebut mate siri’ (mati harkat dan martabatnya sebagai manusia). Dan Siri’ Masiri’, iaitu pandangan hidup yang bermaksud untuk mempertahankan, meningkatkan atau mencapai suatu prestasi yang dilakukan dengan sekuat tenaga dan segala jerih payah demi siri’ itu sendiri, demi siri’ keluarga dan kelompok. Hal ini disokong lagi oleh istilah lain: Dalam kehidupan manusia Bugis-Makassar, siri’ merupakan unsur yang prinsipil dalam diri mereka. Tidak ada satu nilaipun yang paling berharga untuk dibela dan dipertahankan di muka bumi ini selain daripada siri’. Siri’ adalah jiwa mereka, harga diri mereka, martabat mereka. Sebab itu untuk menegakkan dan untuk membela siri’ yang dianggap tercalar atau dicemarkan oleh orang lain, maka manusia Bugis akan bersedia mengorbankan apa sahaja termasuk jiwanya yang berharga demi tegakknya siri’ dalam kehidupan mereka (Hamid Abdullah, 2007). Dikeranakan perkahwinan merupakan tatanan penting dalam kehidupan masyarakat Bugis sebagai awal terbentuknya institusi keluarga. Dalam pasal 1 Undang-Undang No. 1 tahun 1974 tentang Perkahwinan di Indonesia, menyatakan bahawa perkahwinan adalah ikatan zahir dan batin lelaki dengan wanita sebagai suami istri dengan tujuan membentuk keluarga (rumah tangga) yang kekal berdasarkan Ketuhanan Yang Maha Esa. Lebih terperinci perbahasan ini seperti berikut: 12
Perkawinan merupakan suatu nilai hidup untuk dapat meneruskan keturunan, mempertahankan silsislah dan keturunan, mempertahankan, silsilah dan kedudukan sosial yang bersangkutan. Disamping itu adakalanya perkahwinan merupakan sarana untuk memperbaiki hubungan yang menjauh atau retak, ia merupakan sarana pendekatan dan perdamaian kerabat dan begitu pula perkahwinan itu bersangkut paut dengan warisan dan harta kekayaan (Noviardi, 2003). Berdasarkan definisi tersebut di atas sesungguhnya perkahwinan merupakan akad yang sangat kuat atau ikatan zahir dan batin antara seorang lelaki dengan seorang wanita sebagai suami istri untuk mentaati perintah Allah SWT dengan tujuan membentuk keluarga (rumah tangga) yang bahagia yang kekal berdasarkan perintah Tuhan Yang Maha Esa, meneruskan kehidupan manusia dan masyarakat, mempertahankan silsilah dan kedudukan sosial serta memperbaiki hubungan kekerabatan sesuai dengan ajaran agama yang mereka anuti. Untuk mengaplikasikan institusi kekeluargaan tersebut, maka ada dua tahapan proses pelaksanaan upacara perkahwinan dalam masyarakat Bugis yang hampir di seluruh wilayah Indonesia termasuk Jambi dilaksanakan. Bagi masyarakat Sulawesi Selatan pada umumnya, masyarakat Bugis khususnya menganggap bahawa upacara perkahwinan merupakan sesuatu hal yang sangat sakral dan mulia, ertinya mengandung nilai-nilai yang suci. Terdapat bahagianbahagian tertentu pada rangkaian upacara tersebut yang bersifat tradisional. Dalam sebuah lagu Bugis (elong) dikatakan Iyyana kuala sappo unganna panasae na belo kalukue. Ertinya kuambil sebagai pagar diri dari rumah tangga ialah kejujuran dan kesucian.’ Dalam kalimat tersebut terkadung makna mendalam yang sangat penting dalam menjalankan suatu perkahwinan. Sementara dalam upacara perkahwinan adat masyarakat Bugis yang juga disebut ”Appabottingeng ri Tau Ugi” terdiri atas beberapa tahap kegiatan. Kegiatan-kegiatan tersebut merupakan rangkaian yang berurutan tidak boleh saling tukar menukar, kegiatan ini biasanya hanya dilakukan pada masyarakat Bugis yang betul-betul masih memelihara adat istiadatnya. Pada masyarakat Bugis sekarang ini masih kental dengan kegiatan tersebut, kerana hal tersebut merupakan hal yang sewajarnya dilaksanakan sebab mengandung nilai-nilai yang sarat akan prinsip dan falsafah hidup, dengan tujuan agar kedua mempelai dapat membina hubungan yang harmonis dan abadi melalui hubungan antar kedua keluarga yang senantiasa tetap sakinah, mawaddah dan rahmah.
Proses Ade’ Perkahwinan Masyarakat Bugis Proses perkahwinan dalam masyarakat Bugis bermula setelah anak-anak mereka menginjak dewasa sebagai masa yang sudah dianggap layak untuk berkahwin. Hal ini dibarengi rangkaian upacara adat tertentu bermula dari proses paita iaitu masa melihat dan mencari, lalu massuro atau masa merisik sehingga berlangsungnya acara ade’ massandeng sehingga proses kehidupan berumah tangga yang dijalaninya perlu sesuai dengan adat dan tradisi yang sudah digariskan oleh ahli keluarga mereka masing-masing. Satu tradisi yang masih dipertahankan bagi masyarakat Bugis di Sulawesi Selatan sebagai tempat asal mereka sehingga ke Jambi sampai sekarang adalah mencari pasangan hidup selalunya masih tetap melibatkan ahli keluarga, dan akan memilih pasangan hidup semampunya dari kalangan keluarga atau orang Bugis juga walaupun adat ini sudah banyak berubah, pada prinsipnya selagi masih ada orang Bugis, maka 13
selagi itu juga tetap berusaha tidak mengambil suku atau bangsa lain untuk dijadikan sebagai pasangan hidup mereka. Setelah pasangan hidup telah ditemukan dan sudah dianggap sesui oleh kedua pasangan dengan persetujuan semua ahli keluarga, maka proses selanjutnya secara berturutan kegiatan tersebut perlu meliputi hal-hal berikut: Paita (melihat) iaitu proses awal sebagai langkah untuk melihat dan mencari pasangan yang diingini. Lalu Mattiro (menjadi tamu), hal ini merupakan suatu proses lanjutan dalam penyelenggaraan perkahwinan masyarkat Bugis. Mattiro ertinya melihat dan memantau dari jauh atau Mabbaja laleng (membuka jalan). Maksudnya calon mempelai laki-laki perlu melihat terlebih dahulu calon mempelai perempuan dengan cara bertamu di rumah calon mempelai perempuan, apabila dianggap layak, maka akan dilakukan langkah selanjutnya. Mapessek-pessek (mencari informasi), proses ini, tidak terlalu banyak dilakukan oleh pihak perempuan kerana mapessek-pessek mayoritinya dilakukan oleh pihak calon lelaki yang telah ditentukan oleh orang tuanya yang betul-betul sudah dikenal. Ataupun ada kalanya proses ini lebih mudah kalau calon mempelai perempuan telah dikenal akrab oleh calon mempelai laki-laki. Proses selanjutnya Mammanuk-manuk (mencari calon), proses ini biasanya orang yang datang mammanuk-manuk adalah orang yang sama ketika datang mapessek-pessek agar lebih mudah menghubungkan pembicaraan pertama dengan yang kedua. Berdasarkan perbincangan antara pammanuk-manuk dengan orang tua si perempuan, maka utusan tersebut berjanji akan memberi tahukan kepada keluarga dari pihak laki-laki untuk datang kembali sesuai dengan waktu yang telah ditentukan. Jika kemudian terjadi kesepakatan, maka masa itu ditentukanlah waktu madduta mallino. Oleh itu, Madduta mallino (melamar secara nyata), mallino ertinya terang-terangan mengatakan suatu yang tersembunyi. Jadi duta mallino adalah utusan resmi keluarga lelaki ke rumah perempuan untuk menyampaikan amanat secara terang-terangan menyampaikan hajat apa yang telah dirintis sebelumnya pada masa mappesekpesek dan mammanuk-manuk. Dalam acara biasanya ini pihak keluarga perempuan menjemput pihak ahli keluarga terdekatnya serta orang-orang yang dianggap boleh mempertimbangkan hal lamaran pada masa pelamaran. Setelah rombongan To madduta (utusan) datang, kemudian dijemput dan dipersilakan duduk pada tempat yang telah disediakan. Dimulailah pembicaraan antara To madduta dengan To riaddutai, kemudian pihak perempuan pertama memulai perbincangan lalu pihak lelaki mengutarakan maksud dan hajat kedatangannya. Hal tersebut, apabila pihak perempuan menerima maka akan mengatakan ”Komakkonitu adatta, pelisuni tanggata, agguru na wagguru tokki” maksudnya apabila demikian tekad tuan, kembalilah tuan, pelajarilah saya dan saya pelajari tuan, atau dengan kata lain pihak perempuan menerima lamaran tersebut, maka dilanjutkan dengan perbincangan selanjutnya iaitu proses mappasiarekkeng. Mappasiarekkeng (Bertunang), mappasiarekkeng ertinya mengikat dengan kuat atau juga dikenal dengan istilah bertunang. Biasa juga disebut dengan mappettu ada maksudnya kedua belah pihak bersama-sama mengikat janji yang kuat atas kesepakatan perbincangan yang telah dirintis dan sudah disepakati bersama sebelumnya. Dalam acara ini, biasanya akan dirundingkan dan diputuskan segala sesuatu yang berhubungan dengan segala hal majelis perkahwinan nantinya, antara lain meliputi Tanra esso (penentuan hari), balanca (wang belanja), doi menre (wang belanja), sompa (emas kahwin) dan sebagainya. 14
Setelah acara peneguhan pappettu ada (mengambil keputusan) selesai, maka para hadirin disuguhi dengan hidangan juadah yang berisi kue-mueh khas Bugis yang pada umumnya manis-manis agar hidup calon pengantin selalu manis (senang) dan bahagian dikemudian hari. Selanjutnya berlanjut kepada proses persiapan upacara sebelum akad perkahwinan. Hal tersebut terjadi sejak tercapainya kata sepakat, maka kedua belah pihak keluarga sudah dalam kesibukan mempersiapkan proses majelis yang sangat di nanti oleh keluarga masing-masing. Dalam hal ini, makin tinggi status sosial keluarga yang akan mengadakan mejelis perkahwinan tersebut maka lebih lama juga dalam persiapannya. Untuk pelaksanaan perkahwinan dilakukan dengan menyampaikan kepada seluruh sanak keluarga dan rekan-rekan terlebih dahulu. Hal ini perlulah dilakukan proses penjemputan yang diwakili oleh beberapa orang lelaki dan wanita dengan menggunakan pakaian adat Bugis. Pakaian lelaki mallipa’ sabbe bersongkok dan perempuan pula mabbaju boddo. Selain itu, perawatan dan perhatian terus akan diberikan kepada calon pengantin. Kebiasaannya tiga malam berturut-turt sebelum hari pernikahan calon pengantin perlu mappasau (mandi uap), calon pengantin memakai bedak hitam terbuat daripada beras pulut yang digoreng sampai hangus lalu dicampur dengan asam jawa dan limau nipis. Setelah acara mappasau, calon pengantin lalu dihias untuk upacara mappacci atau tudang penni dan mappanre temme. Acara mappaccing berasal daripada kata mepaccing yang bererti bersih. Mappaccing ertinya membersihkan diri, upacara ini secara simbolik menggunakan daun pacci (daun inai). Kerana acara ini dilaksanakan pada malam hari, maka dalam bahasa Bugis disebut Wenni mappacci (malam berinai). Dalam pelaksanaan upacara mappaci akad nikah ini bermakna calon mempelai telah siap dengan hati yang suci bersih serta ikhlas untuk memasuki alam rumah tangga, dengan membersihkan segalanya, termasuk Mappaccing ati (bersih hati), mappaccing nawa-nawa (bersih fikiran), mappaccing pangkaukeng (bersih/baik tingkah laku/perbuatan) dan mappaccing tekad (bersih i’tikat). Sementara orang-orang yang diminta untuk meletakkan daun pacci pada calon mempelai biasanya adalah orang-orang yang punya kedudukan sosial tinggi dan baik serta punya kehidupan rumah tangga bahagia atau pasangan yang sudah terbukti kehidupannya sakinah, mawaddah dan rahmah. Semua ini mengandung makna agar kedua calon mempelai kelak dikemudian hari dapat pula hidup bahagia dan harmoni seperti mereka yang telah meletakkan daun pacci tersebut di tangannya. Bahkan dahulu kala adat orang Bugis, jumlah orang yang meletakkan daun pacci disesuaikan dengan tingkat stratifikasi calon mempelai itu sendiri. Untuk golongan bangsawan biasanya yang tertinggi jumlahnya yakni 2 x 9 orang atau ”dua kasera”. Untuk golongan menengah 2 x 7 orang ”dua kapitu”, sedang untuk golongan dibawahnya lagi 1 x 9 orang atau 1 x 7 orang. Tetapi pada masa sekarang semua ini tidak ada lagi perbezaan-perbezaan tersebut dalam jumlah orang yang akan melakukan acara ini. Setelah prosesi mappacci selesai, keesokan harinya mempelai laki-laki perlu dihantar ke rumah mempelai wanita untuk melaksanakan akad nikah (kalau belum melakukan akad nikah). Kerana pada masyarakat Bugis kadang-kadang pelaksanaan akad nikah biasanya dilaksanakan sebelum acara majelis perkahwinan dilangsungkan yang selalunya disebut istilah kawissoro (nikah dahulu). Kalau sudah melaksanakan kawissoro hanya perlu dihantar melaksanakan acara mappasilukang (pembatalan) dan makkarawa (penyentuhan) yang dipimpin oleh indo’ botting (mak andam). Setelah akad perkahwinan berlangsung, perlu diadakan acara resepsi (walimah) atau kenduri kahwin dimana semua tamu undangan hadir untuk memberikan doa restu dan sekali gus menjadi saksi atas pernikahan kedua mempelai 15
tersebut, selain agar mereka tidak berburuk sangka ketika terjadi sesuatu terhadap kedua mempelai di kemudian hari. Pada acara majelis perkahwinan tersebut dikenal juga dengan istilah Ana’ botting (anak pengantin), hal ini dinilai mempunyai andil sehingga merupakan sesuatu yang tidak terpisahkan pada masyarakat Bugis di manapun mereka berada termasuk di Jambi. Sebenarnya pada masyarakat Bugis, ana’ botting tidak dikenal dalam sejarah dalam setiap perkahwinan kedua mempelai yang perlu didampingi oleh balibotting (penyebelah) dan passeppi (pendamping), mereka bertugas untuk mendampingi pengantin di pelaminan. Ana’ botting dalam perkahwinan merupakan perilaku sosial yang mengandung nilai-nilai kemanusiaan yang merupakan ciri khas kebudayaan orang Bugis Jambi umumnya dan orang Bugis pada khususnya, kerana kebudayaan menunjuk kepada pelbagai aspek kehidupan yang meliputi cara-cara perilaku, kepercayaan dan sikap-sikap serta pelbagai kegiatan dalam masyarakat. Sesudah perkahwinan, setelah majelis perkahwinan berlangsung kedua pengantin akan menjalani hidup mereka berdua seperti orang lain menjalaninya, demikianlah keadaan serta dimanika kehidupan berumah tangga ini yang akhirnya banyak mencorakkan karakter dan ketabahan hidup orang Bugis di Jambi ini yang menjadi pejuang pantang menyerah di tengah hutan atau pesisiran pantai yang berhadapan langsung dengan Laut Cina Selatan atau selat Melaka. Keadaan ini juga terkadang menjadikan mereka sebagai pencari sumber daya alam laut yang sangat kaya dengan pelbagai jenis ikan, hasil laut dan jenis-jenis ikan biasa lainnya. Tidak terlupakan juga potensi terumbu karang yang belum banyak digarap secara optimal oleh masyarakat Bugis yang hidup sebagai nelayan. Walaupun mereka disibukkan dengan pencarian rezeki sehari-hari, akan tetapi masyarakatnya masih lagi tidak meninggalkan adat dan istiadat kedaerahan yang diterapkan di beberapa wilayah mereka tempati setelah institusi kekeluargaan mereka terbentuk. Beginilah keadaan kehidupan masyarakat Bugis terbentuk dengan memiliki budaya persaudaraan yang tinggi untuk mereka jadikan sebagai wasilah penghubung dan komunikasi antara satu sama lainnya. Amalan cara hidup diamalkan berlandaskan hukum adat istiadat, pemali dan pantang-larang, bertolak-ansur dan selalu berlandaskan kekeluargaan yang erat. Kebiasaannya masyarakat suku ini pada awal memasuki kawasan pesisir pantai dimulai dengan menebang dan membuka hutan belantara atau membuka perkampungan baharu untuk ditempati bagi tujuan penanaman padi, kelapa dan sebagainya lalu mereka menjalankan adat dan istiadat mereka sesuai dengan yang telah diturunkan secara turun temurun dari nenek moyang mereka dari masa ke masa. Di samping itu, masyarakat Bugis kebanyakan menganut agama Islam sebagai keyakinan hidup, suku ini sangat terkenal dalam bidang maritim, pertanian, perkebunan, nelayan, ekonomi bahkan banyak menjadi pedagang yang sukses di Jambi khususnya dan di Indonesia umumnya. Akibat tersebut menjadikan masyarakat mereka tersebar luas hampir di semua pesisir kepulauan Nusantara. Selain itu, mereka juga memiliki seni dan budaya tersendiri yang dibawa langsung dari kampung asal nenek moyang mereka yang tetap terus dikekalkan sehingga kini agar dapat menjadi warisan turun temurun dari generasi ke generasi. Antara yang menarik dibincangkan ialah mereka mewarisi prinsip siri’, pesse dan ade’ ini secara kuat kepada anak-anak mereka walaupun sudah jauh diperantauan, agar mereka dapat menjalani kehidupan mereka dengan beradat atau bermartabat sehingga bila-bila. Ade’ atau adat menjadi tradisi ritual masyarakat Bugis pada waktu-waktu tertentu. Upacara adat suku ini juga biasa disebut ade’ sama ada dalam 16
upacara ritual ketika kehamilan, kelahiran dan upacara kematian mahupun ritual menentukan hari permulaan menanam padi dan masa panen yang dilakukan secara bersama-sama yang selalunya dikerjakan secara begotong royong. Demikianlah sedikit sebanyaknya gambaran adat dan budaya masyarkaat Bugis yang hidup di Provinsi Jambi sebagai perantau dari wilayah asal nenek moyang mereka Sulawesi Selatan. Mereka tetap kukuh dan kuat dalam menjaga falsafah dan prinsip siri’, pesse dan ade’ mereka yang dilaksanakan oleh masyarakatnya ini sebagai amalan yang dapat mengekalkan budaya, adat dan tradisi mereka secara turun temurun sekali gus menjadi warisan budaya sebahagian besar masyarakatnya apa pun keadaan dan di mana pun mereka berada sehingga menjadi simbol falsafah hidup yang menjadikan mereka berbeza dengan suku etnik lainnya di Nusantara.
Kesimpulan Masyarakat Bugis merupakan salah satu etnik yang tinggal di Indonesia berasal dari nenek moyang mereka di Sulawesi Selatan yang memiliki satu prinsip hidup yakni ‘siri’ yang membudaya dalam kehidupan mereka terutama dalam perkahwinan diwarisi secara turun temurun dari generasi ke generasi sehingga kini. Suku bangsa ini bergerak dan berusaha menerapkan kehidupan mereka secara bersama berdasarkan institusi kekeluargaan, kemasyarakatan, kebudayaan, keagamaan dan kenegaraan. Selain itu, masyarakat ini walaupun hidup jauh di perantauan ke negeri-negeri kepulauan Sumatera termasuk di Provinsi Jambi, namun mereka tetap terus berusaha mengekalkan prinsip hidup yang telah diwariskan kepada mereka. Orang Bugis memiliki etos kerja tinggi, memiliki keberanian tangguh, perantau pemberani, pekerja segala bidang, pemimpin tegar, senantiasa memperhatikan keperluan individu dan kumpulan secara bersama. Dalam acara perkahwinan dalam masyarakat Bugis ada dua tahapan penting sebagai proses pelaksanaannya, iaitu tahap sebelum dan sesudah akad perkahwinan. Bagi masyarakat Bugis Sulawesi Selatan pada umumnya dan masyarakat Bugis Jambi khususnya menganggap bahawa upacara perkahwinan merupakan sesuatu hal yang sangat sakral, ertinya acara tersebut mengandung nilai-nilai yang sangat suci. Upacara perkahwinan adat masyarakat Bugis Jambi yang juga sering disebut ”Appabottingeng ri tana bare” terdiri atas beberapa tahapan, di antaranya meliputi Paita (melihat) Mattiro (menjadi tamu), Mapessek-pessek (mencari maklumat), Mammanuk-manuk (mencari calon), Madduta mallino (melamar), Mappassi arekkeng (bertunang) dan Mappabbotting (resepsi perkahwinan). Selain itu, masyarakat Bugis sama dengan etnik lain yang juga memiliki kelebihan dan kekurangan yang perlu saling melengkapi dengan suku bangsa lainnya, terutama suku bangsa setempat tempat mereka tinggal. Mereka perlu kuat menerapkan prinsip ‘siri’ ini kerana ia sangat menonjol, walaupun suku bangsa lain juga ada prinsip, tetapi masyarakatnya tetap terus menjadikan ‘siri’ sebagai pegangan hidup dari warisan nenek moyang mereka. Prinsip ini dapat menjadi senjata ampuh dalam mengharungi kehidupan mereka apapun cabaran yang perlu mereka hadapi. Prinsip tersebut juga tetap dapat dipertahankan sehingga sekarang kerana adanya sokongan pepatah“Sekali layar terkembang, jika kemudi telah terpasang dan mesin telah dinyalakan, maka pantang mundur ke belakang walaupun badai menantang di hadapan.”
17
Bibliografi Abdullah, Hamid. 1985. Manusia Bugis Makassar. Jakarta: Inti Indayu Press. ______________. 2007. Siri’ & pesse. Makassar: Pustaka Refleksi. Amat, Asmiaty. 2012. Bugis Sabah. Kuala Lumpur: ITB & UMS. Effendi, Rusli. 1976. Asas-asas hukum pidana. Ujung Pandang: LEPPEN-UMI. Giyarto. 2008. Selayang pandang Jambi. Klaten: Intan Pariwara. Hars, Nasruddin. 1992. Profil provinsi Republik Indonesia: Jambi. Jakarta: Intermasa. Hamid, Ismail. 1985. Peradaban Melayu dan Islam. Kuala Lumpur: Fajar Bakti. Iswanto. 2008. Selayang pandang Sulawesi Selatan. Klaten: Intan Pariwara. Kamus besar bahasa Indonesia. 1988. Jakarta: Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia. Kamus dewan edisi keempat. 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kern, R.A. 1989. I La Galigo: Cerita Bugis kuno (Diterjemahkan oleh La Side dan Sagimun M.D. Yogyakarta: Gajah Mada University Press. Koentjaraningrat. 2004. Manusia dan kebudayaan Indonesia. Jakarta: Djambatan. Mattalatta, Andi. 2002. Meniti siri’ dan harga diri catatan dan kenangan. Jakarta: Khasanah Manusia Nusantara. Mattulada. 1980. Manusia dan kebudayaan Bugis Makassar. Berita Antropologi Universitas Indonesia. ________. 2011. Menyusuri jejak kehadiran Makassar dalam sejarah. Yogyakarta: Ombak. Nawawi, Nurnaningsih. 2013. Komplikasi pemikiran to riolo dalam pappaseng naskhah Bugis dan syarak (Perspektif gender). Bahagian dalam buku Bugis dalam peradaban Melayu. Tanjong Malim: Penerbit UPSI. Nugroho, Tjahyadi. 1984. Mengenal budaya bangsa 27 provinsi. Semarang: Yayasan Telapak. Rahim, A. Rahman. 2011. Nilai-nilai utama kebudayaan Bugis. Yogyakarta: Ombak. Pelras, Christian. 2006. Manusia Bugis. Jakarta: Nalar. Prosiding. Bugis Sabah 2007. Sabah: Penerbit UMS. Tang, Mahmud. 2003. Solusi konflik dalam La Galigo dalam La Galigo menelusuri jejak sastera dunia. Makassar: Pusat Studi La Galigo Divisi Ilmu Sosial dan Humainora Pusat Kegiatan Penelitian Universitas Hasanuddin. Zohra Andi Baso. 1979. Gangguan Kamtibmas di Sulselra, masyarakat setempat perlu menghayati arti dan hakekat siri’. No. 5812 Tahun ke XIX, 7 Ogos 1979. Jakarta: Harian Sinar Harapan.
Noviardi. 2003. Tesis Sarjana Kawin lari dalam budaya siri pada masyarakat suku Bugis. Di Kecamatan Nipah Panjang Kabupaten Tanjung Jabung Timur Provinsi Jambi. Semarang: Program Pasca Sarjana Universitas Diponegoro. Yahya Sibe, Muhammad. 1979. Beberapa segi tentang siri’ pada suku Bugis. (Karya ilmiah yang belum diterbitkan). http://besikilmu.blogspot.com/2012/04/tata-cara-perkawinan-adat-bugis.html. http://www.google.com http://www.wikipedia.com
18