LAPORAN PROGRAM JARINGAN AMAL DAN IFTAR BERSAMA RUMAH ANAKANAK YATIM DAN ASNAF AS-SOLIHIN
TARIKH 5 JULAI 2015 (AHAD)
TEMPAT RUMAH ANAK-ANAK YATIM DAN ASNAF AS-SOLIHIN BANTING, KUALA LANGAT, SELANGOR
MASA 11 PAGI – 11 MALAM
ANJURAN KELAB SUKARELAWAN KOLEJ PERMATApintar NEGARA 2015
DENGAN KERJASAMA KELAB FORMULA ONE IN SCHOOL KOLEJ PERMATApintar NEGARA 2015
Laporan Program Jaringan Amal dan Iftar bersama Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf As-Solihin Banting, Kanchong Darat
Satu program jaringan amal dan iftar telah dianjurkan oleh Kelab Sukarelawan dengan kerjasamaKelab Formula 1in Schoolyang bertempat di Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf As-Solihin Banting, Kanchong Darat pada 5 Julai 2015 bersamaan dengan 18 Ramadhan 1436H. Seramai 35 orang pelajar terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini dan diiringi oleh 2 orang guru, iaitu Cik Amirah Khalisa Mohamed Khir dan Encik Kamarul Zaman. Kami bertolak ke sana pada jam 10 pagi seperti yang dirancang dan tiba di sana pada jam 11.30 pagi. Setibanya kami di sana, kami disambut baik dan meriah oleh pengurus dan penghuni rumah tersebut dengan alunan qasidah dan nasyid oleh mereka. Setelah majlis dibuka, kami meneruskan aktiviti dengan membahagikan anak-anak yatim tersebut kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama berusia dalam lingkungan 14 hingga17 tahun dan mereka menjalankan aktiviti bersama pelajar Formula 1. Kumpulan kedua pula terdiri daripada anak-anak kecil yang berusia 13 tahun ke bawah dan mereka menjalankan aktiviti permainan bersama kami, dari Kelab Sukarelawan. Pada jam 1.30 tengah hari, kami berhenti seketika bagi menunaikan solat Zuhur secara berjemaah diimami oleh Mohammad Ikhmal Danial dan seterusnya berehat seketika sehingga jam 3 petang. Setelah itu, kami menjalankan aktiviti gotong-royong di rumah tersebut sehingga jam 4 petang dan berhenti bagi menunaikan solat Asar secara berjemaah diimami oleh Zakwan Fikhri. Pada jam 5.30 petang, beberapa orang pelajar lelaki bermain futsal bersama anak-anak yatim lelaki rumah tersebut dan beberapa orang lagi turut serta bersama pelajar perempuan dan anak-anak yatim perempuan ke bazaar Ramadan. Setelah kami membersihkan diri, kami bersedia untuk aktiviti seterusnya iaitu berbuka puasa bersama anak-anak yatim rumah tersebut. Selepas menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, majlis penutupan secara kecil-kecilan telah berlangsung, diketuai oleh Nik Mohammad Khalid. Kami seterusnya menjemput Encik Kamarul sebagai wakil daripada Kolej PERMATApintar Negara untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya memberi wang hasil kutipan dana dan jualan yang telah dijalankan sepanjang tahun ini kepada pihak Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf As-Solihin Banting. Kami pulang ke kolej setelah menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah, iaitu pada lebih kurang jam 10.30 malam dan tiba di kolej sekitar 12 tengah malam. Secara kesuluruhannya, ada beberapa perkara yang tidak diizini Allah untuk dilakukan seperti yang dirancang oleh kami tetapi Alhamdulillah segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang Allah. Akhir kata, kami amat berpuas hati dengan program yang telah dijalankan dan berharap agar program-program sukarelawan dan kemasyarakatan seperti ini dapatlah sering dijalankan dan dilaksanakan oleh para pelajar dan warga Kolej PERMATApintar Negara.
AKTIVITI-AKTIVITI SEPANJANG PROGRAM JARINGAN AMAL DAN IFTAR BERSAMA RUMAH ANAKANAK YATIM DAN ASNAF AS-SOLIHIN BANTING
Sekitar ucapan alu-aluan daripada Pihak Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin
Sesi taaruf dan beramah mesra bersama anak-anak yatim
Gelagat para sukarelawan melayan kerenah anak-anak yatim
Wajah ceria anak-anak yatim
Penyerahan wang kutipan dana daripada Kolej PERMATApintar Negara kepada Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf As-Solihin
Para sukarelawan bergambar bersama penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf As-Solihin