84 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016
Faktor Pembelajaran Murid dalam Model Khatam al-Quran j-QAF MOHD HANAFI MAMAT1 & HAMDI ISHAK1
Abstrak Penguasaan bacaan al-Quran merupakan asas kepada pembentukan jati diri muslim. Pelbagai inisiatif telah diperkenal bagi memastikan modal insan berteraskan generasi alQuran berjaya di bentuk. Pengenalan program j-QAF pada tahun 2005 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan salah satu usaha ke arah merealisasikan hasrat tersebut dengan cara memperkasakan kaedah pengajaran al-Quran dalam kurikulum arus perdana pendidikan sekolah rendah. Setelah sebelas tahun program jQAF dilaksanakan, Kajian-kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa kesediaan guru melaksanakan aktiviti pengajaran berada di tahap yang tinggi, komitmen dan tahap pelaksanaannya juga ditahap yang tinggi, namun pencapaian murid dalam bacaan alQuran masih lagi ditahap sederhana. Hal ini kerana selain daripada faktor pengajaran guru, terdapat faktor-faktor lain dari perspektif epistemologi pembelajaran Islam yang memberi kesan kepada penguasaan ilmu khususnya pembelajaran al-Quran. Faktorfaktor tersebut ialah faktor keluarga yang ditunjangi oleh peranan ibu bapa, faktor persekitaran dan sikap kendiri memberi peranan yang besar dalam pendidikan. Faktorfaktor tersebut akan disingkap bagi melihat peranannya dalam membantu penguasaan murid dalam pembelajaran al-Quran. Kata Kunci: Faktor Pembelajaran, Model khatam al-Quran, Program j-QAF
Pengenalan Al-Quran dinamakan sebagai kitab kerana ia merupakan bahan bacaan yang menghimpunkan pelbagai surah di dalamnya dan berperanan membentangkan petunjuk di antara perkara yang benar dan yang batil (Ibn Manẓūr 2012). Al-Quran mengandungi mukjizat yang diturunkan kepada penutup para nabi dan rasul melalui perantaraan malaikat Jibril, _________________________ 1
Pensyarah, Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam,
[email protected],
[email protected]
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 85
di tulis pada mushaf bermula dengan surah al-Fātiḥah dan diakhiri dengan surah al-Nās yang dipindahkan kepada kita secara tawātur dan bacaannya dianggap sebagai suatu bentuk peribadatan (al- Ṣabūnī 1985). Menurut al-Qaṫṫān (2000) al-Quran dikhususkan kepada kata-kata Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sahaja. Salah satu perkara asas dalam kerangka keimanan ialah percaya kepada al-Quran tanpa sebarang keraguan dan berpegang teguh kepada ajarannya. Al-Quran adalah kitab yang mulia, terhindar dari sebarang bentuk kebatilan seperti mana yang disifatkan oleh Allah SWT dalam alQuran Surah al-Fussilat 41: 41-42 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi (41) Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji. (42)”
Kemuliaan dan keunggulan al-Quran ini meliputi semua aspek yang menjadi panduan untuk kesejahteraan hidup manusia serta dijanjikan penghormatan, penjagaan dan pemeliharaan oleh Allah SWT dari sebarang bentuk penyelewengan sehingga ke hari kiamat. Gaya bahasa serta isi kandungannya mengandungi mukjizat yang bersifat kekal serta universal sepanjang masa walaupun setelah pemergian Rasul SAW. Kehebatan al-Quran dalam pelbagai bidang sentiasa tersingkap dari masa ke semasa, mencabar keintelektualan manusia yang mempunyai mata hati yang tajam dan memanfaatkan petunjuk cahaya al-Quran dalam melayari bahtera kehidupan. Keunggulan al-Quran tidak akan mampu ditandingi oleh mana-mana karya agung ciptaan makhluk walaupun mereka saling berganding bahu untuk menghasilkan sesuatu yang seumpama dengan al-Quran. Ini jelas sebagaimana cabaran Allah SWT kepada manusia dan jin berdasarkan firman Allah dalam alQuran Surah al-Isra’ 17:88 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantumembantu sesama sendiri.”
Pendidikan Al-Quran ini amat dititik berat di kalangan masyarakat Melayu yang amat sinonim dengan agama Islam. Islam telah menjadi tulang belakang ke arah memacu kecemerlangan kualiti dan pembentukan serta berjaya melakukan anjakan paradigma bangsa Melayu. Mendepani cabaran dalam arus kemodenan dewasa ini yang dihambat dengan kecanggihan teknologi dunia tanpa sempadan dan penularan propaganda musuh Islam yang boleh menggugat nilai-nilai keperibadian dan akhlak generasi Islam, maka mereka seharusnya dibekalkan dengan jati diri yang mantap berteraskan ajaran Islam yang syumul
86 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016
berpaksikan Al-Quran dan Hadis. Sebagai langkah permulaan, mereka perlu didekatkan dengan al-Quran dengan cara mendampinginya melalui bacaan sebagai wahana untuk menjelaskan kepada mereka asas-asas utama syariat Islam memahami dan mempraktikkan ajarannya di dalam kehidupan (Indriaty 1995). Melalui pembelajaran dan pembacaan al-Quran, daya berfikir muridmurid tentang kehidupan dapat ditingkatkan, di samping mendedahkan mereka kepada keindahan laras bahasa al-Quran, mereka juga dapat memahami mesej yang terkandung di dalamnya serta membentuk akhlak mereka berlandaskan alQuran sejajar dengan hasrat melahirkan modal insan yang berupa generasi alQuran.
Pembelajaran al-Quran di Malaysia Aktiviti pengajian Al-Quran merupakan bentuk pendidikan Islam yang terawal di negara ini. Sejak ia bermula, aktiviti ini terus berkembang menelusuri empat fasa bermula dengan pembelajaran secara tidak formal di rumah-rumah guru atau istana (Sabri & Haron 1988). Pada abad ke-18 pengajian ini kemudiannya berkembang secara formal pada tahap yang kedua melalui institusi pengajian pondok dan semakin melebar pada abad ke-19 Masihi dengan banyak pusat pengajian pondok di tanah Melayu hasil inspirasi yang lahir daripada wujudnya hubungan dengan Indonesia dan Patani. Sekitar awal abad 20 aktiviti pembelajaran ini berkembang membawa kepada penubuhan sekolah agama rakyat atau dikenali juga dengan panggilan madrasah. Berpandukan Ordinan Pelajaran 1952, mata pelajaran Agama Islam telah di ajar bersama dengan subjek pendidikan yang lain namun ia di ajar di sebelah petang di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri dan situasi ini berterusan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan. Pada tahun 1960, laporan Penyata Razak telah menghasilkan sedikit anjakan perubahan terhadap pelajaran Agama Islam dan terbentuknya Akta Pendidikan 1961. Menerusi akta tersebut, pelajaran Agama Islam telah dimasukkan sepenuhnya ke dalam sistem persekolahan (Abdullah 1995). Pasca kemerdekaan bidang pendidikan Islam ini mengalami beberapa perubahan serta mendapat perhatian pihak kerajaan terutamanya selepas era 70an dengan kemunculan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Perkembangan ini memperlihatkan mata pelajaran aliran kebangsaan di ajar di sekolah aliran agama manakala pendidikan al-Quran dimasukkan dalam kurikulum pendidikan sekolah sama ada di peringkat rendah mahupun menengah. (Mohd. Yusuf 2005; Mohd Hairudin & Kamarul Azmi 2012), Aktiviti pembelajaran al-Quran terus berkembang sejajar dengan perkembangan masa meniti arus kemajuan negara dengan pelbagai bentuk dan penambahbaikan telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan khasnya dalam sukatan pendidikan Islam menerusi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang telah dilaksanakan pada tahun 1983. Kesan daripadanya telah
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 87
memperlihatkan pelajaran pendidikan Islam khususnya pembelajaran al-Quran semakin dititik beratkan. Pelbagai kajian telah di buat untuk terus memantapkan lagi kurikulum pendidikan Islam, khasnya dalam penguasaan al-Quran sebagaimana dapat dilihat pada tahun 2005, diwujudkan kurikulum j-QAF untuk memperkasakan pendidikan Islam dengan matlamat bukan hanya melahirkan murid yang boleh membaca al-Quran bahkan mampu khatam alQuran dengan baik sebelum menamatkan persekolahan peringkat rendah. Pada Tahun 2011, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan bagi menggantikan KBSR. Pengenalan kurikulum baru ini memperlihatkan bidang pembelajaran al-Quran terus dititikberatkan serta meneruskan kesinambungan usaha-usaha memperkasakan pendidikan Islam khasnya di dalam bidang pembelajaran al-Quran.
Isu dalam Pembelajaran Model Khatam al-Quran Program J-QAF Program j-QAF merupakan suatu inisiatif untuk memperkasakan sistem pendidikan Islam. Terdapat lima model utama di dalam program tersebut iaitu Model Enam Bulan Khatam al-Quran, Model Tasmik, Model Pemulihan Jawi, Model Bahasa Arab dan Model Kem Bestari Solat. Menerusi Model Enam Bulan Khatam al-Quran dan Model Tasmik, program j-QAF ini menyasarkan murid-murid berupaya mengusai al-Quran dengan baik dan berjaya khatam alQuran semasa berada pada tahun enam. (Kementerian Pendidikan Malaysia 2005). Setelah sebelas tahun program ini dilaksanakan, dapatan kajian menunjukkan bahawa penguasaan murid-murid dalam bidang ini masih lagi belum mencapai matlamat yang dihasratkan. Sedangkan menurut Haziyah et al. (2012) aspek kandungan kurikulum j-QAF berupaya meningkatkan lagi tahap literasi al-Quran di kalangan murid. Mengikut kajian Misnan Jemali et al. (2013) pada tahun 2009 di seluruh Malaysia mendapati 75% responden menguasai al-Quran dengan baik. Manakala dapatan kajian Nurfadilah dan Muhammad Mustaqim (2013) di Melaka pada tahun 2010 mendapati 57.4% menguasai al-Quran dengan baik. Fairuz Samsudin (2011) dari hasil kajiannya di Kedah mendapati bahawa 81% telah menguasai al-Quran, manakala dari aspek kemampuan membaca al-Quran responden berada di tahap memuaskan dan sejumlah 0.78% tidak berjaya khatam al-Quran bersama dengan guru. Kajian yang dilakukan oleh Paharudin & Misnan (2013) pada tahun 2010 di Perak pula mendapati penguasaan murid berada di tahap baik iaitu 75.77% daripada responden menguasai bacaan alQuran. Kajian yang dibuat oleh Suryati Basra (2013) di Selangor mendapati penguasaan responden kajian dalam modul enam bulan khatam al-Quran program j-QAF berada pada tahap yang sederhana.
88 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016
Tinjauan dari aspek pengajaran guru dalam bidang tilawah al-Quran modul khatam al-Quran j-QAF pula mendapati bahawa, tahap pengajaran mereka berada pada situasi yang terbaik. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Norlela Harun (2007) mendapati kesediaan guru melaksanakan aktiviti pengajaran berada di tahap yang sangat bersedia. Manakala hasil dapatan Sabariah Bahrun (2009) di Sabah mendapati komitmen guru pelatih j-QAF terhadap pelaksanaan kurikulum j-QAF berada pada tahap yang tinggi dan sederhana tinggi. Mengikut kajian Amal Hayati (2012) di Selangor mendapati pelaksanaan pengajaran berada di tahap yang tinggi. Kajian oleh Rizuan Mohd (2016) di Sarawak pula mendapati guru-guru yang terlibat memiliki tahap komitmen tinggi terhadap pengajaran. Tinjauan dari aspek pelaksanaan modelmodel program j-QAF oleh Maimun Aqsa Lubis et al. (2010) mendapati bahawa keseluruhan model-model tersebut dapat dilaksanakan dengan baik. Manakala Nasithah et al. (2013) melakukan kajian pada 2011 mendapati pengetahuan dan kesediaan guru j-QAF dalam melaksanakan program j-QAF berada di tahap yang tinggi. Faktor pengajaran guru memberi pengaruh yang besar terhadap aktiviti pembelajaran murid. Guru berperanan sebagai pemudah cara yang membantu murid-murid dalam menjalani proses pembelajaran. Pencapaian murid di dalam sesuatu bidang banyak dipengaruhi oleh keberkesanan pendekatan pengajaran yang diaplikasikan oleh guru, tidak terkecuali dalam bidang pembelajaran alQuran. Namun demikian, pencapaian murid juga amat bergantung dengan faktor-faktor pembelajaran yang lain. Memandangkan pembelajaran al-Quran mereka bersama guru di sekolah hanya terhad dalam waktu pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam dalam kelas sahaja, maka mereka seharusnya dibantu oleh pelbagai faktor bagi menyokong usaha-usaha yang telah dirintis oleh guru agar kesinambungan tersebut berlaku semasa di luar waktu pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam sama ada ketika mereka berada di sekolah mahupun semasa mereka bersama keluarga dan kawan-kawan.
Faktor-faktor Pembelajaran al-Quran Pembelajaran adalah bermaksud proses (kegiatan) belajar. (Kamus Dewan 2002). Dari segi bahasa, kebanyakan sarjana Islam memberi takrif pembelajaran hampir sama dengan pengertian pendidikan. Menurut Kamarul Jasmi & Ab. Halim (2007) pendidikan dari perspektif Islam berasal daripada beberapa perkataan daripada bahasa Arab salah satunya ialah taᶜallama – yataᶜallamu – taᶜalluman. Pecahan perkataan ini membawa maksud belajar dan pembelajaran. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pendidikan adalah satu proses yang melibatkan dua aktiviti iaitu proses mengajar dan belajar yang saling bertimbal balik dengan tujuan untuk memperoleh pengetahuan. Crow & Crow (1963) berpendapat pembelajaran ialah satu perolehan tabiat, pengetahuan dan sikap. Pembelajaran suatu tindakan yang berperanan
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 89
membantu individu dalam usaha untuk menyesuaikan diri terhadap perubahan tingkah laku serta tindak balas individu terhadap pelbagai rangsangan bagi menghasilkan kesan yang diingini. Menurut Hergenhahn & Olson (2005) maksud pembelajaran adalah berkait rapat dengan perubahan kekal tingkah laku atau tingkah laku potensi yang terhasil daripada pengalaman. Mengikut M. Ngalim (1984) terdapat dua faktor yang mencorakkan hasil pembelajaran iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Unsur-unsur yang terdapat di dalam diri yang dikenali sebagai unsur individual seperti kematangan, kecerdasan, sikap, minat dan motivasi merupakan faktor. Manakala faktor luaran pula faktor sosial yang menjadi agen-agen perangsang yang terdapat di luar dalaman individu dan membantu seseorang tersebut untuk menguasai sesuatu dalam proses pembelajaran mereka seperti faktor keluarga, guru dan kaedah pengajarannya, instrumen pembelajaran, persekitaran dan peluang.
Faktor Keluarga Keluarga yang ditunjangi oleh ibu dan bapa merupakan suatu institusi yang dipandang tinggi dalam Islam. Pembentukan keluarga yang berteraskan syariat amat dititik beratkan di dalam Islam. Oleh sebab itu, Islam telah meletakkan asas-asas yang jelas dalam pembentukannya melalui ikatan yang sah iaitu perkahwinan. Islam juga telah memberi garis panduan bermula dari aspek pemilihan pasangan mestilah berasaskan agama, akhlak dan keturunan yang baik supaya zuriat yang dilahirkan itu akan mewarisi sifat-sifat yang baik dan budi pekerti yang terpuji. Pembentukan pasangan suami isteri yang baik dan sejajar dengan kehendak agama akan menjadikan rumah tangga itu sebagai sebuah institusi pendidikan seolah-olah sebuah sekolah yang mana ibu berperanan menjaga dan mendidik manakala bapa pula bertanggungjawab menyediakan keperluan-keperluan pendidikan. Permuafakatan di dalam hubungan suami dan isteri akan menjamin keharmonian institusi keluarga yang akan membentuk komuniti dalam masyarakat dan negara. Wajah-wajah masyarakat akan mengikut acuan sebagaimana sesuatu generasi itu di didik dan didikan tersebut semestinya bermula daripada rumah. Di sini peranan ibu bapa atau keluarga amat penting mencorakkan keperibadian anak-anak sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada kelahiran (seseorang manusia) kecuali dia dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” (Bukhāri 2002) 2
_________________________ al-Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab al-Jana’iz. Bab Iza Aslama al-Sabiy fa Māta, Hal Yusalli ᶜalaihi, wa Hal Yu’radu ‘ala al-Sabiy al-Islamu. 2
90 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016
Pengertian fitrah dari perspektif Islam bukan seperti mana yang difahami oleh aliran Emperisme dipelopori oleh John Loke yang mengumpamakan kelahiran manusia seperti kertas kosong, bahkan mereka sebenarnya dilahirkan bersama potensi yang bersifat fitrah. Menurut Hasan (1980) pengertian manusia dilahirkan di dalam keadaan fitrah boleh diertikan sebagai manusia dilahirkan bersama sifat-sifat dan potensi semula jadi manusia. Menurut al-Qābisī (1986) keluarga merupakan pihak pertama yang bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada anak-anak bermula sejak awal lagi ketika anak mula membesar dan keperibadian mereka mula terbentuk. Ketika urusan keluarga berada di peringkat asas, mudah dan ringkas, ibu bapa berperanan dalam mencorakkan agama dan akhlak anak-anak sejak awal kelahiran. Pada situasi ini, tugas mendidik anak-anak adalah dipikul oleh ibu bapa dan tidak wajar tugas tersebut diserahkan oleh pihak lain. Namun apabila kehidupan mula berkembang, keluarga makin besar dan tanggungjawab keluarga kian bertambah urusan pendidikan tersebut boleh di ambil alih pihak lain seperti guru. Walaupun al-Qābisī berpendapat membolehkan tanggungjawab tersebut diambil oleh guru kerana terdapat kekangan dari segi masa dan kemampuan namun ibu bapa tidak seharusnya meletakkan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada mereka. Ibu bapa seharusnya terlebih dahulu menyemai asas-asas kandungan pembelajaran alQuran semasa anak-anak mereka belum memasuki alam persekolahan. Di samping itu, mereka juga seharusnya meneruskan kesinambungan pembelajaran anak-anak di sekolah semasa berada di rumah menerusi dorongan, motivasi serta menghidupkan pembudayaan amalan membaca al-Quran. al-Qābisī sangat prihatin terhadap soal pendidikan anak-anak dan beliau mengkritik orang yang mengabaikannya kerana mengelak daripada mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi tujuan tersebut. Mengikut Ibn Khaldun (2013) pula, memberikan pengajaran al-Quran kepada anak-anak merupakan suatu usaha untuk meninggikan syiar agama dan ia merupakan satu kriteria khusus yang dimiliki oleh umat Islam di seantero pelusuk. Usaha ini merupakan satu langkah untuk memperkasakan akidah serta menjadi tunjang kepada penguasaan multi disiplin ilmu yang lain. (al-Na’miy 1994; Gamal 2003)
Faktor Persekitaran Lingkungan persekitaran yang mendominasi kehidupan seseorang berupaya memberi kesan kepada proses pembelajaran individu. Proses pembentukan peribadi boleh berlaku melalui pelbagai corak pembelajaran seperti permodelan, tindak balas, dorongan dan halangan. Faktor persekitaran sosial seperti pengaruh sekolah, pengaruh tabiat rakan-rakan serta pengaruh budaya komuniti boleh menjadi sumber kepada pembelajaran murid serta corak pencapaian mereka. Menurut Ibn Khaldun (2013) pembentukan tingkah laku amat
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 91
terpengaruh dengan persekitaran sosial dan menjadi faktor pembelajaran kepada individu melalui pengamatan mereka terhadap situasi persekitaran. Persekitaran yang baik akan menghasilkan tingkah laku yang baik kepada individu yang berada di dalam lingkungan tersebut. Persekitaran sosial dengan pelbagai faktor dan sumber akan membentuk perilaku manusia mengikut keyakinannya terhadap amalan kebiasaan dan adat tradisi serta nilai-nilai akhlak dan agama. Faktor-faktor persekitaran dalam konteks pembelajaran al-Quran boleh diukur dalam pelbagai aspek persekitaran sosial merangkum persekitaran kelas dan sekolah, pergaulan dengan kawan-kawan, persekitaran rumah dan budaya sosial masyarakat. Faktor persekitaran sekolah dan kelas adalah merujuk kepada usaha dan inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu pembelajaran murid. Contohnya, penyediaan kitab-kitab al-Quran, bahan bantu mengajar berbentuk carta ayat, tulisan khat ayat al-Quran, kemudahan dan kelengkapan surau serta penganjuran aktiviti yang boleh mendekatkan murid dengan pembelajaran alQuran seperti majlis bacaan al-Quran secara mingguan, majlis tadarus dan majlis khatam al-Quran. Faktor kawan-kawan juga memberi kesan kepada cara pembelajaran dari segi usaha dan sikap. Kawan mampu mempengaruhi pencapaian seseorang hasil daripada pergaulan mereka seharian. Oleh sebab itu, al-Zarnūjī (1996) menyarankan agar dalam memilih kawan, carilah mereka yang bersungguhsungguh dan warak serta jauhkan dari mereka yang bersikap negatif seperti malas, suka bertangguh dan banyak bercakap, mencetuskan huru-hara dan penyebar fitnah.
Faktor Sikap Aktiviti manusia seharian merupakan proses pembelajaran yang sentiasa berlaku dan berterusan sama ada dalam bentuk langsung au tidak langsung. Mengikut Ibn Khaldun, epistemologi Islam mempunyai kaitan yang rapat dengan potensi kognitif yang terdapat dalam prinsip-prinsip psikologi. Dalam proses belajar, peranan akal berfungsi untuk memperoleh ilmu dan memainkan peranan sebagai daya untuk manusia memahami sesuatu di luar dirinya. Menurut Robiah Sidin (1998) penekanan disiplin dan pembentukan sikap seperti rajin, bersungguh-sungguh, sikap ingin mencuba dan tidak putus asa harus dipraktikkan kepada pelajar sebagai langkah untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran. Ibn Khaldun (2013,2000) berpendapat unsur malakah boleh mempengaruhi aktiviti pembelajaran serta merencanakan pencapaian seseorang. Beliau telah menyebutkan perkataan ini berulang kali di beberapa tempat yang membawa pelbagai konotasi mengikut kesesuaian maksud di mana ia disebut. Salah satu daripada maksud malakah seperti mana yang di fahami oleh sarjana ialah satu sifat yang sejati dalam badan manusia. Pengertian ini boleh dimaksudkan sebagai satu sifat yang kekal terpahat dalam diri seseorang
92 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016
melalui perlakuan yang sama berulang kali sehingga ia membentuk sikap yang sebati di dalam diri ini kerana konsep malakah bukan hanya bermaksud pencerahan semata-mata (insight), malah ia mempunyai kecenderungan kognitif serta merangkumi unsur afektif dan psikomotor (Syahrul Riza 2010). Kecenderungan ini merupakan satu bentuk tindak balas terhadap sesuatu rangsangan apabila seseorang berhadapan dengan sesuatu situasi. Ketiga-tiga komponen ini merupakan unsur utama dalam membentuk sikap. Aspek kognitif ialah merujuk suatu bentuk kefahaman atau kepercayaan seseorang terhadap sesuatu fakta yang mana maklumat tersebut di nilai dan membawa kepada suatu bentuk tindakan. Unsur afektif pula melibatkan aspek-aspek perasaan dan emosi yang sukar dieksploitasi dan membentuk suatu sikap sama ada positif mahupun negatif. Manakala unsur psikomotor pula ialah kecenderungan untuk memberi tindak balas terhadap rangsangan membentuk suatu perlakuan yang diingini atau sebaliknya. Sikap adalah suatu kecenderungan untuk berfikir atau merasa mengikut cara yang tertentu dan saluran-saluran tertentu (Witherington 1978). Ia merupakan suatu unsur berbentuk dalaman yang amat sukar untuk difahami kerana bukan semua dapat diterjemahkan dengan tingkah laku. Dari perspektif Islam, sikap lebih ditumpukan kepada akhlak oleh sebab itu seseorang yang mempunyai sikap yang baik akan dianggap mempunyai akhlak yang baik. Sikap bukanlah sesuatu yang boleh dianggap milik mutlak seseorang secara semula jadi, sebaliknya ia mempunyai potensi untuk berubah dan berkembang bergantung pada pengalaman dan pembelajaran individu. Melalui sikap seseorang individu dapat mempelajari pelbagai ilmu untuk meningkatkan potensi diri. Sikap individu dibantu pula dengan faktor-faktor luaran akan mempengaruhi bentuk pencapaian seseorang.
Kesimpulan Sememangnya tidak dinafikan bahawa, kaedah dan teknik pengajaran guru amat signifikan terhadap pencapaian murid-murid khususnya di dalam pembelajaran Model Khatam al-Quran. Namun demikian, faktor-faktor pembelajaran yang lain juga amat penting sebagai pendokong kepada usaha guru malah ia dilihat saling melengkapi antara satu sama lain. Jika diteliti, masa murid bersama guru adalah amat terhad. Peruntukan masa untuk pembelajaran pendidikan Islam disekolah ialah sebanyak 180 minit (6 waktu), tiga waktu daripanya (90 minit) adalah dikhususkan untuk pembelajaran al-Quran ditambah pula 60 minit untuk tasmik al-Quran yang menjadikan jumlah keseluruhannya 150 minit untuk pembelajaran al-Quran. Walaubagaimanapun sekiranya di ukur secara purata berdasarkan konsep pengajaran secara kolaboratif yang digunakan dalam pengajaran model khatam al-Quran j-QAF melibatkan 14 orang murid dan seorang guru dalam satu-satu masa, setiap murid mempunyai sekitar 11 minit dalam seminggu untuk belajar al-Quran secara talaqqi dan musyafahah bersama
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 93
dengan guru. Oleh itu, situasi ini memperlihatkan pentingnya faktor-faktor pembelajaran yang lain diberi perhatian secara mendalam bagi membantu usaha-usaha guru agar matlamat melahirkan generasi al-Quran tercapai.
Rujukan Al-Quran. Abdullah Ishak. 1995. Pendidikan Islam Dan Pengaruhnya Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Amal Hayati Mohd Nor. 2012. Penilaian Pelaksanaan Tilawah al-Quran Program j-QAF dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Disertasi Sarjana, Fakulti Pendidikan,Universiti Kebangsaan Malaysia. al-Bukhārī, Abī ᶜAbd Allah bin Muḥammad bin Ismāᶜil. 2002. Dimasyq. Dār Ibn Kathīr Crow, L.D., & Crow, A. 1963. Educational Psychology. New York: Van Nostrand Reinhold. Fairuz Samsudin. 2011. Tahap Pencapaian Murid-Murid Tahun Enam dalam Modul Khatam al-Quran j-QAF, Satu Kajian di Sekolah Kebangsaan Daerah Kuala Muda Yan. Disertasi Sarjana,Fakulti Pendidikan dan Bahasa, Universiti Terbuka Malaysia. Gamal Abdul Nasir. 2003. Prinsip-Prinsip Pendidikan Islam. Bentong: PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd. Hasan Langgulung. 1980. Beberapa Pemikiran Tentang Pendidikan Islam. Bandung: PT Al-Ma’arif. Haziyah Hussin, Ridzawana Sirajuddin, & Fadlan Mohd Othman. 2012. Sumbangan Program Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) Terhadap Pendidikan Literasi al-Quran di Malaysia. Dlm. Prosiding Seminar Serantau Maqasid al-Quran 2012. Dinamika Ilmu Qiraat Sebagai Sumber Turath (Warisan Ilmu) Islam, hlm. 113– 125. Hergenhahn, B.R. & Olson, M.H. (2005) An Introduction to Theories of Learning. Edisi ke-7.New Jersey. Pearson Prentice Hall. Ibn Khaldūn, ᶜAbd. al-Rahmān bin Muhammad. 2013. Muqaddimah Muqaddimah Ibn Khaldūn. Lubnān: Dār Maktabah al-Maᶜārif. Ibn Khaldun, Abd. al-Rahman bin Muhammad. 2000. Muqaddimah Ibn Khaldun. Terj. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Indriaty Ismail. 1995. "Antara Media dan al-Quran: Pengaruh Dan Kesan Dalam Pembentukan Peribadi Masyarakat Islam Malaysia Masa Kini. Dlm. Prosiding Seminar Islam & Tantangannya Menghadapi Abad ke-21, hlm. 104–107. Ibn Manẓūr, Jamal al-Dīn Muhammad bin Mukarram. 2012. Lisān Al-ᶜArab. Jil. 11. Beirut: Dār Ṣādir. Kamarul Azmi Jasmi, & Ab. Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam Kaedah Pengajaran & Pembelajaran. Johor: Universiti Teknologi Malaysia. Kamus Dewan. 2002. Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia. 2005. Buku Panduan Dasar Pelaksanaan Dan Pengurusan Kurikulum Dan Ko-Kurikulum Program J-QAF. Putrajaya: Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral.
94 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016
al-Qābisī, Abu Hasan ‘Alī. 1986. Al Risālah Al-Mufassilah Li Ahwāl Al-Muta’allimīn Wa Al-Ahkam al-Mua’allimīn wa al-Muta‘allimīn. Ahmad Khālid (pnyt.). Tunis: al-Syarikah al-Tunisiyyah. al-Qattan, Mannā’ Khalīl. 2000. Mabāhith Fī ‘Ulūm Al-Qurān. Kaherah: Maktabah Wahbah. M. Ngalim Purwanto. 1984. Psikologi Pendidikan. Bandung: Remadja Karya. Maimun Aqsha Lubis, T. Subahan Mohd. Meerah, Ab. Halim Tamuri, Nik Mohd. Rahimi Nik Yusoff, Mazalah Ahmad, & Sabariah Sulaiman. 2010. Pelaksanaan Model-Model Program j-QAF dalam Bilik Darjah: Satu Rumusan Kajian. Dlm. Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara kali ke-4 Transformasi dan Inovasi dalam Pendidikan Negara, hlm. 937–950. Mālik bin Anas. 1951. Al-Muwatta’. Muḥammad Fu’ad al-Bāqī (pnyt.). Kaherah: Dār Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah. Misnan Jemali, Ibrahim Hashim, Zanariah Noor, Muhammad Akramin Kamarulzaman, Abdul Nasir Abdul Latif, Ahmad Zulfiqar Shah Abdul Hadi, Mohd. Abdul Aziz Mahmud, & Hasanudin Abd. Hamid. 2013. Perlaksanaan Dan Pencapaian Program j-QAF: Kajian Seluruh Malaysia. Dlm. Seminar Kebangsaan Penyelidikan j-QAF 2013, hlm. 51–91. Mohd. Yusuf Ahmad. 2005. Sejarah Dan Kaedah Pendidikan Al-Quran. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Mohd Hairudin Amin, & Kamarul Azmi Jasmi. 2012. Sekolah Agama Islam Di Malaysia Sejarah Isu Dan Cabaran. Johor: Penerbit UTM Press. al-Na’miy, Abdullah Al-Amin. 1994. Kaedah Dan Teknik Pengajaran Menurut Ibn Khaldun dan Al-Qabisi. Terj. Mohd. Ramzi Omar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nasithah Abd Hamid, Zalina Ahmad Zainuddin, Latip Muhammad, Maimunah Muda, Ahmad Zaafar Ismail, Salmah Mohd Salleh, & Nur Liyana Husna @ Aloha Shaari. 2013. Kajian Penilaian Impak Program j-QAF Dlm. Seminar Kebangsaan Penyelidikan j-QAF 2013, hlm. 83–105. Norlela Harun. 2007. Tahap Kesediaan Guru j-QAF dalam Melaksanakan Model Khatam Al-Quran, Tinjauan di Sekolah Kebangsaan Daerah Hulu Langat. Tesis Sarjana, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Nurfadilah Mohamad, & Muhammad Mustaqim Mohd Zarif. 2013. Penguasaan Kemahiran Tilawah Al-Quran Menerusi Program j-QAF: kajian kes di Melaka. Dlm. Seminar Kebangsaan Penyelidikan j-QAF 2013, hlm. 307–320. Paharudin Arbain, & Misnan Jemali. 2013. Pencapaian Tilawah Al-Quran Program jQAF di Perakᶜ: Suatu Tinjauan Awal. Dlm. Seminar Kebangsaan Penyelidikan j-QAF 2013, hlm. 321-327. Rizuan Mohd. 2016. Amalan Penyeliaan Pengajaran oleh Pentadbir dan Komitmen Guru dalam Program j-QAF. Tesis Sarjana, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Robiah Sidin. 1998. Pemikiran Dalam Pendidikan. Shah Alam: Fajar Bakti. Sabariah Bahrun. 2009. Kajian Pelaksanaan Kurikulum j-QAF oleh Guru Pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kent, Tuaran, Sabah. Disertasi Sarjana, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. al-Ṣabūni, Muhammad ‘Ali. 1985. Al-Tibyān Fī ‘Ulūm Al-Qur’ān. Beirut: IIlm alKutub.
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 95
Sabri Salamon, & Haron Din. 1988. Masalah Pendidikan Islam Di Malaysia. Kuala Lumpur: Al-Rahmaniah. Suryati Basra. 2013. Respon Murid Terhadap Model Enam Bulan Khatam Al-Quran dan Tasmik di Bawah Program j-QAF Sekolah Rendah di Daerah Hulu Langat. Disertasi Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Syahrul Riza Hamzah. 2010. Konsep Pendidikan Islam Menurut Pemikiran Ibn Khaldun. Noor Shakirah Mat Akhir (pnyt.). Kuala Lumpur: Scholarmind Publishing. Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran. 2000. Kuala Lumpur. Darul Fikir Witherington, H.C. 1978. Psikologi Pendidikan. Terj. M. Buchori. Jakarta: Aksara Baru. al-Zarnūjī, Burhān al-Islām. 1996. Ta‘līm Al-Muta‘allim Tarīq Al-Ta‘allum. Marwān Fabānī (pnyt.). Beirūt: al-Maktab al-Islāmī.