SAHAM WAKAF PAHANG: PENGURUSAN DAN ISU-ISU PERLAKSANAANNYA Zool Hilmi Othman Md Yazid Ahmad ABSTRAK Institusi wakaf di Malaysia bukan suatu perkara yang baru bahkan ianya telah lama bertapak dan berkembang di negara ini. Pelbagai usaha untuk memperkemaskan pengurusan berkaitan dengan harta wakaf ini telah dilakukan oleh pihak kerajaan pusat dan negeri serta pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung dalam institusi wakaf. Antaranya ialah dengan memperkenalkan wakaf tunai yang telah dipraktikkan di beberapa buah negeri seperti Selangor, Johor dan Pahang.Saham Wakaf Pahangmerupakan saham wakaf keempat yang ditubuhkan di Malaysia.Ia diuruskan oleh Unit Wakaf dibawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan telah dilancarkan pada 12 Disember 1998.Namun begitu ianya beroperasi secara rasmi pada 1 Ogos 1999 di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, Kuantan.Penubuhannya adalah bertujuan untuk menggalakkan dan memudahkan umat Islam untuk beramal jariah melalui amalan berwakaf. Selain itu juga dengan tertubuhnya Saham Wakaf Pahang ini akan memperluaskan lagi perdagangan dan sumber dana ekonomi umat Islam khususnya di negeri Pahang. Namun begitu setelah 15 tahun ianya beroperasi Saham Wakaf Pahang dilihat masih belum berkembang secara optimum dan menjana kutipan dana yang memberangsangkan. Selain itu juga berdasarkan tinjauan oleh pengkaji masih ramai dikalangan masyarakat di negeri Pahang yang tidak begitu mengetahui dengan jelas tentang kewujudan Saham Wakaf Pahang dan bagaimana ianya beroperasi.Juteru kajian ini adalah bertujuan melihat konsep pengurusan saham wakaf di negeri Pahang dan isu-isu yang timbul di dalam perlaksanaannya.Kajian ini adalah berbentuk kualitatif dengan mengambil pendekatan kajian perpustakaan dan juga kajian lapangan.Data dan maklumat yang diperolehi akan dianalisis bagi merungkai persoalan yang timbul. Hasil dari tinjauan literatur yang telah dilakukan oleh pengkaji mendapati bahawa kebanyakan perbahasan dan perbincangan yang lalu berkaitan dengan wakaf tunai atau saham wakaf ini lebih bersifat umum dan dan tidak terlalu memfokuskan kepada pengurusan dan masalah yang dihadapi oleh sesebuah negeri termasuk negeri Pahang. PENGENALAN Wakaf dari segi bahasa membawa maksud “al-habs” yang bererti tertahan.Pada umumnya pengertian wakaf ialah menahan sesuatu yang diwakafkan daripada digunakan untuk urusan-urusan kecuali digunakan pada jalan Allah. Wakaf boleh dikelaskan kepada dua jenis iaitu wakaf am dan wakaf khas. Wakaf am ialah untuk manfaat umum seperti mendirikan masjid untuk kegunaan orang awam. Dan wakaf khas diperuntukkan kepada keluarga orang-orang tertentu ataupun keturunannya.Sejak dari zaman Rasulullah S.A.W lagi amalan berwakaf ini telah dijalankan. Ini kerana amalan berwakaf dapat dikategorikan sebagai suatu sedekah jariah yang akan diberi pahala dan ganjaran yang besar kepada mereka yang melakukannya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulllah S.A.W yang bersabda:
Apabila telah wafat anak Adam, maka terputuslah (pahala) amalnya kecuali tiga macam. Sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa untuknya (ibu bapa). Berdasarkan daripada maksud hadis diatas sedekah jariyah yang dimaksudkan itu termasuklah amalan berwakaf. Ini kerana mereka yang berwakaf akan menginfakkan sebahagian harta mereka untuk tujuan manfaat masyarakat Islam yang lain. Hadis ini dilihat dapat memberikan motivasi kepada umat Islam untuk berwakaf.Harta yang boleh diwakafkan adalah dalam pelbagai bentuk seperti tanah, bangunan dan juga wang ringgit. Selain itu juga ganjaran yang besar dan berlipat ganda dijanjikan kepada orang yang menginfakkan harta mereka di jalan Allah sebagaimana firman Allah S.W.T: Maksudnya: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allahadalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu seratus biji.Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki.dan Allah Maha luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah:2:261) Kita sering mendengar tentang sesebuah tanah yang diwakafkan akan dibangunkan diatasnya masjid, surau, tanah perkuburan atau pusat pengajian. Ini kerana pembangunan seperti ini dilihat dapat mengembalikan manfaat tanah wakaf tersebut dan pahalanya akan berterusan kepada pewakaf selama mana zat wakaf itu berjalan.Sebagai contoh yang paling ketera ialah Universiti Al-Azhar yang menjadi pusat pengajian Islam yang terulung dibangunkan oleh hasil dari harta wakaf. Ini dengan jelas menunjukkan sekiranya harta wakaf yang dibangunkan dengan baik akan memberikan manfaat dan pulangan yang besar kepada masyarakat khususnya umat Islam. Sesuai dengan peredaran zaman, ibadah wakaf juga telah mula berkembang dalam konteks yang lebih luas dari segi bentuk harta dan manfaatnya kepada masyarakat. Pelbagai cara yang digunakan untuk membangunkan institusi wakaf ini supaya fungsi dan tujuannya dapat dicapai untuk manfaat pewakaf dan umat Islam secara umumnya. Di Malaysia pembangunan harta wakaf juga telah lama berkembang.Dari wakaf yang berbentuk tradisional seperti tanah dan bangunan sehingga kepada wakaf tunai seperti saham wakaf. Pelbagai kaedah yang difikirkan oleh para ulama untuk menggalakkan umat islam dan juga bukan islam untuk berwakaf. Dengan usaha mengembangkan cara berwakaf ini membolehkan mereka yang tidak mempunyai harta tak alih juga berpeluang untuk berwakaf dengan menggunakan wang tunai. Pada masa kini manfaat harta wakaf telah dikembang luaskan dengan pelbagai fungsi dan bersifat lebih komersial. Antara projek yang telah dibangunkan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) yang bernaung dibawah Jabatan Perdana Menteri dengan menggunakan sumber wakaf adalah Bazar Wakaf Rakyat, projek Hotel Wakaf dan juga Wakaf Mart. Semua projek ini dilihat dapat memberikan manfaat kembali kepada perkembangan ekonomi umat Islam.Namun begitu setiap projek yang dijalankan dengan menggunakan harta wakaf mestilah diteliti dengan baik supaya setiap aspek
227
pembangunan yang dilakukan tidak bercampur unsur meragukan dan menyalahi syarak. Sebagaimana yang dihuraikan diatas, wakaf pada masa kini tidak terhad kepada mereka yang mempunyai aset seperti tanah, bangunan semata-mata. Dengan adanya produk saham wakaf ini, individu yang tidak berkemampuan dari sudut mewakafkan harta berbentuk tak alih seperti tanah, bangunan dan harta tak yang lain masih berpeluang melakukan ibadah wakaf. Dari segi konsep perlaksanaannya mereka yang berminat untuk berwakaf boleh membeli unit-unit saham yang ditawarkan oleh pihak yang menguruskan dana wakaf tersebut dengan nilai tertentu yang telah ditetapkan. Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) adalah bertanggungjawab menguruskan harta wakaf di Malaysia dan merupakan pemegang amanah tunggal yang berkewajipan untuk mengurus, menjalankan pembangunan dan mengagihkan hasilnya kepada pihak yang berhak menerimanya.(Mahmood Zuhdi Hj. Abd.Rashid 1999).Sebagai contohnya di negeri Pahang, Unit Wakaf yang ditubuhkan di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang bertanggungjawab dalam menguruskan Saham Wakaf Pahang(Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991). Mereka yang berminat untuk melakukan ibadah wakaf boleh membeli unit-unit saham yang ditawarkan dengan harga minimum RM10.00, dan tiada had dikenakan terhadap pembelian unit-unit tersebut. Dengan nilai yang minimum yang ditawarkan ini maka ramai individu yang ingin melakukan ibadah wakaf ini dapat menunaikannya. Namun begitu setelah 15 tahun penubuhannya saham wakaf Pahang dilihat masih belum berupaya menjana kutipan yang boleh dibanggakan berbanding dengan negeri-negeri lain seperti Selangor, Johor serta beberapa buah negeri lain yang lebih terkemudian dalam mewujudkan wakaf berbentuk tunai. Justeru timbul persoalan berkaitan dengan bagaimanakah pengurusan dana Saham Wakaf Pahang ini dijalankan. Ini termasuklah meneliti mekanisme yang digunapakai dalam mempromosikan saham wakaf ini kepada masyarakat di negeri Pahang dan kemanakah dana tersebut diagihkan? Berdasarkan tinjauan rambang pengkaji terhadap beberapa respondan dikalangan penduduk di negeri Pahang, mendapati masih ramai dikalangan mereka yang masih tidak mengetahui tentang kewujudan dan fungsi sebenar penubuhan Saham Wakaf Pahang walaupun setelah 15 tahun penubuhannya.Apakah faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku? Melihat kepada perkembangan wakaf tunai yang berlaku di negeri lain seperti Selangor dan Johor contohnya, pengurusan yang lebih kemas dan efisyen dapat dijalankan sehingga diperbadankan dan menjana jumlah hasil wakaf tunai yang jauh lebih tinggi berbanding negeri Pahang. Mungkin terdapat perbezaan dari sudut pendapatan perkapita penduduk antara negeri tersebut namun ianya tidak sepenuhnya boleh dijadikan sebagai satu alasan. Memetik sumber dari http://www.muip.gov.my/v3/index.php/objektif/statistik, yang menunjukkan jumlah kutipan dan agihan yang dijalankan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang melalui Unit Wakaf dari tahun 2000 sehingga 2012 adalah seperti dibawah:
228
Objektif kajian ini ialah meneliti pengurusan saham wakaf yang berlaku di negeri Pahang dari sudut pengorganisasian dan mekanisme yang digunapakai bagi pengumpulan dan pengagihan dana saham wakaf Pahang. Selain itu juga kajian ini diharap dapat merungkai faktor-faktor yang membawa kepada kurangnya pengetahuan masyarakat negeri Pahang berkaitan fungsi dan sumbangan yang telah dijalankan melalui dana saham wakaf serta melihat saranan-saranan yang yang boleh dicadangkan kearah penambahbaikan kepada memperkembagan Saham Wakaf Pahang. Ini penting kerana sekiranya saham wakaf yang ada ini dapat dioptimumkan ia secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi umat Islam dinegeri Pahang dan mengurangkan kadar kemiskinan. Dana yang terkumpul jika disalurkan
229
dengan berkesan memberikan manfaat yang banyak kepada masyarakat termasuk lah dalam bidang perkhidmatan kesihatan dengan menubuhkan klinik-klinik dan dalam pendidikan seperti penubuhan pusat-pusat tuisyen untuk murid-murid yang kurang mampu serta dalam perniagaan dengan penubuhan bazaar rakyat untuk golongan peniaga kecil di negeri Pahang. TINJAUAN LITERATUR Berdasarkan kepada tinjauan literatur yang dilakukan oleh pengkaji sebelum membuat penulisan mendapati kajian bahawa terdapat kajian yang pernah dijalankan berkaitan wakaf tunai dan kepentingan mewujudkannya. Antaranya ialah (Azri Ahmad 2008) yang menyatakan bahawa perlunya diwujudkan suatu alternatif berwakaf di Malaysia iaitu dengan mewujudkan skim wakaf tunai. Selain itu juga (Baharudin Sayin 2011) dan (Siti Mashitoh 2000) juga mengutarakan pandangan bahawa harta wakaf akan dapat dipertingkatkan secara optimum dengan wujudnya wakaf tunai atau pun wakaf berbentuk saham. Ini secara tidak langsung akan membantu kepada penurunan kadar kemiskinan dikalangan umat Islam. Selain itu juga terdapat kajian yang membicarakan berkaitan dengan pengurusan dan isu-isu berkaitan dengan pembangunan yang dilakukan keatas harta wakaf antaranya ialah (Osman Sabran 2002) dan (Kamaruddin Ngah 1999). Namun begitu pengkaji mendapati masih kurang kajian yang dilakukan dalam institusi wakaf di negeri Pahang khususnya berkaitan dengan pengurusan wakaf tunai yang dikenali dengan Saham Wakaf Pahang. Kajian lalu yang dilakukan lebih tertumpu kepada perbahasan mengenai pengurusan harta zakat yang berbentuk tidak alih seperti tanah, bangunan dan pengembangan yang telah dilakukan kepada harta-harta wakaf tersebut.Ianya bertujuan untuk menilai sejauhmana manfaat dari harta wakaf itu dapat dinikmati dan dikembalikan kepada masyarakat.Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh (Zawavi Zainal Abidin 2007) dalam kajian beliau mendapati masih terdapat kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam pengurusan harta-harta wakaf di negeri Pahang yang membawa kepada pembaziran sumber harta wakaf itu sendiri.Sebagai contohnya kelemahan dari sudut rekod dan dokumentasi telah menyebabkan tertangguhnya penggunaan sesebuah harta wakaf tersebut.Namun begitu berdasarkan kepada penelitian pengkaji mendapati kajian tersebut masih kurang menyentuh mengenai pengurusan harta wakaf berbentuk tunai di negeri Pahang yang dikenali dengan Saham Wakaf Pahang.(Sazura Bohari 2004) dalam kajiannya terhadap perlaksanaan saham wakaf Johor menyatakan bahawa terdapat kekangan-kekangan yang berlaku dalam konteks pengurusan yang membantutkan usaha mengoptimumkan dana saham wakaf Johor. Artikel bertajuk Wakaf Tunai: Pendekatan Terbaik Untuk Mewakafkan Harta Masa Kiniyang dimuatkan dalam akhbar Berita Harian, ditulis oleh Muhammad Hisyam Bin Mohamad dari Institut Kefahaman Malaysia menyatakan bahawa amalan wakaf tunai yang diamalkan ketika era kerajaan Ottmaniah di Turkey pada ketika itu telah banyak membantu kepada pengurangan hutang negara. Justeru itu jika konsep yang sama dijalankan pada hari ini, tidak mustahil ia juga mampu mengurangkan defisit perbelanjaan negara dan meningkatkan tahap ekonomi. Ini jelas menunujukkan bahawa jika sesebuah dana wakaf itu ditadbir urus dengan baik, ianya akan dapat memberikan pulangan yang besar kepada pembangunan ekonomi umat islam. Ini jelas menunjukkan bahawa sekiranya wakaf tunai ini dibangunkan seiring dengan kefahaman masyarakat terhadap besarnya manfaat yang boleh didapati daripada hasilnya maka ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi umat islam
230
khususnya di Malaysia.Terdapat juga kajian yang mendapati kefahaman masyarakat keatas perkara berkaitan dengan wakaf masih lagi pada tahap yang rendah.Sebagaimana yang dinyatakan oleh Baharudin Sayin (2011) bahawa masyarakat secara umumnya masih belum benar-benar memahami konsep wakaf.Mereka masih lagi beranggapan bahawa wakaf ialah tanah yang digunakan untuk tujuan tanah kubur dan pembinaan masjid semata-mata. Ini antara faktor yang menyebabkan berlakunya kesukaran bagi mengumpul dana wakaf tunai. ANALISIS TINJAUAN LITERATUR Kebanyakan kajian yang telah dijalankan sebahagian besarnya menumpukan kepada cadangan ataupun alternatif dalam memperkembangkan intstusi wakaf. Ini termasuklah dengan mewujudkan skim wakaf tunai bagi menggalakkan masyarakat untuk berwakaf. Disamping itu juga kebanyakannya lebih melihat kepada impak yang akan dicapai dengan berkembangnya wakaf tunai ini dan tidak menyentuh berkaitan masalah dan kekangan yang dihadapi oleh negeri-negeri yang melaksanakan skim saham wakaf ini. Di negeri Pahang khususnya kajian telah dilakukan lebih tertumpu kepada pengurusan harta-harta wakaf dalam bentuk tanah, bangunan dan pembangunan diatasnya.Justeru itu pengkaji melihat masih terdapat ruang untuk kajian yang lebih terperinci dilakukan mengenai pengurusan dan isu-isu yang terdapat dalam perlaksanaan Saham Wakaf Pahang. RUJUKAN Al-Quran Al-Karim Dewan Undangan Negeri Pahang.Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991, (Enakmen No. 3 tahun 1991) Muhammad Abu Zahrah. 2007. Wakaf Menurut Agama & Undang-Undang edisi melayu.Terj. H. Muhammad Yusuf Sinaga. Selangor.Berlian Publications Sdn Bhd. Osman Sabran. 2002. Pengurusan Harta Wakaf. Johor Bahru. Penerbit UiTM Press. Kamaruddin Ngah. 1992. Isu Pembangunan Tanah Wakaf. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Baharuddin Sayin, Asmak Hj. Ali & Salahudin Suyurno. 2006. Pengenalan Pengurusan Wakaf di Malaysia. Selangor. Penerbitan Universiti Teknologi MARA Press. Baharudin Sayin. 2011. Hala Tuju Wakaf Tunai. Dlm. Isu-isu Semasa Mengenai Wakaf, Pusat Universiti Teknologi Mara Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA). Mahmood Zuhdi Abdul Majid. 1999 Konsep Dan Amalan Wakaf Di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia. Zawavi Zainal Abidin. 2007. Pentadbiran wakaf di Negeri Pahang. Disertasi Doktor Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
231
Sazura Bohari 2004. Saham Wakaf Johor: Tinjauan dari sudut Perlaksanaan & Permasalahan. Disertasi Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. http://www.muip.gov.my/v3/index.php/objektif/statistik http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/.
232