UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM HHHC9401 KEMAHIRAN NILAI, SIKAP, ETIKA DAN PROFESIONALISME
SET 14
KONSEP ETIKA DAN MORAL
DISEDIAKAN OLEH:
FATIMAH BINTI HUSSIN
A 144901
DISEDIAKAN UNTUK:
ENCIK MOHD. NAZRI BIN AHMAD
1.0
PENDAHULUAN Dalam kehidupan sehari-hari, kita memerlukan etika dan moral dalam
berhadapan dengan pelbagai jenis manusia. Etika dan moral adalah penting bagi setiap insan khususnya Muslim dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Bahkan, setiap agama mengajarkan penganutnya agar beretika dan bermoral dalam setiap perkara. Justeru, setiap insan hendaklah berusaha untuk memperbaiki etika dan moral agar segala perkara dapat dihadapi dengan hati yang lebih lapang tanpa mengguriskan perasaan sesiapa. Hampir semua agama di dunia ini memberi penekanan kepada akhlak, sama ada ia agama samawi atau agama budaya. Agama Islam sangat menekankan aspek akhlak ini dimana konsep akhlak, ciri-cirinya, kedudukannya adalah sangat jelas dan sempurna, lebih sempurna daripada yang ada pada agama-agama lain. Padanya terdapat para pejuang akhlak iaitu para nabi dan rasul, dimana kedatangan semuanya untuk kebaikan dan kesejahteraan umat manusia. Mereka adalah manusia agong dan sempurna nilai akhlak-akhlaknya. Mereka telah diakui oleh Allah sebagai model yang sah dan abadi untuk menjadi contoh dan ikutan buat manusia. Akhlak merupakan sendi yang mengukuh perhubungan dalam sesebuah masyarakat. Nilai-nilai akhlak yang wujud dalam sesebuah masyarakat itu menyebabkan masyarakat tersebut terus kekal. Ini disebabkan kerana dengan kewujudannya, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat akan terus kekal.
2.0
PENGERTIAN AKHLAK, ETIKA DAN MORAL Akhlak dalam tradisi ilmu Barat lebih dikenali sebagai etika dan moral. Dari sudut
etimologi, ia merujuk kepada tabiat, adat kebiasaan, susila, niat, sikap, pandangan hidup, agama dan disposisi rohaniah seseorang. Manakala daripada sudut teknikal, ia merujuk kepada satu disiplin ilmu yang mengkaji berbagai-bagai isu tentang tingkah laku manusia. Di zaman moden, apabila mereka menghadapi krisis moral, maka mereka memperkenalkan dan merujuk kepada aspek-aspek etika dan moral (dasar), dan psikologi dan kaunseling (kaedah).
Etika berasal dari bahasa Yunani, ethos yang bererti watak kesusilaan atau adat. Ia adalah falsafah moral, iaitu kajian yang sistematik mengenai sifat asas dari konsepkonsep nilai baik, buruk, benar, salah, dan sebagainya (Encyclopedia Britanica). Oleh itu, etika adalah ilmu yang menjelaskan erti baik dan buruk, menerangkan apa yang seharusnya dilakukan oleh manusia, menyatakan tujuan yang harus dilakukan oleh manusia di dalam perbuatan mereka dan menunjukkan jalan untuk melakukan apa yang seharusnya dilakukan. Oleh itu etika boleh difahami melalui empat perspektif: 1. Objek pembahasan etika ialah perbuatan yang dilakukan oleh manusia. 2. Sumber etika ialah akal fikiran atau falsafah. Sebagai hasil pemikiran, maka etika tidak bersifat mutlak dan tidak pula universal. Ia terbatas, dapat berubah, memiliki kekurangan, kelebihan dan sebagainya. 3. Fungsi etika sebagai penilai, penentu dan penetap terhadap sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh manusia sama ada perbuatan tersebut akan dinilai baik, buruk, mulia, hina dan sebagainya. 4. Sifat etika adalah relatif iaitu dapat berubah-ubah sesuai dengan tuntutan zaman kerana berasal daripada akal manusia. Manakala, perkataan moral berasal dari bahasa latin, mores, iaitu lafaz jamak daripada perkataan mos yang bererti adat kebiasaan. Secara istilah, moral adalah suatu istilah yang digunakan untuk menentukan batas-batas dari sifat, perangai, kehendak, pendapat atau perbuatan yang boleh dikatakan benar, salah, baik atau buruk. Oleh itu istilah moral digunakan untuk memberikan batasan terhadap kegiatan atau aktiviti manusia dengan nilai (ketentuan) baik atau buruk, benar atau salah. Oleh itu, antara etika dan moral hakikatnya membahaskan objek yang sama, iaitu perbuatan manusia dan seterusnya menentukan posisinya sama ada baik atau buruk. Etika dan moral juga memiliki perbezaan. Dalam etika, penentuan nilai perbuatan manusia baik atau buruk menggunakan neraca akal fikiran, sedangkan neraca moral adalah norma-norma yang tumbuh dan berkembang di dalam masyarakat. Ini menunjukkan etika lebih bersifat pemikiran falsafah dan berada dalam konsepkonsepnya yang tersendiri. Moral berada dalam landasan realiti dan muncul dalam
tingkah laku yang berkembang dalam masyarakat seperti adat istiadat, kebiasaan dan lainnya yang berlaku di masyarakat. Dalam kata lain, etika dan moral sama ertinya tetapi terdapat perbezaan dalam pemakaian sehari-hari. Moral dipakai untuk perbuatan yang sedang dinilai, sedangkan etika dipakai untuk pengkajian sistem nilai yang ada. Akhlak, etika dan moral mempunyai fungsi yang sama. Namun, kesemuanya juga mempunyai perbezaan. Pertama, pada sumbernya; etika bersumberkan akal, moral bersumberkan adat dan akhlak bersumberkan wahyu. Kedua, pada sifatnya; etika dan moral lebih bersifat lokal dan duniawi sahaja, manakala akhlak lebih bersifat universal, duniawi dan ukhrawi. Ketiga, pada skop perbahasannya, dimana etika membahaskan perilaku yang berbentuk teori sahaja, moral lebih berbentuk praktik dan akhlak pula lebih membahaskan perbuatan manusia dalam skop teori dan praktik.
3.0
DEFINISI PROFESIONALISME
Profesionalisme (profésionalisme) ialah sifat-sifat (kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan sesuatu dan lain-lain) sebagaimana yang sewajarnya terdapat pada atau dilakukan oleh seorang profesional. Profesionalisme berasal daripada profesion yang bermakna berhubungan dengan profesion dan memerlukan kepandaian khusus untuk menjalankannya. Profesionalisme adalah tingkah laku, kepakaran atau kualiti dari seseorang yang profesional. Beberapa ciri-ciri profesionalisme iaitu keinginan untuk selalu menampilkan perilaku yang mendekati piawai ideal. Seseorang yang memiliki profesionalisme tinggi akan selalu berusaha mewujudkan dirinya sesuai dengan piawai yang telah ditetapkan. Kedua, meningkatkan dan memelihara imej profesion. Profesionalisme yang tinggi ditunjukkan oleh besarnya keinginan untuk selalu meningkatkan dan memelihara imej profesion melalui perwujudan perilaku profesional. Ketiga, keinginan untuk sentiasa mengejar kesempatan pengembangan profesional yang dapat meningkatkan dan memperbaiki kualiti pengetahuan dan keterampilannya. Keempat, mengejar kualiti dan cita-cita dalam profesion. Profesionalisme ditandai dengan kualiti darjat rasa bangga akan profesion yang dipegangnya. Dalam hal ini diharapkan agar seseorang itu memiliki rasa bangga dan percaya diri akan profesionnya.
4.0
ETIKA DAN AKHLAK DALAM ISLAM Dalam Islam, etika dan moral dipanggil akhlak kerana ia bersumberkan al-
Quran dan Hadis. Pada kedua-duanya terdapat pelbagai prinsip akhlak untuk panduan seluruh hidup manusia. Manakala Rasulullah s.a.w. pula merupakan model dan contoh ikutan akhlak yang terbaik kepada manusia. Dalam al-Quran, Allah mengiktiraf keunggulan akhlak yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. melalui firmanNya:
“Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung.” (68:4). “Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu mempunyai teladan yang baik bagi kamu semua.” (33:21) Bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri menegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “ Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
5.0
HUBUNGAN ANTARA ETIKA, MORAL DAN AKHLAK DALAM ISLAM
Dalam Islam kelakuan dan tindak tanduk yang dianggap baik bagi seseorang manusia terhadap dirinya dan orang lain dan benda-benda dalam alam ini, mesti dinyatakan terlebih dahulu kedudukan statusnya di dalam alam ini dan hubungan dengan bendabenda yang ada di sekelilingnya. Islam menyatakan bahawa manusia diciptakan oleh Tuhan dengan dua status iaitu sebagai ciptaan yang dipunyai oleh Tuhan yang dengan itu harus patuh, akur dengan segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan sebagai Pencipta dan Pemiliknya, yang akhirnya ia akan dikembalikan kepada Tuhan untuk disoal tentang kepatuhannya terhadap peraturan itu. Status manusia begini dikenali sebagai “abdullah” iaitu hamba atau milik Tuhan dan Sebagai “khalifah” iaitu wakil Tuhan bagi melaksanakan segala hukum Tuhan di atas dunia ini untuk memanfaatkan dirinya dan juga manusia, makhluk dan benda-benda yang lain di dunia ini. Oleh itu segala perlakuan, tindak tanduk dan apa sahaja yang membantu ke arah menepati dan memenuhi dua status dan peranan manusia itu, dianggap sebagai baik, benar dan patut, dan oleh itu penuh bermoral dan beretika. Tugas
dan peranan seorang manusia yang harus dipenuhinya di dalam kehidupannya di alam ini yang terdapat di dalam kelakuan bermoral dan beretika mulia. Berdasarkan penelitian di dalam al-Quran dan hadith, ilmuan-ilmuan Islam merumuskan bahawa manusia diciptakan melalui dua unsur iaitu unsur jasmani dan rohani yang bersatu di dalam satu kesatuan. Unsur jasmani ialah berasal dari tanah yang zahiriah yang dilahirkan, membesar, menjadi tua yang akan hancur sesudah mati. Manakala unsur rohani ialah unsur yang tidak berjisim yang halus iaitu unsur yang bersumberkan hembusan secara langsung daripada Roh Kudus Tuhan yang kekal (immortal) dan akan meneruskan kehidupan sesudah mati dan akan kembali kepada Penciptanya.
6.0
MANFAAT ETIKA DAN MORAL DALAM KEHIDUPAN
1.
Menjadikan insan yang lebih taqwa kepada Allah.
2.
Dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.
3.
Memperbaiki tingkah laku manusia untuk membentuk peribadi yang baik.
4.
Mengetahui dampak positif hidup rukun dalam kehidupan.
5.
Memahami pentingnya erti persatuan di dalam kehidupan.
6.
Menumbuhkan kesedaran peribadi untuk membentuk bangsa bersatu dalam kehidupan sosial.
7.0
KESIMPULAN
Etika, moral dan profesionalisme merupakan perkara yang penting dalam kehidupan manusia khususnya dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini kerana setiap insan akan berhadapan dengan pelbagai kerenah lapisan masyarakat suatu hari kelak. Jadi, semua orang hendaklah mempelajari dan membiasakan diri serta menerapkan nilai-nilai baik dalm hidup masing-masing agar kehidupan mereka lebih tersusun dan kemaslahatan bersama terpelihara.
8.0
RUJUKAN
Al-Quran Abuddin Nata, Akhlak Tasawuf, (Jakarta: Rajawali Pers, 2009), hlm. 90. Abd haris, Etika Hamka, (Yogyakarta: Elkis, 2010), Cet. I, hlm.35-37 Bartens, K. Etika, Jakarta : PT. Gramedia Pustaka Utama, 2001 Mahjuddin, Kuliah Akhlak Tasawuf, (Jakarta: Kalam Mulia, 1991), Hlm.9 Hashim Musa. Falsafah. Teori Nilai Dan Etika Melayu: Suatu Pengenalan. Akademi pengajian Melayu Universiti Malaya. Petaling Jaya.